mangga add

Saturday, January 26, 2013

AirAsia tumpu ke pasaran utama Asia



KUALA LUMPUR 25 Jan. - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, melihat tahun 2013 sebagai permulaan kepada syarikat tersebut untuk meluaskan dominasinya di seluruh pasaran utama rantau Asia, menerusi rancangan strategik lima tahun yang telah disusun syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan hari ini berkata, AirAsia mahu kekal fokus dan disiplinnya di dalam aspek pengurusan kos, kerana faktor itu merupakan kunci utama pertumbuhan syarikat penerbangan itu selama ini.

Tambahnya, syarikatnya berjaya mengekalkan kos yang rendah berbanding syarikat penerbangan yang lain, malah perkara itu dilihat sukar dipraktikkan oleh pesaing baharu.
"Pencapaian suku keempat tahun lalu sungguh memberangsangkan.
"Kami akan mengumumkan keputusan kewangan tahun 2012 pada Februari ini.
"Saya percaya AirAsia bakal mencatatkan faktor muatan serta hasil yang lebih baik bagi tahun 2013 berdasarkan skala sedia ada serta keupayaan kami berhadapan tekanan kenaikan kos.
"Saya juga teruja dengan perancangan yang telah disusun untuk lima tahun akan datang dan sedia mencatatkan sesuatu yang luar biasa setiap tahun," katanya dalam kenyataan itu.

Tony berkata, selepas Malaysia, syarikatnya melihat Indonesia dan Thailand sebagai pasaran yang mampu menjana pendapatan yang tinggi.
"Untuk memastikan perniagaan kami di sana berjalan dengan baik, kami bakal melakukan penyenaraian awam kedua-dua entiti AirAsia di Thailand dan Indonesia supaya mempunyai struktur kewangan tersendiri," katanya.

Selain itu katanya, fokus juga akan diberikan kepada perniagaan di Filipina dan Jepun yang mana kedua-dua pasaran itu masih baru bagi AirAsia.
"India juga merupakan pasaran yang unik terutama sekali selepas kerajaannya yang menggalakkan industri pengangkutan udara.
"Kami akan terus meninjau peluang di negara ini kerana ia menawarkan potensi pertumbuhan yang baik," kata Tony dalam kenyataan itu lagi.
Jelasnya, China dan India sahaja menawarkan kapasiti pasaran lapan kali lebih besar berbanding Eropah.
Dengan itu, penumpuan kepada dua negara itu amat penting khususnya melalui menyediakan bilangan pesawat yang mencukupi.
AirAsia telah menempah sehingga 475 buah pesawat baharu yang mana 114 buah daripadanya telah diserahkan kepada syarikat penerbangan itu.
Bilangan tersebut menjadikan AirAsia sebagai pemilik terbesar daripada segi bilangan pesawat di Asia.


Friday, January 25, 2013

AirAsia gantung laluan KL-Colombo



SEPANG 21 Jan. - AirAsia Bhd. (AirAsia) akan menggantungkan penerbangan antara Kuala Lumpur ke Colombo, Sri Lanka berkuatkuasa 26 Februari ini atas alasan komersial.

Menurut kenyataan AirAsia , penumpang yang terlibat akan diberi beberapa pilihan.
Katanya, penumpang akan dimaklumkan melalui e-mel dan juga melalui sistem pesanan ringkas mengenai penggantungan laluan itu.

AirAsia turut menggesa setiap penumpangnya supaya menyimpan alamat e-mel dan nombor telefon mudah alih dengan kod negaranya di profail ahli AirAsia bagi memudahkannya memaklumkan mengenai perkara tersebut.
Bagi mendapatkan keterangan lanjut, pelanggan boleh mengakses media sosial twitter AirAsia.

AirAsia X perkenal laluan KL-Jeddah




Pramugari AirAsia bergaya pada majlis pengumuman penerbangan baharu AirAsia X ke Jeddah di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Jan. - Syarikat penerbangan jarak jauh dengan tambang murah, AirAsia X, 
memperkenalkan laluan baharu antara Kuala Lumpur dan Jeddah, Arab Saudi, mulai 16 Februari ini, setelah melihat potensi cerah hubungan logistik antara kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman Rani berkata, pengenalan laluan itu juga adalah bertepatan dengan musim mengerjakan umrah mulai pertengahan tahun ini yang dijangka menjadi faktor utama tempahan ke laluan itu.

Sejak tahun lalu jelas beliau, pihaknya telah mengkaji permintaan dan operasi ke Jeddah menggunakan kapal terbang yang disewa, bagi menilai peraturan yang diperlukan jika mahu memasuki Arab Saudi.

"Ia menunjukkan maklum balas yang positif sama ke Jeddah atau ke Kuala Lumpur. Kami turut menyasarkan pelancong daripada Asia Barat yang ingin mengunjungi Malaysia atau menjadikan negara ini sebagai tempat persinggahan," katanya ketika majlis memperkenalkan laluan itu di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Laluan yang diperkenalkan itu menawarkan kekerapan tiga kali seminggu dan ditingkatkan kepada empat kali seminggu mulai 1 Mei 2013.
AirAsia X dijangka memperkenalkan tiga lagi destinasi baharu tahun ini.

MAS guna A380 untuk laluan Kuala Lumpur-Paris



KUALA LUMPUR 22 Jan. - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) akan menggunakan pesawat Airbus, A380 untuk laluan Kuala Lumpur-Paris bermula 1 Mac ini.

MAS dalam kenyataannya menjelaskan, Paris merupakan destinasi Eropah kedua selepas London yang ditawarkan syarikat berkenaan menggunakan pesawat super jumbo itu.

Pesawat A380 mempunyai kapasiti 494 penumpang akan menggantikan penggunaan pesawat sedia ada iaitu Boeing, B777 yang hanya mampu membawa 282 orang, 75 peratus lebih efektif.

Sempena pelancaran penggunaan pesawat baharu itu, MAS menawarkan promosi harga tiket menarik bermula hari ini hingga 11 Februari 2013 untuk penerbangan bermula 1 Mac hingga 30 September 2013.
Kelas ekonomi bagi penerbangan pergi balik ke Paris bermula daripada RM2,899, RM11,969 bagi kelas perniagaan dan RM31,465 bagi kelas pertama.
Penumpang kelas ekonomi juga berpeluang bertukar ke kelas perniagaan menerusi kempen Gold Ticket.


Friday, January 18, 2013

Citilink tempah 25 unit Airbus A320neo



JAKARTA 15 Jan. - Industri penerbangan tambang murah Indonesia semakin rancak berkembang berikutan pengumuman terbaru Citilink, anak syarikat Garuda Indonesia yang sudah menempah 25 unit pesawat Airbus A320neo bernilai AS$2.4 bilion (RM7.2 bilion).

Tempahan jumlah pesawat berkenaan dilakukan Citilink sebagai memenuhi permintaan penerbangan yang semakin meluas di rantau Asia Tenggara.

Pengumuman berkenaan sekali gus bakal memberikan persaingan yang sengit kepada dua syarikat penerbangan murah yang sedia ada di Indonesia, AirAsia dan Lion Air.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Citilink, Arif Wibowo, tempahan A320 merupakan pilihan yang tepat untuk memenuhi permintaan bagi laluan penerbangan syarikat tersebut.

"Pesawat A320 telah memainkan peranan yang penting dalam kejayaan penerbangan Citilink sebelum ini," kata Arif yang dipetik dalam akhbar Jakarta Globe hari ini.
Pada masa sama, Arif turut memberitahu, pesawat A320neo juga sangat ideal kerana kos operasinya sangat rendah.

Harga sebuah pesawat Airbus A320neo bernilai AS$96.7 (RM290 juta) dan boleh menerbangkan seramai 180 penumpang.
Pesawat berkenaan juga menjimatkan penggunaan minyak sebanyak 15 peratus dan boleh terbang sejauh 950 kilometer lebih pantas berbanding pesawat lain.
Pada masa ini, Citilink beroperasi dengan 16 unit pesawat, yang mana 10 daripada pesawat berkenaan jenis Airbus A320s.

Syarikat itu mengendalikan 76 penerbangan di luar Jakarta dengan kota Surabaya sebagai hab utama.
Citilink juga menjangkakan sebanyak 200 penerbangan dapat dikendalikan menjelang hujung tahun ini.
Pada tahun lalu, seramai empat juta penumpang memilih untuk terbang bersama Citilink iaitu dua kali ganda jumlahnya berbanding tahun 2011 yang mencatat angka 1.3 juta orang.

Syarikat penerbangan itu juga menyasarkan 7.2 juta penumpang akan memilih Citilink pada tahun ini dan sekali gus mencapai perolehan sebanyak AS$374 (RM1.1 bilion) juta hasil daripada jualan tiket.
Dalam usaha meluaskan lagi pengaruhnya, Citilink juga berhasrat untuk memiliki 50 pesawat menjelang tahun 2015.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Indonesia, Herry S. Gumay berkata, jumlah penumpang pengangkutan udara pada tahun lalu dijangka mencapai angka 70 juta orang iaitu peningkatan 13 peratus berbanding angka 62 juta orang pada tahun 2011.
Jumlah sebenar penumpang pengangkutan udara untuk tahun lalu masih belum dilaporkan. -


Saturday, January 12, 2013

10,000 tempat duduk habis ditempah



KUALA LUMPUR 9 Jan. - Harga saham AirAsia Bhd. meningkat selepas kumpulan itu mengumumkan pengenalan kekerapan tambahan kepada enam destinasi domestik dan satu laluan antarabangsa.

Sehingga jam 11.19 pagi, harga saham syarikat penerbangan kos rendah itu menambah 2.0 sen kepada RM2.95 selepas turun naik antara RM2.93 dan RM2.98, dengan 3.33 juta saham diniagakan.
Kumpulan itu mengumumkan bahawa kekerapan tambahan itu ialah dari hab Kuala Lumpur ke Bangkok, Kota Kinabalu, Sibu, Kuching dan Johor Baharu, manakala hab Johor Baharu akan menyaksikan kekerapan tambahan ke Kuching, Sibu, Miri dan Pulau Pinang.
Kekerapan tambahan akan diadakan dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu dan Kuching serta dari Kota Kinabalu ke Kuching.

Di dalam nota penyelidikannya, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata ia menjangka AirAsia akan kekal menaik melalui pelan pengembangannya, dengan tempahan tetap 100 pesawat A320 (dengan tambahan opsyen 50 pesawat A320 dan 50 pesawat A321).

Katanya Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes terus berkeyakinan mengenai pertumbuhan kukuh rantau Asia Pasifik apabila beliau terus meneroka peluang di negara lain di rantau itu.
"Kawalan kos unit merupakan faktor paling penting bagi terus hidup di dalam industri penerbangan dan kelebihan kos AirAsia, yang ditambah dengan jenama yang kukuh dan rangkaian yang besar, akan memastikan kejayaan berterusan," katanya.

Syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia itu mengumumkan pada 13 Disember bahawa kumpulan itu telah membuat tempahan 100 lagi pesawat keluarga A320 dengan Airbus.
Bagaimana pun, HLIB Resa memotong pendapatan bagi tahun kewangan 2013-2014 sebanyak 8-12 peratus selepas mengambil kira pulangan yang rendah berikutan kemasukan Malindo Airways yang memberikan persaingan harga.

"Kami menjangka harga bahan api jet kekal tinggi, yang akan memberi kesan terhadap margin kumpulan AirAsia" katanya.
Ia turut mengekalkan saranan "pegang" saham AirAsia, dengan harga sasaran lebih tinggi RM3.20 berbanding RM3.14 sebelum ini.


Bayi lahir dalam pesawat



KAKITANGAN penerbangan Merpati Nusantara Airlines bergambar dengan bayi perempuan pramatang yang lahir dalam pesawat itu baru-baru ini.

JAKARTA - Seorang bayi perempuan pramatang dilahirkan di dalam sebuah pesawat Merpati Nusantara Airlines, baru-baru ini.
Ketika kejadian, pesawat itu dalam penerbangan dari Timika ke Makassar.
Kelahiran bayi itu disambut oleh pramugari, Sherly Juwita dan dibantu empat kakitangan penerbangan pada kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan.
Bayi yang dilahirkan oleh Harmani itu berada dalam keadaan sihat ketika kandungan ibunya baharu memasuki usia tujuh bulan.
Bagaimanapun, Sherly menerima khabar duka apabila dia dimaklumkan bayi itu meninggal dunia sejurus tiba di Makassar.
''Saya amat sedih. Tetapi mungkin itu yang terbaik untuk dia daripada Allah,'' katanya yang mengaku terkejut dengan berita itu ketika dihubungi Liputan6.com di sini.
Seorang pramugari berkata, semasa dilahirkan, bayi itu kelihatan agak sihat dan mendapat rawatan rapi daripada pramugari penerbangan.
''Kami berikannya oksigen dan meletakkannya di dalam sebuah bekas untuk bayi pramatang,'' katanya yang telah berkhidmat selama 17 tahun di syarikat itu. -


Sunday, January 6, 2013

3 maut pesawat ringan terhempas hempap rumah



Pegawai penyiasat syerif Flagler County dan anggota bomba, memeriksa keadaan sebuah rumah selepas pesawat kecil terhempas ke atas kediaman tersebut di Palm Coast, Florida, Amerika Syarikat, kelmarin. - REUTERS

FLORIDA 5 Jan. - Sekurang-kurangnya tiga orang maut apabila sebuah pesawat kecil terhempas di atas sebuah rumah ketika cuba mendarat di lapangan terbang di Florida, petang semalam.

Pegawai Peronda Lebuh Raya Florida, Leftenan Justin Asbury berkata, pesawat jenis Beechcraft H35 Bonanza tahun 1957 itu dalam perjalanan menuju ke Knoxville, Tennessee dari Fort Pierce ketika mula mengalami gangguan teknikal.

Laporan awal sebelum ini menyatakan, juruterbang pesawat malang itu membuat panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.10 petang waktu tempatan selepas mengalami masalah teknikal, lapor stesen NBC di Orlando, WESH.

Pengarah Lapangan Terbang Flagler County, Roy Sieger memberitahu Dayton Beach News-Journal, berdasarkan maklumat pusat menara kawalan, juruterbang pesawat itu melaporkan kokpit mereka berasap pada pukul 2.18 petang waktu tempatan dan terhempas seminit kemudian.

Pejabat Syerif Flagler County pula berkata, pesawat terbabit jatuh di atas sebuah rumah di bandar Palm Coast, tidak jauh dari Lapangan Terbang Flagler County.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian berkata, dia terdengar bunyi pesawat terhempas dari kediamannya.

Dia dan seorang lagi jiran, Armando Gonzalez kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan melihat pemilik rumah, Susan Crockett telah pun berada di luar rumah sambil memekik pesawat terhempas di rumahnya.
"Rumah itu terbakar dan letupan turut berlaku dari dalam rumah tersebut," kata Gonzalez.
Menurut Asbury, Crockett dihantar ke hospital berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, pihak berkuasa masih tidak mendedahkan identiti kesemua mangsa yang maut

Jepun guna jet usir pesawat China



TOKYO 5 Jan. - Jepun hari ini mengerahkan jet pejuangnya mengusir sebuah pesawat milik China yang terbang berhampiran kepulauan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua buah negara.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun berkata, jet itu diarahkan terbang selepas sebuah pesawat maritim China berlegar kira-kira 120 kilometer di utara kepulauan Senkaku yang turut dikenali sebagai Diaoyu di China, kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan.

Katanya, pesawat enjin berkembar Y-12 China itu kemudiannya meninggalkan zon pertikaian berkenaan tanpa memasuki ruang udara Jepun di kepulauan tersebut.

"Ini merupakan pertama kali buat tahun ini jet pejuang Jepun dikerahkan bagi mengusir pesawat milik China yang cuba menghampiri kawasan kepulauan itu ,'' katanya.
Kali terakhir Jepun mengerahkan jetnya ke kepulauan Senkaku ialah bulan lalu selepas sebuah pesawat China menceroboh ruang udara di situ.
Sementara itu, Jepun dikatakan akan meningkatkan bajet pertahanannya buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun, lapor media Jepun.

Akhbar Mainichi tanpa memetik sebarang sumber melaporkan, kerajaan Jepun sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanannya kira-kira dua peratus kepada 4.7 trilion yen (RM162.4 bilion) untuk tahun kewangannya yang bermula April ini.
Menurut akhbar Asahi yang turut melaporkan perkara sama, perbelanjaan tambahan itu akan digunakan bagi mengukuh dan menaik taraf kelengkapan pertahanan sama ada untuk di darat, laut mahupun udara.


280 penerbangan di China dibatal: penumpang berang



BEIJING 6 Jan. - Lebih 280 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changshui dekat bandar selatan China, Kunming dibatalkan akibat kabus tebal semalam memaksa ribuan penumpang terkandas ketika negara ini berhadapan dengan cuaca sejuk terburuk dalam tempoh tiga dekad.

Agensi berita Xinhua melaporkan, keadaan itu mengakibatkan ribuan penumpang yang terkandas lebih daripada sehari berang dan bergaduh dengan kakitangan syarikat penerbangan serta merosakkan peralatan komputer milik syarikat sekali gus memaksa polis campur tangan bagi meleraikan pergelutan tersebut.

``Para penumpang benar-benar marah, mereka terus pergi ke kaunter pertanyaan untuk meminta maklumat, tetapi tidak mendapat apa-apa jawapan,’’ kata seorang jurugambar


5 terbunuh pesawat terhempas di Perancis



GRENOBLE, France 6 Jan. - Lima terbunuh semalam selepas pesawat peribadi yang mereka naiki terhempas beberapa saat selepas berlepas dari lapangan terbang Grenoble di tenggara Perancis.

Polis berkata, pesawat yang berdaftar di Maghribi itu dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Maghribi dan akan singgah di Sepanyol.

Mangsa yang terbunuh masih belum dapat dikenalpasti dan polis masih menyiasat punca kejadian


Saturday, January 5, 2013

MAS akan tingkat keuntungan 2013



Ahmad Jauhari
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Malaysia Airlines (MAS) meletakkan sasaran untuk mengekalkan trend pelaporan fiskalnya yang positif tahun ini ke tahun hadapan, hasil pelaksanaan Pelan Perniagaan yang diumumkan pada Disember 2011 secara konsisten dan agresif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya berkata, MAS akan terus mempercepatkan pelaksanaan Pelan Perniagaan itu pada tahun ini, dengan fokus tambahan pada peningkatan perolehan dan pulangan melalui pemasaran dan promosi yang agresif dan pengurusan kapasiti yang lebih baik.
Katanya, selain itu, penyerahan lebih banyak pesawat baharu yang lebih cekap bahan api sebagai sebahagian daripada program memudakan kumpulan pesawatnya akan dilaksanakan.

Katanya, penyertaan pesawat Airbus A380 dalam kumpulan pesawat MAS serta kemasukan ke dalam perikatan oneworld menjelang 1 Februari ini dijangka mempunyai kesan positif ke arah meningkatkan serahan produk dan perkhidmatan kepada para penumpang dan akhirnya menguntungkan kumpulan itu.
"Pada masa yang sama, kumpulan syarikat penerbangan akan terus menurunkan kos secara aktif melalui peningkatan pengurusan kos dan memacu produktiviti bagi menghasilkan kecekapan pada keseluruhan sistem," katanya kepada Bernama.

MAS mencatatkan keuntungan bersih RM37 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2012, selepas mengalami kerugian enam sukuan berturut-turut dan peningkatan signifikan berbanding dengan kerugian RM478 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama sebelum ini.
Ahmad Jauhari berkata, elemen utama di dalam memulihkan syarikat penerbangan negara itu ialah menempatkan pelan pembiayaan, yang bertujuan mengukuhkan kunci kira-kira, meningkatkan modal kerja dan menyediakan platform pembiayaan yang jitu bagi serahan pesawat yang baharu dan cekap bahan api.
"Serahan baharu pesawat sangat penting bagi mengekalkan kerelevanan kita dalam pasaran yang kompetitif," katanya.

Selain menjadi lebih cekap di segi teknologi dan menurunkan perbelanjaan bahan api secara keseluruhan, yang kini menelan sehingga 38 peratus daripada kos operasi bulanan syarikat penerbangan itu, pesawat baharu akan membolehkan syarikat itu menawarkan peningkatan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan dengan pulangan yang lebih baik.
Mengenai perikatan oneworld, Ahmad Jauhari berkata, ia yang dijangka ditandatangani pada bulan depan yang akan meningkatkan dan mengukuhkan kedudukan MAS.
Ia juga akan meningkatkan liputan global syarikat itu ke 840 destinasi di 156 negara.
"Perikatan oneworld akan meningkatkan bilangan rangkaian kami yang menyediakan perkhidmatan ke lebih 60 destinasi di hampir 30 negara.

"Ia juga membolehkan syarikat penerbangan ini meraih manfaat kewangan yang disumbang dari sebahagian daripada gabungan global melalui peluang pengurangan kos dan tambahan penumpang," katanya.
Sementara itu, Ahmad Jauhari berkata, anak syarikat milik penuh MAS, Firefly dan MASwings, akan mengembangkan rangkaian kapasiti sebelum pelaksanaan Dasar Langit Terbuka ASEAN pada 2015.
Pesawat model turboprop ATR72-600 bernilai RM3 bilion, yang ditempah MAS dari Avions de Transport RĂ©gional (ATR), akan turut membolehkan kedua-dua anak syarikat itu bersaing dengan baik.
Kira-kira 20 daripada 36 pesawat turboprop yang ditempah adalah bagi Firefly, manakala bakinya adalah untuk MASwings, dan tempahan itu dijadual diserahkan secara berperingkat mulai suku kedua tahun ini.


Boeing terima 1,203 tempahan pesawat



SEATTLE 4 Jan. - Pengeluar kapal terbang dari Amerika Syarikat, Boeing berjaya merekodkan 1,203 buah tempahan pesawat komersialnya pada tahun lalu, iaitu tempahan yang kedua terbesar di dalam sejarahnya.

Boeing dalam kenyataannya berkata, mereka juga telah mengagihkan 601 buah pesawat kepada pelanggannya itu, jumlah yang terbesar sejak 1999.
Bagaimanapun, masih terdapat 4,373 tempahan yang masih belum direkodkan secara rasmi oleh syarikat tersebut.

Pesawat jenis 737 mencatatkan tempahan bersih terbesar 1,124 buah, sekali gus menjadi produknya yang paling banyak ditempah dalam tempoh setahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pesawat Komersial Ray Conner berkata, mereka tetap menjangka untuk mencatatkan nilai tempahan yang lebih tinggi tahun ini dengan beberapa siri peningkatan kualiti yang sedang dijalankan.


Landasan ketiga akan dibina di klia2



LAKARAN artis reka bentuk terminal lapangan terbang baharu klia2 yang dijadualkan beroperasi Mei ini.


KOTA KINABALU 3 Jan. - Kerajaan memutuskan untuk membina satu lagi landasan, iaitu landasan ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menampung keperluan pergerakan penumpang yang sangat pesat di kedua-dua KLIA dan klia2.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, berdasarkan trend sedia ada, pergerakan penumpang di KLIA dan klia2 diunjurkan mencapai kapasiti penuh menjelang 2020, berikutan peningkatan kekerapan pergerakan syarikat penerbangan di kedua-dua lapangan terbang itu.

Katanya, KLIA dan Terminal Syarikat Penerbangan Kos Rendah (LCCT), yang dibina bagi menampung 40 juta penumpang (iaitu KLIA 25 juta dan LCCT 15 juta), dijangka berhadapan suasana 'terlebih kapasiti' dan kesesakan ekoran kepesatan perkhidmatan penerbangan tambang murah di rantau ini.

Pada tahun lepas sahaja KLIA telah mengendalikan 38 juta penumpang, katanya selepas meninjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.
"Peningkatan penggunaan pesawat jenis berbadan sempit yang digunakan oleh syarikat penerbangan tambang murah, khususnya oleh AirAsia dan Malindo Airways serta syarikat penerbangan serantau seperti Tiger Airways Singapura dam Lion Air Indonesia meningkatkan kekerapan penggunaan landasan terbang," katanya.
Oleh itu, katanya kerajaan telah melaksanakan pembinaan klia2 dengan kapasiti 45 juta penumpang bagi meningkatkan jumlah kapasiti keseluruhan kepada 60 juta penumpang.

Beliau juga memuji Malaysia Airports Holdings Bhd (MAB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kerana menguruskan lapangan terbang antarabangsa negara dengan cemerlang.
"Apabila KLIA dibina dan dibuka pada 1997 semasa kemuncak krisis kewangan Asia, ramai yang mengkritik kerajaan kononnya melakukan pembaziran wang dan tidak mengukur baju di badan sendiri.

"Mereka juga meramal infrastruktur penerbangan ini akan gagal dan tidak yakin terhadap keupayaan negara, khususnya kerana pembinaan KLIA pada ketika itu hanya diurus dan dikawal selia rakyat tempatan.
"Namun, setelah hampir satu dekad setengah, terbukti KLIA maju ke hadapan dengan pesat," katanya. - BERNAMA

AirAsia sedia ke klia2



Aireen Omar
KUALA LUMPUR 2 Jan. - AirAsia Bhd. sudah bersedia bagi perpindahannya tidak lama lagi ke lapangan terbang penerbangan tambang murah, klia2, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Aireen Omar.
Beliau berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu sudah bersedia dan sedang menunggu kelulusan daripada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk menghuni lapangan terbang baharu itu, yang dijadualkan mula beroperasi pada Mei.

Sejak bermulanya pembangunan prasarana lapangan terbang baharu itu, syarikat itu telah mula bersiap-sedia untuk berpindah semua bahagiannya termasuk operasi, logistik dan pengendalian darat.
Aireen berkata AirAsia, yang bakal menjadi penyewa terbesar di klia2, sedang memantau perkembangan di lapangan terbang itu.

"Kami ada pasukan operasi untuk memantau perkembangan. Saya juga dalam pasukan itu dan kami kerap bermesyuarat untuk membincangkan isu-isu berkaitan lapangan terbang baharu itu.
"Bagaimanapun, kami sentiasa memastikan bahawa setiap aspek di klia2 seperti landasan dan kemudahan lain sesuai bagi modul perniagaan kos rendah. Untuk itu, kami akan sentiasa berhubungan dengan pengendali lapangan terbang itu (MAHB)," kata Aireen kepada Bernama.

Beliau juga berkata, terminal penerbangan murah (LCCT) sekarang telah mencapai kapasiti maksimum 15 juta setahun.

"Malaysia AirAsia membawa 20 juta penumpang tahun ini. LCCT itu tidak akan menawarkan persekitaran yang sesuai bagi kami dan pelanggan pada masa akan datang," katanya.
Terminal klia2 berharga RM3.6 bilion dibina untuk menampung ledakan pertumbuhan perjalanan tambang murah itu terletak di kawasan seluas 257,000 meter persegi dan dijangka mengendalikan maksimum 45 juta penumpang setahun.
Lapangan terbang itu akan mempunyai 60 pintu, lapan tangga kawalan jauh, 80 aerobridge, serta sebuah ruang runcit seluas 32,000 meter persegi untuk menampung 225 cawangan perniagaan runcit.