Firefly terbang ke Sandakan dari KLIA mulai 1 Ogos

KUALA LUMPUR 30 Mac – FlyFirefly Sdn Bhd, satu anak syarikat Malaysia Airline System Bhd (MAS), akan terbang ke Sandakan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 1 Ogos, 2011.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pemasaran/Komunikasi Firefly, Angelina Fernandez berkata, laluan baharu itu mencerminkan peluasan berterusan rangkaian operasi jet Boeing 737-800 syarikat penerbangan komuniti itu.

"Dengan kemasukan perkhidmatan itu ke sektor berkenaan, Firefly menawarkan opsyen perjalanan yang lebih meluas bagi perniagaan dan liburan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain laluan baharu ke Sandakan, ia juga akan meningkatkan kekerapannya kepada tiga kali sehari pada laluan Sibu yang diumumkan baru-baru ini, yang berkuat kuasa 1 Ogos.

Kini, syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan ke Kuching dan Kota Kinabalu dari KLIA. – Bernama

Comments