Sambut 1 Syawal dalam pesawat

Adakalanya tersentuh jua hati Ernee Hasnita Malik, apabila berjauhan dari keluarga ketika hari raya.

HATI siapa tidak terusik apabila orang lain sibuk mengenakan pakaian baru atau menikmati rendang masakan emak, diri sendiri pula terpaksa menyarungkan pakaian seragam untuk ke tempat kerja ekoran tuntutan tugas.

Bukan mudah untuk menyembunyikan perasaan sayu di pagi lebaran. Lebih-lebih lagi apabila menyambut Aidilfitri di perantauan.

Walaupun berasa sayu kerana tidak dapat bersama keluarga dan sanak saudara, keutamaan terhadap tugas menyebabkan kedatangan Syawal disambut bersama rakan-rakan sekerja.

Setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam kerjaya di awan biru, Ernee Hasnita Malik, 38, sudah tegar dengan tanggungjawabnya biarpun jadual kerja kadangkala mungkin tidak dapat diterima oleh ahli keluarga yang lain.

Bertugas sebagai Penolong Kanan, Ketua Pramugari Dalam Penerbangan, Penerbangan Malaysia ( MAS ) anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila terpaksa beraya di dalam pesawat.

“Sepanjang 20 tahun berkhidmat dengan MAS, hanya empat kali tidak dapat beraya bersama keluarga.

“Sudah pasti rasa sedih itu ada tetapi apabila memikirkan ia adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul, saya reda.

“Bagaimanapun hari raya tetap meriah dan boleh diraikan dengan hidangan hari raya bersama rakan-rakan sekerja,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitupun, tahun ini, ibu kepada seorang cahaya mata itu akan menyambut hari raya di Perancis dan hanya akan pulang ke Malaysia pada hari raya kedua.

Apabila ditanya adakah keluarganya di kedua-dua belah pihak terutama anak tunggalnya yang berusia 10 tahun memahami situasi tersebut, menurut Ernee, pada permulaannya agak sukar untuk mereka memahami dan menerima tetapi kini senario tersebut sudah dapat diterima seluruh ahli keluarga.

Memandangkan suaminya juga bekerja dalam bidang yang sama, ia tidak pernah menjadi masalah kepada Ernee malah tahun ini juga suaminya tidak mendapat cuti raya.

Rakan setugas Ernee, Mohd. Sharom Hasim, 49, turut senasib dengannya kerana tahun ini Mohd. Sharom juga perlu bertugas di pagi raya.

Akan menyambut hari raya di Malaysia pada raya kedua, Mohd. Sharom dijangka terbang ke Australia pada malam raya.

Beliau yang bertugas sebagai Penyelia Penerbangan MAS bagaimanapun akan memastikan segala persiapan raya telah disediakan sebelum dia terbang ke Australia.

“Tahun ini giliran beraya di Segamat, di sebelah isteri saya dan nampaknya mereka terpaksa menunggu sehingga saya balik.

“Siapa yang tidak sedih apabila sambut hari raya tanpa keluarga tersayang di sisi. Bagaimanapun kehadiran rakan-rakan setugas yang lain sedikit sebanyak mampu mengubat rindu pada kampung halaman,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai sambutan hari raya di perantauan, menurut Mohd. Sharom, dia pernah menyambut hari raya pertama dua hari berturut-turut memandangkan ketika itu dia ditugaskan mengikut penerbangan ke Dubai.

Lazimnya, jelas Mohd. Sharom, Dubai akan menyambut hari raya satu hari awal dari Malaysia dan ketika itu sudah pasti dia turut menyambutnya walaupun di Malaysia masih lagi berpuasa.

Dan keesokan harinya, apabila penerbangannya bertolak pulang ke Malaysia, dia sekali lagi menyambut hari raya pertama sebaik sahaja tiba di Malaysia.

Malah katanya, itu merupakan pengalaman paling manis yang pastinya tidak dapat dilupakan sepanjang menyambut hari raya di perantauan.

Bagi Pegawai Utama/Juruterbang MAS, Mohamad Afiq Mohamad Azharuddin, 24, walaupun baru berkhidmat dengan MAS selama lima tahun tetapi sepanjang tempoh tersebut dia tidak dapat menyambut hari raya bersama keluarga sebanyak dua kali.

Walaupun begitu, bagi anak kelahiran Subang, Selangor itu tuntutan tugas sebagai seorang juruterbang sudah difahami seluruh ahli keluarga.

Dia yang masih belum berkahwin bagaimanapun memberitahu siapa yang tidak sedih apabila hari raya disambut di kalangan rakan-rakan setugas sahaja.

“Pernah jugalah merasa beraya di Korea dua tiga tahun lepas.

“Ada sekali tu, saya diletakkan di dalam keadaan standby, saat-saat akhir iaitu malam raya saya dipanggil untuk bertugas.

“Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya tetapi digagahkan juga memandangkan ia satu amanah yang perlu dilaksanakan,” katanya yang akan menyambut hari raya tahun ini bersama keluarga tercinta.

Ujarnya, dalam pesawat memanglah tidak rasa langsung suasana raya disebabkan bertugas apatah lagi ‘terbang’ ke negara yang tidak menyambut hari raya dengan meriah.

Menurut Mohamad Afiq, untuk menghidupkan suasana hari raya ketika bertugas, dia dan rakan-rakan krew MAS yang lain akan mengadakan sambutan secara kecil-kecilan di lokasi persinggahan.

Ada juga krew yang akan membawa kuih raya, rendang dan lemang dari kampung.

Tetapi berlainan pula dengan Kapten Pesawat Boeing 737 siri 800, Azrul Hizam Mohammadiah, 38.

Ini kerana sepanjang tempoh berkhidmat dengan MAS, lebih daripada 10 kali dia menyambut hari raya di perantuan.

Bagaimanapun untuk tahun ini, dia akan menyambut kemeriahan hari raya bersama isteri tersayang.

“Sebelum ini saya hanya menyambut hari raya bersama ahli keluarga yang lain kerana belum berkahwin.

“Dan mungkin disebabkan itu, secara jujurnya saya tidak merasa sedih apabila tiap kali tibanya hari raya.

“Tetapi suasana tersebut akan berbeza tahun ini memandangkan saya baru berkahwin dan bakal bergelar ayah tidak lama lagi,” ulasnya lanjut.

Bagaimanapun, tambah Azrul, sekiranya dia menyambut hari raya di perantauan, biasanya kedutaan akan jemput krew MAS untuk bersama-sama meraikannya.

Jika tidak pun, mereka akan menyambutnya di kalangan rakan-rakan sekerja yang lain dengan juadah yang telah dibekalkan dari rumah.

Apa yang pasti, daripada cerita keempat-empat krew MAS ini ternyata suasana untuk berhari raya langsung tiada di dalam pesawat dan sudah pasti keadaan senarionya juga turut berbeza berbanding sambutan hari raya bersama keluarga.

Comments

KESPEN said…
i wish someone can give me Ernee Hasnita Malik phone number...she was my ex classmate during primary school..