Mengharap keajaiban berlaku

MEDAN 30 Sept. - Pasukan pencari dan penyelamat berharap akan ada mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Nusantara Buana Air (NBA) yang terhempas semalam di belantara Sumatera, setelah mengesan satu daripada pintu pesawat terbuka.

Bagaimanapun, sehingga kini pasukan penyelamat masih belum dapat menghampiri lokasi kejadian ekoran kabus tebal dan hujan lebat.

Pengurus Keselamatan syarikat NBA, Robur Rizallianto berkata, pesawat itu berjaya dikesan menerusi tinjauan udara yang dijalankan semalam dan hari ini.

''Pesawat itu berada dalam keadaan baik. Satu daripada pintu pesawat tersebut telah terbuka,'' katanya.

Dalam kejadian semalam, pesawat CASA C-212 buatan Sepanyol itu sudah separuh perjalanan menuju ke Aceh dari Medan, Sumatera apabila hubungan terputus dengan pusat kawalan lalu lintas udara.

Beberapa minit kemudian, pesawat berkuasa turboprop itu menghantar isyarat kecemasan sebelum hilang daripada radar tentera udara.

Robur berkata, kali terakhir pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap pesawat itu adalah pada 22 September lalu.

''Ketika pemeriksaan dijalankan dan sewaktu berlepas dari Medan, ia berada dalam keadaan baik,'' tegasnya.

Sementara itu, Ketua Misi Penyelamat, Sunarbowo Sandi berkata, pihak berkuasa merancang untuk menghantar tentera udara ke lokasi kejadian menggunakan payung terjun.

Dalam pada itu, ibu kepada seorang penumpang pesawat berkenaan, Rosmawati memberitahu anaknya, Samsidar Yusni, 27, ada menghubunginya pada pukul 10 malam tadi.

''Dia menghubungi saya dan tak henti menangis. Tapi suaranya tidak jelas. Selepas itu, talian terputus dan terus tidak dapat dihubungi,'' katanya

Comments