Wajarkah MAS tidak guna jambatan aero?

MERUJUK berita MAS kaji tidak guna jambatan aero dalam Utusan Malaysia bertarikh 27 Februari lalu amat menarik sekali. Jika benar, ia jelas menunjukkan MAS sudah hilang panduan.

Apa tidaknya. Sebagai sebuah entiti kerajaan bertaraf kebangsaan, MAS tidak sepatutnya memikir melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ketetapan dan peraturan kerajaan.

Apakah penggunaan jambatan aero itu hanya diperlukan di lapangan terbang di Malaysia dan tidak di lain-lain lapangan terbang antarabangsa? Sanggupkah MAS tolak menggunakan jambatan aero di lapangan terbang di lain-lain negara?

Apakah 'kajian terperinci yang sedang dilakukan oleh MAS untuk tidak menggunakan jambatan aero' ini semata-mata menurut AirAsia? Saya sebagai seorang warga negara Malaysia daripada golongan warga emas amat kecewa.

Tidakkah MAS turut sedar bahawa Malaysian Airport Bhd. adalah juga hak milik kerajaan dan MAS pula adalah pelanggannya yang terbesar. Justeru, jika MAS memutuskan untuk tidak mahu mengguna jambatan aero ini, maka sudah tentu pendapatannya terjejas teruk.

Kembalikanlah kewibawaan dan martabat MAS sebagai syarikat penerbangan kebangsaan yang boleh dibanggakan. Saya harap Ahli Lembaga MAS mempunyai harga diri dan berkebolehan membuat keputusan sendiri.

Comments