Kementerian Pengangkutan tidak terlibat perjanjian pertukaran saham MAS, AirAsia

KOTA KINABALU 17 Mac - Kementerian Pengangkutan tidak terlibat dengan isu perjanjian pertukaran saham antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia), kata Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut beliau, kuasa kementerian itu terhadap syarikat penerbangan di negara ini adalah hanya sebagai pengatur atau pengawal selia.

Katanya, segala urusan yang melibatkan urusan perniagaan adalah antara pihak pengurusan syarikat penerbangan masing-masing.

"Tugas kementerian adalah melibatkan kelulusan atau pembatalan laluan penerbangan dan berapa banyak penerbangan, tetapi jika melibatkan urusan perniagaan ia sepenuhnya keputusan daripada pemilik syarikat penerbangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan kerja meninjau kerja pemanjangan landasan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar (Operasi) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Azmi Murad.

Mengulas lanjut, Cho Ha berkata, biarpun kerajaan mempunyai kuasa kerana Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) memiliki saham dalam MAS di bawah Kementerian Kewangan, namun ia hanya diputuskan oleh pihak pengurusan masing-masing.

Jelas beliau, sama ada perjanjian pertukaran saham itu sebagai satu mekanisme baik atau sebaliknya, ia terpulang kepada pihak pengurusan dua buah syarikat penerbangan utama negara itu menentukannya.


Comments