MAS sumbang RM40,000 kepada Mercy Malaysia



KUALA LUMPUR 14 Mei - Bagi menyokong pelaksanaan pelbagai projek kemanusiaan, Malaysia Airlines (MAS) menyumbang RM40,000 kepada Mercy Malaysia hasil sumbangan yang dikumpul melalui acara "MH Walk-A-Fund" sempena kempen pungutan derma dikenali sebagai "Change for Charity", yang diadakan di akademinya pada Ahad.

Dalam kenyataan hari ini, MAS berkata sumbangan itu dikumpul daripada tetamunya yang menaiki pesawat dan yang mengunjungi kaunter tiketnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus turut hadir untuk memeriahkan acara itu.

Peserta acara jalan kaki sejauh enam kilometer itu berjalan di sekeliling Taman Kelana Jaya serta kawasan sekitarnya dan berakhir di akademi MAS pada lebih kurang pukul 9.30 pagi.

MAS dan Mercy Malaysia berganding bahu sejak 2004 untuk memberi sokongan dan bantuan kepada mangsa bencana alam.

Projek "Change for Charity" menampilkan nasib golongan yang kurang bernasib baik dan memberi peluang kepada tetamu MAS menghulurkan sumbangan untuk membantu mereka.
Semua sumbangan yang dikumpul disalurkan secara terus kepada Tabung Kemanusiaan MERCY Malaysia untuk menjayakan projeknya di seluruh dunia.


Comments