Landasan ketiga tiada masalah




Hishammuddin Tun Hussein, Abdul Aziz Kaprawi bersama dif-dif kenamaan bergambar kenangan dalam majlis percubaan pendaratan pesawat Malindo Air di landasan ketiga KLIA2, Sepang, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID


SEPANG 7 Okt. - Kejayaan pendaratan pesawat Boeing 737-900ER milik Malindo Air di landasan ketiga, KLIA2 membuktikan dakwaan pihak tertentu bahawa landasan tersebut mengalami masalah ekoran tanah mendap sebagai tidak benar.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia juga tidak mungkin memenangi kerusi ahli majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sekiranya berlaku mendapan di landasan itu.

Beliau berkata, tindakan sesetengah pihak yang memandang sinis terhadap setiap usaha kerajaan adalah tidak adil kepada mereka yang bertungkus-lumus menyiapkan sesuatu projek termasuk terminal KLIA2.

"Dakwaan ini terutamanya dilaporkan oleh media alternatif yang kadang-kala juga diikuti media arus perdana adalah tidak adil kepada mereka yang bekerja keras untuk siapkan KLIA2.

"Kita tidak sempurna, tetapi telah berjaya kembali ke landasan yang betul. Kejayaan pendaratan di landasan ketiga hari ini harus meletakkan tanda noktah ke atas segala dakwaan bahawa KLIA2 tidak memenuhi piawaian antarabangsa.

"Kadang-kala orang ramai harus memberi kredit seperti juga badan antarabangsa memberi pengiktirafan terhadap kejayaan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis percubaan pendaratan pesawat Malindo Air yang menjadi pesawat komersial pertama mendarat di landasan ketiga KLIA2 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Pengerusi KUB Malaysia Berhad (KUB), Datuk Seri Abd. Halim Abd. Samad dan Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Pendaratan itu dilakukan untuk menguji kelancaran landasan tersebut selain melambangkan kejayaan KUB menyiapkan landasan tersebut.
Pendaratan itu turut dilakukan untuk menguji ketepatan sistem penunjuk lintasan tuju jitu (PAPI) yang ditentu dan disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan terminal KLIA2 yang bakal menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) akan mula beroperasi Mei tahun depan.
Dalam pada itu, Abd. Halim berkata, landasan ketiga sepanjang 3,960 meter dan seluas 60 meter itu mampu menampung pendaratan semua jenis pesawat berkapasiti penuh.

"Keutamaan kita ialah memastikan landasan ini selamat untuk menampung semua jenis pesawat termasuk yang bersaiz besar seperti Airbus A380 dan Antonov AN-225
"Lebih bermakna, landasan ini disiapkan mengikut jadual untuk pembukaan KLIA2 pada Mei tahun depan," katanya.

Comments