AirAsia terbang dari Cebu ke KK


Teo Chee Kang (tiga dari kanan) ditemani Aireen Omar (dua dari kanan) memakaikan kalungan manik kepada penumpang pada Majlis Penerbangan Sulung Sektor Cebu-Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 19 Dis. - AirAsia Berhad (AirAsia), menambah laluannya ke Cebu, Filipina dari Kota Kinabalu, Sabah menerusi penerbangan sulung sektor Cebu-Kota Kinabalu hari ini.

Laluan baharu yang beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu melalui AirAsia Zest merupakan destinasi kesepuluh Kumpulan AirAsia secara terus ke Sabah dari beberapa negara lain seperti China, Taiwan dan Indonesia.

Pesawat Z2 191 tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Cebu, Filipina kira-kira pukul 11.50 pagi bersama 120 penumpang termasuk rakan media dan blogger dari Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, pembukaan laluan baharu itu merupakan satu lagi kejayaan kepada pihaknya, sekali gus menjadi perkembangan baik kepada pembangunan pesat bagi Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia jelas terbukti melalui sambutan dan kesinambungan penerbangan sulung dari Manila, Filipina ke Miri, Sarawak pada 7 Disember lalu yang merupakan satu-satunya laluan yang dibuat oleh syarikat penerbangan di rantau ini.

''Kami berbangga dengan syarikat penerbangan gabungan kami AirAsia Zest kerana merapatkan jurang antara Malaysia dan Filipina yang dilihat dapat membantu meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara selain merapatkan hubungan antara masyarakat.
"Dengan laluan Cebu-Kota Kinabalu, kami berharap dapat meningkatkan ketibaan lebih ramai pelancong ke Sabah dengan Kota Kinabalu sebagai pintu masuk dan sudah tentu meningkatkan penyambungan (hub) laluan ke destinasi pilihan lain," katanya dalam ucapan pada Majlis Penerbangan Sulung Sektor Cebu-Kota Kinabalu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Teo Chee Kang; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Philippines, Maan Hontiveros dan Pengerusi Sabah Tourism, Datuk Joniston Bangkuai.
Tambah Aireen, AirAsia komited menjadi jambatan ke arah pembangunan sosio-ekonomi dengan membuka pintu perniagaan atau membawa pelabur berpotensi dari seluruh rantau untuk meneroka peluang di Sabah dan Sarawak.

Beliau memberitahu, setakat ini, AirAsia menyediakan 330 penerbangan pergi-balik seminggu untuk Semenanjung Malaysia dan 412 penerbangan seminggu ke Sarawak.

''Kota Kinabalu merupakan hub laluan, di mana tetamu boleh terbang bersama AirAsia dari Kuala Lumpur sebelum transit di sini dan meneruskan perjalanan ke 14 destinasi antarabangsa seperti Australia, China, Jepun, Korea dan Nepal pada kos rendah jarak jauh," katanya.
Sempena kejayaan penerbangan sulung itu, bermula hari ini AirAsia menawarkan promosi tambang sektor berkenaan serendah RM90 sehala sehingga 29 Disember ini bagi tempoh perjalanan 20 Disember hingga 28 Februari tahun hadapan.

Dalam pada itu, Aireen memberitahu, pihaknya dalam perbincangan untuk menempatkan dua buah kapal terbang lagi di terminal 2 lapangan terbang itu bagi memudahkan lebih banyak laluan boleh dibuka di kemudian hari.

Comments