Pesawat Vietnam Airlines alami kerosakan enjin


Pesawat Vietnam Airlines kembali semula ke terminal Lapangan Terbang Melbourne selepas mengalami kerosakan enjin sebelum berlepas, semalam. - AGENSI


MELBOURNE 6 Mei - Pesawat komersial, Vietnam Airlines VN780, hari ini mengalami kerosakan enjin yang menyebabkan percikan api serta serpihan enjin pesawat bertaburan di landasan Lapangan Terbang Melbourne ketika bersiap sedia untuk berlepas, di sini.

Masalah tersebut menyebabkan jadual penerbangan terganggu di lapangan terbang itu, menurut kenyataan pegawai.

Percikan api dilihat keluar daripada sebuah enjin pesawat itu yang bersiap sedia untuk berlepas ke Ho Chi Minh City, Vietnam, namun pesawat berkenaan berjaya berhenti dalam keadaan selamat.

“Serpihan enjin turut dilihat keluar daripada bahagiannya, namun tidak ada kemalangan besar berlaku.
“Penumpang juga selamat dan tidak ada kecederaan dilaporkan," kata seorang jurucakap lapangan terbang itu.

Pesawat itu kemudiannya dibawa dari landasan lapangan terbang dan serpihan enjin dibersihkan serta-merta bagi membolehkan penerbangan lain berlepas dan mendarat.

Seorang penumpang berkata, pesawat itu berada di landasan selama 30 minit selepas kejadian.
Tambahnya, bahagian depan pesawat mula terangkat untuk berlepas selepas enjin keduanya rosak, sehingga memaksa juruterbang membatalkan penerbangan.

Jumlah penumpang yang berada dalam pesawat ketika kejadian masih belum diketahui. - AFP

Comments