AirAsia pertama guna Airbus A320 'Sharklets'
KUALA LUMPUR 12 Sept. - AirAsia menjadi pengguna pertama Airbus A320 'Sharklets', hujung tahun ini dengan pengiriman pertama A320 yang dilengkapi dengan peralatan hujung-sayap yang menjimatkan bahan api.
AirAsia dalam kenyataannya berkata, pesawat A320 dengan Sharklets yang kini dipamerkan di Pameran Udara Berlin ILA merupakan pesawat ujian penerbangan bagi enjin CFM akan diserahkan kepada AirAsia pada 2013.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan AirAsia, Tan Sri Dr. Tony Fernandes berkata, pesawat A320 mampu memainkan peranan utama dalam kejayaan syarikat itu.
"Ia membolehkan kami menawarkan para pelanggan dengan tambang terendah yang mungkin dan mengubah definisi keseluruhan perjalanan jarak dekat di Asia.
"Kini kami nantikan saat menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia yang mengendalikan pesawat paling efisien," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Pelanggan Airbus, John Leahy berkata, keputusan AiraSIA memilih pesawat terbaru yang menjimatkan bahan api itu adalah pengesahan kepada kejayaan siri pesawat A320.
Peralatan Sharklets juga akan dipasang pada pesawat-pesawat baru A320 yang ditempah oleh AirAsia terdahulu.
Comments