Pesawat MAS dari Chennai buat pendaratan cemas di Pulau Pinang

GEORGE TOWN 15 Sept. - Sebuah pesawat Malaysia Airlines System (MAS) yang berlepas dari Chennai, India terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ekoran masalah teknikal yang dihadapinya pagi ini.

Pengurus Kanan LTAPP, Mohd. Arif Jaafar berkata, pesawat berkenaan mendarat pada pukul 8.04 pagi di LTAPP selepas juruterbangnya mengesan berlaku masalah teknikal pada pesawat itu.

Katanya, pesawat itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

LTAPP membenarkan pendaratan itu kerana memberi keutamaan keselamatan kepada penumpang dan anak kapal.

"Berikutan itu, berlaku sedikit kelewatan mendarat kepada penerbangan lain di sini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut sedang dijalankan terhadap pesawat itu dan dijangka meneruskan penerbangan dalam tempoh terdekat.

Comments