MASkargo sasar RM2.4 bilion



DUA pegawai pengurusan MASkargo bergambar bersama kargo yang dibawa oleh pesawat baharu syarikat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, baru-baru ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 22 Nov. - MASkargo Sdn. Bhd., unit kargo udara Malaysia Airline System Bhd. (MAS), menyasarkan untuk mencatatkan perolehan RM2.4 bilion pada tahun depan, sejajar dengan pelan pemulihan yang dikemukakan oleh syarikat penerbangan negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Mohd. Yunus Idris berkata, sasaran pendapatan, yang dikekalkan daripada matlamat tahun ini, boleh dicapai walaupun pertumbuhan industri fret udara dijangka mengalami kelembapan berikutan krisis hutang Eropah, peningkatan kos minyak dan ketegangan antara China dan Jepun.

Walaupun begitu, Mohd. Yunos berkata, beliau tidak pasti sama ada MASkargo akan mampu mencatatkan keuntungan tahun depan berbanding kerugian bersih semasa yang didapati lebih buruk berbanding tahun lepas.
MASkargo mencatatkan kerugian sebelum cukai RM19 juta pada 2011 daripada perolehan lebih RM2 bilion, berbanding dengan keuntungan RM141 juta pada tahun sebelumnya berikutan kos minyak yang lebih tinggi dan susut nilai kumpulan pesawat fret A330nya.

"Tahun ini, kami menetapkan sasaran perolehan RM2.4 bilion dan sehingga ini kami berada pada landasan yang betul untuk mencapainya.
"Suku keempat kebiasaannya merupakan sukuan yang menerujakan bagi perniagaan kargo tetapi saya tidak boleh memberi jaminan sekarang ini kerana industri kargo telah kehilangan trend pertumbuhannya," katanya kepada Bernama.

Mohd. Yunus berkata, bagi mengurangkan kesan negatif kepada pendapatan syarikat, MASkargo akan bergerak ke hadapan dengan dua prinsip utama iaitu mengawal perbelanjaan kos dan memupuk hubungan pelanggan yang lebih baik.
"Isu yang dihadapi di dalam industri kargo udara tempatan ialah kapasiti yang besar berbanding permintaan mendapatkan fret udara.

"Sehubungan itu, kami mahu menemui pelanggan sedia ada dan yang meninggalkan kami bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi antara kami dan mereka," katanya.
MAS mencatatkan kerugian bersih RM2.52 bilion daripada perolehan RM13.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2011.
MASkargo kini menyumbang kira-kira 15-16 peratus kepada perolehan kumpulan itu. - BERNAMA

Comments