Prestasi kewangan AirAsia meningkat



KUALA LUMPUR 21 Nov. - Syarikat tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia Malaysia) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM157.81 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2012, iaitu peningkatan empat peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, perolehan syarikat itu dalam suku tersebut juga meningkat 14 peratus kepada RM1.24 bilion berbanding tahun lalu.
Ia disumbangkan oleh peningkatan bilangan penumpang sebanyak sembilan peratus kepada 4.75 juta, selain dibantu penambahan bilangan pesawat kepada 59 buah.
Tambah syarikat itu, meskipun kapasitinya meningkat 10 peratus, kadar muatan masih kekal kukuh sebanyak 77 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Aireen Omar (gambar) berkata, syarikatnya masih berupaya mencatatkan pertumbuhan yang baik meskipun berhadapan kenaikan harga purata bahan api satu peratus dalam suku ketiga tersebut.
Sementara itu dalam suku yang sama, Thai AirAsia mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak 199.05 juta Bath (RM19.9 juta) iaitu kenaikan tiga peratus berbanding tahun lalu.

Bilangan penumpang Thai AirAsia naik 22 peratus kepada 1.96 juta penumpang.
Indonesia AirAsia pula mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak 74.48 bilion Rupiah (RM23 juta) iaitu kenaikan 390 peratus berbanding tahun sebelumnya. Manakala penumpang yang diangkut meningkat lapan peratus sebanyak 1.51 juta penumpang.



Comments