82 cedera pesawat Merpati Nusantara Airlines terbabas

AKARTA 13 April – Sebanyak 82 daripada 103 penumpang dan anak kapal pesawat B737 Merpati Nusantara Airlines cedera apabila ia terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Manokwari, Papua Barat pagi ini.

Penumpang lain cuma mengalami cedera ringan dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Setakat ini, Kedutaan Besar Malaysia di sini belum menerima maklumat sama ada rakyat Malaysia adalah antara penumpang yang menaiki pesawat malang itu.

Pihak polis juga belum dapat memastikan sama ada rakyat asing turut menjadi mangsa dalam kejadian itu.

“Seorang penumpang cedera parah apabila cedera di bahagian muka dan mengalami sesak nafas,” kata Ketua Polis Manokwari Bambang Ricky ketika dihubungi Bernama hari ini.

Empat penumpang mengalami patah tulang teruk namun keadaan mereka tidak membimbangkan.

Kemalangan pada pukul 10.50 pagi itu telah mengakibatkan badan pesawat itu patah dua dan terhenti di sebatang sungai, kira-kira 700 meter dari hujung landasan.

Landasan basah dan licin akibat hujan dipercayai menyebabkan pesawat malang itu sukar dikawal ketika mendarat.

“Awalnya pendaratan berjalan baik tapi kemudian pesawat tak mampu dihentikan, kemungkinan kerana landasan yang licin,” katanya.

Pesawat itu yang dalam perjalanan dari Makassar, Sulawesi Selatan ke Manokwari.

Manokwari ialah ibu kota wilayah Papua Barat dan terletak di pantai utara Lautan Pasifik. – BERNAMA

Comments