Fernandes dakwa banyak janji kosong
KUALA LUMPUR 15 Nov. – Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes telah membatalkan satu sidang media mengenai cukai lapangan terbang yang dijadualkan lewat hari ini.
Bagaimanapun, beliau menggunakan media sosial, Facebook, untuk melahirkan kekecewaannya mengenai isu itu, sambil menyatakan cukai lapangan terbang perlu ditetapkan agar ia termampu kepada rakyat biasa.
“AirAsia telah memperjuangkan untuk menjadikannya lebih murah kepada orang kebiasaan. Cukai lapangan terbang dibayar oleh rakyat Malaysia dan para penumpang.
“Wang itu tidak diterima oleh AirAsia tetapi diterima oleh Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB),” katanya di dalam Facebooknya hari ini.
Katanya, Malaysia Airlines dan AirAsia telah menyumbang idea kepada MAHB bagi menaikkan pendapatan mereka dengan menarik kedatangan lebih banyak syarikat penerbangan.
“Kemudiannya, kurangkanlah bayaran itu,” katanya.
Fernandes mendakwa, MAHB telah membuat terlalu banyak janji kosong dan syarikat penerbangan itu dipersalahkan terhadap prestasi buruk mereka.
“AirAsia mahukan MAHB bersikap bersih. Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (KLIA2) yang baharu sepatutnya beroperasi pada Jun 2012 pada kos RM2 bilion,” katanya.
Adalah dilaporkan bahawa kos KLIA2, yang berkeupayaan mengendalikan 30 juta penumpang akan berharga lebih daripada kos awal RM2 bilion.
Fernandes turut mempersoalkan keperluan membina landasan ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kenapa KLIA membina landasan ketiga apabila mereka tidak menggunakan mod dua landasan? Heathrow mempunyai 60 juta penumpang dengan menggunakan dua landasan.
“Membetulkan sistem trafik udara adalah lebih murah daripada membina satu lagi sistem landasan,” katanya.
Mengenai kritikan dari empat orang anggota Parlimen, Fernandes berkata, mereka telah bersikap peribadi.
“Orang kampung tidak pernah menggunakan pengangkutan udara sebelum ini. Kami telah bekerja keras untuk menjadikan penerbangan termampu digunakan dan 130 juta orang telah terbang kerana kami,” katanya. — Bernama
Comments