Indonesia meterai pembelian 230 pesawat Boeing
NUSA DUA 18 Nov. - Perjanjian Amerika Syarikat (AS) berhubung tempahan besar-besaran pesawat Boeing oleh syarikat penerbangan komersial Indonesia, Lion Air dimeterai ketika Presiden Barack Obama mengadakan lawatan ke Indonesia hari ini.
Pembelian bernilai AS$21.7 bilion (RM68.75 bilion) itu melibatkan 230 buah pesawat jarak dekat, dan ia merupakan jualan terbesar dalam sejarah Boeing, serta memadamkan rekod sebelumnya.
Tempahan itu turut merangsang usaha Boeing dalam memajukan pengubahsuaian pesawat terbaiknya, Boeing 737 untuk bersaing dengan pesaingnya dari Eropah, pesawat Airbus.
Perjanjian tersebut melibatkan tempahan 29 buah pesawat jarak jauh, Next-Generation 737-900 dan 201 buah pesawat baru 737 MAX, iaitu versi pesawat Boeing 737 yang diubah suai.
Penghantaran pesawat tersebut akan bermula pada 2017 sehingga 2025.
Syarikat itu berkata, tempahan 201 pesawat MAX 737 turut dimasukkan ke dalam perjanjian yang diumumkan sebelum ini melibatkan 700 buah kapal terbang, yang bakal dilengkapi dengan enjin jimat bahan bakar pada 2017.
Obama menghadiri majlis menandatangani perjanjian tersebut hari ini dan ia bakal membuka 110,000 peluang pekerjaan di syarikat Boeing dan syarikat pembekal.
Obama mencari peluang untuk meningkatkan eksport AS ke Asia Pasifik bagi mengimbangi kemerosotan di Eropah, sekali gus cuba meyakinkan pengundi dengan kemampuan pentadbirannya memulihkan ekonomi sebelum pilihan raya Presiden pada November 2012.
Perjanjian dengan Lion Air itu turut melibatkan pembelian 150 pesawat lain yang berjumlah AS$14 billion (RM44.35 bilion).
Pembelian tambahan itu sekali gus berpotensi menjadikan jualan keseluruhan bernilai AS$35 bilion (RM110.8 bilion), walaupun tempahan pesawat dalam kuantiti yang banyak akan diberikan harga diskaun. - REUTERS
Comments