MAS catat kerugian RM478 juta suku ketiga

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Penerbangan Malaysia (MAS) merekodkan kerugian bersih sebanyak RM478 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2011.

Bagaimanapun, MAS telah mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak lima peratus kepada RM3.56 bilion untuk tempoh yang sama.

Menurut kenyataan MAS, kerugian tersebut disebabkan peningkatan kos bahan api dan kerugian tukaran asing dari pinjaman dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

''Secara terkumpul kerugian bersih MAS pada masa ini berada pada RM1.2 bilion.

''Bagi suku semasa kerugian operasi adalah pada RM156 juta lebih baik dari dua suku sebelum ini iaitu sebanyak RM412 juta dan RM312 juta,'' katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, walaupun berhadapan dengan suku yang mencabar pihak pengurusan telah bertindak pantas untuk menghadapi situasi itu bagi mengurangkan kerugian.

''Inisiatif proaktif tersebut telah membantu mengurangkan kerugian operasi kami,'' jelasnya.

Bergerak ke hadapan, MAS mengunjurkan operasi syarikat penerbangan secara amnya pada suku terakhir pada tahun ini kekal mencabar.

MAS akan mengumumkan inisiatif strategik yang merupakan Pelan Perniagaan MAS dan ia dijangka diumumkan pada Disember ini.

Sementara itu, beberapa inisiatif Rangka kerja Kerjasama Komprehensif (CCF) antara MAS, AirAsia Bhd. dan AirAsia X, juga akan direalisasikan.

Comments