mangga add

Tuesday, September 9, 2014

Rusia ancam tutup ruang udara


MOSCOW 8 Sept. - Rusia, hari ini mengancam mengehadkan hak memasuki ruang udaranya ke atas pesawat dari negara-negara Barat ketika Kesatuan Eropah (EU) menimbang untuk mengenakan sekatan terbaharu ke atas Moscow ekoran kon­flik di Ukraine.

Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev berkata. Rusia akan mengambil tindakan balas ke atas sekatan baharu terhadap sektor tenaga dan perbankan negara ini.

"Jika pesawat Ba­rat perlu mengelak memasuki ruang udara Rusia, ia akan menyebabkan banyak syarikat penerbangan muflis,'' katanya dalam temu bual yang disiarkan dalam akhbar Vedomosti, hari ini.
Beliau berkata, sekatan EU itu merupakan pendekatan salah untuk mencapai keamanan di Ukraine.
Dalam pada itu, gencatan senjata antara kerajaan Ukraine dan pemberontak pro-Rusia masih kekal, walaupun Kiev menuduh kumpulan pemberontak pro-Rusia melancarkan serangan berdekatan pelabuhan Mariupol.

Namun, Duta Switzerland ke Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE), Thomas Greminger berkata, gencatan senjata tersebut ketika ini masih goyah. - DPA/REUTERS

Penumpang bukan cari arak, wanita seksi


Datuk Mohamad Shukri Mohamad



KOTA BHARU 8 Sept.- Hidangan arak dan imej pramugari yang tidak menutup aurat ketika bertugas bukan faktor utama yang mampu menarik minat penumpang menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines (MAS).

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, persepsi MAS akan lebih berdaya saing jika memiliki dua perkara itu perlu dikikis kerana penumpang lebih mementingkan aspek perkhidmatan terbaik terutama dari segi ke­selesaan dan jaminan keselamatan.

Justeru, kata beliau, dua langkah drastik iaitu tidak menghidangkan arak dan pramugari menutup aurat, seiring dengan hukum syarak tersebut bukan sahaja diyakini tidak menjejaskan MAS, malah menaikkan lagi imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dikagumi di seluruh dunia.

"Saya bagi contoh, pelancong asing datang ke Malaysia, mereka bukan hendak tengok bangunan pencakar langit, sebab itu semua sudah ada di negara masing-masing. Mereka mahu tengok kampung dan keindahan alam semula jadi negara.

"Begitu juga penumpang penerbangan antarabangsa, mereka naik pesawat bukan hendak cari arak atau lihat kakitangan yang tidak menutup aurat, sebaliknya mahu keselesaan dan supaya selamat tiba," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini me­laporkan gesaan Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhammad Baderuddin Ahmad supaya MAS membawa imej Islam dengan menghentikan hidangan arak serta membenarkan pramugari menutup aurat ketika bertugas.

Sebelum itu, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut meminta syarikat penerbangan itu menjadikan tragedi pesawat MH370 dan MH17 sebagai iktibar untuk melakukan transformasi seiring dengan ajaran Islam.

Malah, dua perkara sama pernah dibangkitkan oleh Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) sendiri.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, MAS perlu mencontohi stesen-stesen televisyen yang membuat perubahan dengan membenarkan personaliti serta pembaca beritanya menutup aurat.
"Ada beberapa syarikat penerbangan lain seperti Brunei turut membenarkan pramugarinya berpakaian sopan dan menutup aurat selain tidak menghidangkan arak, tidak ada masalah pun," katanya.

Colombia: 10 disahkan terkorban dalam nahas pesawat


BOGOTA 9 Sept - Seramai 10 penumpang dan anak kapal pesawat Colombia yang terhempas di kawasan hutan Amazon, semalam, disahkan terkorban.

Menurut pegawai pasukan penyelamat, Gustavo Ortega, lapan penumpang dan dua anak kapal terkorban akibat nahas berkenaan.

Beliau menambah, mereka yang terkorban ialah enam lelaki, tiga wanita dan seorang remaja perempuan, yang mana kesemuanya merupakan warga Colombia.

Pesawat dengan nombor pendaftaran HK-4755 PA 34 Navajo berlepas dari Lapangan Terbang Araracuara di selatan negara berkenaan pada kira-kira jam 3 petang waktu tempatan semalam

MAS terus diminta henti hidang arak, tutup aurat




SEGAMAT 6 Sept. - Nahas yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 dan MH17 bukan sahaja harus dijadikan iktibar, malah perlu menjadi titik permulaan bagi syarikat penerbangan itu melakukan transformasi ke arah yang lebih baik termasuk tidak lagi menghidangkan arak dan kakitangannya menutup aurat.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut(gambar) berkata, kelancaran operasi MAS tidak akan terjejas sekiranya kakitangan menutup aurat dan tidak menghidangkan arak, malah akan dipuji kerana mengamalkan sifat sopan.

"Berkenaan MAS menyediakan minuman beralkohol dan pramugari berpakaian tidak menutup aurat sudah lama saya bangkitkan kerana sudah banyak syarikat penerbangan yang tidak lagi menghidangkan arak dalam kapal terbang.

"Dalam setiap apa yang kita kerjakan, kita mahukan keberkatan-Nya kerana hadis ada menyebut ibu segala maksiat dan dosa adalah arak dan kita kena akur," katanya selepas melawat keluarga salah seorang mangsa nahas MH17, Allahyarham Hasni Hardi Parlan di Taman Seri Alam 2, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin; Kadi Daerah Segamat, Sulaiman Maidin dan Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Muzaldin Mohamad.

Nooh berkata, syarikat penerbangan lain yang kakitangannya menutup aurat dan tidak menghidangkan arak masih boleh meraih keuntungan dan menjadi pilihan pelanggan.
"Perkara tersebut bukan sekadar mencakupi soal hukum yang mengharamkan arak, tetapi harus juga dilihat dari sudut kesihatan yang turut diberi perhatian," kata beliau lagi.

Dalam lawatan itu, MAINJ turut menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada bapa mangsa, Parlan Masiran dan turut akan melakukan upah haji bagi arwah Hasni Hardi.