mangga add

Wednesday, May 29, 2013

MFA labur RM11 juta tambah lapan pesawat baharu


Mohd. Afham Hilman Mohd. Ariffin (dua dari kiri) menunjukkan trofi-trofi yang dimilikinya sebagai pelajar terbaik keseluruhan selepas majlis graduasi Akademi Penerbangan Malaysia di Batu Berendam, Melaka, semalam. - UTUSAN/azli ahad

MELAKA 28 Mei - Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) Batu Berendam di sini akan melabur kira-kira RM11 juta (AS$3.6 juta) bagi membeli lapan pesawat baharu bertujuan mempertingkatkan kemudahan serta kualiti latihan kepada para pelatihnya.

Pengetuanya, Stephen Michael Terry berkata, pembelian pesawat itu merupakan sebahagian daripada rancangan MFA bagi memperbaharui kemudahan penerbangan, termasuk menggantikan 25 pesawat sedia ada yang digunakan untuk latihan secara berperingkat di akademi itu.

Menurutnya, pelaburan itu meliputi pembelian empat pesawat enjin berkembar berharga kira-kira RM1.82 juta (AS$600,000) setiap satu serta empat pesawat satu enjin yang bernilai kira-kira RM912,450 (AS$300,000).

"Kita akan memperoleh tiga daripada lapan pesawat itu pada pertengahan Ogos ini, manakala selebihnya akan diperoleh awal tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis Konvokesyen MFA di Batu Berendam, di sini hari ini.
Hadir sama Komander Unit Udara Polis, Senior Asisten Komisioner Kamarulzaman Mohd. Jan yang juga bekas pelajar kumpulan pertama MFA.

Pada majlis itu, seramai 63 graduan menerima Lesen Penerbangan Komersial dengan Penarafan Instrumen atau 'Commercial Pilot Licence with Instrument Rating' (CPL/IR) selepas menamatkan pengajian di akademi tersebut.
Jelas Michael, terdapat pesawat sedia ada yang digunakan untuk latihan ketika ini yang telah berusia lebih 10 tahun dan ia perlu digantikan dengan pesawat baharu yang lebih moden sesuai dengan keperluan serta perkembangan bidang penerbangan.
Sementara itu, katanya, permintaan bagi pasaran kerja dalam bidang terbabit agak kurang ketika ini kesan krisis ekonomi 2008 dan ia dijangka akan pulih pada penghujung tahun ini.

Monday, May 27, 2013

Rakyat diminta pilih MAS, Firefly


KUALA LUMPUR 22 Mei - Rakyat digesa mempamerkan semangat nasionalis dengan menjadikan syarikat penerbangan milik kerajaan, Malaysian Airline System Berhad dan Firefly sebagai pilihan utama bagi pengangkutan udara.

Presiden Belia 4B Malaysia, Muamar Ghaddafi Jamal Jamaluddin berkata, tindakan itu dapat mengukuhkan lagi syarikat penerbangan itu selain membuka lebih banyak ruang ekonomi untuk rakyat dan negara.
Menurut beliau, MAS juga diiktiraf sebagai antara penerbangan terbaik di dunia sekali gus terbukti dari sudut kualiti dan kewibawaan perkhidmatannya.

“Dua syarikat berkenaan milik kerajaan dan keuntungan daripada operasinya akan digunakan kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat, jadi kenapa perlu memilih penerbangan lain yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman menggesa kakitangan awam seluruh negara memboikot AirAsia atau menjadikan syarikat penerbangan itu sebagai pilihan terakhir untuk ke mana-mana destinasi.

Gesaan itu ekoran pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengan kelemahan perkhidmatan AirAsia termasuk terbaharu tindakan syarikat penerbangan tambang murah tersebut menghalang seorang ibu dan anaknya menaiki pesawat dari Vietnam untuk pulang ke negara ini kerana mendakwa anak wanita berkenaan menghidap demam campak.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Anak Muda Islam (KAMI) Perak, Mohd. Jefry Amin Abd. Hamid menyokong gesaan memboikot penerbangan AirAsia kerana perkhidmatan syarikat tersebut khususnya dari sudut kebajikan pelanggan begitu mengecewakan.

Katanya, harga tambang yang murah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk AirAsia memberi perkhidmatan sambil lewa kerana pengguna merupakan nadi kepada kelangsungan operasi syarikat itu.
“Perkhidmatan mereka kelam kabut, tidak profesional, mungkin kerana kita bayar murah, kakitangan pun tidak begitu mengambil peduli tentang pelanggan.

“Kita sebagai pengguna, gunakan kuasa yang ada, boikot syarikat penerbangan ini atau jadikan sebagai pilihan terakhir sehingga mereka belajar menghormati pelanggan," katanya.



Malindo Air tawar 5 kg tambahan bagasi percuma


KUALA LUMPUR 22 Mei - Syarikat penerbangan hibrid pertama Malaysia, Malindo Air menawarkan tambahan lima kilogram bagasi percuma kepada penumpang semua penerbangan kelas ekonomi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang Skypark.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, polisi baharu bagasi itu bagi memenuhi permintaan sebahagian besar daripada 100,000 penumpang yang telah menggunakan perkhidmatan Malindo Air sejak memulakan penerbangan sulung pada 22 Mac lalu.

Menurut beliau, penambahan kuota berat daftar masuk bagasi itu turut ditawar bagi penerbangan dari Subang Skypark ke Pulau Pinang, Kota Bharu dan Johor Bahru menerusi pesawat ATR 72-600 untuk memastikan keseragaman dalam perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penerbangan tersebut.

"Kami sangat berbesar hati dengan sokongan daripada para penumpang. Sehubungan itu, kami gembira menawarkan penambahan bagasi untuk perkhidmatan penerbangan kelas ekonomi sekali gus dapat mengurangkan kos perjalanan penumpang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, syarikat penerbangan Malindo Air yang kini mempunyai dua pesawat Boeing 737-900ER yang beroperasi dari KLIA ke Kuching dan Kota Kinabalu akan meluaskan operasi penerbangan ke Sibu, Miri dan Tawau dari KLIA bermula 11 Jun ini.

"Selain itu, kami juga akan memulakan operasi pesawat ATR untuk penerbangan ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Bharu dari Subang Skypark bermula 3 Jun ini," katanya.



Wednesday, May 22, 2013

Boeing 747-8 Intercontinental selesai ujian penerbangan pertama



PESAWAT Boeing 747-8 Intercontinental menyelesaikan penerbangan ujian pertamanya minggu ini dengan pakej peningkatan perstasi minyak enjin GE. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 22 Mei - Boeing 747-8 Intercontinental berjaya menyelesaikan penerbangan ujian pertamanya minggu ini dengan pakej peningkatan prestasi termasuk enjin GE yang dipertingkat.

Pakej peningkatan prestasi pesawat itu termasuk penambahbaikan enjin GEnx-2B dan perisian Komputer Pengurusan Penerbangan direka bentuk untuk meningkatkan kecekapan bahan api.

Naib Presiden dan Pengurus Besar, Eric Lindblad berkata, penambahbaikan berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk terus menambah baik pesawat syarikat untuk pelanggan.

"Meningkatkan kecekapan bahan api sebanyak 1.8 peratus menjimatkan kira-kira sejuta dolar setahun dalam bahan api setiap pesawat dan mengurangkan pelepasan karbon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pesawat berkenaan berlepas dari Paine Field di Everett, Washington, pada pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan dan mendarat di Boeing Field di Seattle kira-kira empat jam kemudian


Tuesday, May 21, 2013

MAS, Tourism Malaysia selamatkan ibu dan bayi di Ho Chi Minh



Izan Suhaila Mohd. Ali mendukung anaknya Maryam Sofea Mohd. Reza berusia 14 bulan ketika berada di lapangan terbang Ho Chi Minh, Vietnam.


KUALA LUMPUR 19 Mei - Seorang ibu, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, bernasib baik selepas kesukaran yang dihadapinya di lapangan terbang Ho Chi Minh, Vietnam mendapat pembelaan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan Tourism Malaysia.

Segala-galanya bermula selepas ibu malang itu tidak dibenarkan menaiki pesawat tambang murah AirAsia, AK 1455 untuk pulang ke negara ini pukul 9 malam semalam dengan alasan anaknya, Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan, menghidap demam campak.

Paling memilukan, kakitangan syarikat penerbangan itu tidak menghiraukan penjelasan Izan Suhaila anaknya sudah pulih daripada demam campak dan kesan tompokan hitam yang kelihatan merupakan parut akibat penyakit tersebut.

Mengulas kejadian itu, kakak Izan Suhaila, Norhamiza berkata, walaupun sudah dirujuk kepada jururawat warga tempatan dan disahkan seorang penumpang Malaysia yang merupakan doktor, namun kakitangan AirAsia tetap bertegas penyakit Maryam Sofea yang merupakan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) membahayakan penumpang lain.

Sambil meluahkan rasa kecewanya, Norhamiza mempersoal kewajaran AirAsia memaksa adiknya tinggal selama lima hari di negara itu sedangkan mereka langsung tidak memantau tahap kesihatan Maryam Sofea apatah lagi membawa anak saudaranya ke hospital tempatan untuk rawatan lanjut.

"Kami membayar tiket menaiki pesawat AirAsia. Apalah salahnya kakitangan mereka di Vietnam menghantar adik saya dan anaknya ke hospital malam itu. Sekurang-kurangnya kami tahu keadaan Izan Suhaila selamat.
"Bayangkan bagaimana perasaan 10 ahli keluarga kami termasuk ibu selepas terpaksa pulang ke Malaysia tanpa Izan Suhaila? Paling menyedihkan, kakitangan AirAsia langsung tidak membantu Izan Suhaila dan hanya menghantar adik saya ke terminal teksi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kisah malang kedua-dua beranak itu menjadi tumpuan ramai sejurus selepas artikel berkenaannya disiarkan wartawan TV3, Mazidul Akmal Sidek di blognya http://www.mazidulakmal.com hari ini.
Mazidul Akmal yang kebetulan berada di tempat kejadian serta menyaksikan insiden itu berkongsi secara terperinci apa yang berlaku dan dengan sinis mempertikai sikap lepas tangan syarikat penerbangan tersebut.
Menerusi blognya, Mazidul Akmal menulis: "Adakah kejadian berlaku, bukti nyata nasib penumpang sah pesawat AirAsia boleh diperkotak-katikkan sesuka hati? Jika wanita di dalam gambar di atas tidak terbabit dengan syarikat penerbangan tambang murah itu, mengapakah mereka bertugas di pintu 18 terpampang logo AirAsia? Maaf, kerana saya amat jarang menaiki pesawat AirAsia, justeru memerlukan sedikit pencerahan."
Dalam pada itu, Norhamiza meluahkan rasa syukurnya kerana kepayahan Izan Suhaila mendapat pembelaan MAS dan Tourism Malaysia yang menghulurkan bantuan walaupun pada hakikatnya inisiatif tersebut patut diambil AirAsia.

"Periksa secara teliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Jika Maryam Sofea membawa penyakit sudah pasti kami antara individu paling awal dijangkiti kerana kami bersama-samanya. Saya sendiri tidur sebilik dengan Maryam Sofea.

"Saya kesal dengan sikap AirAsia atas apa yang terjadi terhadap ahli keluarga saya. Tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku kepada orang lain pula," katanya.

MAS sahkan Maryam Sofea sihat



KUALA LUMPUR 20 Mei - Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan, yang dilarang menaiki pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Ho Chi Minh, Vietnam untuk pulang ke Malaysia bersama ibunya, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, kerana didakwa menghidap demam campak disahkan sihat oleh seorang doktor tempatan di sana.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, sejurus mendapat maklumat 
mengenai mereka daripada Tourism Malaysia, kakitangan MAS di sana terus membawa kedua-dua beranak itu dari hotel tempat mereka menginap ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu tidak lagi menghidap demam campak seperti didakwa kakitangan AirAsia dan tompokan hitam di kulitnya hanya parut yang sudah kering.
"Sejurus selepas itu, kakitangan MAS menyediakan dokumen perjalanan untuk Maryam Sofea, ibunya dan dua lagi saudara mereka.

"Mereka terus dihantar pulang ke Malaysia dengan penerbangan MH759 dari Ho Chi Minh bagi mengelak menanggung lebih banyak kos di sana," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penjelasan itu sekali gus menyangkal kenyataan AirAsia yang dimuat naik di laman Facebook semalam bahawa doktor yang bertugas di lapangan terbang tersebut mengisytiharkan Maryam Sofea tidak sihat.
Insiden malang yang menimpa kedua-dua beranak itu yang dilarang kakitangan AirAsia menaiki pesawat AK 1455 di lapangan terbang Ho Chi Minh, Vietnam, Sabtu lalu didedahkan wartawan TV3, Mazidul Akmal Sidek di blognya http://www.mazidulakmal.com.

Menerusi blognya, Mazidul Akmal menulis: "Melalui pengamatan saya dan keluarga Izan, tiada doktor Vietnam membuat pemeriksaan terhadap Maryam Sofea di sekitar pintu 18 lapangan terbang. Hanya jururawat ditugaskan mengambil bacaan suhu badan bayi itu. Ditanya oleh ahli keluarga mengenai bacaan suhu badan bayi berusia 14 bulan terbabit, jururawat warga asing itu hanya membisu."

Menurut Ahmad Jauhari, keupayaan pasukannya bertindak walaupun di luar waktu bertugas menunjukkan keprihatinan dan keutamaan mereka terhadap keselamatan penumpang.
"Mereka telah mempamerkan semangat sebenar kasih sayang dan empati tanpa melanggar mana-mana peraturan atau prosedur.

"Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan MAS dan Tourism Malaysia yang terlibat secara langsung dalam kes ini," katanya.

Wartawan TV3 pertikai penjelasan Tony Fernandes



Mazidul Akmal

KUALA LUMPUR 20 Mei - Tragedi malang yang menimpa seorang ibu, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, dan anaknya, Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan, menunjukkan AirAsia hanya mementingkan keuntungan berbanding melaksana tanggungjawab sosial.

Wartawan TV3, Mazidul Akmal Sidek berkata, AirAsia juga dilihat lepas tangan dalam kejadian itu kerana bergantung sepenuhnya kepada prosedur syarikat tanpa menggunakan budi bicara.

Sambil melahirkan rasa kesal, Mazidul Akmal yang turut menyaksikan kejadian itu menambah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes tidak sepatutnya membuat kenyataan
 melulu mempertahan kakitangannya tanpa mendapat penjelasan lanjut daripada mangsa.
Malah, beliau menempelak Tony yang seolah-olah berbangga menawarkan tiket penerbangan AirAsia percuma kepada Izan Suhaila serta saudaranya sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedangkan mangsa sebelum itu dibiarkan terkapai-kapai di Ho Chi Minh, Vietnam.

"Malah, ketika kejadian itu juga tidak ada seorang pun daripada kakitangan AirAsia membantu mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mazidul Akmal mengulas tragedi yang menimpa Izan Suhaila yang dihalang menaiki pesawat tambang murah AirAsia, AK 1455 untuk pulang ke negara ini dari lapangan terbang Ho Chi Minh dengan alasan anaknya, Maryam Sofea menghidap demam campak.

Tindakan tidak berperikemanusiaan AirAsia itu mencetuskan kemarahan banyak pihak selepas kejadian tersebut disiarkan Mazidul Akmal menerusi blognya di http://www.mazidulakmal.com semalam.
Sementara itu, Mazidul Akmal mempersoal penjelasan Tony kononnya seorang kakitangan perubatan memeriksa keadaan Maryam Sofea kerana wanita yang dimaksudkan memakai pakaian seperti seorang jururawat.

Katanya, 'doktor' itu juga hanya membisu dan menghilangkan diri tanpa menjelaskan status kesihatan Maryam Sofea kepada ibu mangsa.
"Tony menyebut seorang doktor perubatan datang merawat bayi itu tetapi saya hairan adakah doktor di Vietnam berpakaian seperti jururawat?," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berbangga kerana penumpang dalam pesawat AK 1455 sanggup menghulurkan wang kepada Izan Suhaila selepas mengetahui mengenai nasib malang ibu berkenaan sedangkan tanggungjawab tersebut sepatutnya diambil AirAsia.

Kewangan Malindo Air kukuh



Chandran Rama Muthy bergambar di hadapan pesawat baharu Malindo Air pada majlis penerimaan pesawat jenis ATR 72-600 di Airod Aerospace Technology Subang, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON


PETALING JAYA 20 Mei - Syarikat penerbangan tempatan baharu, Malindo Air, yakin terhadap pengembangan operasinya, terutamanya dengan adanya sokongan kewangan yang kukuh daripada syarikat induknya, iaitu National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dan PT Lion Grup.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, dua syarikat induknya itu yang berpengalaman di dalam perkhidmatan pengangkutan udara menjadi kekuatan kepada syarikatnya, selain faktor kewangan.
Malah, NADI sendiri yang memiliki pusat penyelenggaraan kenderaan pengangkutan udara berupaya membantu menyediakan perkhidmatan kepada pesawat-pesawat Malindo Air.
"Hal itu membolehkan kami menguruskan kewangan dengan baik.
"Semua penjimatan yang dapat dilakukan diubah kepada tawaran tambang penerbangan yang murah," katanya kepada pemberita pada majlis penerimaan pesawat jenis ATR 72-600 pertama Malindo Air, di sini hari ini.
Pesawat yang diterbangkan dari Toulouse, Perancis itu adalah yang pertama daripada kesemua enam pesawat yang dibeli Malindo Air. Kesemua pesawat yang dibeli Malindo Air dijangka diterima tahun ini.
Pesawat ATR 72-600 akan digunakan untuk laluan ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Bharu mulai 3 Jun ini daripada Terminal Lapangan Terbang Subang.
Kata Rama Muthy, ATR 72-600 juga dijangka diguna pakai untuk laluan dengan tempoh penerbangan tidak sampai dua jam ke destinasi terpilih seperti ke Sumatera, Indonesia.
Pesawat bersaiz 72 tempat duduk itu juga dianggap sebagai pengangkutan pengantara kepada penumpang perkhidmatan penerbangan jarak jauh Malindo Air dari pelbagai negara, jika mereka mahu ke bandar-bandar lain dalam Malaysia.
Mengulas mengenai peluasan rangkaian antarabangsa, Rama Muthy berkata, pihaknya kini sedang menantikan kelulusan daripada pihak berkuasa India bagi membolehkan Malindo Air menyediakan laluan ke negara Asia Selatan itu.


Krew keracunan makanan, Pesawat terpaksa mendarat di Paris



PARIS 21 Mei - Sebuah pesawat penumpang dalam penerbangan dari Zurich ke Philadelphia melakukan pendaratan kecemasan di lapangan terbang Charles de Gaulle di sini selepas empat krew pesawat tersebut jatuh sakit.
Pegawai lapangan terbang melaporkan, keempat-empat krew tersebut dibawa ke pusat perubatan dan didapati mengalami keracunan makanan.
Bagaimanapun tiada penumpang yang cedera semasa insiden itu berlaku



Laporan Langsung Wartawan Utusan Online 2013



  • by KHAIRULANUAR YAHAYA 11:39 AM yesterday
    • Malindo Air terima pesawat ATR 72-600 untuk operasi di Semenanjung 
      Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

      SUBANG 20 Mei - Syarikat penerbangan, Malindo Air menerima pesawat ATR 72-600 yang pertama hari ini bagi operasi di Semenanjung Malaysia.

      Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandaran Rama Muthy berkata, pesawat berkenaan antara 6 buah pesawat ATR 72-600 yang akan beroperasi di hub kedua syarikat itu di Sykpark, Subang bermula Jun ini.

      "Kita akan menerima enam pesawat tersebut secara berperingkat-peringkat sehingga akhir tahun ini. Malindo Air juga akan menambah 4 buah lagi ATR 72-600 tahun hadapan," kata beliau. 

      Chandran sebelum itu tiba bersama Presiden National Defence Aerospace Industries (NADI), Tan Sri Ahmad Johan yang menaiki pesawat berkenaan di Pulau Pinang dan mendarat di Airod Sdn. Bhd. di sini hari ini.

      Pesawat ATR 72-600 berkapasiti 72 tempat duduk itu akan beroperasi di laluan Kota Bharu, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

      Dari 3 Jun 2013 sehingga 29 Mac 2014, Malindo Air menawarkan tiket penerbangan RM69 bagi laluan tersebut. 

      Sementara itu, Chandran juga berkata, kadar muatan penumpang bagi perkhidmatan Malindo Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat Boeing 737-900ER ke laluan Kota Kinabalu dan Kuching mencapai 80 peratus.

      "Kadar penumpang kita dalan tempoh dua buan beroperasi sejak Mac lalu hampir 100,000 orang."

      Malindo Air akan menambah pesawat Boeing 737,900ER sehingga 12 buah menjelang hujung tahun ini .- UTUSAN ONLINE
      by KHAIRULANUAR YAHAYA edited by UTUSAN ONLINE 11:37 AM yesterday
    • by KHAIRULANUAR YAHAYA 10:17 AM yesterday
      • by KHAIRULANUAR YAHAYA 10:16 AM yesterday
        • Presiden National Defence and Aerospace Industries (NADI), Tan Sri Ahmad Johan (kot hitam) berjalan seiringan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air,Chandran Rama Muthy (kot kelabu) sebaik turun dari pesawat pertama ATR 72-600 milik Malindo Air.
          by KHAIRULANUAR YAHAYA 10:15 AM yesterday
          • by KHAIRULANUAR YAHAYA 10:15 AM yesterday
            • by KHAIRULANUAR YAHAYA 10:14 AM yesterday
              • by KHAIRULANUAR YAHAYA 10:14 AM yesterday
                • Ketibaan pesawat ATR72-600 dari Toulouse, Perancis melalui Pulau Pinang. 

                  Turut menaiki pesawat ini adalah Presiden National Defence and Aerospace Industries (NADI) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy.
                  by KHAIRULANUAR YAHAYA 10:14 AM yesterday
                  • Untuk rekod, hub pertama Malindo Air di KLIA mengunakan pesawat Boeing 737-900ER yang menawarkan 12 kerusi bisness dan 168 kerusi ekonomi.

                    Ia menawarkan perkhidmatan di laluan Kuching sebanyak 4 penerbangan setiap hari dan Kota Kinabalu sebanyak 3 penerbangan setiap hari.

                    Malindo Air mensasarkan perkhidmatan 49 pesawat menjelang 2018 dan menambah 100 pesawat lagi menjelang 2028.
                    by KHAIRULANUAR YAHAYA 10:00 AM yesterday
                    • Pesawat ATR72-600 ini antara 6 pesawat Malindo Air yang akan beroperasi di Sykpark Subang bermula 3 Jun ini.

                      ATR72-600 ini mempunyai 72 tempat duduk dan akan berkhidmat di laluan Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Bharu.

                      Dari 3 Jun 2013 sehingga 29 Mac 2014, Malindo Air menawarkan tiket penerbangan RM69 bagi laluan tersebut.
                      by KHAIRULANUAR YAHAYA 9:47 AM yesterday
                      • Majlis ini berlangsung di Airod Sdn Bhd, Jalan Lapangan Terbang Subang.

                        Untuk makluman Sykpark Subang merupakan hub operasi ke-2 Malindo Air selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
                        by KHAIRULANUAR YAHAYA 9:37 AM yesterday
                        • Assalamuaikum dan selamat pagi. Saya KHAIRULANUAR YAHAYA akan melaporkan majlis memperkenalkan pesawat pertama ATR 72-600 milik syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air yang akan memulakan operasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Skypark Terminal Subang.

                        MAS flew baby home with doctor's certification, says CEO Ahmad Jauhari



                        MAS chief executive officer Ahmad Jauhari Yahya
                        MAS chief executive officer Ahmad Jauhari Yahya
                        KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) flew home a Malaysian mother and her 14-month-old daughter, who were earlier prevented from boarding a flight from another carrier, after getting the doctors to certify that the girl was not a health risk to passengers.
                        Izan Suhaila Mohd Ali, 36, and Mariam Sofea Mohd Reza were held back at Ho Chi Minh airport in Vietnam on Saturday night after the girl was suspected of having symptoms of a contagious disease.
                        MAS chief executive officer Ahmad Jauhari Yahya (pix) said MAS staff had taken Mariam to a doctor as it was a standard procedure for all passengers with symptoms of contagious disease to get a fit-to-fly certification from a doctor.
                        "This is to ensure that no one passenger puts the health of another passenger at risk," he said in a statement on Monday.
                        Ahmad Jauhari said the doctor examined the baby and confirmed she was no longer contagious and was out of the incubation period, while the black spots on her body were actually just dry scabs.
                        "Immediately after that, MAS worked on preparing the travel documents for Izan, Maryam and two other relatives. They were booked onto flight MH759 that departed Ho Chi Minh airport yesterday, so that they would not have to spend another night in that city and incur more costs," he said.
                        Ahmad Jauhari said the MAS staff from the city also drove the family back to the airport from their hotel and as they reached the airport, the airport services team had prepared all the necessary documentation to ensure fast check-in.
                        "A ground staff was especially assigned to escort the family through Immigration & Customs. This was important as there was a query on the immigration stamp in their passports due to the previous day's incident," he said.
                        Izan and her family managed to board MAS flight MH759 and departed for home at 4.40pm.
                        Ahmad Jauhari said: "We are glad that the team in Ho Chi Minh City displayed 100 per cent Malaysian hospitality in this situation."
                        He said the ability of the team to act beyond their normal duties should be applauded and it was commendable that they did not break any rule of standard procedures.
                        MAS flies three times daily to Ho Chi Minh City

                        Tuesday, May 14, 2013

                        Pesawat lama terhempas, juruterbang maut



                        Orang ramai menyaksikan kebakaran besar apabila sebuah pesawat lama terhempas ke atas sebuah hangar semasa pertujukan udara di lapangan terbang Cuatro Vientos, Madrid, Sepanyol, kelmarin. - Agensi

                        MADRID 6 Mei - Seorang juruterbang terbunuh, selepas sebuah pesawat lama yang dipandunya terhempas ke atas sebuah hangar sebelum meletup ketika mengadakan pertunjukan udara di barat daya bandar raya ini, semalam.

                        Jurucakap Kementerian Pertahanan Sepanyol, Alfredo Florenza berkata, juruterbang terbabit, Ladislao Tejedor Romero, 35, meninggal dunia di hospital Getafe selepas mengalami luka parah.

                        Katanya, kejadian berlaku di lapangan terbang Cuatro Vientos disaksikan kira-kira 3,000 penonton apabila Romero yang juga pembantu Menteri Pertahanan, Pedro Morenes menerbangkan pesawat HA-200 Saeta dan terhempas, menyebabkan berlaku letupan besar.

                        "Punca kejadian masih disiasat," katanya.
                        Pesawat itu merupakan antara pesawat pertama menggunakan enjin kipas yang dihasilkan oleh syarikat Sepanyol, Hispano Aviacion sebagai pesawat latihan yang canggih pada era 50-an sebelum diubah suai menjadi pesawat penyerang.

                        Televisyen tempatan, RTVE turut merakamkan imej kepulan asap tebal yang menjulang tinggi dari kawasan hangar.

                        Saksi insiden itu berkata, pesawat berkenaan menjunam laju sebelum terhempas.
                        Pihak berkuasa lapangan terbang Sepanyol, AENA berkata, tiada mangsa lain terbunuh atau cedera dalam tragedi tersebut

                        Malindo Air bakal ke Sibu, Miri, Tawau



                        pesawat Boeing, B737-900 ER milik Malindo Air mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. - UTUSAN/ ASWAD YAHYA

                        KUALA LUMPUR 10 Mei - Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air merancang menawarkan perkhidmatan ke Sibu, Miri dan Tawau pada Jun ini.

                        Malindo Air dalam kenyataannya menjelaskan, penerbangan ke ketiga-tiga destinasi berkenaan akan dilancarkan masing-masing pada 11, 14 dan 26 Jun ini.

                        Pelancaran destinasi baharu itu dilakukan berikutan penerimaan dua buah pesawat, menjadikan jumlah keseluruhan bilangan pesawat Malindo Air meningkat kepada empat buah.

                        Syarikat penerbangan itu menawarkan tiket penerbangan serendah RM98 sehala ke Sibu, RM98 sehala ke Miri dan RM138 sehala ke Tawau untuk kelas ekonomi dan RM499 sehala untuk kelas perniagaan ke semua destinasi berkenaan termasuk Kota Kinabalu.

                        Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, penambahan destinasi berkenaan jelas menunjukkan komitmen Malindo Air untuk terus mengembangkan perkhidmatannya.

                        "Kami bangga kerana memperkenalkan model hibrid untuk memberi lebih pilihan kepada pelanggan," katanya.

                        Iran cipta drone baharu



                        Gambar dikeluarkan agensi berita ISNA, menunjukkan drone baharu Epic pada satu majlis di Teheran, kelmarin. - AFP

                        TEHERAN 10 Mei - Iran memperkenalkan sebuah pesawat tanpa juruterbang (drone) terbaharunya yang diberi nama 'Epic', di sini semalam.

                        Agensi berita Mehr melaporkan, Epic mempunyai keupayaan berkembar, mampu melakukan misi pengawasan dan serangan dalam masa serentak.

                        Mehr memetik Menteri Pertahanan, Jeneral Ahmad Vahidi sebagai berkata, Epic mampu terbang pada altitud tinggi, selain 'sukar dikesan pihak musuh'.

                        Pada 18 April lalu, Iran memperkenalkan tiga model drone kepada umum iaitu Throne, Hazem dan Mohajer-B.
                        Komander Operasi Antipesawat, Jeneral Amir-Farzad Esmaili berkata, Throne memiliki keupayaan sama seperti Epic, selain dilengkapi peluru berpandu udara ke udara dan mampu terbang untuk jarak jauh.
                        "Hazem dan Mohajer-B pula merupakan drone yang direka untuk misi taktikal dan pertempuran," katanya.
                        Iran kini sudah menghasilkan berpuluh-puluh unit drone bagi ketiga-tiga model tersebut


                        MAS sumbang RM40,000 kepada Mercy Malaysia



                        KUALA LUMPUR 14 Mei - Bagi menyokong pelaksanaan pelbagai projek kemanusiaan, Malaysia Airlines (MAS) menyumbang RM40,000 kepada Mercy Malaysia hasil sumbangan yang dikumpul melalui acara "MH Walk-A-Fund" sempena kempen pungutan derma dikenali sebagai "Change for Charity", yang diadakan di akademinya pada Ahad.

                        Dalam kenyataan hari ini, MAS berkata sumbangan itu dikumpul daripada tetamunya yang menaiki pesawat dan yang mengunjungi kaunter tiketnya.

                        Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus turut hadir untuk memeriahkan acara itu.

                        Peserta acara jalan kaki sejauh enam kilometer itu berjalan di sekeliling Taman Kelana Jaya serta kawasan sekitarnya dan berakhir di akademi MAS pada lebih kurang pukul 9.30 pagi.

                        MAS dan Mercy Malaysia berganding bahu sejak 2004 untuk memberi sokongan dan bantuan kepada mangsa bencana alam.

                        Projek "Change for Charity" menampilkan nasib golongan yang kurang bernasib baik dan memberi peluang kepada tetamu MAS menghulurkan sumbangan untuk membantu mereka.
                        Semua sumbangan yang dikumpul disalurkan secara terus kepada Tabung Kemanusiaan MERCY Malaysia untuk menjayakan projeknya di seluruh dunia.


                        MAS sasar berdikari dari segi kewangan menjelang 2014



                        PETALING JAYA 14 Mei - Malaysia Airlines (MAS) menyasarkan untuk mentransformasikan dirinya sendiri untuk menjadi satu entiti berdikari di segi kewangan menjelang akhir 2014, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya.

                        Katanya, syarikat penerbangan kebangsaan itu, yang mencatatkan kerugian lebih rendah pada 2012, juga sedang mengkaji pelan untuk membiayai sendiri pembelian pesawatnya di dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

                        "Kami mempunyai pelan strategik. Pemulihan syarikat itu akan dizahirkan menjelang akhir tahun, dengan kebanyakan (peningkatan) dilihat pada separuh kedua tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat penerbangan itu hari ini.

                        Ahmad Jauhari berkata, MAS menyasarkan untuk memperkenalkan laluan baharu dan menarik yang melibatkan tempoh penerbangan dalam radar selama lapan jam bagi meningkatkan saiz rangkaiannya, yang mengecil 6.0 peratus pada tahun lepas berikutan eksersais rasionalisasi laluannya.

                        Katanya, 24 pesawat baharu, kesemuanya berangka kecil, akan diterima MAS tahun ini bagi menggantikan pesawat yang sama saiznya, yang akan diberhentikan.

                        Ahmad Jauhari berkata, MAS juga berhasrat untuk mengembangkan bilangan pesawatnya, melalui pengumuman lanjut menjelang akhir sukuan seterusnya di segi bilangan dan jenis pesawat yang akan ditempah.

                        "Kami telah menerima kesemua pesawat Airbus A380 (enam kesemuanya).
                        Kesemuanya kini terbang dua kali sehari ke London, dan setiap hari ke Paris dan Hong Kong."
                        "Kini, kami sedang mengkaji pelan bilangan pesawat kami dan kami akan membuat satu pengumuman menjelang akhir sukuan hadapan," katanya.
                        Proses penggantian pesawat akan menempatkan MAS dalam keadaan yang menggalakkan dan dijangka menurunkan usia kumpulan pesawat ke bawah 5.4 tahun menjelang akhir tahun, berbanding 9.2 tahun yang dicatatkan pada akhir 2012.

                        "Kami akan turut menikmati penjimatan fuel pada purata 15-20 peratus bagi setiap satu tempat duduk melalui kumpulan pesawat baharu dan moden. Penjimatan fuel akan dicerminkan pada kunci kira-kira kami kerana fuel adalah salah satu kos teras sesuatu syarikat penerbangan," kata Ahmad Jauhari.

                        MAS menyaksikan pertumbuhan 3.5 peratus muatan penumpang bagi tempoh tiga bulan pertama 2013 kepada 76.6 peratus berbanding 73 peratus yang dilaporkan semasa tempoh yang sama tahun lepas.
                        Ia menyaksikan peningkatan 16.5 peratus perolehan penumpang kilometer (RPK) dalam tempoh yang dikaji berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. RPK adalah jumlah purata sesuatu syarikat penerbangan bagi menerbangkan seseorang penumpang berbayar dalam jarak satu kilometer.
                        Bagi sukuan yang sama, MAS mengendalikan sejumlah 3.6 juta penumpang berbanding dengan 3.1 juta penumpang bagi tempoh yang sama setahun lepas.

                        Ahmad Jauhari berkata, MAS yang menyasarkan untuk kembali mencatatkan keuntungan menjelang akhir tahun depan, merasa positif mengenai prospeknya tahun ini, walau pun dalam keadaan yang mencabar seperti kemunculan Malindo Airways di dalam negara dan Air France pada peringkat antarabangsa.
                        Air France, yang kembali beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada bulan lepas, kini menggunakan pesawat B777 bagi penerbangan tiga kali seminggu ke Paris, manakala MAS menggunakan pesawat A380 bagi penebangan harian ke Paris.

                        "Perniagaan syarikat penerbangan tidak mudah kerana ada masa turun dan ada masanya naik. Kami berharap untuk mencatatkan keuntungan operasi bagi baki dua sukuan tahun ini, seperti dua sukuan yang lepas. "Kami menjangka prestasi yang baik pada separuh kedua 2013. Strategi kami kini ialah untuk menarik para pelanggan kembali menggunakan perkhidmatan kami.

                        "Melalui persaingan yang sengit di dalam industri itu, saya perlu akur bahawa MAS telah kehilangan beberapa peratus tertentu pelanggannya kepada syarikat penerbangan lain.

                        "Kini, kami merancang mengekalkan pelanggan sedia ada sambil menarik pelanggan baharu," katanya.
                        Ahmad Jauhari berkata, pelan lima tahun untuk mengekalkan kerelevanan MAS di segi kepuasan pelanggan dan pengalaman kini sedang dilaksanakan dengan kesannya dijangka sangat positif


                        Wednesday, May 1, 2013

                        Pesawat kargo terhempas di Bagram



                        KABUL 29 April - Sebuah pesawat kargo terhempas di pangkalan Bagram di sini, kira-kira 60 kilometer di utara bandar Kabul, hari ini.

                        Menurut jurucakap polis di wilayah Parwan, pesawat kargo itu kemungkinan dimiliki tentera Amerika Syarikat (AS).

                        "Kami nampak ada kepulan asap dan serpihan pesawat tetapi tentera AS tidak membenarkan kami ke tempat kejadian," katanya lagi


                        \

                        Naik taraf terminal RM55 juta

                        Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima anugerah kakitangan cemerlang pada Majlis Pelancaran Projek Penambahbaikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra , Kota Bharu, semalam .

                        KOTA BHARU 29 April - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) hari ini melancarkan projek penambahbaikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini, dalam usaha meningkatkan tahap perkhidmatan dan mengutamakan aspek keselesaan bagi kemudahan para penumpang.
                        Bangunan terminal baharu LTSIP yang dibina dengan kos sebanyak RM55 juta, telah mula beroperasi sejak tahun 2002 dengan kapasiti 1.5 juta penumpang setahun, berkonsepkan 'Moorish' sinonim dengan imej Islam negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

                        Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, LTSIP merupakan salah sebuah lapangan terbang kendaliannya yang sedang menjalani pembaharuan di bawah Airport Commercial Model (ACM).
                        Menurut beliau, projek penaiktarafan yang sedang dijalankan di lapangan terbang ini melibatkan kemudahan awam seperti tandas dan penaiktarafan kawasan menunggu di Balai Berlepas serta bangunan yang dicat semula.

                        "Ini adalah satu tekad untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para penumpang memandangkan LTSIP adalah lapangan terbang domestik yang ketiga paling sibuk di Malaysia selepas lapangan terbang Miri dan Subang.

                        "Selain itu, projek penambahbaikan turut melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian dan penyusunan semula ruangan perniagaan serta penyelarasan jenis-jenis produk dan perkhidmatan komersial," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Projek Penambahbaikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

                        Tambah beliau, ruangan komersial juga ditambah keluasannya dengan pelbagai pilihan produk, restoran dan ruang istirehat khas baharu untuk keselesaan penumpang.

                        "Ruangan komersial sedia ada seluas 805 meter persegi dipertingkatkan sehingga 63 peratus lebih besar kepada 1,312 meter persegi dan setiap ruangan kedai akan diberikan wajah baru," katanya.
                        Wan Abdul Aziz berkata, penambahbaikan ini sekali gus dapat menggandakan bilangan penumpang kepada 1.26 juta bagi tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
                        "Jumlah pergerakan pesawat turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 17,112 pergerakan pada tahun lepas berbanding 15,304 tahun sebelumnya.

                        "Dengan anjuran peratusan pertumbuhan ini, saya yakin ia akan dapat melampaui keupayaan reka bentuk pengendalian sejumlah 1.5 juta penumpang setahun dalam masa terdekat," katanya.
                        Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Malaysia Airports Bhd. (MAB), Zainol Mohd Isa.



                        Rusia larang semua pesawat penumpang terbang di Syria



                        MOSCOW 1 Mei - Agensi pengangkutan udara Rusia hari ini melarang semua pesawat penumpang negara ini daripada terbang di ruang udara Syria selepas krew sebuah pesawat melaporkan mereka diancam sewaktu berada di negara bergolak itu.

                        Agensi persekutuan Rosaviation berkata, larangan itu berkuatkuasa semalam dan akan dikekalkan sehingga diberitahu kelak.

                        "Agensi pengangkutan udara persekutuan percaya bahawa dalam keadaan ini, kepentingan komersial tidak boleh diguna pakai ke atas keselamatan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan Rusia," katanya dalam satu kenyataan. - AFP