mangga add

Sunday, December 30, 2012

Empat maut nahas pesawat di Moscow



MOSCOW 30 Dis. - Empat orang maut, manakala empat lagi cedera apabila sebuah pesawat penumpang tergelincir dari landasan dan terbelah kepada tiga bahagian ketika mendarat di lapangan terbang Vnukovo, di sini semalam.

Menurut Kementerian Kecemasan Rusia, kejadian itu menyebabkan pesawat Tupolev-204 berkenaan melanggar pagar sempadan lapangan terbang dan terbabas ke lebuh raya sebelum terbakar.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian juruterbang pesawat tersebut.
Ketika kejadian, pesawat yang baru tiba dari Republik Czech itu hanya membawa lapan orang anak kapal


Friday, December 28, 2012

Tiga maut pesawat terhempas



ORANG ramai berkumpul di lokasi kejadian pesawat Air Bagan yang terhempas, sementara anggota pasukan mencari dan menyelamat memeriksa kerosakan di Heho, negeri Shan, Myanmar, semalam. - REUTERS


YANGON 25 Dis. - Tiga maut, manakala 11 lagi cedera apabila sebuah pesawat yang membawa 65 penumpang termasuk pelancong asing gagal melakukan pendaratan cemas di negeri Shan, timur Myanmar hari ini.
Syarikat penerbangan Air Bagan menjelaskan, pesawat jenis Fokker-100 itu terpaksa mendarat cemas, tiga kilometer dari Lapangan Terbang Heho, yang merupakan pintu masuk bagi destinasi pelancongan popular di Myanmar, Tasik Inle, selepas satu daripada enjinnya terbakar.

"Mangsa yang maut adalah penumpang yang masing-masing seorang pemandu pelancong serta seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dan seorang penunggang motosikal," menurut kenyataan syarikat itu dalam laman Facebook.
Sementara itu, Kementerian Penerangan melaporkan, penunggang motosikal itu maut selepas dia dirempuh oleh pesawat tersebut ketika cuba mendarat.

Menurut kementerian itu lagi, satu daripada enjin pesawat tersebut terbakar ketika kapal terbang berkenaan menghampiri lapangan terbang kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan.
Jurucakap Air Bagan, Ye Min Oo pula berkata, dua juruterbang pesawat itu antara mangsa yang cedera.
"Disebabkan pendaratan cemas gagal dilakukan, pesawat itu patah kepada beberapa bahagian," katanya.
Min Oo berkata, punca kejadian masih belum jelas dan pihaknya masih menunggu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai nahas daripada juruterbang yang dirawat di hospital


27 terbunuh pesawat tentera Kazakhstan terhempas



ALMATY 26 Dis. - Kesemua 27 orang di dalam pesawat tentera termasuk seorang pegawai tinggi pasukan keselamatan sempadan Kazakhstan terbunuh selepas pesawat yang dinaiki terhempas di selatan negara itu hari ini.

"Kesemua 27 di dalam pesawat termasuk tujuh kru terbunuh," termasuk pemangku ketua pasukan keselamatan sempadan Kazakh, Turganbek Stambekov, kata perkhidmatan keselamatan KNB. - AFP

Sharklet untuk pesawat AirAsia



KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pengeluar kapal terbang dari Eropah, Airbus sedia menawarkan pakej penambahan teknologi Sharklet kepada pemilik-pemilik sedia ada pesawat A320, termasuk AirAsia jika mendapati penggunaan teknologi itu menguntungkan pemiliknya.

Pengarah Pemasaran Perhubungan Pelanggan Airbus, David Velupillai berkata, pemasangan sayap jenis Sharklet itu tidak memerlukan perubahan kabin dan aerodinamik yang ketara.
Katanya, teknologi Sharklet berupaya menyumbang penjimatan minyak sekitar empat peratus kepada kapal terbang yang menggunakannya, selain menambah kapasiti muatan sehingga 450 kilogram.

"Penggunaan A320 Sharklet khususnya syarikat seperti AirAsia adalah signifikan dengan konsep mereka yang mengutamakan aspek penjimatan kos operasi," kata Velupillai.
"Sebagai pelanggan A320 terbesar, kami terbuka memberi perkhidmatan (Sharklet) kepada AirAsia menerusi pakej tertentu," katanya kepada Utusan Malaysia semasa sesi lawatan media ke pusat pemasangan utama Airbus di Toulouse, Perancis minggu lalu.

AirAsia merupakan penerima pertama A320 Sharklet yang akan digunakan oleh AirAsia Malaysia. Harga jenis sayap Sharklet A320 dianggarkan sekitar AS$90 juta (RM274.5 juta) iaitu AS$5 juta (RM15.25 juta) lebih mahal berbanding dengan jenis sayap biasa.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar sebelum ini menegaskan, pihaknya tidak akan menaikkan taraf pesawat mereka yang sedia ada, berbanding membeli A320 yang telah siap dipasang dengan sayap jenis baharu.

Sementara itu, Velupillai berkata, perkembangan positif AirAsia dalam sedekad yang menggambarkan peralihan penguasaan perindustrian penerbangan oleh syarikat-syarikat dari Asia.

"AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS) memainkan peranan penting dalam meningkatkan imej industri penerbangan di Asia, selain menjadi pelanggan penting kepada Airbus.
"Tahun ini kedua-dua syarikat ini menerima pesawat baharu daripada kami iaitu A320 Sharklet oleh AirAsia dan A380 oleh MAS," katanya.

Jelasnya lagi, rantau Asia khususnya di kawasan lautan Pasifik dijangka menguasai 33 peratus pendapatan penumpang per kilometer (RPK) penerbangan antarabangsa menjelang 2030 dengan penambahan lebih 9,800 buah pesawat baharu.
AirAsia baru-baru ini juga telah mengumumkan pembelian 100 buah pesawat A320 sekali gus menjadikan mereka pembeli tunggal terbesar pesawat jenis itu sebanyak 475 buah.
Airbus menjangka 20,000 tempahan baharu A320 bakal diterimanya dalam tempoh 20 akan datang.


A

Saturday, December 22, 2012

AirAsia sedia tawar tambang lebih rendah




TOULOUSE, Perancis 21 Dis. - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia) bersedia menurunkan lagi kadar tambang berikutan pemilikan pesawat yang menggunakan bahan api lebih efisien.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar bagaimanapun berkata, langkah tersebut hanya akan diteruskan jika elemen-elemen lain di dalam operasinya tidak mengalami kenaikan kos yang ketara.

"Kami harap perkara itu (penurunan tambang) berlaku, syarikat akan memindahkan kesan penurunan kos itu kepada pengguna," katanya kepada pemberita semasa majlis penyerahan pesawat Airbus, A320 Sharklet kepada AirAsia di sini hari ini.

AirAsia mencatat sejarah apabila menjadi syarikat penerbangan pertama yang menerima pesawat A320 Sharklet, yang dikatakan dapat menjimatkan penggunaan minyak sebanyak empat peratus setahun berbanding pe4sawat A320 sedia milik syarikat itu.


Tuesday, December 18, 2012

Boeing 777 selamat tiba di Iraq



BAGHDAD 16 Dis. - Syarikat penerbangan Iraq semalam menerima sebuah pesawat baru Boeing 777, satu daripada berpuluh pesawat yang dibeli dalam usaha mempertingkatkan semula syarikat penerbangan, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan.

“Sebuah pesawat Boeing selamat tiba hari, ia adalah satu daripada 30 buah pesawat yang telah ditempah," kata Karim al-Nuri, yang merupakan penasihat Kementerian Pengangkutan .
Syarikat penerbangan Iraq, merupakan satu daripada syarikat penerbangan tertua di Timur Tengah yang diasaskan pada tahun 1938. -AFP

MASGMR bakal muncul MRO penting di Asia



Mohd. Nor Yusof (tengah) memberi penerangan kepada Mustapa Mohamed dan delegasi Malaysia mengenai kompleks MASGMR di Hyderabad, India. - BERNAMA

HYDERABAD 16 Dis. - MAS GMR Aerospace Engineering Company Ltd. (MASGMR) yang berpangkalan di sini mempunyai potensi untuk berkembang sebagai pusat penyelenggaraan dan membaik pulih dan pembaikan (MRO) penting di Asia.

MASGMR adalah syarikat perkongsian MRO milik Malaysia Airline System Bhd. (MAS) dan syarikat konglomerat India, GMR.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairuddin Hamzah berkata, selain itu, MASGMR bakal menjadi pelengkap kepada operasi MAS Aerospace Engineering milik MAS di Subang.

Menurut beliau, meskipun baru setahun beroperasi, MASGMR kini sudah mengendalikan 24 buah pesawat dan jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh terdekat ini.

"Keyakinan ini berdasarkan kedudukan MASGMR yang berada di tengah-tengah Asia dan berhampiran dengan Asia Barat serta pengembangan industri penerbangan India yang cukup memberangsangkan," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sempena misi perdagangan di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi MAS, Tan Sri Mohd. Nor Yusof, Konsulat Besar Chennai, Chitra Dewi, Ketua Pegawai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Datuk Noharuddin Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia, Dr. Wong Lai Sum.
Malah, MASGMR juga berpeluang untuk mengambil kontrak-kontrak MRO yang tidak dapat dilaksanakan di Subang kerana permintaan yang cukup tinggi, tambah beliau.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, MASGMR sedang dalam perbincangan dengan Spice Jet untuk mendapatkan kontrak MRO bagi 24 buah pesawat Q400 Bombadier yang baharu dibeli oleh syarikat penerbangan tersebut.
"Rundingan ini masih di peringkat awal tetapi Q400 turut dimasukkan dalam perbincangan itu," ujar beliau.
Menurut beliau, kontrak dengan Spice Jet itu adalah satu permulaan dan bukan menjurus kepada perolehan syarikat sebaliknya membina reputasi dalam industri tersebut. - UTUSAN



MAS beli 36 pesawat ATR 72-600 bernilai RM3 bilion


SUBANG JAYA 18 Dis. - Malaysia Airlines (MAS) hari ini memperoleh 36 pesawat baharu ATR 72-600 dengan nilai RM3 bilion daripada ATR, iaitu syarikat pengeluar turboprop yang berpangkalan di Toulouse, Perancis.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata ATR telahpun komited untuk menghantar tiga pesawat turboprop tahun depan, lima lagi tahun berikutnya dan enam pada tahun 2015.

"Daripada sejumlah 36 pesawat, Firefly akan mendapat 20, sementara MasWings pula 16," kata beliau dalam persidangan akhbar untuk memaklumkan mengenai peluasan rangkaian Firefly hari ini.

Ahmad Jauhari berkata kelebihan operasi turboprop ialah keupayaannya untuk mendarat dan berlepas dengan amat pantas, kurang daripada 30 minit, sekali gus menyaksikan peningkatan kekerapan penerbangan.

"Pada masa ini, orang ramai mengembara mengikut keselesaan masing-masing, jadi, kekerapan ataupun frekuensi amat penting," kata beliau sambil menambah yang pemilikan pesawat baharu itu akan dibiayai dengan dana dalaman, dalam lingkungan kumpulan MAS.



Wednesday, December 12, 2012

Plot rampas pesawat gagal, tiga rakyat China dihukum mati



BEIJING 13 Dis. - Sebuah mahkamah China semalam menjatuhkan hukuman mati terhadap tiga penduduk Uighur yang didapati bersalah atas cubaan untuk merampas sebuah pesawat penumpang di wilayah barat, Xinjiang pada pertengahan tahun ini.

Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan mahkamah itu berkata, tiga lelaki tersebut dihukum mati manakala seorang lagi dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana cuba merampas sebuah kapal terbang yang baru berlepas di bandar Hotan pada 29 Jun lalu.

Jelas agensi tersebut, keempat-empat pesalah terbabit dipercayai terpengaruh dengan propaganda untuk melakukan keganasan dan tindakan ekstremis. - dpa

Monday, December 10, 2012

AirAsia sedia tawar tiket murah ke Bangkok



KUALA LUMPUR 6 Dis. - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia sedia menawarkan tiket pergi-balik ke Bangkok dengan harga paling murah kepada penyokong Harimau Malaya bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia menentang Thailand, Khamis depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes telah menyatakan persetujuan berhubung perkara tersebut.
"Penawaran itu bergantung kepada kekosongan penerbangan. Kita masih tidak tahu berapa ramai penyokong yang benar-benar ingin ke sana (Bangkok). Saya sudah berbincang dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk mendapatkan jumlah mereka yang mahu ke sana.

"Kita akan menyediakan penerbangan "charter" dan jika sekadar 100 atau 200 orang, ia tidak akan memberi impak yang besar. Kita mahu beribu orang ke sana," katanya pada sidang media Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Redtone KL 2012, di sini hari ini.

Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu akan beraksi pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2012 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Ahad ini.
Perlawanan timbal balik bakal diadakan di Stadium Supachalasai, Bangkok pada 13 Disember.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata jika mendapat sokongan menggalakkan, perkhidmatan bas akan turut disediakan dari lapangan terbang di Bangkok ke Stadium Supachalasai.
"(Bagaimanapun) Pada masa ini, kos penerbangan, harga tiket, perkhidmatan bas, serta keperluan lain masih dalam perbincangan," katanya


Pesawat masa depan



Teknologi Astrea memberi harapan baru kepada industri penerbangan UAV.


Sebuah pesawat Jetstream BAE Systems yang dikenali sebagai medan ujian terbang yang boleh dipandu seperti sebuah UAV (pesawat udara tanpa juruterbang), baru-baru ini menjalani satu siri ujian penerbangan.
Program tersebut merupakan sebahagian persiapan bagi penerbangan UAV di ruang udara di United Kingdom (UK) lewat tahun ini.

Pesawat tersebut akan terbang menggunakan Peraturan Penerbangan Instrumen di bawah kawalan lalu lintas udara.
Sebagai persediaan, ujian yang dijalankan sebelum ini merangkumi fungsi laluan mengelakkan cuaca berasaskan penglihatan.

Ujian tersebut mula menunjukkan kepada pihak berkuasa kawal selia seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan penyedia perkhidmatan kawalan lalu lintas mengenai kemajuan yang dicapai dalam penggunaan UAV secara selamat di ruang udara UK.



Sunday, December 9, 2012

Tragedi pesawat terhempas




KEMALANGAN udara melibatkan nahas pesawat boleh dikatakan antara igauan paling ngeri yang mungkin berlaku. Bahkan menggunakan pengangkutan udara boleh diibaratkan seperti satu perjudian untuk tiba ke sesuatu destinasi.

Bagi mereka yang lemah semangat, pengalaman berada di dalam kabin bukan sahaja boleh mencetuskan gemuruh, bahkan ada yang menderita akibat ketakutan yang melampau (aerofobia).
Walaupun risiko kemalangan udara berjaya dikurangkan melalui perkembangan teknologi penerbangan moden, namun risiko kegagalan operasi sesebuah pesawat tidak dapat disangkal.

Di Malaysia, jumlah kemalangan pesawat terhempas boleh dikatakan rendah, Sungguhpun begitu, sejarah penerbangan negara tetap mempunyai episod hitamnya.
Beberapa tragedi sekitar 1970-an dan 1980-an antara yang pernah menggegarkan masyarakat negara ini. Nama-nama pesawat seperti Nuri, Pilatus dan pelbagai nama helikopter antara yang kerap kedengaran setiap kali berlakunya nahas.

Selain meremukkan hati keluarga mangsa, kemalangan udara yang kerap melibatkan pesawat ringan dan helikopter turut memaksa agensi-agensi kerajaan yang terbabit bertungkus-lumus melakukan kerja menyelamat dan merungkai punca kejadian.

Dalam laporan ini, wartawan S2, ABD. HALIM HADI dan ZAINAL AZHAR MOHAMAD bersama jurugambar, SAIFUL BAHARI ASHARI dan MOHD. NAIM AZIZ merungkai kisah di sebalik beberapa kemalangan udara yang pernah berlaku
di negara ini.



Sunday, December 2, 2012

32 maut pesawat kargo terhempas atas rumah



BRAZZAVILLE 2 Dis. - Sebuah pesawat kargo terhempas ke dalam kawasan penempatan rumah berdekatan Lapangan Terbang Brazzaville Maya selepas pesawat cuba membuat pendaratan cemas menyebabkan 32 orang terbunuh.

“Kami berjaya mengumpul 32 mayat di kawasan kejadian tetapi masih mencari beberapa lagi mangsa,’’ kata seorang pegawai.
Seorang pegawai memberitahu kejadian tersebut turut meragut nyawa enam orang kakitangan pesawat tersebut.