mangga add

Friday, September 30, 2011

Pesawat guna enjin hidrogen

ILUSTRASI pesawat futuristik diberi nama Lockheed Stratoliner bakal menggunakan teknologi enjin hidrogen dengan reka bentuk sayap mirip burung Godwit. Konsep pesawat ini direka oleh William Black. - AGENSI

LONDON 29 Sept. - Seorang pereka muncul dengan konsep sebuah pesawat komersial yang menggunakan enjin hidrogen, Lockheed Stratoliner.

Pesawat yang mungkin menjadi kenyataan suatu hari nanti itu juga mampu terbang jauh pada altitud tinggi.

Pereka tersebut, William Black mendapat inspirasi rekaan konsep itu daripada burung Godwit yang berkeupayaan terbang sejauh 11,609.6 kilometer.

Burung itu biasa ditemui di Australia yang terbang ke Alaska tanpa berhenti untuk makan.

Idea Black turut menjurus kepada kepak burung itu untuk menghasilkan pesawat bebas pencemaran.

Bagaimanapun, penciptaan pesawat berkenaan dilihat perlu mengambil masa panjang sebelum menjadi realiti.

Lockheed Stratoliner akan menggunakan empat enjin hidrogen untuk terbang ke altitud tinggi dan terapung seperti burung.

Ia juga dilengkapi dengan teknologi yang dapat terbang dengan menggunakan paras kuasa rendah seperti jet pejuang.

Dengan itu, pesawat berkenaan dapat menjimatkan penggunaan bahan api tetapi teknologi enjin hidrogen masih jauh dan perlu dibangunkan dengan lebih gigih lagi.

Pesawat Indonesia terhempas di Sumatera

Seorang wanita meratap kesedihan setelah mendengar berita pesawat Nusantara Buana Air yang dinaiki ahli keluarganya terhempas, di Medan, Indonesia, semalam. - AP

MEDAN 29 Sept. - Sebuah pesawat kecil yang membawa 18 orang dalam penerbangan domestik Nusantara Buana Air terhempas di kawasan bergunung-ganang di Sumatera hari ini.

Pasukan mencari dan menyelamat dikejarkan ke tempat kejadian.

Pesawat CASA C-212 itu sudah separuh perjalanan dalam penerbangan 30 minit dari Medan, Sumatera menuju ke Aceh apabila hubungan terputus dengan pusat kawalan lalu lintas udara, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan.

Beberapa minit kemudian, pesawat berkuasa turboprop itu menghantar isyarat kecemasan sebelum hilang daripada radar tentera udara, kata marsyal tentera udara, Bonar Hutagaol kepada stesen televisyen tempatan, TV-One.

Pesawat itu terhempas antara 7.28 pagi hingga 8.05 pagi ini di sekitar Gunung Bahorok, kira-kira 36 batu nautika ke barat laut Medan.

Penduduk tempatan mendakwa melihat kepulan asap dari pesawat yang terhempas dekat Kampung Bahorok.

"Saya melihat sesuatu yang luar biasa, sebuah pesawat berasap berlegar-legar pada paras rendah sebelum luput daripada pandangan saya," kata seorang penduduk kampung di daerah Langkat, Agus kepada TV-One.

Pesawat itu membawa 18 orang terdiri daripada tiga krew dan 15 penumpang termasuk empat kanak-kanak. - Agensi

Dagangan MasKargo naik 25 %

PULAU PINANG 29 Sept. - MasKargo Sdn. Bhd. menjangkakan peningkatan pertumbuhan dagangan sebanyak 25 peratus menerusi penerbangan di rantau Asia pada 2012.

Naib Presiden Kanan Pengurusannya, Jamaludin Ismail berkata, tumpuan kini diberikan kepada negara-negara Asia seperti Jepun, China, Taiwan, India dan Russia berikutan penurunan kapasiti penerbangan di Eropah sebanyak 20 peratus pada enam bulan pertama tahun ini disebabkan kemelesetan ekonomi.

Beliau berkata, dengan pembelian empat pesawat baru jenis Airbus A330-200F, ia mampu membawa kepada perubahan positif dalam modul perniagaan serta operasi MasKargo.

"Kami telah pun menerima pesawat pertama untuk kategori saiz sederhana ke negara ini manakala selebihnya akan diterima pada November ini, Januari dan April tahun depan.

"Dengan adanya pesawat ini, dijangka kapasiti penerbangan akan meningkat sebanyak 25 peratus pada tahun depan melalui penerbangan ke Jakarta, Indonesia; Narita, Jepun, Hong Kong dan Shanghai di China; Amsterdam, Belanda; Sharjah, Oman serta Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan pesawat A330-200F pertama dari Narita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, di sini malam tadi.

Sementara itu, Jamaludin berkata, penerbangan pesawat tersebut dari Narita ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sebanyak tiga kali seminggu merupakan langkah bagi memperkukuhkan dunia dagangan dengan negara terbabit sekali gus membuka pasaran Jepun Ke Malaysia.

"Selain itu, ia dapat mengurangkan 'lead-time' di antara Jepun dan Malaysia dan secara tidak langsung akan meningkatkan prestasi bertepatan masa.

"Justeru, kita harapkan penerbangan ini memberi laluan serta mempertingkatkan dagangan di rantau Asia, Rusia dan Australia berikutan penggunaan pesawat Boeing 747-400F di laluan ini adalah tidak sesuai kerana penggunaan kos bahan api yang tinggi," jelasnya.

Sementara itu, Jamaludin juga berkata, MasKargo bakal memiliki enam pesawat iaitu dua pesawat Boeing 747-400F dan empat pesawat A330-200F pada tahun depan.

Manakala pesawat Boeing 747-200F pula akan dihentikan pada penghujung tahun ini.

Pesawat A300 menggunakan enjin yang dipertingkatkan kepada Pratt & Whitney dan mampu mengangkat 69 tan kargo dengan jarak 4,000 Newton meter (Nm).

Penerbangan pertamanya telah berlepas dari Toulouse, Perancis pada 15 September lalu, membawa 57 tan kargo dari Amsterdam ke Kuala Lumpur manakala jadual terbaru akan berlepas ke Osaka di Jepun, Taipei di Taiwan dan Karagandy di Kazakhstan pada 29 Oktober

Persediaan kendali pesawat terbesar dunia

SKRIN di belakang tempat pemandu ini adalah umpama komunikasi bersama menara kawalan.

BUKAN mudah untuk menjadi seorang juruterbang, apatah lagi apabila terpilih untuk memandu pesawat komersial paling canggih, terhebat dan terbesar di dunia, Airbus A380 (A380).

Mereka yang terpilih untuk mengendalikan pesawat istimewa itu juga tentunya perlu memiliki bakat luar biasa di samping terpaksa mengikuti latihan dan persediaan rapi.

Tetapi bagaimana mahu menjalani latihan mengendalikan pesawat yang ketika itu masih belum berada dalam perkhidmatan? Jika pesawat-pesawat komersial lain tentu agak mudah.

Caranya hanya satu, iaitu melalui simulator A380.

Bagai para juruterbang Malaysian Airline System Bhd. (MAS) yang terpilih untuk mengendalikan pesawat canggih itu, mereka menjalani latihan penerbangan pesawat menggunakan simulator yang terletak di Kompleks A, Bangunan Simulator Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.

MAS merupakan antara syarikat penerbangan yang menempah pesawat penumpang terbesar itu dan pada 22 November 2009, Penerbangan Malaysia Bhd. (PMB), (MAS) dan Airbus telah menandatangani perjanjian pembelian enam buah pesawat A380-800.

Jika segalanya berjalan lancar, ketibaan pesawat pertama adalah dijangka pada suku kedua tahun 2012.

Untuk itu, MAS juga telah membawa masuk dua jurulatih penerbangan dari Toulouse, Perancis, bagi melatih juruterbang-juruterbang tempatan.

"Pesawat ini adalah sebuah pesawat berteknologi tinggi. Kami akan pastikan para juruterbang kami benar-benar bersedia sebelum mengendalikan pesawat sebenar tahun depan,"kata Kapten Norshid Ali, yang mengetuai projek latihan simulator A380.

Beliau yang ditemui di Kompleks A, Bangunan Simulator, Subang, baru-baru ini, memberitahu projek latihan itu telah bermula sejak dua bulan yang lalu.

Katanya, bagi tujuan latihan, MAS juga telah menghantar lapan juruterbang berpengalaman ke Toulouse untuk dilatih menjadi kapten menggunakan simulator tersebut.

Sepuluh lagi kapten kini sedang mengikuti kursus dan seterusnya mereka akan melatih 100 lagi juruterbang yang bakal memandu enam buah pesawat A380 milik MAS tersebut.

"Latihan untuk bakal juruterbang Airbus ini mengambil masa selama tujuh minggu sebelum mereka dikira mahir.

"Kriteria lain ialah seorang kapten itu mestilah pernah bertugas sebagai komander pesawat 747 selama dua tahun dan untuk pembantu juruterbang (co-pilot) pula mesti mempunyai rekod penerbangan 2,000 jam.

"Sudah tentu senarai pemilihan juruterbang ini diambil dari kalangan senior. Bila pesawat sebenar tiba, mereka perlu menjalani latihan penerbangan sebenar dalam masa tiga hari.

"Penerbangan percubaan itu adalah dari Kuala Lumpur ke Singapura atau ruang udara Kuala Lumpur sahaja. Apabila mereka sudah mempunyai keyakinan baru boleh bawa penerbangan komersial," katanya.

Norshid menambah, simulator A380 yang terdapat di kompleks itu beroperasi 24 jam.

Tambahnya, seorang juruterbang wajib melalui 24 sesi sesi di simulator dan mereka akan dipantau oleh seorang pegawai pemeriksa.

"Ini adalah pesawat baru yang tercanggih jadi kita perlu persediaan rapi. Memang latihan yang banyak amat penting dan aspek pendaratan untuk Airbus. Ini satu perkara yang perlu diambil kira," ujarnya.

Ketika ditanya perbezaan suasana pemanduan pesawat itu, Norshid berkata, kokpit A380 sebenarnya lebih kecil dari pesawat 747.

Pesawat itu juga sangat kurang menggunakan buku panduan.

"Semuanya elektronik dan tanpa wayar. Jadi semua pesanan dan mesej dihantar secara wireless sahaja. Di hadapan juruterbang terdapat sebuah notebook untuk digunakan. Suasana macam di pejabat pun ada," ujarnya sambil berseloroh.

Istimewanya simulator yang berharga AS$17juta (RM53.3 juta) itu ialah ia memberikan situasi yang sama dengan dengan pesawat sebenar.

"Selain itu simulator ini juga menyediakan pelbagai jenis situasi kecemasan semata-mata untuk memastikan juruterbang bersedia sekiranya berhadapan dengan keadaan sebenar," jelasnya.

Boleh dikatakan simulator A380 adalah yang terhebat dan paling canggih dari sudut teknologi.

Menggunakan sepenuhnya sistem rangkaian penyedia penuh dan sistem informasi on-board di dalam simulator tersebut.

Sistem visualnya juga menggunakan imej satelit sebenar dari pangkalan data.

"Sebagai contoh, kalau mendarat di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) suasana sebenar memang sama macam di Sepang sana. Simulator ini juga menggunakan sistem hybrid bukan lagi hydraulic seperti dulu," jelasnya.

Pesawat A380 akan memulakan penerbangan pertama pada suku ketiga tahun antara London-Kuala Lumpur iaitu penerbangan malam.

Menurut Norshid, mereka di MAS sangat optimis bahawa dengan kemasukan pesawat ini akan memberi manfaat yang tinggi untuk negara ini.

Selain London, A380 ini juga akan memulakan penerbangan ke Amsterdam.

"Airbus ini tidak boleh parking biasa, perlu parking khas dan KLIA sudah menyediakan tiga ruang khas di penjuru khusus untuk A380.

"Di Malaysia, hanya KLIA sahaja yang menyediakan tempat parking untuk Airbus ini dan Singapura juga. Jadi inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa Malaysia memang bersedia untuk pesawat hebat ini," jelasnya.

Thursday, September 29, 2011

7 penerbangan haji dari Terengganu

KUALA TERENGGANU 28 Sept. - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) negeri Terengganu akan mengendalikan tujuh penerbangan haji terus ke Tanah Suci melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, bermula Jumaat ini.

Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, kira-kira 3,100 jemaah terutama dari Terengganu, Kelantan dan Pahang akan berlepas melalui lapangan terbang di negeri ini.

Katanya, setiap penerbangan dijangka akan membawa seramai 447 jemaah menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan penerbangan terus ke Madinah dan Jeddah.

''Penerbangan pertama KT4 dijangka berlepas kira-kira pukul 11.35 pagi terus ke Madinah,'' katanya selepas mengadakan taklimat dan meninjau mengenai persiapan operasi penerbangan haji kepada petugas di LTSM di sini, pagi ini.

Hadir sama Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Ahmad Ramli Mahmood.

Kira-kira 300 kakitangan dari 18 agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, MAB, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, MAS dan Jabatan Kastam dan Imigresen membantu operasi penerbangan haji di LTSM.

Beliau berkata, penerbangan kedua dari LTSM ialah pada 1 Oktober dan diikuti pada 5 dan 6 Oktober serta 16, 17 dan 18 Oktober.

Sementara itu, kira-kira 1,800 jemaah dari negeri ini berpeluang menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Wednesday, September 28, 2011

AirAsia labur lebih AS$1 juta bagi sistem pengurusan

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Syarikat tambang murah, AirAsia telah melabur lebih AS$1 juta di dalam sistem pengurusan yang mempunyai kelebihan, merlot.aero, bagi meningkatkan keefisienan operasinya.

Ketua Pegawai Operasi Bo Lingam berkata, sistem itu akan mengoptimumkan pesawat AirAsia dan penggunaan krunya. yang membolehkan syarikat penerbangan itu meningkatkan lagi prestasi mengikut masa dan meminimumkan kos.

"Dengan pemasangan sistem baharu itu, AirAsia dijangka dapat meningkatkan prestasi mengikut masa penerbangan kami dan memaksimumkan penggunaan pesawat kami bagi memberi khidmat kepada lebih banyak laluan dan meningkatkan kekerapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sistem itu, yang akan bermula sepenuhnya pada November dijangka digunakan oleh keseluruhan kumpulan AirAsia di seluruh rantau ini dan oleh syarikat sekutunya, AirAsia X, menjelang pertengahan tahun depan.

Sistem merlot.aero, dari New Zealand, secara kolektifnya berpengalaman selama 50 tahun mereka bentuk, membangunkan dan menyampaikan perisian berinovatif kepada sektor penerbangan

Pesawat MiG-29 tidak ditukar

DR. AHMAD Zahid Hamidi menandatangani plak sempena perasmian Kompleks Mutiara Pernama di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, semalam. Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin (kiri), Pengerusi Pernama, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Hashim Ali serta Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (empat, kanan).

TAMPIN 26 Sept. - Rancangan pembelian aset baru bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk menggantikan pesawat pejuang MiG-29 belum dapat diputuskan dalam tempoh terdekat ekoran masalah kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan untuk menukar pesawat ketenteraan itu dan juga aset pertahanan lain hanya akan dapat dilakukan apabila keadaan ekonomi mengizinkan.

"Kita menyedari tempoh perkhidmatan 10 pesawat MiG-29 buatan Rusia yang diguna oleh TUDM sudah tamat tempohnya, namun tiada cadangan bagi menukarnya dalam masa terdekat.

"Bagi pihak kementerian, kita memahami kerajaan perlu mengutamakan perkara lain. Namun buat masa ini kita melihat ada keperluan lain dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) berbanding isu penambahan aset," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Mutiara Pernama di Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Bagi mengatasi perkara itu, beliau menjelaskan, TUDM dan kementerian sedang menjalankan kajian terperinci mengenai pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) yang sesuai untuk menukar MiG-29.

Namun katanya, kementerian tidak meletakkan sasaran tempoh masa terhadap proses penukaran aset pertahanan berkenaan.

Mengenai Kompleks Pernama, Ahmad Zahid memberitahu, pembukaan kompleks berharga RM10 juta yang dibina di atas tapak seluas 0.65 hektar di kem tersebut bakal memberi keselesaan kepada warga kem mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.

Kompleks itu menyediakan 22 ruang meliputi tapak perniagaan termasuk pasar raya Pernama, kedai gunting rambut, kedai jahit serta kedai basikal.

Kata Ahmad Zahid, rangkaian kedai Pernama menjual 370 barangan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran ekoran subsidi RM5 juta yang diperuntukkan kerajaan setiap tahun.

Waktu pergi, balik suasana berbeza

KAMI BERSEDIA!...petugas haji yang tidak sabar memberi khidmat mereka tahun ini. KAMI BERSEDIA!...petugas haji yang tidak sabar memberi khidmat mereka tahun ini.
TUGAS ISTIMEWA...Tunku Shaniza (kiri) dan Yanti Irwani gembira melayan tetamu Allah. TUGAS ISTIMEWA...Tunku Shaniza (kiri) dan Yanti Irwani gembira melayan tetamu Allah.

BUKAN hanya jemaah haji yang teruja dan berdebar-debar mahu menjadi tetamu Allah tetapi petugas haji terutama anak-anak kapal Penerba�ngan Malaysia (MAS) yang mengiringi jemaah pergi dan balik di atas udara juga ada keterujaan tersendiri.

Tunku Shaniza Tunku Aziz Bendahara, 40, sudah sembilan kali menjadi petugas haji bersama MAS. Ibu dua anak berasal dari Kedah ini teruja dengan pengalaman yang dikecapinya setiap tahun.

“Setiap tahun pembawaan jemaah sentiasa berubah dan sepanjang sembilan tahun ini saya dapat me�nyaksikannya. Mereka semakin bijak dan berani sejajar dengan kemodenan dunia.

“Walaupun majoriti jemaah adalah orang tua, ia tidak menjadi masalah kerana saya melayan mereka seperti ibu bapa sendiri. Begitulah yang sepatutnya sebagai saudara sesama Islam. Saya melaksanakan tugas dengan ikhlas dan memberi yang terbaik,” katanya.

Shaniza yang juga penyelia penerbangan tidak menafikan, melakukan tugasan istimewa ini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada dirinya. “Saya perlu melatih diri mengenai kesabaran lebih daripada biasa dan keinginan untuk menunaikan haji juga semakin mendalam,” ujarnya ceria. Penerbangan pertama Shaniza pada 29 September, jam 11.25 pagi bersama MH8000 ke Madinah. Yanti Irwani, 33, berasal dari Ipoh turut gembira tugasannya kali kedua sebagai petugas haji tahun ini. “Tahun sudah, sebab baru pertama kali memang hati agak risau tetapi tahun ini debarannya semakin berkurangan,” katanya. Bagi Yanti, pada pemerhatiannya sikap jemaah pergi dan balik juga berbeza. “Waktu pergi mereka lebih banyak berdiam, tak banyak cakap dan lebih menurut. Keadaan ini berbeza sebaik pulang. Mereka mula riuh, mahu tukar tempat duduk dan perangai pun berubah. Ramai juga yang sakit dalam perjalanan balik,” cerita Yanti sambil menambah, begitu juga keadaan beg jemaah yang semakin berat. Tidak menafikan menjadi petugas haji ada tekanan tersendiri tetapi Yanti tetap seronok dapat berkhidmat dengan tetamu Allah. “Melayan orang tua memberi kita keinsafan dan menguji kesabaran. Bila sudah bertugas, makin teringin hendak mengerjakan haji bersama suami saya kelak,” akuinya. Penerbangan pertama Yanti ialah pada 30 Septem�ber dari Terengganu ke Madinah jam 11.35 pagi bersama MH8002. GK Arlene Vanessa, 41, mula menjadi petugas haji pada 2003 dan sehingga kini dia sudah menganggapnya rutin yang biasa setiap tahun. “Ada jemaah yang tanya mengenai cara solat kepada saya, jadi saya beritahu mereka saya bukan Muslim dan merujuk mereka kepada petugas Islam. “Pengalaman menjadi petugas haji memang manis berbanding hari biasa, selalu terjadi jemaah wanita memeluk saya sebaik mendarat sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran setelah selamat sampai,” cerita Arlene yang tidak kisah kena bertudung kerana itu sebahagian daripada tugasnya. Ibu dua anak ini juga merasakan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah yang berumur tiada masalah baginya kerana setiap kali tugasan, dia menganggap umpama melayan ibu bapanya sendiri. Karen Lee, 38, anak kelahiran Pulau Pinang sudah kali keempat menyertai kumpulan petugas haji MAS. Perkhidmatan terbaik adalah agenda utamanya. “Saya seronok dengan tugas ini kerana menghantar orang membuat perkara yang baik sesuatu yang bermakna pada diri saya,” katanya. Ceritanya, dia pernah disuruh seorang jemaah agar berkahwin dengan anak lelakinya. “Mungkin kerana dia berpuas hati dengan perkhidmatan kami walaupun tahu saya bukan Muslim,” ketawa Karen mengingati kenangan manis itu. Setelah bertudung memang Karen tampil lebih ayu dan tidak hairan ada yang mahu menjadikannya menantu. Penerbangan pertama Karen ialah pada 9 Oktober dari Johor Bahru ke Jeddah jam 12.30 pagi bersama MH8030.

Tuesday, September 27, 2011

Pesawat terhempas di tengah Indonesia, dua maut

MATARAM 27 Sept. - Sebuah helikopter disewa oleh syarikat Newmont Mining yang terletak di Amerika Syarikat, terhempas di tengah-tengah Indonesia dan membunuh seramai dua orang, lapor pegawai penyelamat hari ini.

Pesawat Bell 412 yang membawa dua penumpang termasuk juruterbang, hilang sejak semalam dan bangkai pesawat ditemui di wilayah barat Nusa Tenggara.

Menurut Ketua Penyelamat Wilayah, Ida Bagus Gde berkata juruterbang dan seorang penumpang terbunuh dalam kemalangan tersebut. – AFP

Monday, September 26, 2011

Cepatkan bina lapangan terbang antarabangsa

KOTA BHARU 25 Sept. - Kerajaan Pas Kelantan memohon Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di sini bagi merancakkan lagi perkembangan sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, kerajaan negeri sangat-sangat mengalu-alukan pembinaan lapangan terbang tersebut yang boleh membantu kemasukan terus pelabur asing ke negeri ini tanpa perlu melalui Kuala Lumpur.

''Permohonan supaya pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu dipercepatkan hampir setiap tahun dibangkitkan termasuk oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sendiri dalam titah ucapan baginda semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan bajet,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merasmikan pejabat Pusat Perkhidmatan Pelancongan Air Asia dimiliki oleh syarikat al-Quds Travel Sdn. Bhd. di Jalan Sultan Ibrahim di sini.

Turut hadir, Pengarah Urusan al-Quds Travel, Wan Mohd. Zamri Wan Salleh dan Ketua Wilayah Jualan dan Pengedaran Air Asia, William Lim.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, ketika ini kerajaan negeri masih menunggu pengesahan daripada Kementerian Pelancongan mengenai status Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa yang telah dinaik taraf baru-baru ini, untuk dijadikan lapangan terbang antarabangsa.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita memberi sokongan sepenuhnya kerana kita yakin dengan lapangan terbang yang dinaik taraf, ia akan membantu membangunkan negeri dengan lebih cepat," katanya.

Pada 19 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, LTSIP boleh mengendalikan perkhidmatan penerbangan antarabangsa setelah projek menaik taraf bernilai RM45.5 juta yang bermula Jun tahun lalu siap sepenuhnya.

Beliau berkata, dengan pemanjangan landasan dari 1,980 meter kepada 2,400 meter itu, ia membolehkan pendaratan pesawat lebih besar termasuk Airbus A330 dan Boeing 737-800.

Pesawat Buddha Air terhempas, 19 terkorban

KATHMANDU 25 Sept. - Seramai 19 penumpang dan anak kapal terkorban apabila sebuah pesawat Buddha Air terhempas di kaki gunung berhampiran Kathmandu, semalam.

Pesawat Beechcraft itu yang membawa 10 penumpang warga India, tiga pelancong asing, tiga warga tempatan dan tiga anak kapal warga Nepal terhempas ketika hujan lebat dan dalam keadaan berkabus di Godavari, kira-kira 10 kilometer dari Kathmandu.

"Pesawat Buddha Air-103 itu terhempas di Gunung Kotdada ketika dalam perjalanan balik dari menyaksikan keindahan Gunung Everest," kata Ketua Bahagian Penyelamat di Lapangan Terbang Antarbangsa Tribhuwan, Bimlesh Lal Karna, sambil menambah kata bahawa usaha menyelamat sukar dijalankan ekoran hujan lebat.

Pihak lapangan terbang terputus huabungan dengan pesawat tersebut pada kira-kira pukul 9.33 pagi waktu Malaysia dan terhempas empat minit kemudian.

Syarikat penerbangan persendirian itu tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan lanjut.

Buddha Air menawarkan pakej Everest Experience yang membawa pelancong menyaksikan keindahan gunung tertinggi di dunia itu serta keadaan di sekitar puncak.

Dalam laman webnya, Buddha Air menyifatkan pesawat Beechcraft sebagai pesawat paling selamat dalam operasi penerbangan domestik. - AFP

Friday, September 23, 2011

Pesawat terhempas di wilayah Papua, 3 maut

TIMIKA 23 Sept. - Seramai tiga penumpang termasuk seorang juruterbang warga Amerika terbunuh selepas pesawat kecil yang dinaikinya terhempas di kawasan pergunungan di wilayah Papua hari ini, lapor pihak polis.

Ketua polis, Wachyono berkata, pesawat Pilatus yang membawa bekalan ke beberapa kampung terpencil untuk sebuah persatuan kemanusiaan Kristian terhempas di daerah Wamena pada 2.13 petang waktu Malaysia dan tiada mangsa dilaporkan selamat daripada kemalangan tersebut.

Tambahnya, persatuan itu turut mengesahkan ketiga-tiga penumpang termasuk juruterbangnya, Paul Westlund terkorban dalam nahas kemalangan itu. – AFP

Wednesday, September 21, 2011

Bekas juruterbang TUDM terima pingat emas

Mohammad Rahim Kamaluddin (kiri) dan Ahmad Wafi Shahedan (kanan) memakaikan jubah konvokesyen kepada Yuhaizam Yahaya di USM, semalam. - BERNAMA

PULAU PINANG 20 Sept. - Meskipun terpaksa berkerusi roda akibat kemalangan ngeri yang dialaminya tiga tahun lalu, Kapten Yuhaizam Yahya, 40, tidak pernah menjadikan kecacatan itu sebagai penghalang untuknya menggenggam segulung ijazah.

Malah, bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berasa amat bersyukur kerana masih mampu bergelar graduan selepas terselamat dalam kejadian pesawat terhempas di Butterworth pada tahun 2004 yang turut meragut nyawa dua rakan karibnya .

Kepuasan jelas terpancar pada wajah bapa kepada empat orang anak itu setelah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam kursus Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta dipilih memenangi Anugerah Pingat Emas USM bagi kategori Pelajar Kelainan Upaya (PKU) terbaik.

''Meskipun cacat dan terpaksa berkerusi roda sepanjang tiga tahun di universiti ini tetapi saya tidak merasakan ia satu masalah. Hasil sokongan keluarga, kawan-kawan serta pihak USM sendiri, saya dapat belajar seperti insan normal yang lain.

''Yang penting, kita tidak boleh malu dan rasa rendah diri dengan kekurangan yang kita miliki. Buka minda seluas-luasnya dan terus berusaha. Pasti kejayaan menanti. Bukan hanya untuk universiti, tetapi juga ketika bergaul dengan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar graduan cemerlang USM bagi sesi pengambilan 2010-2011 sempena konvokesyen ke-44 universiti tersebut di sini, hari ini.

Yuhaizam yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan tulang kaki retak akibat kemalangan kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Sumber Manusia, TUDM, Ipoh.

Dalam kejadian 5 Mac 2004, kira-kira pukul 7.21 pagi, pesawat Nuri yang dipandu Yuhaizam terhempas di kawasan perumahan di Taman Udara, Permatang Tengah, Butterworth yang mengorbankan pembantu juruterbang, Kapten Dicky Rishi Chin, 27, dan Sarjan Zailani Ab. Kadir, 37.

Selain itu, USM juga memilih Profesor Dr. Al'Amin Ali Mazrui, seorang tokoh pemikir agung dalam isu-isu berkait rapat dengan dunia Afrika dan anti kolonialisme untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah manakala Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan.

Dua Boeing 747-400 untuk bawa jemaah haji - MAS

PETALING JAYA 21 Sept. — Malaysia Airlines (MAS) akan menggunakan dua pesawat Boeing 747-400 dengan kapasiti 447 penumpang untuk menerbangkan 14,000 bakal jemaah haji Malaysia musim ini.

Pengurus Kanan Jabatan Haji dan Penerbangan Sewa Khas MAS, Hisham Haron berkata, baki 14,000 lagi bakal jemaah akan diterbangkan dengan pesawat Saudi Airlines.

"Penerbangan dari Malaysia ke Mekah iaitu fasa pertama akan bermula dari 29 Sept. hingga 30 Okt. manakala penerbangan balik ke Malaysia iaitu fasa kedua akan bermula dari 12 Nov. hingga 10 Dis.,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Hisham berkata, MAS akan melakukan 11 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), lapan dari Pulau Pinang, tujuh dari Kuala Terengganu, enam dari Johor Baharu dan tiga masing-masing dari Kota Kinabalu dan Kuching.

Semua penerbangan dari KLIA akan bermula dari Kompleks Jemaah Haji di Kelana Jaya yang diurus oleh Lembaga Tabung Haji. — Bernama

Tuesday, September 20, 2011

Penunjuk arah mabuk punca pesawat terhempas

MOSCOW 20 Sept. – Kelalaian seorang krew penunjuk arah yang berada dalam keadaan mabuk menjadi punca nahas pesawat pada Jun lalu yang mengorbankan 47 penumpang, kata kumpulan penyiasat hari ini.

Berdasarkan laporan yang diperoleh, pesawat Tu-134 terhempas kerana krew tersebut gagal memberikan isyarat agar tidak melakukan pendaratan walaupun juruterbang tidak dapat melihat dengan jelas lampu serta petanda lain ketika pesawat mendarat.

Tu-134 melanggar pokok sebelum terhempas ketika cuba mendarat dalam keadaan kabus tebal di lapangan terbang di utara bandar Petrozavodsk. – AFP

Monday, September 19, 2011

Firefly tawar 20 penerbangan tambahan ke laluan terpilih

KUALA LUMPUR 19 Sept – Firefly, syarikat penerbangan tambang rendah yang dimiliki oleh Malaysia Airlines, telah menawarkan 20 perkhidmatan penerbangan tambahan ke atas laluan-laluan terpilih bulan depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Eddy Leong berkata, perkhidmatan tambahan itu boleh dijayakan dengan penghantaran dua pesawat ATR72-500 baharu dalam bulan yang sama.

"Kami turut memberi fokus kepada menambah baik saling hubung ke atas laluan-laluan sedia ada dengan menambah lagi frekuensi mulai 30 Oktober,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tambahan frekuensi akan diperkenalkan ke atas laluan Subang ke Alor Setar, Langkawi dan Johor Bahru, sekali gus menyaksikan tiga penerbangan harian di setiap laluan.

Firefly juga akan menambah tiga penerbangan baharu setiap hari ke atas laluan Pulau Pinang ke Kota Bharu, membawa jumlah penerbangan kepada tujuh kali setiap hari serta dua penerbangan baru setiap hari antara Subang dan Pulau Pinang, menyaksikan 12 penerbangan sehari, kata Leong. – Bernama

Friday, September 16, 2011

Firefly perkenal semula laluan Subang - Kuantan

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Berikutan permintaan yang popular, Firefly akan memperkenalkan semula laluan Subang – Kuantan – Subang dengan perkhidmatan dua kali sehari bermula 30 Oktober.

Perkhidmatan itu digantung pada 2009 disebabkan kekurangan pesawat, kata Firefly dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Firefly Datuk Eddy Leong berkata: “Kami kini mampu untuk memenuhi banyak permintaan bagi laluan ini kerana kami akan menerima serahan dua pesawat baharu ATR72-500 bulan depan.

"Kedua-dua pesawat itu akan berpangkalan di Subang.”

Leong berkata, Firefly menjangkakan laluan Subang – Kuantan mendapat sambutan dan yakin memperoleh pelanggan daripada pengunjung perniagaan serta mereka yang mengunjungi rakan dan saudara mara. - Bernama

Thursday, September 15, 2011

Jerebu: Singapura tawar bantuan

SINGAPURA 14 Sept. - Singapura bersedia menghantar pesawat udara untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan yang boleh menjejaskan perlumbaan Formula One waktu malam di republik ini pada minggu depan.

Pembakaran hutan yang dilakukan secara haram oleh petani dan syarikat pembalakan di Sumatera semasa musim kemarau mencetuskan jerebu yang menyelubungi Singapura dan Malaysia setiap tahun, menimbulkan masalah kesihatan.

"Namun semuanya bergantung kepada sama ada pihak Indonesia meminta atau memerlukan bantuan kami," kata Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Vivian Balakrishnan kepada Channel NewsAsia hari ini. - Reuters

Saturday, September 10, 2011

Pesawat kargo bawa diesel, beras terhempas di Indonesia

JAKARTA 10 Sept. - Sebuah pesawat kargo yang dipandu oleh seorang juruterbang Australia dan pembantunya dari Slovakia, terhempas di kawasan pergunungan Papua, Indonesia, semalam.

Jurucakap Menteri Pengangkutan, Bambang Ervan berkata, pesawat jenis Cessna Grand Caravan milik syarikat penerbangan tempatan, Susi Air itu membawa muatan diesel dan beras ketika kejadian.

"Kami mengesan kedudukan pesawat tersebut dari udara, namun tidak dapat menghampiri lokasi kejadian ekoran cuaca gelap.

"Kami juga tidak pasti sama ada juruterbang dan pembantunya terselamat dalam kejadian itu," katanya. - Reuters

Friday, September 9, 2011

Pemain skuad hoki ais antara 43 terkorban

Pemain pasukan Salavat Yulaev Ufa (kanan) dan Atlant dari wilayah Moscow bertafakur memperingati tragedi pesawat terhempas yang mengorbankan 43 orang termasuk pemain hoki ais kelab Lokomotiv Yaroslavl, kelmarin. - Reuters

MIAMI - Sukan hoki ais terkejut dan bersedih apabila melalui 'hari malang' ekoran pesawat yang membawa pemain kelab Rusia, Lokomotiv Yaroslavl terhempas kelmarin dan membunuh 43 orang dan hanya dua yang terselamat.

"Ia merupakan tragedi terburuk buat komuniti sukan hoki ais yang melibatkan banyak pemain dari pelbagai negara," kata presiden Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa, Rene Fasel dalam kenyataan pada laman web www.iihf.com.

Pesawat tersebut membawa pemain pasukan Liga Hoki Benua (KHL) untuk satu perlawanan di ibu negara Belarus, Minsk apabila ia terhempas beberapa kilometer dari lapangan terbang Tunoshna, berhampiran Yaroslavl, 250 kilometer di utara Moscow.

Jurulatih dan pemain skuad Lokomotiv berasal dari beberapa negara termasuk Republik Czech, Slovakia, Sweden dan Kanada.

Pemain Republik Czech, Jan Marek, Karel Rachunek dan Josef Vasicek pemain kebangsaan yang memenangi kejohanan Dunia enam turut terbunuh.

Pegawai berkata, penjaga gol Lokomotiv dari Sweden, Stefan Liv juga terbunuh.

Jurulatih Lokomotiv, Brad McKrimmon dari Kanda, yang baru menyertai kelab itu, antara yang turut terbunuh.

Mas adakan 38 penerbangan sewa khas haji

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Malaysia Airlines (MAS) akan menyediakan 38 penerbangan sewa khas haji bagi Lembaga Tabung Haji semasa fasa pertama operasi musim haji mulai 29 September hingga 30 Oktober tahun ini.

Penerbangan pertama, MH 8000 dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ke Madinah ada 29 September.

Menurut satu kenyataan syarikat penerbangan itu hari ini, MAS akan mengangkut kira-kira 14,000 jemaah haji pada setiap fasa penerbangan pergi dan balik haji.

Fasa kedua penerbangan sewa khas haji dijadual bermula pada 12 November hingga 10 Disember.

Menurut kenyataan itu, daripada 38 penerbangan berkenaan, 11 penerbangan adalah dari KLIA, lapan (Pulau Pinang), tujuh (Kuala Terengganu), enam (Johor Baharu) dan masing-masing tiga dari Kota Kinabalu dan Kuching.

MAS mengkhususkan dua pesawat Boeing 747-400 bagi operasi penerbangan musim haji kali ini.

Bagi memastikan jemaah haji menikmati perjalanan yang selesa ke Tanah Suci, MAS menyediakan beberapa pilihan perkhidmatan khusus semasa penerbangan antaranya program audio seperti pilihan lagu nasyid, bacaan ayat-ayat Al-Quran serta siaran video menerusi skrin TV pada setiap tempat duduk penumpang.

Doa Musafir juga akan diperdengarkan dan bacaan niat ihram (miqat) akan didemonstrasikan oleh krew penerbangan dalam Bahasa Melayu.

MAS akan menugaskan petugas berpengalaman bagi pengendalian di lapangan bagi operasi haji di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, KLIA dan di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah, menurut kenyataan itu

Thursday, September 1, 2011

Selamat Menyambut Hari merdeka

Kepada seluruh rakyat Malaysia, aku ingin mengucapkan selamat ari raya dan selamat menyambut hari merdeka!!!!
Ingat, kemerdekaan yg kita kecapi skang bukan senang nk dpt...dh laa dijajah British , Jepun dan sebagainya..so sedarlah diri kepada yg cuba nk rosakkan perpaduan yg ada kat Malaysia skang nie....Jgn laa sbb ade kepentingan individu korang buat hal dan merosakkan bangsa Malaysia...
Salam kemerdekaan semua!!!!