mangga add

Monday, December 30, 2013

Selesaikan laluan Ipoh-Medan


IPOH 25 Dis. - Pihak bertanggungjawab diminta campur tangan bagi membolehkan penerbangan Flying Fox Airways laluan antara Ipoh-Medan berjaya direalisasikan dalam usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan tempatan terutama pelancongan perubatan di bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, adalah sesuatu yang amat merugikan apabila penambahbaikan yang dibuat terhadap Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah sebelum ini tidak dapat digunakan untuk tujuan komersial.

Justeru, tegas Roshidi, sesuatu perlu dilakukan pihak berwajib sama ada dari Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri bagi memastikan penerbangan tersebut berjaya dilakukan mengikut jadual.
"Sebagai Datuk Bandar saya merasa amat sedih apabila mengetahui kapal terbang jenis Boeing 737-400 tidak boleh mendarat akibat masalah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sedangkan apa yang kita faham kerja-kerja penyambungan landasan sebanyak 200 meter lagi telah dibuat untuk membolehkan pesawat besar mendarat.

"Usaha ini amat baik untuk masa depan sektor pelancongan negeri ini. Jadi saya amat berharap sesuatu dapat diambil pihak berwajib supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Hotel Golden Roof Ipoh di Pusat Perdagangan Ampang Baru di sini hari ini.

Baru-baru ini penerbangan pertama Flying Fox Airways yang dijadualkan pada 13 Disember lalu terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Flying Fox Airways memeterai perjanjian dengan syarikat penerbangan ketiga terbesar di Indonesia, Sriwijaya Air bagi penerbangan dari Ipoh ke Medan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Lee berkata, mereka menerima maklum balas melalui notis kepada juruterbang bahawa hanya kapal terbang jenis ATR-72 (72 tempat duduk) dibenarkan mendarat di lapangan terbang tersebut pada masa ini.

Roshidi berkata, sebagai alternatif, pengusaha-pengusaha penerbangan diminta menggunakan pesawat lebih ringan untuk membolehkan usaha menerokai laluan tersebut berjaya dilaksanakan.
"Setakat ini saya tidak tahu apa alasan yang diberikan namun saya pasti DCA mesti ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Namun, pengusaha penerbangan boleh menggunakan pesawat yang lebih ringan kerana potensi cukup banyak apabila laluan Ipoh-Medan ini dibuka terutama dalam sektor pelancongan kesihatan.
"Ini berikutan bayaran yang dikenakan hospital swasta di sini jauh lebih murah jika dibandingkan di Pulau Pinang dan Singapura," katanya.

AirAsia rancang ke AS


PESAWAT A330-300 AirAsia membolehkan ia terbang ke laluan jarak jauh.


PARIS 22 Dis. - AirAsia X, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh sekutu AirAsia Group, merancang untuk ke Eropah pada 2016.

Pengasas bersama dan Pengarah Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu juga meninjau kemungkinan untuk mengadakan penerbangan ke Amerika Syarikat apabila menerima pesawat yang baru ditempah, pesawat A330-3a00 pada 2015.

"Margin kecil bagi laluan ini tetapi kami melakukannya untuk jangka panjang," kata Fernandes kepada wartawan Malaysia di luar majlis pemeteraian perjanjian antara AirAsia X dan Airbus baru-baru ini bagi penempahan 25 lagi pesawat A330-300.

Tempahan bernilai AS$6 bilion (RM19.2 bilion) ini merupakan perjanjian tempahan terbesar oleh sebuah syarikat penerbangan bagi pesawat A330-300.

Fernandes berkata, AirAsia X menyasar untuk menjadi 'Emirates Asia Tenggara,' dengan mengadakan penerbangan ke destinasi baharu dan memasuki pasaran baharu seperti Mongolia, dengan 57 pesawat yang ditempah secara keseluruhannya menjelang 2019.

Syarikat penerbangan itu telah membawa lebih sembilan juta penumpang sejak memulakan operasi pada 2007, ke 18 destinasi di seluruh Asia, Australia dan Asia Barat.

AirAsia X akan memanfaatkan pertumbuhan positif dalam industri penerbangan disebabkan permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan udara serta pertumbuhan ekonomi yang positif, kata beliau dan menambah bahawa prospek industri penerbangan dilihat positif.

"Pembukaan KLIA2, terminal tambang rendah yang baharu, tahun depan akan memberi rangsangan yang besar kepada industri," katanya.

Beliau berkata, terdapat peluang yang hebat bagi Malaysia untuk menjadi seperti Dubai, yang terkenal sebagai hab penerbangan utama, dengan sokongan daripada kerajaan dan pihak berkuasa lapangan terbang. 

AirAsia terbang dari Cebu ke KK


Teo Chee Kang (tiga dari kanan) ditemani Aireen Omar (dua dari kanan) memakaikan kalungan manik kepada penumpang pada Majlis Penerbangan Sulung Sektor Cebu-Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 19 Dis. - AirAsia Berhad (AirAsia), menambah laluannya ke Cebu, Filipina dari Kota Kinabalu, Sabah menerusi penerbangan sulung sektor Cebu-Kota Kinabalu hari ini.

Laluan baharu yang beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu melalui AirAsia Zest merupakan destinasi kesepuluh Kumpulan AirAsia secara terus ke Sabah dari beberapa negara lain seperti China, Taiwan dan Indonesia.

Pesawat Z2 191 tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Cebu, Filipina kira-kira pukul 11.50 pagi bersama 120 penumpang termasuk rakan media dan blogger dari Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, pembukaan laluan baharu itu merupakan satu lagi kejayaan kepada pihaknya, sekali gus menjadi perkembangan baik kepada pembangunan pesat bagi Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia jelas terbukti melalui sambutan dan kesinambungan penerbangan sulung dari Manila, Filipina ke Miri, Sarawak pada 7 Disember lalu yang merupakan satu-satunya laluan yang dibuat oleh syarikat penerbangan di rantau ini.

''Kami berbangga dengan syarikat penerbangan gabungan kami AirAsia Zest kerana merapatkan jurang antara Malaysia dan Filipina yang dilihat dapat membantu meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara selain merapatkan hubungan antara masyarakat.
"Dengan laluan Cebu-Kota Kinabalu, kami berharap dapat meningkatkan ketibaan lebih ramai pelancong ke Sabah dengan Kota Kinabalu sebagai pintu masuk dan sudah tentu meningkatkan penyambungan (hub) laluan ke destinasi pilihan lain," katanya dalam ucapan pada Majlis Penerbangan Sulung Sektor Cebu-Kota Kinabalu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Teo Chee Kang; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Philippines, Maan Hontiveros dan Pengerusi Sabah Tourism, Datuk Joniston Bangkuai.
Tambah Aireen, AirAsia komited menjadi jambatan ke arah pembangunan sosio-ekonomi dengan membuka pintu perniagaan atau membawa pelabur berpotensi dari seluruh rantau untuk meneroka peluang di Sabah dan Sarawak.

Beliau memberitahu, setakat ini, AirAsia menyediakan 330 penerbangan pergi-balik seminggu untuk Semenanjung Malaysia dan 412 penerbangan seminggu ke Sarawak.

''Kota Kinabalu merupakan hub laluan, di mana tetamu boleh terbang bersama AirAsia dari Kuala Lumpur sebelum transit di sini dan meneruskan perjalanan ke 14 destinasi antarabangsa seperti Australia, China, Jepun, Korea dan Nepal pada kos rendah jarak jauh," katanya.
Sempena kejayaan penerbangan sulung itu, bermula hari ini AirAsia menawarkan promosi tambang sektor berkenaan serendah RM90 sehala sehingga 29 Disember ini bagi tempoh perjalanan 20 Disember hingga 28 Februari tahun hadapan.

Dalam pada itu, Aireen memberitahu, pihaknya dalam perbincangan untuk menempatkan dua buah kapal terbang lagi di terminal 2 lapangan terbang itu bagi memudahkan lebih banyak laluan boleh dibuka di kemudian hari.

Iraq beli jet tempur dari Korea Selatan


SEOUL 12 Dis. - Iraq, hari ini menandatangani perjanjian bernilai AS$1.1 bilion (RM3.5 bilion) bagi membeli 24 buah pesawat pejuang pelbagai fungsi dari Korea Selatan.

Jurucakap Industri Aeroangkasa Korea (KAI) berkata, pembelian 24 pesawat tersebut melibatkan model T-50IQ, dan pesawat supersonik T-50 yang akan dihantar ke Baghdad antara 2015 dan 2016.
"Ini adalah perjanjian pembelian pesawat tentera paling besar dalam sejarah Korea Selatan sebagai pengeksport peralatan ketenteraan," katanya.

Iraq juga dijangka menandatangani perjanjian tambahan berjumlah AS$1 bilion (RM3.2 bilion) pada tahun depan untuk mendapatkan bekalan peralatan dan penyediaan latihan kepada juruterbang selama 20 tahun dari Korea Selatan. -

Air France tambah 65 peratus kapasiti





Patrick Roux (tengah) bersama pengurusan Air France pada sidang akhbar yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 12 Dis. - Syarikat penerbangan Eropah, Air France akan meningkatkan kapasiti tempat duduknya sehingga 65 peratus dengan penambahan bilangan tempat duduk dalam pesawat serta tambahan satu lagi penerbangan mingguannya pada tahun depan.

Naib Presiden Kanan Asia Pasifik Air France-KLM, Patrick Roux berkata, mulai 12 Januari, syarikat akan meningkatkan sehingga 25 peratus kapasiti penumpang bagi penerbangan tiga kali seminggunya dari Paris ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat Boeing 777-200.

Katanya, penyusunan baharu tersebut melibatkan kelas bisnes sebanyak 35 tempat duduk, premium ekonomi (24) dan ekonomi (250) yang menjadikan jumlah keseluruhan 309 tempat duduk, berbanding 246 sebelumnya.

"Bermula 16 Jun 2014, Air France akan menambah kekerapan penerbangan terus Kuala Lumpur-Paris kepada empat kali seminggu berbanding tiga kali ketika ini.
"Penambahan kapasiti dan kekerapan ini menunjukkan permintaan yang kukuh bagi perkhidmatan Air France sejak dilancarkan April lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada taklimat media di sini hari ini.
Yang turut hadir, Duta Perancis di Malaysia, Martine Dorance, Pengurus Besar Serantau Asia Tenggara, Filipina, Malaysia, Brunei Air France-KLM, Jurriaan Stelder dan Pengurus Negara Malaysia Air France-KLM, Estee Ng.

Sementara itu, Patrick berkata, pengenalan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Paris telah mencipta peluang ekonomi yang besar yang dapat dilihat daripada permintaan perjalanan antara kedua-dua buah negara.

"Saya menyasarkan pengembangan ini akan mendapat sambutan baik kepada pelanggan yang bercuti dan urusan bisnes yang dapat mendapat kesempatan atas penambahan kekerapan penerbangan," katanya.
Ketika ini, pecahan penumpangnya adalah kira-kira 60 peratus penumpang untuk tujuan bisnes dan 40 peratus penumpang bercuti.

Airod tawar khidmat jurutera aeronautikal


KUALA LUMPUR 2 Dis. - Airod Aerospace Technology Sdn. Bhd., syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat, kini menawarkan Aeronautical Engineers, Inc. (AEI) khidmat 
penyelenggaraan dan peralihan pesawat penumpang kepada kargo (PTF) B737-300SF dan B737-400SF.

Urus niaga itu dicapai selepas AEI memilih Airod sebagai pusat baik pulih kelima di Asia Tenggara, kata satu kenyataan syarikat itu hari ini.

"Dengan tujuh hangar kami di Subang, kami mempunyai keupayaan secukupnya untuk meluaskan kerja-kerja ubah suai PTF jika ada keperluannya. Kami berharap dapat memberi khidmat kepada lebih banyak lagi pelanggan bagi kedua-dua AEI dan Airod," kata Tan Sri Ahmad Johan, Presiden Kebangsaan Aerospace & Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI).

NADI ialah syarikat pegangan Airod. Naib Presiden Jualan dan Pemasaran AEI, Robert Convey berkata, AEI perlu mendapat sebuah lagi pusat ubah suai bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin bertambah.

33 penumpang pesawat Mozambican disahkan terkorban


WINDHOEK 1 Dis. - Seramai 33 orang penumpang termasuk anak kapal penerbangan Mozambican yang dilaporkan hilang di kawasan pedalaman di timur laut Namibia, terkorban, semalam.

Menurut jurucakap polis tempatan, Willie Bampton, pihaknya menemukan bangkai pesawat tersebut dalam keadaan terbakar.

Pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Mozambique ke Angola, sebelum berpatah semula ke kawasan terpencil di Taman Negara Bwabwata

Tuesday, December 10, 2013

Tony terima anugerah tertinggi dari Perancis


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd. (AirAsia), Tan Sri Tony Fernandes memenangi anugerah Commander of the Legion d'Honneur dari kerajaan Perancis di atas sumbangan beliau dalam perkembangan ekonomi negara tersebut melalui industri penerbangan.
Anugerah Commander of the Legion d'Honneur adalah anugerah penghormatan tertinggi oleh kerajaan Perancis yang boleh dianugerahkan kepada bukan rakyat Perancis.

Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis yang diadakan di Elysée Palace di Paris, Perancis kelmarin.
Fernandes menerusi kenyataan memberitahu, industri penerbangan adalah industri penting yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan, menghubungkan komuniti masyarakat dan meningkatkan taraf hidup.

"Saya berbangga dapat menyumbang secara positif sama ada secara langsung atau tidak, dalam kehidupan orang ramai.

"Ini adalah motivasi bagi diri saya untuk terus meneraju kumpulan ini ketahap lebih tinggi, dan sekali lagi, saya amat bersyukur atas penghormatan ini," katanya.
Fernandes juga telah dianugerahkan anugerah the Officier of the Legion d'Honneur oleh kerajaan Perancis pada 2010.

Kumpulan AirAsia beroperasi dengan pesawat Airbus di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Syarikat itu telah memberi sumbangan penting kepada ekonomi Perancis dan Eropah melalui syarikat milik Eropah yang berpusat di Toulouse-Airbus, syarikat EADS dengan tempahan 475 pesawat Airbus A320s bagi AirAsia, manakala 25 Airbus A330-300 dan 10 Airbus A350-900 bagi AirAsia X.
AirAsia telah menerbangkan lebih dari 200 juta tetamu dalam tempoh kurang daripada 12 tahun beroperasi dengan jaringan rangkaian terbesar yang merangkumi 87 destinasi di 22 buah negara.