mangga add

Monday, September 30, 2013

Penumpang buka pintu kecemasan pesawat kerana kepanasan

JAKARTA 30 Sept. - Seorang penumpang pesawat milik syarikat penerbangan Lion Air bertindak membuka pintu kecemasan pesawat itu ketika ia sedang bersedia untuk berlepas di landasan sebuah lapangan terbang di Manado, Sulawesi Utara pada Isnin, dengan alasan penyaman udara tidak dingin.

Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi ketika pesawat berkenaan sedang bersiap sedia untuk berlepas bagi perjalanan Manado-Jakarta pagi ini.

Perbuatan penumpang itu menyebabkan juruterbang mengembalikan pesawat ke tempat letaknya, serta menurunkan semua penumpang, lapor portal berita kompas.com pada Isnin.

Penumpang berkenaan dilapor bertindak membuka pintu kecemasan kerana bantahan para penumpang mengenai keadaan panas dalam kabin pesawat yang telah mereka dilaporkan kepada pramugari dan juruterbang, tidak ditangani.

Waktu berlepas penerbangan itu yang tertunda selama hampir sejam menyebabkan para penumpang tidak tahan berada dalam kabin pesawat itu, dan mereka memohon supaya diturunkan daripada pesawat itu.
"Kira-kira 30 minit kami histeria dengan suasana itu. Bukannya melayani bantahan kami, juruterbang malah menggerakkan pesawat ke kedudukan take-off (kedudukan bersedia untuk berlepas)," seorang penumpang dilaporkan berkata.

Ketika itulah seorang daripada penumpang bertindak membuka pintu kecemasan pesawat.
Sehingga pukul 1 petang ini, semua penumpang masih berada di lapangan terbang itu dan mereka tidak dimaklumkan sama ada akan mendapat pesawat ganti atau tidak, lapor portal berita itu.



Advanced Super Hornet ditawarkan

Boeing menawarkan pesawat Advanced Super Hornet untuk Malaysia yang kini sedang memerlukan 18 pesawat untuk menggantikan MiG-29s serta bagi tiga pesawat amaran awal operasi udara. - gambar hiasan


KUALA LUMPUR 25 Sept. - Malaysia kini boleh menimbang Advanced Super Hornet bagi keperluan pesawat tempur pelbagai peranan, yang menawarkan ciri-ciri penambahan boleh dipasang semula dengan peralatan lebih canggih baharu termasuk peningkatan 50 peratus dalam keupayaan mengelak pengesanan radar, enjin diperkukuh dan tambahan jajaran 260 batu nautika.

Naib Presiden Boeing bagi Program F/A-18 & EA-18, Mike Gibbons berkata, jajaran tempur tambahan pesawat pejuang itu adalah hasil daripada tangki bahan api yang dapat disesuaikan, yang memberikan kelebihan besar untuk berupaya terbang dengan lebih pantas berbanding tangki luar, menjadikannya lebih hebat berbanding pesawat musuh dan ancaman lain.

Ini, bersama dengan ciri-ciri canggih lain seperti sistem peperangan elektronik yang dinaik taraf, sistem tindakan balas bersepadu dan pod senjata tertutup, telah menarik minat ramai pelanggan berpotensi Super Hornet termasuk US Navy dan Royal Australian Air Force.

Gibbons berkata, ketika ini tidak ada kenaikan harga bagi pakej Advanced Super Hornet kerana Malaysia boleh membeli Block II Super Hornet dan kemudiannya memutuskan apa yang mahu dilakukan kemudiannya dari segi memasang semua peralatan baharu.

Penambahan canggih ini, yang boleh dipasang semula di pesawat sedia ada Block II Super Hornet atau dimasukkan ke dalam pesawat baharu, dimaklumkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pegawai Kementerian Pertahanan semasa kunjungan Gibbons ke sini baru-baru ini.

TUDM dikatakan memerlukan 18 pesawat untuk menggantikan MiG-29s serta bagi tiga pesawat amaran awal operasi udara.
Bergantung kepada apa yang pelanggan mahu, Gibbons berkata, kos tambahan set penuh penambahan itu dan apa yang disifatkan beliau sebagai perubahan evolusi teknologi kepada pesawat tempur terkenal Super Hornet itu adalah kira-kira 10 peratus.

"Kami, Hornet Industry Team, terdiri daripada Boeing dan rakan kongsi kami iaitu Northrop Grumman, Raytheon dan GE Aviation, sentiasa mahu melakukan yang terbaik bagi jet itu yang melangkaui keperluan pelanggan," katanya pada taklimat media.
Ciri-ciri penambahan dipertingkatkan Advanced Super Hornet dijangka tersedia kepada pelanggan seawal 2018, kata Gibbons.

Ciri-ciri canggih tambahan yang boleh didapatkan pelanggan daripada Advanced Super Hornet termasuk kemandirian dipertingkatkan, carian dan jejak inframerah dalaman (IRST), radar yang dinaik taraf, enjin diperkukuh dan kokpit generasi seterusnya.
Penerbangan prototaip Advanced Super Hornet bermula pada 5 Ogos 2013 dari kilang pembuatan Boeing St Louis, Amerika Syarikat.



Tayar pecah, pesawat MAS tangguh penerbangan

KUCHING 25 Sept. - Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang membawa 144 orang penumpang terpaksa membatalkan penerbangan berikutan salah satu daripada empat tayarnya pecah ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.

Pengurus Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) Kuching, Sunis Naiman berkata, kesemua penumpang dan anak kapal itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan akibat insiden tersebut.

Beliau berkata, kejadian itu juga tidak menjejaskan operasi penerbangan lain di lapangan terbang berkenaan.
"Juruterbang pesawat itu cuba memberhentikan pelepasan selepas mendapati lampu amaran menyala ketika hendak menerbangkan pesawat MH 2266 kira-kira pukul 10.10 pagi ini.

"Usaha juruterbang itu berjaya menghentikan pesawat tersebut dan kesemua penumpang dikeluarkan dari pesawat oleh petugas bantuan kecemasan," katanya ketika dihubungi hari ini

Malindo Air terima pesawat B737-900ER kelima, keenam

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Malindo Air, syarikat penerbangan hibrid Malaysia, hari ini menerima pesawat Boeing 737-900ER kelima dan keenamnya, menjadikan sembilan pesawat dalam kumpulannya yang termasuk tiga ATR72-600.

Pesawat baharu itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang ini selepas meninggalkan fasiliti pengeluarnya, Boeing, di Seattle, Amerika Syarikat pada Ahad.

Pesawat baharu itu adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan Malindo Air untuk mengendalikan pesawat baharu dan menjangka ketibaan pesawat baharu hingga 2015 sejajar dengan permintaan pasaran penerbangan semasa.

"Ini adalah satu perkembangan penting untuk Malindo Air. Kita telah melihat pertumbuhan dalam industri penerbangan sepanjang beberapa tahun lepas, didorong oleh peningkatan keyakinan dan perbelanjaan pelanggan," kata ketua pegawai eksekutif Chandran Rama Muthy dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Malindo Air telah menerima enam Boeing 737-900ER semenjak pelancaran rasmi syarikat itu pada 22 Mac, 2013.



Airbus pilih Mara bekal tenaga kerja mahir

PUTRAJAYA 22 Sept. - Pengeluar pesawat Eropah, Airbus memilih Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memainkan peranan utama dalam menyediakan tenaga kerja berikutan keputusan mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat perkhidmatan utamanya bagi rantau Asia.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan tersebut dibuat berdasarkan sistem pendidikan dan pengalaman Institut Teknologi Juruterbang Malaysia (MIAT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam industri penerbangan selama ini.

''Semalam saya dimaklumkan bahawa Airbus telah membuat keputusan untuk memilih Malaysia sebagai pusat perkhidmatan utama mereka bagi rantau Asia
.
''Mereka secara spesifik telah memilih Mara untuk memainkan peranan bagi menyediakan tenaga kerja yang akan terlibat dengan perkhidmatan mereka itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-10 UniKL, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Dr. Mazliham Mohd. Su'ud.
Pada sesi ketiga itu, lebih 2,000 graduan UniKL menerima ijazah masing-masing.

UniKL antara institut pengajian tinggi yang terletak di bawah Mara dan MIAT adalah satu daripada bidang pengajian yang ditawarkan oleh UniKL.

Serentak itu, Annuar yang juga Pro-Canselor II UniKL berkata, satu delegasi pegawai kanan Mara dan UniKL akan mengadakan perbincangan dengan Airbus di Perancis berhubung perkara itu pada bulan depan.
Beliau mengharapkan perbincangan itu akan membolehkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung perkara tersebut dapat dimeteraikan dalam masa terdekat ini.

''Saya maklumkan kepada Ketua Pengarah Mara (Datuk Ibrahim Ahmad) bahawa perkara itu perlu diberikan keutamaan kerana ia merupakan penghormatan kepada Malaysia," katanya.
''Malah, saya juga yakin bahawa keputusan Airbus itu akan menjadi pemangkin kepada perancangan jangka panjang kami untuk mewujudkan satu hab pendidikan berasaskan industri penerbangan di Subang," katanya.



Juruterbang mengaku bersalah mabuk terbangkan pesawat

LONDON 21 Sept. - Seorang juruterbang Pakistan International Airlines (PIA), mengaku bersalah atas tuduhan mabuk sebelum dia dilaporkan akan membawa sebuah pesawat ke Pakistan dari sini, baru-baru ini.

Paras alkohol pada Irfan Faiz, 54, didapati empat kali ganda daripada paras alkohol yang dibenarkan 
semasa dia ditahan di dalam kokpit sebuah pesawat di lapangan terbang Leeds Bradford, di utara England.

Pegawai Mahkamah Majistret Leeds mengesahkan Irfan, seorang warganegara Pakistan telah mengaku bersalah dalam perbicaraan ke atasnya dan kes itu akan dirujuk ke mahkamah tinggi pada 18 Oktober depan untuk jatuhan hukuman.



Ratu skuasy negara teruja naik pesawat latihan Pilatus



NICOL Ann David (empat dari kanan) disambut mesra oleh pelajar-pelajar Kolej Tentera Udara ketika membuat lawatan ke Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kepala Batas, semalam.






ALOR SETAR 18 Sept. - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David hari ini berpeluang menaiki pesawat latihan Pilatus dalam lawatannya ke Kolej Tentera Udara (KTU) di sini sebagai pegawai kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Lawatan yang pertama bagi Nicol sebagai duta TUDM ini bertujuan mendekati kehidupan jurulatih dan pelatih pasukan keselamatan itu setelah dianugerahkan pangkat Mejar Kehormat pada September tahun lalu.
Ketika ditemui, pemain nombor satu dunia ini mengakui amat teruja dan menghargai pengalaman baharu menaiki pesawat tersebut yang disifatkan sebagai berbeza daripada cabaran di gelanggang skuasy.

"Saya begitu bangga dan terharu kerana terpilih untuk menaiki pesawat ini yang menjadi sebahagian daripada TUDM, saya rasa bukan semua diberi peluang ini.

"Ia satu pengalaman yang berbeza daripada cabaran di gelanggang, malah pencapaian saya sebagai atlet negara sebelum ini," katanya.

Yang hadir sama, Komandan KTU, Kolonel Sardon Hassan.
Dalam penerbangan kira-kira setengah jam itu, Nicol menaiki pesawat yang dikemudikan oleh Mejar Khairol Muzambi Salehin bagi menikmati pemandangan udara di sekitar Alor Setar.

Pada lawatan sama, selain meninjau kehidupan warga KTU, Nicol turut memberikan ceramah motivasi selama 30 minit kepada kira-kira 350 warga di pusat latihan tersebut.
Kata Nicol yang merangkul kejuaraan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB untuk kali kelapan minggu lalu, sebagai duta TUDM, beliau berhasrat untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan pasukan keselamatan itu pada masa depan.

"Siapa tahu pada masa depan saya berpeluang untuk belajar mengemudikan pesawat TUDM pula," katanya yang melahirkan hasrat untuk memiliki lesen terbang satu hari nanti.

Menyentuh tentang sukan tersebut, kata Nicol, beliau akan kembali ke Amsterdam, Belanda hujung minggu ini bagi meneruskan latihan untuk menghadapi perlawanan terbaharu di Amerika Syarikat bulan depan.
Selain itu pada sidang akhbar yang sama, Nicol turut melahirkan keinginan untuk menubuhkan Akademi Skuasy dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai usaha membantu membangunkan sukan skuasy negara.
"Saya berhasrat untuk menubuhkan akademi tidak lama lagi dan terlibat dalam pembangunan sukan di Malaysia. Ini adalah satu daripada keinginan saya untuk menyumbang kepada negara yang banyak berjasa kepada saya selama ini," katanya.



Iran mahu hantar kucing pula ke angkasa lepas

TEHERAN 17 Sept. - Selepas berjaya menghantar monyet ke orbit awal tahun ini, Iran sekali lagi mahu mencari kelainan untuk program angkasa lepasnya dengan memilih kucing Parsi bagi tujuan itu.
Pegawai kanan program angkasa lepas Iran, Mohammad Ebrahimi berkata, misi kali akan dilaksanakan pada 21 Mac tahun depan, walaupun terdapat pihak yang mempertikaikan misi membabitkan monyet sebelum ini.
Katanya, selain kucing, Iran juga sedang menimbangkan untuk menghantar seekor tikus dan arnab ke angkasa lepas.

"Pelancaran berikutnya mungkin menggunakan roket lebih besar dan mampu mencapai jarak 116 kilometer,'' katanya.
Iran merancang untuk menghantar angkasawan pertamanya ke orbit menjelang 2018, namun menggunakan haiwan sebagai 'angkasawan' bagi tujuan ujian.

Mohammad dalam pada itu menegaskan bahawa media negara ini telah tersilap menghantar gambar monyet yang menyertai program angkasa lepasnya pada Februari lalu.

Katanya, hanya seekor monyet iaitu 'Pishgam' atau 'Pioneer' dihantar dalam program selama 20 minit itu yang berlepas sejauh 116 kilometer dan berjaya kembali dengan selamat.

Pada 2010, pegawai Iran mendakwa pihaknya telah menghantar seekor tikus, kura-kura dan beberapa ekor cacing menaiki pesawat angkasa lepas, sebagai sebahagian program angkasa lepasnya




Tuesday, September 17, 2013

Asia Pasifik perlu 192,300 juruterbang baharu



SINGAPURA 16 Sept. - Projek Boeing bagi rantau Asia Pasifik akan terus menerajui dunia dalam tuntutan untuk mendapatkan ratusan ribu juruterbang baharu untuk syarikat penerbangan komersial, selain juruteknik penyelenggaraan untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk penyerahan pesawat baharu dalam tempoh dua dekad akan datang.

Unjuran Juruterbang dan Juruteknik Boeing 2013, yang mengunjurkan permintaan bagi petugas penerbangan, menyatakan syarikat-syarikat penerbangan komersial memerlukan 192,300 juruterbang baharu dan 215,300 juruteknik di rantau Asia Pasifik sehingga 2032.

Bob Bellitto, Pengarah Jualan Global, Perkhidmatan Penerbangan Boeing berkata: "Wujud permintaan sebenar dan mendesak bagi syarikat-syarikat penerbangan dunia, khususnya di Asia Pasifik, untuk mendapatkan petugas yang kompeten.

"Walaupun Boeing melabur dalam teknologi canggih bagi menarik dan mengekalkan tenaga muda yang berminat dalam kerjaya penerbangan, ini (kekurangan pekerja) merupakan isu industri di seluruh dunia yang hanya boleh diselesaikan menerusi penyelesaian industri secara menyeluruh," katanya pada taklimat media mengenai unjuran berkenaan di sini hari ini.

Mengetuai rantau ini dalam permintaan untuk juruterbang dan juruteknik baharu ialah China yang memerlukan 77,400 juruterbang dan 93,900 juruteknik, manakala Asia Tenggara - 48,100 juruterbang dan 50,300 juruteknik.

Bellitto berkata, penerbangan merupakan industri yang menarik untuk disertai dan Boeing mempunyai tanggungjawab bagi memastikan ia merupakan pilihan kerjaya yang berdaya maju untuk belia.
"Tenaga kerja penerbangan untuk esok akan menjadi sangat berbeza berbanding rakan mereka dalam industri itu hari ini. Kami perlu memberi tumpuan terhadap unjuran mereka untuk belajar, beralih daripada teknik kertas dan papan hitam kepada tablet, eBuku, teknologi permainan dan model tiga dimensi."
Unjuran Juruterbang & Juruteknik itu berkait rapat dengan unjuran untuk penghantaran kapal terbang baharu ke seluruh dunia.

Seperti keperluan untuk mendapatkan pekerja baharu, Asia Pasifik juga mengetuai permintaan untuk penghantaran pesawat komersial baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang, dengan 12,820 kapal terbang baharu yang diperlukan menjelang 2032 hingga 2013.

Pada April 2013, Boeing mengumumkan keputusan untuk memasang dua simulator latihan penerbangan penuh - 777 dan 737 generasi akan datang - di kampus latihan di Singapura.
Simulator itu dijangka sedia untuk latihan pada awal hingga pertengahan 2014.
Penambahan keupayaan latihan 737 itu akan membantu memenuhi permintaan memandangkan pelanggan di Asia Tenggara serta Jepun, Korea dan China menerima penghantaran pesawat baharu.
Syarikat penerbangan di China dan Indonesia serta di Timur Tengah dan Afrika akan memperoleh manfaat daripada peningkatan kapasiti latihan 777 itu.

Boeing menawarkan portfolio menyeluruh perkhidmatan penerbangan komersial, secara kolektif, dikenali sebagai Edge Boeing yang menawarkan nilai dan kelebihan kepada pelanggan dan industri.
Perkhidmatan Penerbangan Boeing menawarkan penawaran bersepadu dalam memacu prestasi optimum, kecekapan dan keselamatan menerusi penerbangan canggih, penyelenggaraan dan latihan keselamatan kabin serta sokongan dan perkhidmatan simulator melalui rangkaian kampus di enam benua.

Pesawat Thai Airways terbabas, 14 cedera

Pesawat Thai Airways tergelincir di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok, semalam. -AFP


BANGKOK 9 Sept. - Sebanyak 14 penumpang cedera apabila sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Thailand tergelincir dari landasan, selepas tayar depan pesawat itu mengalami kerosakan semasa mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, di sini semalam.

Pesawat Airbus 330-300 milik Thai Airways membawa seramai 287 penumpang dan 14 krew dan baru tiba dari Guangzhou, China tergelincir ketika mendarat apabila tayar depannya mengalami keroskan.
Kesemua penumpang dibawa keluar menggunakan laluan kecemasan sebaik-baik sahaja kapal terbang itu berhenti dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.

Presiden Thai Airways, Sorajak Kasemsuvan dalam kenyataannya berkata, ketika pesawat Airbus 330-300 itu mendarat, alat pendaratan (tayar depan) mengalami kerosakan menyebabkan pesawat itu terbabas dari landasan.

"Namun, kapten pesawat itu berjaya mengawal pesawat itu dengan baik sehingga ia berhenti, dan penumpang kemudian dikeluarkan melalui pintu kecemasan.
"Siasatan awal mendapati percikan api dikesan di bahagian kanan tayar depan berdekatan enjin.
''Namun, punca sebenar kejadian masih disiasat," katanya.

Selepas insiden berkenaan, pekerja menggunakan kren untuk menutup logo di pesawat itu sebagai usaha melindungi imej syarikat penerbangan terbabit.

Gambar kemalangan berkenaan menunjukkan kesan pesawat tergelincir hingga ke kawasan berumput dan bahagian depan pesawat mencecah ke tanah.
Kejadian semalam merupakan kali kedua membabitkan Thai Airways dalam tempoh tidak sampai dua minggu selepas sebuah pesawat Airbus A380 dilanda ribut ketika menghampiri lapangan terbang Hong Kong, menyebabkan 20 penumpang cedera. - AFP/AP





Monday, September 9, 2013

MASwings lebar sayap ke luar negara



Ignatius Ong (tengah, kiri) bersAMA Mohd. Nawawi Awang bergambar bersama kakitangan MASwings dan Firefly di Subang, semalam.



SUBANG 30 Ogos - Syarikat penerbangan komuniti, MASwings Sdn. Bhd. (MASwings), merancang untuk melebarkan operasi perniagaan dengan memperkenalkan penerbangan ke Davao, Filipina dan Manado, Sulawesi di Indonesia tahun depan.

Terdahulu, MASwings akan memperkenalkan penerbangan sulung ke Puerto Princessa di Pulau Palawan, Filipina pada 28 Oktober depan.

Malah, syarikat penerbangan itu telah pun memperkenalkan penerbangan ke Zamboanga City juga di selatan Filipina pada Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Mohd. Nawawi Awang berkata, bagi kedua-dua destinasi baharu itu, pihaknya akan mengadakan kerjasama sinergi dengan syarikat induk, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS).
Katanya, perancangan untuk ke Davao sudah lama, namun tertangguh berikutan serangan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

"Kami mahu meluaskan sayap perniagaan sehingga ke selatan Filipina dan Sulawesi setelah berjaya mengukuhkan kedudukan secara domestik di Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Integrasi Krew Kabin MASwings dan Firefly di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Sdn. Bhd. (Firefly), Ignatius Ong.
Program integrasi itu mengambil masa selama dua minggu bermula hari ini.

Program pertukaran krew kabin itu merupakan inisiatif kedua-dua buah syarikat penerbangan bagi memperkenalkan krew kabin syarikat masing-masing selain mempromosi Malaysia.
Seramai 20 krew kabin daripada kedua- dua pihak terlibat dalam program tersebut.

Tambah Mohd. Nawawi, pihaknya telah mengendalikan 1.54 juta penumpang pada tahun lalu, meningkat 10 peratus berbanding tahun 2011.

Pada tahun ini pula, MASwings menyasarkan untuk mengendalikan dua juta penumpang melalui pelancaran beberapa destinasi-destinasi baharu.
"Kami kini mempunyai 11 buah pesawat yang mampu menampung keperluan komuniti di Malaysia dan juga di selatan Filipina dan Sulawesi," ujarnya.

Ong pula berkata, pada tahun lalu, FlyFirefly mencatatkan bilangan penumpang seramai 1.6 juta hingga 1.7 juta orang.
Katanya, pada tahun ini pula, pihaknya menjangka berlaku peningkatan penumpang sebanyak 15 peratus



MAS tambah penerbangan KL-Medan mulai 15 Sept.

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Malaysia Airlines (MAS) akan menambah penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Medan, berkuat kuasa 15 Sept.

Penerbangan MAS MH840 akan berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 6.15 pagi setiap hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu pada pukul 6.15 pagi waktu tempatan Medan.

Penerbangan MH841 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akan berlepas pada pukul 7.00 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 8.55 pagi waktu tempatan.

Pesawat Boeing 737-800 dengan dua konfigurasi 144 tempat duduk kelas ekonomi dan 16 tempat duduk kelas perniagaan digunakan untuk penerbangan Kuala Lumpur-Medan ini.

"Berikutan permintaan yang kian meningkat, kami memutuskan untuk menambah penerbangan ini," kata Naib Presiden Kanan Serantau Malaysia, Muzammil Mohamad dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan pertambahan ini, MAS akan terbang tiga kali setiap hari ke Medan dan menawarkan sejumlah 6,720 tempat duduk setiap minggu ke dan dari Medan.

Syarikat penerbangan itu juga akan menawarkan lebih daripada satu juta tempat duduk dan diskaun sehingga 55 peratus, memberikan tawaran bernilai untuk rangkaian domestik dan antarabangsanya di Pameran Persatuan Ejen dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang bakal berlangsung