mangga add

Wednesday, February 19, 2014

AirAsia tumpu 60% terhadap usaha perkenal laluan baharu


Aireen Omar (tiga dari kiri ), Jose Edoardo E. Malaya lll (lima dari kiri), Datin Malisa Ong (enam dari kiri ) dan Kenny Wong pada majlis pelancaran destinasi terbaru penerbangan AirAsia iaitu Kuala Lumpur ke Kalibo, Filipina di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ Halim Khalid


KUALA LUMPUR 18 Feb. - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia akan memberi tumpuan sebanyak 60 peratus terhadap usaha memperkenalkan laluan baharu pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, baki 40 peratus lagi akan difokuskan kepada menambah frekuensi penerbangan laluan sedia ada.

Ujarnya, AirAsia sentiasa komited memberikan pilihan-pilihan baharu kepada pelanggannya bagi menikmati keselesaan ketika dalam penerbangan.

“Kami sentiasa memastikan pelanggan AirAsia dapat menikmati pengalaman hebat bersama kami," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman laluan baharu AirAsia KL-Kalibo di sini hari ini.
Dalam majlis itu, AirAsia mengumumkan laluan terbaharunya menghubungkan terus Kuala Lumpur ke Kalibo, Filipina yang akan beroperasi 18 April ini.

Menurut Aireen, AirAsia menawarkan penerbangan empat kali seminggu dan akan beroperasi pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad. Laluan ini juga merupakan laluan ketiga destinasi ke Filipina dengan penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Miri dan Kota Kinabalu.

Jelas beliau, syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat Airbus A320 dengan kapasiti 180 tempat duduk bagi destinasi baharu berkenaan dan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penumpang menaiki penerbangan tersebut.

“Kami komited untuk menghubungkan komuniti-komuniti daripada rantau ini yang kaya dengan pantai dan pulau bertaraf dunia, dan kami sangat berbangga dapat menambah Kalibo, pintu masuk ke Pulau Boracay di Filipina ini ke dalam jaringan terluas dan destinasi-destinasi menarik yang ditawarkan AirAsia."

“AirAsia mempunyai jaringan terluas seluruh ASEAN dan Filipina adalah pasaran yang sedang membangun untuk syarikat penerbangan tambang murah dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada hal ini, terutama dengan kehadiran AirAsia Zest di Filipina menghubungkan komuniti secara domestik dengan tambang murah kami,"

Kalibo merupakan laluan utama ke destinasi percutian pantai dan terkenal dunia iaitu Pulau Boracay.
AirAsia menawarkan tempat duduk percuma dengan cukai dan surcaj yang bermula daripada serendah RM77 sehala yang boleh ditempah menerusi laman webwww.airasia.com dari 12.00 tengah hari mulai esok, 19 Februari hingga 23 Februari 2014 bagi penerbangan ke Kalibo.

Tempoh perjalanan bagi tempat-tempat duduk percuma bermula dari tarikh bermulanya penerbangan sulung pada 18 April 2014 sehingga 31 Januari 2015.

Majlis itu turut dihadiri Duta Filipina Jose Edoardo E. Malaya lll, Pengarah Jualan untuk Malaysia & Thailand dan Filipina Datin Malisa Ong dan Ketua Komersial AirAsia, Kenny Wong.

MAS catat peningkatan EBITDA 36%





KUALA LUMPUR 18 Feb. - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) mencatatkan peningkatan dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 36 peratus kepada RM254 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember berbanding RM187 juta pada tempoh sama tahun kewangan yang lalu.

MAS dalam kenyataannya memaklumkan, bagi 12 bulan berakhir 31 Disember 2013, Kumpulan turut mencatatkan pendapatan sebanyak RM15.1 bilion, peningkatan sebanyak 10 peratus daripada RM13.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Ekseutif Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya berkata, jumlah penumpang MAS terus mencatatkan peningkatan positif sebanyak 17.2 juta penumpang, 28.5 peratus lebih tinggi berbanding 2012 dengan jumlah penumpang tertinggi direkodkan sebanyak 93.5 peratus pada 20 Disember lalu.

Tahun 2013 menyaksikan Kumpulan itu menambah sebanyak 21 buah pesawat termasuk A380, A333, B738, ATR72-600 serta Viking DHC-6 baharu, menjadikan jumlah pesawat MAS sebanyak 148 buah.
Bagaimanapun kata beliau, persaingan sengit, susut nilai yang lebih tinggi selain caj kewangan, dan penyusutan mata wang telah memberi tekanan menyebabkan Kumpulan mencatat kerugian.

Kumpulan itu merekodkan kemerosotan pendapatan bersih selepas cukai sebanyak RM1.2 bilion bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2013.
“Kami sentiasa bersedia menghadapi tahun 2013 yang lalu dan ianya merupakan tahun mencabar dengan persaingan sengit yang memberi kesan atas MAS, oleh itu kami telah menfokuskan untuk memacu pendapatan serta hasil syarikat.

“Atas usaha itu, MAS telah merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 11 peratus, manakala trafik meningkat 27 peratus dan kapasiti 17 peratus," jelasnya.

Susut nilai bagi tahun kewangan berakhir 2013 adalah RM817 juta berbanding RM548 juta pada tahun 2012 dan Kumpulan turut mencatatkan kos kewangan yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM437 juta pada tahun 2013 berbanding RM235 juta pada tahun 2012.

Jumlah perbelanjaan bagi tahun kewangan 2013 adalah RM14.9 bilion, juga meningkat 10 peratus berbanding sebanyak RM13.6 bilion pada 2012.

Firefly akan perkenal 3 laluan baharu di ASEAN


PETALING JAYA 17 Feb. - Firefly Sdn. Bhd., syarikat tambang rendah Malaysia Airlines (MAS), akan memperkenal tiga laluan baharu di ASEAN dalam tempoh dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius Ong berkata, syarikat penebangan itu memperoleh kelulusan untuk laluan baharu ini, namun perlu menunggu ketibaan pesawat baharu sebelum mengumumkan laluan berkenaan.

Ong berkata, rancangan itu merupakan sebahagian daripada visi syarikat untuk memberi tumpuan ke atas usaha mengukuhkan kehadirannya di Asean.

Beliau berkata, tahun ini syarikat penerbangan itu sedang menunggu dua lagi pesawat selain meningkatkan kekerapan laluan domestik utama sedia ada.

"Kami ada beberapa lagi. Saya sudah mengumumkannya baru-baru ini, iaitu ke Bangkok dari Kota Baharu, namun ditangguhkan ke Mei.

"Kami sepatutnya melancarkannya pada Januari namun berdasarkan situasi di Bangkok sekarang, kami menangguhkannya," katanya pada media selepas pelancaran pertandingan 'Petrol Crazy' bersama Petron di sini hari ini.

AirAsia batal penerbangan ke tiga destinasi Indonesia


KUALA LUMPUR 14 Feb. - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mengumumkan pembatalan penerbangannya ke Surabaya, Semarang dan Yogyakarta, Indonesia ekoran letupan gunung berapi Kelud di Pulau Jawa.


AirAsia dalam kenyataannya hari ini memberitahu, penerbangan dari ketiga-tiga lapangan terbang itu ke Kuala Lumpur juga dibatalkan.

Ia berikutan jarak penglihatan yang amat terhad dan debu-debu hasil letusan gunung yang boleh mengancam keselamatan pesawat dan penumpang.

AirAsia Indonesia juga menyatakan, laluan penerbangan domestik dan antarabangsa yang melibatkan ketiga-tiga lapangan terbang itu juga dibatalkan.

Menurut AirAsia lagi, pihaknya turut menawarkan pilihan kesinambungan perkhidmatan kepada para penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan.

"Mereka juga boleh memilih deposit dalam bentuk 'Credit Shell' yang sama nilainya dengan tempahan asal dan boleh digunakan sebagai bayaran untuk menempah mana-mana penerbangan AirAsia dan ia sah untuk tempoh tiga bulan dari tarikh dikeluarkan," menurut AirAsia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Gunung Kelud meletus, 3 lapangan terbang ditutup


JAKARTA 14 Feb. - Lapangan terbang di Surabaya, Solo dan Jogyakarta ditutup hari ini apabila Gunung Kelud di daerah Magelang, Jawa Timur mengeluarkan lahar serta menyebabkan debu berterbangan sehingga ke bandar Surabaya yang terletak sejauh 130 kilometer.

Tiga lapangan terbang itu diarah tutup oleh pihak berkuasa kerana jarak penglihatan yang kabur dan dikhuatiri debu-debu berterbangan itu boleh meyebabkan kerosakan kepada enjin pesawat.

Selain itu, kira-kira 200,000 penduduk berhampiran diarah berpindah apabila gunung berapi aktif itu turut menghujani beberapa bandar berhampiran dengan debu setebal empat sentimeter.

Jurucakap Agensi Bencana Negara, Muhammad Hendrasto berkata, arahan tersebut dikeluarkan kepada penduduk di 36 perkampungan yang terletak dalam lingkungan 10 kilometer dari gunung tersebut, beberapa jam sebelum letusan berlaku.

Rakaman stesen televisyen menunjukkan abu dan batu menghujani perkampungan berdekatan ketika penduduk melarikan diri menggunakan kereta dan motosikal ke pusat perlindungan.
Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

Gunung Berapi Kelud setinggi 1,731 meter sebelum ini pernah menyebabkan lebih 15,000 orang terbunuh sejak mula meletus pada tahun 1500, termasuk 10,000 kematian dalam letusan terbesar pada tahun 1568.

Pesawat mendarat cemas di KLIA


ANGGOTA bomba dan penyelamat bersama Hazmat bersiap sedia untuk memeriksa pesawat Indigo Airlines yang mendarat cemas di KLIA, Sepang, semalam.


KUALA LUMPUR 13 Feb. - Gara-gara mengesyaki berlaku kebocoran bahan kimia dalam satu bungkusan mencurigakan, sebuah pesawat tambang murah India terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Hasil pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat KLIA yang bergegas ke lokasi bersama Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), bagaimanapun mendapati bungkusan itu sebenarnya mengandungi tiga ketulan logam dipercayai emas.

Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pesawat Indigo Airlines membawa 145 penumpang termasuk enam krew itu dalam perjalanan dari Singapura ke Madras sebelum seorang daripada krew menemui bungkusan terbabit.

Mohd. Sani berkata, pesawat terbabit dilaporkan mendarat pada pukul 7.37 pagi dan pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.50 pagi.

"Seramai 18 anggota serta sebuah jentera bomba KLIA dan Hazmat dihantar bagi memeriksa pesawat tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kebocoran kimia berlaku namun pasukan terbabit menemui tiga ketulan logam dalam bungkusan itu dipercayai emas yang diletakkan di dalam tandas pesawat itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


TIGA ketulan logam dipercayai emas yang ditemui dalam pesawat.


Mohd. Sani berkata, ketulan logam itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, polis mengesahkan tiga ketulan logam yang ditemui itu tidak berbahaya.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, unit pemusnah bom (UPB) yang dihantar ke lokasi kejadian mendapati logam berwarna kuning tersebut bukan bahan letupan atau bahan kimia.

"Tiada objek berbahaya yang ditemui dalam pesawat tersebut kecuali beberapa kepingan logam warna kuning. Pihak kami masih melakukan siasatan lanjut mengenai kejadian ini," katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menyiasat sama ada penemuan logam tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan.

Pesawat India mendarat cemas gara-gara `bungkusan'


KUALA LUMPUR, 13 Feb. - Sebuah pesawat tambang murah India terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini apabila sebuah bungkusan yang pada mulanya disyaki mengandungi bahan kimia ditemui di dalam tandas pesawat itu.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat KLIA serta Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), bungkusan itu dipercayai mengandungi tiga jongkong emas.

Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata demikian ketika dihubungi Benama di sini.

MAS tandatangan program pengurusan pesawat bernilai RM1.68 bilion


MAS menandatangani perjanjian dengan Pratt & Whitney yang turut merangkumi opsyen lanjutan sehingga lima tahun. - GAMBAR HIASAN
KUALA LUMPUR, 12 Feb. - Malaysia Airlines (MAS) menandatangani satu program pengurusan pesawat eksklusif selama 10 tahun dengan Pratt & Whitney untuk menyenggara 43 enjin PW4170 yang dipasang dan enjin ganti syarikat penerbangan itu.

Perjanjian tersebut yang merangkumi opsyen untuk lanjutan kontrak sehingga lima tahun, bernilai kira-kira AS$510 juta (RM1.68 bilion), demikian menurut MAS dalam satu kenyataan hari ini.

“Program penyelenggaraan ini akan memaksimumkan prestasi dan kebolehpercayaan enjin kami, di samping menyediakan kos penyelenggaraan boleh dijangka kepada kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Pratt & Whitney, anak syarikat United Technologies Corp., merupakan pengeluar produk aeroangkasa berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dengan operasi perkhidmatan global

103 maut pesawat tentera Algeria terhempas


ALGIERS 11 Feb. - Sebuah pesawat tentera Algeria terhempas di timur laut negara ini hari ini, mengorbankan kesemua 103 penumpang di dalam pesawat berkenaan.

Pesawat jenis C-130 Hercules yang dalam perjalanan dari bandar Ouargla menuju ke Constantine itu, terhempas kerana cuaca buruk di kawasan pergunungan di wilayah Oum El Bouaghi, kira-kira 500 kilometer di timur laut ibu negara ini.

Menurut sumber kepada AFP, pesawat berkenaan membawa 99 penumpang termasuk tentera dan ahli keluarga serta empat anak kapal.

"Tiada mangsa terselamat dalam nahas itu," kata sumber tersebut.
Sebuah radio Algeria melaporkan, sekurang-kurangnya 99 penumpang maut dalam nahas udara tersebut, namun sebuah rangkaian televisyen swasta meletakkan angka kematian sebanyak 103 orang.

Saksi memberitahu, pesawat tersebut merempuh puncak sebuah gunung sebelum terhempas.
Pasukan tentera dan anggota penyelamat juga dilapor berada di lokasi kejadian.

Angin kencang dan keadaan bersalji dipercayai menjadi punca nahas tersebut berlaku.
Sehingga kini, pihak berkuasa Algeria masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu dan jumlah kematian masih belum disahkan

Malindo Air tawar penerbangan KL-Kochi mulai 24 April


KUALA LUMPUR 11 Feb. - Malindo Air hari ini mengumumkan perkhidmatan baharu bagi penerbangan terus setiap hari antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan Kochi, Kerala, mulai 24 April.


Syarikat penerbangan hibrid itu berkata, ia akan beroperasi melalui laluan baharu menggunakan pesawat baharu 180 tempat duduk B737-900ER, yang menawarkan pengalaman perjalanan mewah dengan hiburan dalam penerbangan secara percuma kepada semua penumpang.

Promosi tambang istimewanya bermula daripada RM399 termasuk perjalanan sehala bagi kelas ekonomi dan RM999 perjalanan sehala bagi kelas pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, perkhidmatan sehala antara dua bandar raya itu adalah tanda simbolik yang melambangkan ikatan erat antara Malaysia dan India dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Para pelancong dari Kochi kini mempunyai satu lagi pilihan untuk berhubung ke Malaysia dan terdapat kemudahan bagi melawat destinasi percutian yang menarik seperti Langkawi, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak," katanya. -

Turki tumpas rampas pesawat



lelaki yang disyaki cuba merampas sebuah pesawat dan mengancam meletupkan bom di dalam pesawat itu ditahan di Lapangan Terbang Sabiha Goksen di Istanbul, Turki, kelmarin. - AFP




ISTANBUL 8 Feb. - Jet pejuang Turki memaksa sebuah pesawat penumpang mendarat di sebuah lapangan terbangnya, selepas seorang lelaki bertindak merampas pesawat itu dengan mengancam untuk meletupkan bom di dalam pesawat tersebut, semalam.

Juruterbang pesawat Pegasus Airlines Boeing 737-800 yang membawa 110 penumpang itu berjaya memberi maklumat tentang rampasan itu sebelum memasuki ruang udara Turki.

Sejurus kemudian, jet pejuang F-16 Turki dikerah memaksa pesawat itu yang berlepas dari bandar Kharkov, Ukraine supaya mendarat di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di sini.

Perampas itu yang dikenali sebagai seorang lelaki warga Ukraine berumur 45 tahun kemudian berjaya diberkas pasukan keselamatan Turki dalam satu operasi.
Sebelum itu, suspek mengarahkan juruterbang mengubah haluan penerbangan ke Sochi, venue Sukan Olimpik Musim Sejuk di Rusia.

Operasi dilancarkan pada pukul 10 malam waktu tempatan, beberapa jam selepas pesawat itu mendarat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Turki, Habib Soluk berkata, lelaki itu memegang sebuah bahan peledak dan cuba memasuki kokpit dan mendakwa ada bom di dalam pesawat itu.

‘‘Pasukan keselamatan berjaya menangkap suspek dan tidak berlaku sebarang kecederaan,’’ katanya, sambil menambah kata, kesemua penumpang telah dipindahkan dari pesawat itu dengan selamat.
Sementara itu, Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu dalam sidang media selepas operasi itu berkata, suspek membawa sebuah beg kecil mengandungi barangan elektronik dan bukannya bom.

Sekeping gambar yang disiarkan rangkaian berita NTV menunjukkan seorang lelaki memakai baju berwarna merah, putih dan biru dipercayai suspek, berdiri berhampiran tempat duduknya di bahagian hadapan pesawat dengan krew kabin memerhatikannya.

Klip video turut menunjukkan penumpang pesawat duduk dengan tenang di dalam pesawat berkenaan sebelum pasukan keselamatan melancarkan operasi menyerbu pesawat itu

Perkenal lebih banyak laluan baharu

























SEPANG 9 Feb. - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia merancang mahu memperkenalkan lebih banyak laluan baharu di peringkat domestik dan antarabangsa pada tahun ini dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju penerbangan tambang murah di rantau Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar (gambar) berkata, laluan tersebut bukan sahaja dari Kuala Lumpur tetapi juga hab-hab lain di Malaysia seperti Kuching, Kota Kinabalu, Johor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, pertambahan laluan itu selaras dengan rancangan pembesaran operasi syarikat yang dijadual bakal menerima empat buah lagi pesawat baharu pada tahun ini.

Katanya, pesawat terbabit merupakan sebahagian daripada 475 buah pesawat yang ditempah oleh AirAsia bagi memenuhi pertumbuhan operasinya di peringkat global termasuk Thailand, Indonesia dan Filipina.

"Kita juga merancang untuk membuka lebih banyak hab (domestik dan antarabangsa) sekiranya ada permintaan.

"Bila kita nak (tambah) lagi laluan ini, kita akan tingkatkan hubungan ke Malaysia dan ini bermakna operasi di lapangan terbang dalam negara akan bertambah sibuk," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Aireen berkata, secara purata AirAsia mengendalikan lebih 30,000 penumpang dengan bilangan penerbangan sebanyak lebih 200 sehari di terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di sini.
Malah, sebuah akhbar di Iran semalam melaporkan, AirAsia dijangka memulakan kembali penerbangan ke Iran pada pertengahan Mac ini, setelah memberhentikan operasi pada Oktober 2012. Syarikat itu bakal menyediakan penerbangan dua kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Tehran.

Dalam pada itu, AirAsia tidak melihat kehadiran operator penerbangan tambang murah baharu dalam pasaran akan menjejaskan mereka, memandangkan syarikat itu telah mempunyai rangkaian kukuh meliputi beberapa buah negara di rantau ini.

Aireen berkata, keadaan itu membuatkan syarikat baharu sukar untuk menandingi mereka yang kini mempunyai hab di Indonesia, Thailand, Filipina dan seterusnya India.
Kata beliau, kesemua hab itu termasuk di Malaysia mengamalkan kerjasama dalam membentuk perhubungan destinasi yang sekali gus meningkatkan trafik AirAsia.

"Kesan kehadiran operator baharu kepada kami setakat ini adalah daripada segi kadar tambang. Bagaimanapun, berbanding apa yang telah kami bangunkan agak sukar kepada operator-operator baharu untuk bersaing," katanya.

AirAsia kini mempunyai unit di Thailand, Indonesia, Filipina dan juga India yang dijangka beroperasi sebelum hujung tahun ini.

Sebelum ini, penganalisis industri menganggap kehadiran beberapa operator penerbangan tambang murah asing dan tempatan seperti Malindo Air bakal menyaingi AirAsia di peringkat serantau.
Malah, syarikat antara usahasama Malaysia dan Indonesia itu begitu cepat mengorak langkah dengan menyediakan laluan ke beberapa negara termasuk India walaupun baru ditubuhkan pada hujung 2012, berbanding AirAsia pada 2001