mangga add

Thursday, May 22, 2014

Ketiadaan MAS beri kesan rantaian industri


KUALA LUMPUR 20 Mei - Pengisytiharan muflis ke atas syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) sekiranya berlaku, dijangka memberi kesan rantaian industri khususnya terhadap syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dengan operasi syarikat penerbangan itu.

Antara dua syarikat utama yang dijangka menerima kesan secara langsung ialah pembekal makanan dalam pesawat utama MAS, Brahim’s Holdings Bhd. (Brahim’s) dan pengendali tunggal lapangan-lapangan terbang tempatan, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

Menurut kajian oleh Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), kesan itu berdasarkan dua situasi sama ada MAS bakal mengalami penstrukturan semula melalui pemotongan 30 peratus kapasiti laluan sedia ada atau syarikat penerbangan itu menghentikan operasi serta merta, jika diumumkan muflis.

Penganalisis HLIB Research, Grace Chew berkata, meskipun Brahim’s kini membekalkan makanannya kepada lebih 30 syarikat penerbangan (termasuk MAS), pemotongan 30 peratus kapasiti MAS dijangka memberi kesan sehingga 22.5 peratus kewangan Brahim’s.

“Bagaimanapun, impaknya mungkin lebih kurang memandangkan Brahim’s kini mengenakan bayaran makanan lebih mahal kepada syarikat penerbangan asing kerana kualiti makanan yang dibekalkan lebih baik untuk kekal kompetitif," jelasnya.

Jika MAS menghentikan operasinya serta merta, kerajaan mungkin terpaksa membayar pampasan sehingga RM318 juta kepada Brahim’s, kerana syarikat pembekalan makanan itu telah berjaya memeterai perjanjian dengan MAS untuk konsesi bagi tempoh selama 25 tahun.

“Pampasan itu sudah memadai buat Brahim’s. Pada masa sama mereka masih boleh membekalkan makanan kepada syarikat penerbangan lain yang mungkin mengambil kesempatan ke atas laluan yang mungkin tidak dilalui oleh MAS lagi," jelas Chew dalam kajiannya itu.

Sementara itu, analisis yang dibuat oleh Daniel Wong berkaitan MAHB pula mendapati, pemotongan kapasiti atau pemberhentian operasi oleh MAS dijangka mengalihkan lebih banyak trafik dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke terminal pengangkutan tambang murah (LCCT).

AirAsia untung RM139.72 juta




KUALA LUMPUR 20 Mei - AirAsia Bhd., (AirAsia) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM139.72 juta bagi suku pertama tahun ini, yang turut didorong oleh peningkatan penumpangnya pada kadar empat peratus kepada RM5.37 juta.

Syarikat itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.3 bilion, iaitu tidak berubah berbanding tempoh sama tahun lalu. Kadar muatan tempat duduk yang dipenuhi turut meningkat sebanyak dua peratus kepada 81 peratus dalam tempoh suku tersebut. Kejayaan itu dicapai melalui strategi mereka untuk meningkatkan bilangan penumpang dalam pesawat.

Jelas syarikat itu dalam kenyataan hari ini, keuntungan operasinya pula menyusut 11 peratus kepada RM223.85 juta disebabkan kadar tambang yang ditawarkan lebih rendah. Bagaimanapun, purata harga tambangnya ialah RM164 berbanding suku sebelum ini iaitu RM158. Keadaan itu dapat diseimbangkan menerusi pendapatan lain selain harga tiket.

Bagi subsidiari-subsidiari peringkat serantau, Thai AirAsia bagaimanapun mencatatkan kejatuhan keuntungan selepas cukai sebanyak 67 peratus. Hal itu didorong oleh perbelanjaan pemasaran selain demonstrasi politik yang berterusan di Bangkok.

Indonesia AirAsia juga turut mencatatkan prestasi yang buruk dengan mencatatkan kerugian disebabkan kejatuhan nilai Rupiah selain kenaikan harga minyak dan penyelenggaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata, perkembangan AirAsia telah menyaksikan sumbangan daripada segmen-segmen perniagaannya yang lain semakin berkesan. Katanya, dalam suku pertama itu, syarikat berjaya menjana keuntungan sebanyak RM10.6 juta daripada Thai AirAsia, RM3.7 juta daripada Asian Aviation of Excellence Sdn. Bhd. (AACOE), dan RM2.1 juta daripada AAE Travel Pte. Ltd.

“Tahun ini juga merupakan tahun yang baik kepada syarikat terutama sekali selepas berpindah dari terminal lapangan tambang murah (LCCT) ke klia2 pada 9 Mei lalu.

"Perhubungan yang baik daripada dari Kuala Lumpur ke klia2 mampu membawa kesan positif kepada AirAsia, dan baik selagi caj perkhidmatan penumpang (PSC) terus kekal sepertimana ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Landasan mendap: MAHB, Kementerian Pengangkutan perlu bertanggungjawab


KUALA LUMPUR 20 Mei - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan perlu bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah mendapan yang didakwa berlaku di landasan serta kawasan parkir pesawat di lapangan terbang tambang rendah baharu, klia2.

Ingatan itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed susulan aduan yang diterima daripada sumber industri penerbangan mengenai permasalahan tersebut, hampir tiga minggu selepas klia2 beroperasi pada 2 Mei lalu.

Menurut beliau, tanggungjawab itu perlu dipikul memandangkan MAHB dalam satu keterangan kepada PAC baru-baru ini menjelaskan mendapan itu akan berlaku dan boleh dibaiki.

“Dulu, banyak orang yang tak berapa suka bila PAC panggil klia2 (pihak-pihak berkaitan pembinaan). Dalam blog kata mengapa PAC nak sibuk hal klia2? Bagi saya, kita panggil MAHB untuk beri keterangan tentang klia2 dan AirAsia, untuk mendapatkan maklumat. Sekarang baharu kita nampak kelemahan-kelemahan, mula keluar laporan mendapan, ada takungan air di landasan yang tak sepatutnya berlaku. Sebab itu kita panggil MAHB dan AirAsia.

“Tetapi bukan AirAsia yang buat (bina) lapangan terbang itu, itu dibuat oleh MAHB. Sepatutnya mereka bertanggungjawab, Kementerian Pengangkutan kena bertanggungjawab. Baikilah. Bila datang sini (PAC), mereka kata itu masalah yang boleh diselesaikan, kata boleh buat penambahbaikan. Sekarang kita tengoklah," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat PAC berhubung isu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ditanya tentang laporan sebuah portal yang memetik aduan sumber industri penerbangan berkaitan mendapan di klia2.

Nur Jazlan berkata, kos penambahbaikan mendapan itu dijangka sekitar puluhan hingga ratusan juta ringgit.

“Sudahlah kos pembinaan klia2 RM4 bilion, sekarang kos penambahbaikan berapa pula? Mungkin Rm10 juta atau mungkin RM100 juta, kerana kita membuat penambahbaikan (perkara) yang sudah rosak, yang tak dibina dengan baik," tambahnya.

Berhubung kegagalan urus tadbir Finas yang menerima Sijil Penafian Laporan Kewangan daripada Jabatan Audit Negara pada 2012, katanya, antara isu yang timbul daripada penemuan Jabatan Ketua Audit ialah tentang penyata penyesuaian bank, daftar aset dan susut nilai aset tetap, pendahuluan kewangan dan penyata aliran tunai yang perlu dimantapkan dalam penyediaan akaun.

“Salah satu sebab berlakunya masalah pengurusan akaun oleh Finas ialah penggabungan antara Finas dan Filem Negara Malaysia (FNM) pada tahun lalu. Finas merupakan badan berkanun manakala FNM ialah sebuah jabatan kerajaan. Penggabungan ini melibatkan dua entiti yang tidak sama kerana jabatan kerajaan menggunakan sistem akaun tunai manakala Finas menggunakan akaun akru," katanya.

MASWings berhasrat tawar penerbangan 'shuttle'


MIRI 19 Mei - Syarikat pener­bangan MASWings membayangkan hasrat untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan seperti pengangkutan bas ke bandar-bandar utama di Sarawak dan Sabah.
Ketua Pegawai Ekseku­tifnya, Datuk Kapten Mohd. Nawawi Awang memberi­tahu, rancangan itu tidak mustahil menjadi kenya­taan jika pihaknya mempunyai keupayaan dari aspek tenaga kerja dan kemudahan pesawat.

“Tidak mustahil kita sediakan per­khidmatan seperti ‘bus shuttle’ untuk setiap jam, tidak perlu menempah tiket hanya terus ke kaunter untuk membeli tiket," katanya dalam sidang akhbar selepas Maj­lis 

Pelancaran Kad Pelajar MASWings Untuk Pelajar Pedalaman Sarawak dan Sabah, di sini kelmarin.
Menurut Mohd. Nawawi, kemu­dahan penerbangan seperti itu adalah sangat diperlukan terutama penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman negeri ini dan Sabah.

Katanya, matlamat utama mahu memperkenalkan perkhidmatan ter­sebut adalah memberi keselesaan dan kesenangan kepada penumpang.

Dalam pada itu, beliau berkata, MASWings sentiasa bersedia menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan.

“Ini tidak terkecuali menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi kes kecemasan perubatan di kawasan pendalaman.
“Perkhidmatan mengambil dan menghantar pesakit ini mampu disediakan jika kami dimaklumkan awal," katanya.

Mengenai kemudahan pesawat ringan, Mohd. Nawawi berkata, pihak­nya dalam proses menggantikan kemudahan berkenaan dengan pesawat baharu yang mempunyai kelebihan dari aspek kelengkapan keselesaan.
Katanya, pesawat ringan sedia ada sedang ditukar secara berperingkat-peringkat kepada pesawat ringan yang lebih canggih dan mempunyai kelengkapan terkini untuk memberi keselesaan kepada penumpang.

MAS boleh diselamatkan


KUALA LUMPUR 19 Mei - Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) masih boleh diselamatkan dengan syarat amalan pengurusan secara jangka pendek iaitu penjualan aset untuk menjana hasil semata-mata mahu menambah pendapatan dan keuntungan sekejap bagi menutup kerugian yang dialami, dihentikan segera.

Bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, MAS juga perlu berhenti menamatkan laluan penerbangan sedia ada sebaliknya ia perlu diperkasakan melalui penambahan laluan baharu terutama di Eropah.

Selain itu, menurut beliau, syarikat penerbangan itu perlu menghentikan khidmat kepakaran asing yang menelan kos tinggi dalam pengurusan tertinggi sebaliknya membawa masuk kembali tokoh-tokoh tempatan yang sebelum ini berjaya membawa syarikat itu melalui zaman kegemilangan.

“Sekarang ini, ramai mengatakan MAS mencari jalan secara 'kitchen sinking' iaitu sejauh mana untuk mencari keuntungan dan kadang-kadang untuk mencapainya mereka mengambil langkah penjualan harta.

“MAS perlu berusaha menambah hasil melalui penerbangan dengan melakukan imbangan antara keuntungan dan kerugian iaitu laluan yang rugi diseimbangkan oleh tempat yang menguntungkan bukannya kita tutup laluan seperti ke Dubai dan Rome kemudian apabila hendak masuk kembali sangat susah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas pandangan penganalisis industri yang menaruh keyakinan MAS masih boleh memulihkan kedudukan kewangannya, yang ketika ini agak buruk apabila mencatatkan kerugian bersih RM443 juta bagi suku pertama tahun ini berbanding RM279 juta bagi tempoh masa sama tahun lalu.

Harapan untuk pulih itu bergantung kepada usaha-usaha penjimatan kos, penstrukturan pengurusan, penerimaan pesawat baharu yang menjimatkan minyak serta kesempatan yang digunakan oleh syarikat penerbangan itu sebagai ahli perikatan Oneworld.

Kerugian tersebut agak merisaukan apabila tahun lalu MAS turut mencatat kerugian RM1.17 bilion walaupun terdapat peningkatan dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 36 peratus kepada RM254 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember, berbanding RM187 juta pada tempoh sama tahun kewangan yang lalu.

Menurut Abdul Aziz, penjualan beberapa aset MAS antaranya MAS Kitchen yang menyediakan makanan dalam penerbangan terbukti jalan yang salah apabila melihat pihak yang menguruskannya kini sedang mengaut keuntungan yang sepatutnya menjadi milik MAS.

Lebih merisaukan, katanya, ada ura-ura mengatakan MAS akan turut menjual pusat kejuruteraannya yang telah terbukti menguntungkan iaitu bahagian penyelenggaraan, membaik pulih dan pembaikan (MRO).

“Kenapa perlu jual salah satu sumber keuntungan ini? MAS perlu mempertahankannya sampai bila-bila dan pada masa sama mereka perlu mendapatkan kembali aset yang boleh membawa hasil tetapi telah dijual contohnya MAS Kit­chen," tegas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menolak pandangan beberapa pihak yang bersetuju supaya MAS diisytihar muflis untuk membolehkan langkah pemulihan dibuat dari awal sebaliknya beliau berharap ia diberi tempoh untuk beberapa tahun lagi sebelum keputusan drastik diambil.

“Saya rasa ini kurang bijak kerana apabila muflis reputasi dan imej akan tercemar. Buat langkah pemulihan untuk kali yang terakhir, tengok apa hasilnya dalam beberapa tahun dan jika masih gagal barulah boleh difikirkan untuk isytihar muflis," katanya.

Isteri pramugara MH370 selamat lahirkan bayi


PUTRAJAYA 19 Mei - Isteri kepada anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Intan Maizura Othman yang melalui coretannya meruntun perasaan orang ramai selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Putrajaya tanpa kehadiran suami di sisi yang hilang tanpa berita sejak 8 Mac lalu.

Difahamkan isteri kepada Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan itu selamat melahirkan anak keduanya melalui pembedahan di hospital tersebut pada pukul 4 petang ini.

Sebelum ini, Intan Maizura sering memuat naik gambar beliau dan suaminya di laman Instagram serta menuliskan ungkapan rindu terhadap suaminya itu.

Hari ini tersebar berita dalam laman sosial Facebook mengenai keadaan beliau yang sedang menanti waktu untuk melahirkan anak keduanya di Hospital Putrajaya.

Dalam berita tersebut disertakan sekali gambarnya yang masih mampu tersenyum biarpun masih berduka dengan peristiwa yang menggemparkan dunia itu.

MAS: Masih ada cahaya di hujung terowong

PENGURUSAN MAS kini dijangka lebih memberi fokus untuk meraih keyakinan pelanggan dan pada masa sama meningkatkan kadar muatan penumpang. - Gambar Hiasan.


KUALA LUMPUR 18 Mei - Penganalisis industri masih yakin terdapat 'cahaya di hujung terowong' untuk Malaysia Airlines (MAS) memulihkan kedudukan kewangannya, yang ketika ini agak buruk apabila mencatatkan kerugian bersih RM443 juta bagi suku pertama tahun ini berbanding RM279 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Harapan kepada pemulihan itu bergantung kepada usaha-usaha penjimatan kos, penstrukturan pengurusan, penerimaan pesawat baharu yang menjimatkan minyak serta kesempatan yang digunakan oleh syarikat penerbangan itu sebagai ahli perikatan Oneworld.

Menurut analisis Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA), MAS telah memulakan kembali aktiviti pemasarannya sejak dua minggu lalu, selepas tidak melakukannya selama dua bulan sebagai menghormati kehilangan pesawat MH370.

"Kebiasaannya pada suku pertama setiap tahun, secara bermusim MAS sentiasa mengalami prestasi yang buruk, tanpa mengira sama ada berlakunya kes kehilangan MH370 atau tidak.

"Apapun, kejadian itu sudah pasti memberi kesan buruk tambahan kepada MAS. Sejauh mana kesannya, bergantung bagaimana proses pemulihan keseluruhan operasi yang dirancang MAS," menurut CAPA kelmarin.

Mengenai penstrukturan semula pengurusan MAS, CAPA berpendapat persoalan kini terletak kepada kesungguhan kerajaan selaku pemegang saham utama syarikat itu. Jelasnya, MAS telah beberapa kali mengalami penstrukturan semula, namun kurang berjaya kerana tiadanya tindakan drastik yang diambil.
Tindakan drastik itu termasuklah menjual unit-unit perniagaan bukan teras.

Bagaimanapun CAPA menjelaskan, usaha menjual kepentingan MAS kepada pihak asing agak sukar dilakukan terutama sekali bakal mendapat tentangan politik.

Malah, penjualan juga sukar dilakukan melainkan syarikat itu telah di struktur semula sebelum dijual. Khazanah Nasional kini memiliki lebih 60 peratus kepentingan ekuiti MAS.

Kajian oleh MIDF Research pula tidak menolak kemungkinan MAS sekali lagi menerima suntikan kewangan dalam tempoh 24 bulan akan datang, memandangkan lebihan tunai ketika ini hanya berbaki RM3.4 bilion bagi menampung pelbagai keperluan operasi.

Sementara Affin Investment Bank pula menyatakan, pengurusan MAS kini dijangka lebih memberi fokus untuk meraih keyakinan pelanggan terhadap syarikat tersebut, dan pada masa sama meningkatkan kadar muatan penumpang.

Jelas Affin, usaha itu bakal dilakukan dengan melibatkan tawaran harga tiket yang kompetitif.
Pada masa yang sama, beberapa nota kajian oleh beberapa perbankan pelaburan yang lain merasakan MAS menghadapi cabaran yang besar untuk mencapai sasaran pemulihan prestasinya menjelang akhir tahun ini, terutama sekali bagi menghadapi tanggapan negatif berhubung kes MH370.

RHB Research Institute, menjangka cabaran yang bakal dihadapi oleh MAS itu turut berkait dengan saingan sengit oleh sesama syarikat penerbangan serantau yang lain.

Pesawat tentera Laos terhempas


PASUKAN penyelamat menjalankan usaha menyelamat ke atas pesawat tentera terhempas di Kampung Nadess, Xiang Khouang di utara Laos yang menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Laos terbunuh. - REUTERS


BANGKOK 17 Mei - Timbalan Perdana Menteri Laos, Douangchay Phichit bersama empat pegawai tertinggi kerajaan lain dilaporkan terbunuh apabila pesawat tentera yang dinaiki mereka terhempas di bahagian utara negara ini, pagi ini.

Phichit yang juga Menteri Pertahanan bersama pegawai kerajaan lain itu dipercayai dalam perjalanan ke satu majlis rasmi di wilayah Xiangkhouang, timur laut Laos ketika kejadian itu berlaku.

Menurut Bangkok Post, pesawat tentera jenis Antonov AN74-300 itu yang membawa kira-kira 20 penumpang termasuk Phichit terhempas kira-kira pukul 6.30 pagi waktu tempatan (5.30 pagi waktu Malaysia) di Xiangkhouang.

Laporan terkini portal berita Thai Rath, sebanyak tiga penumpang iaitu seorang pembantu juruterbang, jururawat dan seorang individu tidak dikenali terselamat dalam kejadian itu.

Menurut portal Krungthep Turakit, selain Phichit, Gabenor Vientiane, Soukanh Mahalath dan Sekretariat Jawatankuasa Pusat Parti Pembaharuan Rakyat Laos, Cheuang Sombounkhanh, turut terbunuh.

Jurucakap Kementerian Luar Laos, Sek Wannamethee mengesahkan kematian Phichit dan menyatakan maklumat itu diperoleh daripada kedutaan Thailand di Laos.

Agensi berita Laos, KPL berkata, tumpuan pihak berkuasa kini adalah bagi membantu menyelamatkan mangsa terselamat

Sayap pesawat patah, 61 penumpang cemas


LONDON 16 Mei - Kira-kira 61 penumpang yang dalam perjalanan dari ibu negara Britain ke Itali mengalami detik-detik mencemaskan apabila komponen bawah sayap pesawat yang dinaiki mereka, terpatah secara tiba-tiba.

Kejadian berkenaan sempat dirakamkan oleh seorang penumpang yang juga wartawan Daily Telegraph, Cole Moreton ketika pesawat terbabit terpaksa berpatah balik untuk melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang London City.

"Saya dan beberapa penumpang lain mendengar bunyi letupan kuat ketika pesawat berlepas dan mendapati komponen bawah sayap di bahagian kiri telah patah.

"Saya memaklumkan kepada krew yang kemudiannya melaporkan kejadian tersebut kepada juruterbang untuk tindakan lanjut," katanya.

Walaupun pesawat jenis Avro Rj85, milik syarikat penerbangan CityJet itu mengalami kerosakan di bahagian sayap, juruterbang berjaya mendaratkan kapal terbang berkenaan dengan selamat.

Jurucakap syarikat itu dalam kenyataannya berkata, kejadian berlaku ketika penerbangan WX 281 baru saja berlepas dan dalam perjalanan ke Florence pada ketinggian 914 meter.

"Krew pesawat mengikut prosedur asas ketika kecemasan dan selepas berbincang dengan Pusat Kawalan Penyelenggaraan CityJet melalui radio, pesawat itu diarahkan mendarat semula di Lapangan Terbang London City.

"Pusat Kawalan Trafik Udara turut dimaklumkan berhubung insiden berkenaan dan sebaik-baik pesawat itu mendarat, kesemua penumpang dibawa menaiki pesawat lain untuk menuju ke destinasi asal," jelas kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, jurucakap Lapangan Terbang London mengesahkan kejadian tersebut yang berpunca akibat masalah mekanikal.

Kereta langgar pesawat MAS MH740


Sebuah kereta Perodua Viva terperosok ke bawah pesawat MAS MH740 yang sepatutnya berlepas ke Yangon, Myanmar di KLIA Sepang, semalam.


SEPANG 15 Mei - Penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH740 yang dijadualkan ke Yangon, Myanmar pada pukul 10.05 pagi ini terpaksa ditunda selepas sebuah kereta yang tidak ditarik brek tangan dengan kemas terperosok di bahagian bawah kapal terbang itu,

Kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menyebabkan semua penumpang dalam pesawat B737-800 tersebut terpaksa dipindahkan ke penerbangan berikutnya pada pukul 10.45 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang, kejadian berlaku selepas sebuah kereta jenis Viva milik salah sebuah syarikat vendor kepada MAS bergerak sendiri dan menggelongsor ke bawah pesawat terbabit.

Bagaimanapun kata beliau, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Saya mengesahkan mengenai kejadian ini namun sehingga kini kami masih belum menerima laporan rasmi berhubung kejadian.

“Tiada kerosakan serius yang berlaku terhadap kereta serta pesawat itu cuma sedikit calar dan kereta itu berjaya dikeluarkan dari bawah pesawat selepas dibuang angin pada tayar hadapannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, pihaknya juga mendapati tiada unsur sabotaj berhubung kes tersebut dan pihaknya juga tidak membuka kertas siasatan.

Dalam pada itu, MAS dalam satu kenyataan mengesahkan insiden tersebut dan pihaknya sedang menilai tahap kerosakan terhadap pesawat tersebut.

Pengarah Operasinya, Kapten Izham Ismail berkata, jurutera syarikat telah dihantar ke kawasan tersebut bagi menilai tahap kerosakan terhadap pesawat itu dan menerusi penilaian awal tiada kerosakan teruk berlaku.

Menurut beliau, pihaknya telah melakukan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tahap kerosakan yang berlaku terhadap pesawat tersebut.

“Berikutan itu penerbangan pesawat MH740 terpaksa dijadualkan semula untuk berlepas ke Yangon pada pukul 12.30 tengah hari," katanya

Tambah Izham, keselamatan penumpang MAS sangat penting dan pihaknya meminta maaf kepada semua penumpang pesawat MH740 yang terpaksa berhadapan masalah tersebut sehingga menjejaskan rancangan penerbangan masing-masing.

Penerbangan ditangguhkan, pesawat MAS dilanggar kereta


SEPANG 15 Mei - Sebuah pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) yang sepatutnya berlepas ke Yangon, Myanmar pada pukul 10.05 pagi ini terpaksa ditunda selepas sebuah kereta yang diletakkan berhampiran melanggar bahagian bawah kapal terbang itu.

Berikutan kejadian tersebut, semua penumpang pesawat tersebut terpaksa dipindahkan ke penerbangan lain pada pukul 10.45 pagi tad

Thursday, May 8, 2014

Saman AirAsia: Suami isteri dapat ganti rugi RM45,000


PUTRAJAYA 7 Mei - Sepasang suami isteri berjaya mendapat ganti rugi mencecah RM45,000 selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan terhadap AirAsia Berhad yang disaman kerana cuai dan mengakibatkan mereka mengalami kesusahan serta kerugian sewaktu menggunakan khidmat penerbangan tambang murah itu, tiga tahun lalu.


Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara membenarkan relif yang dimohon oleh perayu pertama, Patricia Karen Chew Mei Yik dan suaminya, Michael Januarius (perayu kedua) iaitu ganti rugi khas sebanyak RM18,999 dan ganti rugi am RM25,000.

Beliau yang turut bersidang bersama Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memerintahkan agar faedah sebanyak lima peratus dibayar dari tarikh pemfailan tuntutan saman pada 2011.

Kuorum berkenaan membenarkan rayuan mereka dengan kos RM10,000 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan saman kedua-duanya pada 29 Ogos tahun lalu.

Pasangan suami isteri itu diwakili oleh peguam M. Manoharan manakala AirAsia oleh Mohamed Zaini Mazlan.

Patricia yang ketika itu sedang mengandung 28 minggu dan suaminya menyaman AirAsia kerana kecuaian sehingga menyebabkan mereka mengalami kesusahan dan intimidasi sewaktu pulang daripada bercuti di Denpasar, Bali, Indonesia.

Pasangan tersebut bersama anak perempuan mereka yang ketika itu berusia empat tahun menaiki pesawat berkenaan pada 20 Februari 2011 dan sepatutnya bertolak balik ke ibu negara pada 26 Februari 2011 selepas menghabiskan percutian mereka.

Dalam tuntutan saman itu, mereka mendakwa, AirAsia telah menghalang mereka bertiga menaiki penerbangan balik atas alasan Patricia gagal mengemukakan surat pengesahan doktor.

Patricia mendakwa, sebelum bercuti, dia telah memperoleh surat pengesahan aripada seorang doktor pakar sakit puan dan menyerahkannya kepada pramugari bertugas ketika berlepas ke Denpasar pada 20 Februari 2011.

Perayu-perayu menyatakan, pramugari bertugas dalam penerbangan balik itu enggan bertolak ansur dan mengarahkan agar Patricia mengemukakan surat pengesahan doktor yang baharu jika dia dan keluarga ingin meneruskan penerbangan.

Bagaimanapun, Patricia gagal berbuat demikian menyebabkan suaminya bercadang pulang sendirian menaiki pesawat tersebut kerana terlibat sebagai pemuzik dalam satu jamuan korporat di sebuah hotel terkemuka pada petang hari yang sama.

Namun begitu, mereka bertiga gagal menaiki pesawat berkenaan dan terpaksa menaiki penerbangan lain sehingga menyebabkan suaminya kehilangan beg angkutan tangan yang mengandungi kamera dan komputer riba yang di dalamnya berisi maklumat peribadi berkaitan perniagaan.

Sementara itu, AirAsia menyatakan, pramugari bertugas menjalankan tugasnya berdasarkan prosedur operasi yang menghendaki wanita hamil melebihi 28 minggu mengemukakan surat bagi mengesahkan tempoh kehamilan dan dia sihat untuk membuat penerbangan.

AirAsia menyatakan, surat akuan doktor itu perlu dikemukakan untuk semakan bagi setiap penerbangan.

Pesawat Vietnam Airlines alami kerosakan enjin


Pesawat Vietnam Airlines kembali semula ke terminal Lapangan Terbang Melbourne selepas mengalami kerosakan enjin sebelum berlepas, semalam. - AGENSI


MELBOURNE 6 Mei - Pesawat komersial, Vietnam Airlines VN780, hari ini mengalami kerosakan enjin yang menyebabkan percikan api serta serpihan enjin pesawat bertaburan di landasan Lapangan Terbang Melbourne ketika bersiap sedia untuk berlepas, di sini.

Masalah tersebut menyebabkan jadual penerbangan terganggu di lapangan terbang itu, menurut kenyataan pegawai.

Percikan api dilihat keluar daripada sebuah enjin pesawat itu yang bersiap sedia untuk berlepas ke Ho Chi Minh City, Vietnam, namun pesawat berkenaan berjaya berhenti dalam keadaan selamat.

“Serpihan enjin turut dilihat keluar daripada bahagiannya, namun tidak ada kemalangan besar berlaku.
“Penumpang juga selamat dan tidak ada kecederaan dilaporkan," kata seorang jurucakap lapangan terbang itu.

Pesawat itu kemudiannya dibawa dari landasan lapangan terbang dan serpihan enjin dibersihkan serta-merta bagi membolehkan penerbangan lain berlepas dan mendarat.

Seorang penumpang berkata, pesawat itu berada di landasan selama 30 minit selepas kejadian.
Tambahnya, bahagian depan pesawat mula terangkat untuk berlepas selepas enjin keduanya rosak, sehingga memaksa juruterbang membatalkan penerbangan.

Jumlah penumpang yang berada dalam pesawat ketika kejadian masih belum diketahui. - AFP

AirAsia Berhad rekod pertumbuhan kukuh


AirAsia catat pertumbuhan operasi memberangsangkan pada suku pertama tahun ini. - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR 5 Mei - AirAsia Bhd. merekodkan pertumbuhan operasi yang kukuh pada suku pertama 2014 dengan faktor muatan sebanyak 78 peratus.

Syarikat penerbangan tambah murah terbabit turut mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus dalam bilangan penumpang kepada 11.5 juta orang berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 19 peratus dalam kapasiti.

Menurut AirAsia, syarikat menambah sebanyak tiga buah pesawat menjadikannya kini beroperasi dengan 157 buah pesawat.

Tambahnya, AirAsia Malaysia (MAA) kekal mencatatkan pertumbuhan faktor muatan sebanyak 81 peratus pada suku pertama tahun ini, peningkatan sebanyak dua peratus berbanding tahun lalu.

"Jumlah bilangan penumpang turut meningkat sebanyak empat peratus kepada 5.4 juta penumpang walaupun terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh industri pada suku pertama terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, MAA turut menambah sebuah pesawat pada suku pertama tahun ini menjadikan MAA kini mempunyai 72 buah pesawat menjelang penghujung 2014.

Sementara itu, AirAsia Thailand mencatatkan peningkatan 22 peratus dalam jumlah penumpang iaitu sebanyak 3.1 juta tahun ke tahun, manakala AirAsia Indonesia pula merekodkan sebanyak 2.1 juta penumpang, meningkat sebanyak 22 peratus berbanding tahun lalu.

"AirAsia Filipina (PAA) yang telah bergabung dengan AirAsia Zest dari segi operasi, mencatatkan faktor muatan sebanyak 66 peratus dengan pertumbuhan yang tinggi dalam bilangan penumpang iaitu 520 peratus dan sebanyak 0.89 juta penumpang," katanya.

Pertumbuhan dalam kapasiti juga tinggi iaitu 614 peratus tahun ke tahun, dan PAA menerima 16 pesawat tambahan menjadikannya kini mempunyai 18 buah pesawat.

"Kekerapan penerbangan ke Filipina turut meningkat di tiga laluan utama iaitu Manila-Tacloban, Cebu dan Kalibo," katanya.

Thailand AirAsia X


Nadda Buranasiri berdiri di hadapan pesawat milik Thailand AirAsia X.


KUALA LUMPUR 4 Mei - Setelah merealisasikan hasrat untuk terbang ke Korea Selatan dan Jepun pada pertengahan tahun ini, Thailand AirAsia X akan meneruskan usaha meluaskan sayap penerbangannya dengan meneroka pasaran China pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Thailand AirAsia X, Nadda Buranasiri berkata, dengan pengenalan penerbangan ke Korea Selatan dan Jepun, pihaknya menyasarkan untuk mengendalikan 200,000 penumpang pada tahun ini, iaitu tahun pertama beroperasi.

Beliau berkata, penerbangan ke Korea Selatan dan Jepun itu membabitkan tiga destinasi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai yang terletak di Jepun.

“Ketiga-tiga destinasi ini mempunyai potensi yang sangat besar dan China pula sedang diteliti kerana penduduknya ramai yang berkunjung ke Thailand," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia dalam satu taklimat media serantau tentang syarikat penerbangan tambang murah baharu itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Dong Mueang, di Bangkok baru-baru ini.

Thailand AirAsia X yang memulakan operasinya pada April merupakan anak syarikat milik 48.9 peratus AirAsia Bhd.

Syarikat penerbangan tambang rendah baharu itu akan mengadakan perkhidmatan ke tiga destinasi Asia mulai 17 Jun ini.

Penerbangan pertamanya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dong Mueang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan pada 17 Jun.

Selepas itu, Thailand AirAsia X akan memulakan penerbangan terus ke Jepun membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai.

Nadda berkata, syarikat itu akan menggunakan dua buah pesawat Airbus A330-300 untuk ketiga-tiga destinasi tersebut yang mempunyai kapasiti 377 kerusi dengan kelas ekonomi dan `flatbed' premium.
Mengulas kemampuan mengendalikan ketiga-tiga destinasi itu dengan dua pesawat berbadan lebar, beliau berkata, ia adalah tugas syarikat Thailand AirAsia X yang perlu meluaskan hubungan jaringan AirAsia dan meyakinkan penumpang bahawa mereka telah memilih syarikat penerbangan yang tepat.

klia2 Hab generasi akan datang




Bakal menjadi penanda aras global, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) merealisasikan konsep ‘hab generasi akan datang’ yang akan memudahkan sambungan antara penerbangan perkhidmatan penuh dengan penerbangan kos rendah.

Setelah melalui beberapa episod kontroversi, klia2 akhirnya menjadi mercu tanda terbaharu bagi industri penerbangan dan pelancongan negara ini. Terminal penerbangan yang terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari KLIA telah memulakan operasinya pada 2 Mei lalu.

klia2 akan menjadi satu-satunya terminal mega khusus di dunia yang memberikan perkhidmatan kepada industri penerbangan kos rendah.

Lapangan terbang ini direka bentuk dengan mempertimbangkan aspek kefleksibelan untuk membolehkan klia2 berkembang bagi menampung trend pertumbuhan dan model operasi syarikat penerbangan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, pembukaan lapangan terbang ini akan dapat menyokong industri penerbangan global yang sentiasa berkembang dan bersifat dinamik.

klia2 dibina khas untuk menampung 45 juta penumpang setahun dengan saiz terminal empat kali ganda lebih besar daripada Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Tidak ketinggalan, terdapat pilihan baharu berinovatif dengan kemudahan terkini di terminal penerbangan kos rendah menawarkan pengalaman beli-belah dan menjamu selera yang segar kepada para penumpang dan pengunjung. Mempunyai matlamat untuk merevolusikan pengalaman beli-belah di lapangan terbang, klia2 mempunyai ruang perniagaan runcitnya seluas 35,000 meter persegi. Bakal menjadi syurga beli-belah untuk para pengembara dan pengunjung, klia2 menawarkan pelbagai jenama terkenal dari seluruh pelosok dunia.

Hab pengangkutan
klia2 menampilkan hab elbagai pengangkutan seperti bas, teksi, dan ERL untuk kemudahan penumpang dan juga orang ramai.

Kemudahan lain di situ ialah sistem pengendalian bagasi automatik, zon sokongan, kargo dan kompleks penerbangan domestik dan sebuah kompleks letak kereta yang luas.

Hab peruncitan
Sebanyak 225 buah kedai disediakan di klia2 dan hampir 60 peratus daripada jumlah tersebut ialah peniaga bumiputera. Hab peruncitan klia2 ini merupakan antara projek permulaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara dalam sektor pemborongan dan peruncitan yang dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ruang niaga di terminal utama dan ruang niaga di Gateway@klia2 atau dikenali sebagai 'Landside Mall'.

Mesra alam
klia2 menggunakan konsep mesra alam dan bangunan hijaunya menggunakan teknologi baharu serba canggih. Bangunan tersebut direka sedemikian bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik dan air, selain memulihara alam sekitar daripada tercemar dengan pelepasan sisa-sisa buangan yang tidak diingini. 

Antara ciri-ciri tersebut termasuklah pengumpulan air hujan bagi tujuan landskap dan sistem mengepam tandas, penggunaan cahaya matahari dan sensor bagi mengurangkan kadar kegunaan tenaga, pemasangan tingkap khas serta penggunaan bahan-bahan pembinaan bagi pengurangan haba dalam bangunan.

Mesra Pengunjung
Terminal klia2 juga mesra pengunjung termasuklah orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas melalui kemudahan lif serta laluan gerak di sepanjang perjalanan.
Penumpang pelepasan dan ketibaan juga tidak akan bertembung kerana laluannya telah dibahagikan antara bahagian pelepasan di aras tiga serta ketibaan di aras dua. Jarak dari pintu masuk utama ke pintu pelepasan paling hujung ialah 1.4 km.

Hotel Sama-Sama Express yang terletak di klia2 merupakan hotel yang disediakan untuk penumpang yang ingin berehat seketika bagi tujuan transit. Apa yang menarik, rekaan dalaman hotel tersebut serba mewah dan eksklusif. Menawarkan 70 buah bilik pelbagai saiz dan jenis yang berbeza, keluasan sebuah bilik hotel tersebut antara 17 meter persegi hingga 48 meter persegi.

Jambatan udara
Selepas melalui kaunter imigresen dan kastam, orang ramai hanya perlu berjalan menuju ke bangunan satelit melalui satu lagi binaan kebanggaan negara iaitu jambatan udara sepanjang 300 meter dan setinggi 16.24 meter daripada paras laluan apron iaitu laluan pesawat di landasan itu. Ia merupakan kemudahan yang pertama seumpananya di Asia.

Jika di KLIA, pengunjung dihubungkan dari bangunan terminal utama ke bangunan satelit menggunakan aerotren tetapi di klia2, orang ramai boleh berjalan menggunakan jambatan udara ini sambil menikmati pemandangan ketiga-tiga landasan yang ada.

Jambatan udara ini boleh memuatkan dua pesawat sekali gus untuk melintas di bawahnya dan memberikan satu pengalaman menarik buat pengunjung kerana mereka seolah-olah berjalan di atas bumbung pesawat.