mangga add

Wednesday, October 31, 2012

MAS jadi ahli oneworld mulai Februari



KUALA LUMPUR 29 Okt. - Malaysia Airlines (MAS) bakal menjadi ahli penuh oneworld bermula 1 Februari depan selepas syarikat penerbangan negara itu berjaya dalam penilaian teliti yang dijalankan syarikat penerbangan Qantas, yang juga penaja kemasukannya kepada perikatan tersebut.

Menurut satu kenyataan di sini hari ini, MAS akan menawarkan perkhidmatan dan manfaat penuh oneworld, sekali gus membolehkan dua juta ahli Enrichnya memiliki kelebihan berganda apabila terbang dengan mana-mana ahli oneworld yang lain.

Antara ahli-ahli itu ialah Airberlin, American Airlines, British Airways, Cathay Pacific Airways, Finnair, Iberia, Japan Airlines, LAN Airlines, Qantas, Royal Jordanian, S7 Airlines dan 25 lagi syarikat penerbangan bersekutu.

Menurut MAS, pemegang kad Enrich Platinum akan mendapat status Emerald di dalam program oneworld, manakala pemegang Enrich Gold bersamaan dengan oneworld Sapphire dan Enrich Silver setara oneworld Ruby.

Tambah syarikat penerbangan tersebut, ahli Enrich Platinum dan Gold kini boleh menggunakan 550 lounges di lapangan terbang seluruh dunia yang turut ditawarkan oleh oneworld kepada ahli-ahlinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahaya berkata, menyertai oneworld merupakan pencapaian besar kepada syarikat tersebut selain ia mampu mengukuhkan kedudukannya untuk bersaing dengan syarikat-syarikat lain.

"Penyertaan ini juga membolehkan MAS untuk merebut semua manfaat dalam bentuk kewangan yang hadir daripada perikatan global ini," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif oneworld, Bruce Ashby berkata, MAS merupakan calon paling sesuai untuk menyertai oneworld kerana ia mempunyai reputasi khidmat pelanggan bertaraf dunia.

" Penyertaan MAS membolehkan kami meningkatkan tawaran kepada rantau yang paling pantas berkembang bagi sektor pelancongan udara ini, " katanya.



800,000 tempat duduk percuma di AirAsia




AirAsia turut menawarkan kadar tambang termurah dengan penerbangan jarak jauh bersama AirAsia X. - REUTERS


SEPANG 29 Okt. - AirAsia menawarkan 800,000 tempat duduk percuma ke pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa yang terpilih mulai hari ini hingga 4 November ini.
Menurut syarikat penerbangan tambang murah itu, pelanggan hanya perlu membayar cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api ke destinasi-destinasi terpilih itu sepanjang tempoh promosi.
Harga yang perlu dibayar oleh pelanggan bermula serendah RM26 untuk cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api ke destinasi seperti Pulau Pinang, Langkawi, Terengganu, Brunei dan penerbangan antarabangsa seperti ke Kemboja, India, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan banyak lagi.
Pelanggan boleh melakukan tempahan melalui laman web AirAsia iaitu www.airasia.com dari tarikh 29 Oktober hingga 4 November ini. Promosi itu adalah bagi tempoh perjalanan dari 1 Mei sehingga 30 September 2013.
Selain daripada laman web, pelanggan juga boleh menempah penerbangan melalui 'mobile app' AirAsia yang boleh dimuat turun daripada Apple App Store untuk iPhone, Google Play Store untuk gajet Android serta mobile.airasia.com di dalam telefon mudah alih yang mempunyai keupayaan WAP.
Ketua Komersial Kumpulan AirAsia, Kathleen Tan berkata, pihaknya menjangka bahawa promosi tempat duduk percuma itu akan meningkatkan trafik penggunaan laman web syarikat penerbangan itu.
Dalam pada itu, perkhidmatan jarak jauhnya, AirAsia X, turut menawarkan promosi hebat dengan harga penerbangan termasuk semua cukai dan surcaj dari RM299 ke Jepun (Tokyo, Osaka), RM349 ke China (Hangzhou, Chengdu, Beijing) dan RM399 ke Australia (Sydney, Melbourne, Gold Coast, Perth), Nepal (Kathmandu), Korea (Seoul) dan Taiwan (Taipei).
Harga promosi untuk tempat duduk 'Premium Flatbed' AirAsia X juga boleh didapati dari harga RM799 ke destinasi seperti Beijing, Hangzhou, Chengdu, Taipei, Perth, Melbourne, Gold Coast, Sydney, Tokyo, Osaka, Seoul dan Kathmandu.
Tempat duduk 'Premium Flatbed' AirAsia X adalah berserta produk dan servis seperti 'Pick A Seat, keutamaan daftar masuk, keutamaan untuk menaiki pesawat, keutamaan bagasi, bagasi sebanyak 25 kilogram (kg), set makanan percuma, satu set bantal dan selimut semasa penerbangan.
Laman percutian AirAsiaGo juga menawarkan promosi untuk hotel-hotel di Bangkok, Krabi, Langkawi, Kota Kinabalu, Bali, Yogyakarta dan banyak lagi dari harga RM30 untuk semalaman.
Harga promosi ini boleh ditempah di laman www.AirAsiaGo.com dari 29 Oktober lalu sehingga 4 November ini dan tempoh perjalanan adalah dari 1 Mei sehingga 15 September 2013.
Penumpang digalakkan menempah peruntukan bagasi mereka secara dalam talian semasa menempah tiket penerbangan yang membolehkan penjimatan sehingga 66 peratus, jika dibandingkan mendaftar-masuk peruntukan bagasi di kaunter lapangan terbang secara manual.



Wednesday, October 17, 2012

Warna logo MAS ditukar sempena pelancaran super jumbo



KUALA LUMPUR 15 Okt. - Logo Malaysia Airlines (MAS) pada pesawat Airbus A380 yang ditukar kepada warna biru adalah bagi memperingati pelancaran pesawat super jumbo milik MAS itu yang mula beroperasi pada 1 Julai lepas.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pesawat-pesawat MAS yang lain masih mengekalkan logo korporat asal dengan warna merah dan biru.
"MAS sedang giat melaksanakan pelan pemulihan syarikat dengan sasaran untuk mencatatkan keuntungan menjelang tahun 2014.
"Antara strateginya adalah untuk menarik semula penumpang melalui penjenamaan semula MAS dan memperkenalkan logo baru eksklusif untuk pesawat Airbus A380 yang merupakan pesawat kemegahan baru," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju).
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata MAS bagaimanapun tidak dapat mendedahkan maklumat mengenai kos penjenamaan semula kerana terikat dengan peruntukan kerahsiaan dalam kontrak berkenaan.
Katanya peruntukan berkenaan merupakan peruntukan standard dalam mana-mana kontrak untuk melindungi kepentingan pihak yang terlibat



MASWings sasar 1.5 juta penumpang



MASWING mengunjurkan peningkatan penumpang selaras dengan pengenalan laluan baharu ke negara-negara ASEAN
.
MIRI 14 Okt. - MASwings Sdn. Bhd. (MASwings), anak syarikat Malaysia Airlines (MAS), telah mengunjurkan jumlah penumpang seramai 1.5 juta tahun ini berbanding 1.4 juta tahun lepas.
Ketua pegawai eksekutif MASwings, Datuk Mohd. Nawawi Awang berkata, sasaran itu boleh dicapai berdasarkan pertumbuhan penumpang di kawasan perkhidmatannya serta kejayaan rancangan pengembangannya di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur - Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA).
"Faktor beban kami juga telah meningkat daripada 59 peratus pada 2008 kepada 64 peratus pada 2011," katanya di majlis makan malam ulang tahun kelima MASwings malam tadi.
Nawawi berkata, Prestasi Tepat Waktu MASwings (OTP) adalah yang terbaik di negara ini dengan purata 94 peratus dicatatkan tahun lepas dan dijangka untuk mencapai pertumbuhan yang lebih positif tahun ini.
"Berdasarkan pencapaian ini, kami semenjak Februari tahun ini telah mengembangkan operasi di kawasan BIMP-EAGA, dan kini kami sibuk dengan fasa kedua dan ketiga," katanya.
Pada Mei, Nawawi mengumumkan perlaksanaan fasa kedua MASwings mulai 1 Julai dengan meningkatkan kekerapan penerbangan ke destinasi terpilih serta laluan-laluan baharu.
Di antara laluan baharu adalah dari Kuching ke Balikpapan di Kalimantan Timur yang dijadualkan bermula bulan ini sementara di Filipina, ia sedang menanti kelulusan daripada kerajaan Filipina untuk memulakan operasi di Puerto Princesa (Pulau Palawan) menjelang akhir tahun.
Nawawi berkata, berikutan keputusan yang menggalakkan dan prestasi cemerlang MASwings, pihak pengurusan telah bersetuju untuk membuat bayaran khas satu bulan kepada pekerja MASwing dengan agihan yang akan dimasukkan bersama-sama gaji Oktober.
Syarikat penerbangan komuniti itu kini memiliki 10 unit pesawat ATR72-500 dan empat HDC-6 Twin Otters.



Turki tahan pesawat Armenia pula



Pesawat Armenia yang dipaksa mendarat di lapangan terbang Erzurum, timur Turki, semalam digeledah bagi memastikan ia tidak membawa senjata berbahaya ke Syria.

ANKARA 15 Okt. - Turki, hari ini mengarahkan sebuah pesawat Armenia yang dalam penerbangan ke bandar Aleppo, Syria, mendarat di timur negara ini dan menggeledahnya, ketika Ankara meningkatkan usaha menghalang ruang udaranya digunakan untuk membekalkan senjata kepada tentera Syria.
Turki telah dimaklumkan bahawa pesawat yang dipaksa mendarat di bandar Erzurum itu membawa bantuan kemanusiaan dan pegawai Armenia tahu ia akan digeledah, menurut seorang pegawai dari pejabat Perdana Menteri Turki.
Pegawai di pejabat Kementerian Luar pula berkata, pesawat kargo itu akan dibenarkan meneruskan penerbangan jika tidak ada barangan lain yang ditemui.
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, semalam mengumumkan akan menghalang pesawat penumpang Syria menggunakan ruang udara negara ini selepas Damsyik mengambil langkah yang sama.
Davutoglu berkata, penutupan ruang udara Turki kepada penerbangan awam Syria itu dikuatkuasakan sejak Sabtu lalu selepas mengenakan sekatan sama ke atas pesawat tentera dari negara itu.
Tindakan Ankara itu dibuat selepas agensi berita Syria, SANA pada Sabtu lalu melaporkan semua pesawat Turki dilarang memasuki ruang udara Syria.
Sementara itu, jumlah pelarian Syria di khemah-khemah pelarian di selatan negara ini telah melebihi 100,000 orang, angka yang dikatakan Ankara sebelum ini tidak dapat ditampungnya, menurut Agensi Pengurusan Bencana Turki (AFAD).
AFAD dalam satu kenyataan berkata, kini terdapat 100,363 rakyat Syria di lebih 12 khemah pelarian di wilayah Turki di sepanjang sempadan negara ini dengan Damsyik.
Ketegangan antara Turki dan Syria memuncak sejak dua minggu lalu selepas insiden berbalas-balas bedilan merentasi sempadan antara kedua-dua negara diikuti tindakan Ankara memaksa sebuah pesawat Damsyik mendarat kerana didakwa membawa senjata dari Rusia pada 10 Oktober lalu



AirAsia sah batal ambil alih Batavia Air



SALAH sebuah pesawat Batavia Air mendarat di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta. - GAMBAR HIASAN

JAKARTA 15 Okt. - Hasrat AirAsia Berhad membeli syarikat penerbangan Indonesia, PT Batavia Air tidak kesampaian apabila usaha pengambilalihan itu disahkan batal.
Berita pembatalan berkenaan diumumkan Pengarah Komersial Batavia, Sukirno Sukarno yang menjelaskan, keputusan itu dicapai memandangkan syarikat berkenaan gagal mencapai persetujuan dalam rundingan dengan AirAsia dan PT Fersindo Nusaperkasa.
“Ini bukanlah penamat buat segala-galanya buat Batavia Air kerana kami akan terus menjalankan perniagaan sekalipun tanpa pengambilalihan ini," kata Sukirno seperti yang dilaporkan akhbar The Jakarta Post hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci butiran pembatalan berkenaan.
Sebaliknya, Sukirno memberitahu, syarikat berkenaan akan mengedarkan kenyataan mengenai kegagalan persefahaman itu hari ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya sememangnya menyedari bahawa transaksi itu bakal berhadapan dengan kesukaran.
“Keputusan ini merupakan pengalaman yang berguna kepada kami dan ia akan menguatkan lagi keyakinan syarikat untuk terus berkembang di Indonesia.
“Kami akan terus memberi fokus di Indonesia termasuk mempercepatkan rancangan tawaran awam permulaaan (IPO) kami (AirAsia Indonesia), selain terus mengekalkan hubungan baik dengan Batavia Air," katanya dalam kenyataan itu.
AirAsia Berhad dan Fersindo pada Julai lalu menandatangani Memorandum Persefahaman dengan PT Metro Batavia untuk pengambilalihan itu, termasuk pembelian sekolah penerbangan bernilai AS$80 juta dolar (RM245 juta).
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia sebelum ini merancang untuk menguasai 49 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan Indonesia itu, iaitu had maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan negara berkenaan terhadap pemilikan asing.



Tuesday, October 16, 2012

Iraq beli 28 pesawat tempur dari Republik Czech



PRAGUE 13 Okt. - Iraq semalam, bersetuju untuk membeli sebanyak 28 pesawat tempur dari Republik Czech bernilai AS$1 bilion (RM3.1 bilion) dalam tempoh terdekat ini.
Menteri Pertahanan Republik Czech, Alexander Vondra berkata, Iraq akan membeli sebanyak 28 pesawat tempur jenis L-159.
"Sebanyak 24 daripada 28 pesawat tersebut merupakan stok baharu manakala empat lagi merupakan lebihan pesawat tentera negara ini,"


Friday, October 12, 2012

"Kami mahu terbang 40 tahun lagi!"



Ahmad Jauhari Yahya (lima dari kanan) berbual dengan kakitangan MAS dan Kapten Hassan Ahmad (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Ooi Teong Siew (tiga dari kiri) dan Amarjeet Kumar yang menyertai penerbangan pertama MAS MH601 ke Singapura pada 1972.
KEHIDUPAN bermula dari usia 40", demikian tutur Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Ahmad Jauhari Yahaya semasa memulakan ucapan sempena sambutan penubuhan MAS yang ke-40 pada 1 Oktober lalu di Kelana Jaya, Selangor.
Pada usia 40, syarikat penerbangan negara ini masih kuat membelah awan walaupun perjalanan di hadapan terus berliku kerana terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat lain terutama apabila industri penerbangan tambang murah semakin berkembang dewasa ini.
Sejarah MAS bermula selepas perpecahan di antara Malaysia - Singapore Airlines (MSA) pada 1971 akibat perbezaan pendapat di antara dua kerajaan menjadi titik tolak kepada perkembangan industri penerbangan komersial di negara ini.
Singapura ketika itu mahu menumpukan kepada destinasi antarabangsa manakala Malaysia mahu menumpukan perhubungan domestik, sekali gus menyaksikan lahirnya dua syarikat penerbangan iaitu Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) pada April 1971 manakala Singapura pula menubuhkan Singapore Airlines (SIA).
Bermula dengan penerbangan pertama MH601 ke Singapura pada 1 Oktober 1972, MAS tidak menoleh ke belakang lagi apabila turut terbang ke 34 destinasi domestik dan enam destinasi antarabangsa.
Dengan hanya bertunjangkan enam pesawat Boeing 737-200, sembilan Fokker Friendship 27 dan tiga Britten Norman Islanders, MAS semakin melebarkan sayapnya ke 76 destinasi seluruh dunia.
MAS menerbangkan secara purata 37,000 penumpang dalam 300 penerbangan sehari ketika itu.


Kapten Hassan Ahmad, 76, merupakan juruterbang pertama yang menerbangkan pesawat MAS selepas dilancarkan pada 1 Oktober 1972 berkata, peristiwa tersebut menjadi sebahagian daripada sejarah industri penerbangan negara dan adalah sesuatu yang tidak dapat dijual beli.
Apatah lagi, bilangan juruterbang tempatan sangat sedikit dan lebih didominasi oleh 'Mat Saleh'.
"Kami sangat bangga menjadi warga MAS, kami bagaikan satu keluarga yang besar.
"Pertama kali menerbangkan pesawat MH601 ke Singapura, para penumpang, anak-anak kapal dan eksekutif-eksekutif yang menyaksikan peristiwa tersebut menitiskan air mata kegembiraan, sedangkan saya ketika itu terpaksa memberi sepenuh tumpuan untuk memastikan kapal terbang berlepas dengan selamat.
"Baru hari ini saya menitiskan air mata yang bagaikan tertangguh selama 40 tahun," katanya dalam nada terharu ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun MAS ke-40 di Kelana Jaya, baru-baru ini.
Majlis serba sederhana di kawasan mock pesawat MAS di Akademi Latihan MAS, Kelana Jaya, Selangor itu menjadi medan pertemuan semula pencetus sejarah syarikat penerbangan itu.


Mengimbas memori indah selama lebih kurang 23 tahun bersama MAS, Hassan yang juga merupakan kapten Melayu pertama dan antara kapten termuda di Malaysia ketika itu berkata, walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga berikutan kekurangan kakitangan, mereka tidak pernah merungut.
Katanya, azam yang tersemat di hati mereka hanyalah memastikan penerbangan selamat sampai ke destinasi di samping memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Malah, beliau turut berkongsi cerita menarik apabila berusaha sendiri untuk mendapatkan Lesen Juruterbang (Airline Transport Pilot License - ATPL) di London kerana merasa tercabar akibat selalu disisihkan oleh juruterbang-juruterbang asing.


"Pada masa itu, kebanyakannya adalah juruterbang asing dan setiap kali melihat nama kami (pembantu juruterbang tempatan), mereka akan sesuka hati menukar jadual.



JELITA.... Empat orang pramugari memakai empat uniform khas yang diguna pakai (dari kiri) pada tahun 1972, 1978, 1986, 1993 sehingga kini semasa Sambutan 40 tahun MAS.


"Saya rasa tercabar dan berusaha sendiri ke London untuk menjalani latihan ATPL dan akhirnya berjaya dilantik sebagai juruterbang pada usia 26 tahun, sekali gus menjadi antara juruterbang termuda di negara ini," ujarnya.
Bagi Amarjeet Kumar pula, pramugari yang terbang bersama Hassan dalam pesawat bersejarah MH601, MAS sudah menjadi darah dagingnya.
"Saya mula terbang bersama MSA tetapi pangkalan kami adalah Singapura. walaupun diberi layanan hebat terutama apabila singgah di Kuala Lumpur, ia tidak pernah memadamkan keinginan saya untuk pulang ke sini. Bagi saya, Singapura bukan rumah kami.
"Jadi, apabila berlakunya perpecahan MSA dan kami diberi pilihan sama ada mahu terus bersama SIA atau pulang berkhidmat dengan MAS, saya tidak berfikir dua kali untuk menyertai syarikat penerbangan nasional ini," imbasnya.


Menamatkan perkhidmatan pada 2007 selepas 38 tahun bersama MAS, wanita anggun ini menjadi bukti nyata kenapa MAS sering memenangi Anugerah Krew Kabin Terbaik.
Dengan bentuk tubuh yang masih langsing dan tutur kata yang sopan, Amarjeet berkata, beliau merupakan antara pramugari MAS yang berjuang supaya usia persaraan mereka dilanjutkan selain diberi cuti bersalin.
"Ketika itu, usia persaraan kami adalah 35 tahun dan kami juga tidak diberikan cuti bersalin. kami juga manusia biasa yang mahu mempunyai kehidupan berumah tangga seperti orang lain.
"Jadi, selepas melahirkan anak dan kembali bekerja, saya dipanggil temuduga (setiap pramugari yang memulakan kerja selepas melahirkan anak perlu menjalani temuduga), saya menyuarakan pendapat bahawa pada usia 35 tahun kami masih lagi mampu memikul tanggung jawab dengan baik. Walaupun sudah berkeluarga, kami pandai mengatur jadual di antara kerjaya dan kehidupan peribadi," katanya.
Permintaan Amarjeet tersebut akhirnya diterima oleh pihak pengurusan MAS.


Bagi Naib Presiden Kanan, Pengawasan Keselamatan Korporat MAS, Kapten Ooi Teong Siew yang merupakan rakan seangkatan Hassan dan Amarjeet di MH601, kasih sayangnya pada MAS mengikat beliau untuk kekal bersama syarikat penerbangan tersebut walaupun banyak menerima tawaran hebat yang lain.
"Inilah yang dipanggil kesetiaan, saya bahagia di sini, bukan wang yang menjadi buruan sebaliknya semangat cintakan negara membuatkan saya terus berkhidmat dengan MAS," katanya.
Empat puluh tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat, namun itu juga tidak bermakna MAS semakin kehilangan kudrat untuk meneruskan penerbangan dalam persekitaran langit terbuka yang amat mencabar.
Dengan kira-kira 20,000 kakitangan setakat ini di samping barisan pesawat hebat termasuklah yang terbaru, Airbus A380, Ahmad Jauhari berkata, fokus akan terus diberikan untuk memajukan MAS.


Berdepan dengan kerugian bersih berjumlah RM520 juta bagi separuh pertama 2012 dan perolehan sebanyak RM6.2 bilion, masih banyak yang perlu dilakukan oleh beliau, apatah lagi syarikat penerbangan negara ini perlu memikul mandat untuk memenuhi lima tanggung jawab terhadap negara.
Antaranya menyediakan sistem pengangkutan udara yang efisien dan menguntungkan selain membangunkan perkhidmatan domestik yang menghubungkan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sekali gus menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan integrasi.


Mengakhiri perbualan petang itu, Ahmad Jauhari berkata: " Kami mahu terbang 40 tahun lagi!".
Semoga MAS bukan sahaja mampu terbang 40 tahun lagi, malah untuk selama-lamanya kerana siapa lagi yang sanggup "menerbangkan" nama negara di langit yang luas, kalau bukan syarikat tersebut?


Thursday, October 11, 2012

Felix Baumgartner batalkan terjunan dari angkasa



LOS ANGELES 10 Okt. - Cubaan rakyat Austria Felix Baumgartner untuk mencipta rekod terjun dari pinggir angkasa dibatalkan hari ini beberapa detik sebelum pelancaran yang telah dijadualkan ekoran masalah angin.
Beliau sudah bersedia di dalam kapsul bertekanan dan kiraan masa menurun lima minit telah pun bermula, tetapi apabila kiraan menghampiri sifar, keadaan angin kuat semakin ketara.
Belon besar yang sepatutnya membawa beliau naik ke udara kelihatan berolak ditiup angin di tapak pelancarannya di Roswell, New Mexico.
“Dibatalkan," kata jurucakap untuk misi Red Bull Stratos, Sarah Anderson kepada AFP sambil menambah tiada cubaan baru akan dilakukan pada hari ini. “Bukan hari ini, peluang telah berlalu," katanya.
Rakyat Austria itu menyasarkan untuk memecah tiga rekod dengan membuat terjunan bebas paling tinggi dan paling laju dari ketinggian 36 kilometer, serta menjadi manusia pertama memecah halangan bunyi tanpa menaiki pesawat.
Baumgartner telah berlatih selama lima tahun untuk terjunan tersebut yang mengikut rancangannya dia akan terjun dari belon udara secara bebas selama lebih kurang lima minit sebelum membuka payung terjun pada pada paras 5,000 kaki untuk mendarat ke tanah



AirAsia Japan lancar penerbangan ke Korea



Tony Fernandes bersama pengurusan kanan AirAsia Japan dan para pramugari bergambar sempena pelancaran laluan penerbangan baru AirAsia Japan antara Seoul dan Narita di Seoul, semalam.


SEOUL 10 Okt. - AirAsia Japan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) terbaharu yang berpangkalan di Lapangan Terbang Narita, melancarkan operasi penerbangan antarabangsanya dengan penerbangan harian ke Seoul (Incheon) bermula 28 Oktober ini.
Berpegang teguh pada slogan, 'Kini Sesiapapun Boleh Terbang', anak syarikat AirAsia Bhd. (AirAsia) itu menawarkan promosi istimewa dengan tambang rendah dari RM90 (KRW30,000) sehala dari Tokyo (Narita) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di sini.
Tambang eksklusif itu boleh diperoleh di www.airasia.com bermula pukul 11 pagi tadi hingga hingga 17 Oktober 2012 bagi tempoh perjalanan dari 28 oktober hingga 30 Mac 2013.


A

Thursday, October 4, 2012

Juruterbang AS ceroboh Indonesia ditahan



JAKARTA 2 Okt. - Dua jet pejuang Sukhoi Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) memaksa sebuah pesawat awam Amerika Syarikat (AS) mendarat di Pangkalan Udara Balikpapan, Kalimantan Timur, kelmarin.
Pesawat jenis Cessna 208 itu yang dikemudi juruterbang Michael A Boyd telah menceroboh ruang udara Indonesia.
Panglima TNI, Laksamana Agus Suhartono berkata, pesawat itu memasuki ruang udara negara ini tanpa mendapat kebenaran.
"Pesawat itu telah menceroboh ruang udara Indonesia dan adalah menjadi tanggungjawab TNI untuk mengusirnya," katanya pada mesyuarat dengan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), semalam.
Menurut Agus, TNI-AU telah meminta pesawat dengan nombor pendaftaran N354RM itu mendarat di Makassar, Sulawesi tetapi tidak diendahkannya, menyebabkan mereka menghantar dua jet pejuang Sukhoi untuk memaksanya mendarat di Sepinggan, Balikpapan.
"Pemeriksaan yang dibuat mendapati pesawat itu terbang dari AS dan menuju ke Singapura dan tidak memiliki sebarang kebenaran untuk menggunakan ruang udara Indonesia.
"Pesawat itu dan juruterbangnya buat sementara waktu ditahan dan Boyd mendakwa dia memasuki ruang udara Indonesia kerana masalah cuaca," jelasnya. - AGENSI



Bantah pesawat AS di Okinawa



TOKYO 1 Okt. - Enam pesawat MV-22 Osprey milik Amerika Syarikat (AS) mula ditempatkan di pangkalan tentera negara itu di selatan pulau Okinawa, Jepun hari ini, walaupun mendapat tentangan kuat daripada penduduk tempatan.
Tentera AS memindahkan pesawat itu ke Stesen Udara Marine Corp. Futenma di Okinawa dari pangkalan mereka di Iwakuni, di barat Jepun, tempat terletaknya baki enam lagi pesawat Ospreys selepas 12 buah dibawa dari AS pada Julai lalu, lapor agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Jepun.
Penempatan itu dibuat tiga minggu selepas kira-kira 100,000 penduduk Okinawa berhimpun bagi membantah dan menentang penempatan tersebut kerana bimbang dengan keselamatan pesawat-helikopter hibrid itu.
Okinawa menempatkan hampir 75 peratus kemudahan tentera AS di negara itu ekoran Perjanjian Keselamatan AS-Jepun.
Kerajaan Tokyo berkata, Osprey adalah selamat untuk beroperasi di pulau itu, tetapi Gabenor Okinawa, Hirokazu Nakaima menyuarakan pendapat yang berbeza dan memberi amaran bahawa Futenma terletak di kawasan penduduk.
Pesawat Osprey itu pernah mencetuskan tragedi apabila dua orang maut di Magribi manakala semua krew pesawat terbunuh di Florida dalam nahas melibatkan pesawat tersebut pada tahun ini.
Kipas pada Osprey boleh diubah kedudukannya kepada menegak atau melintang, sekali gus membolehkannya terbang seperti helikopter atau pesawat



Wednesday, October 3, 2012

Firefly kekal guna pesawat turboprop - Ahmad Jauhari


Ahmad Jauhari Yahaya (lima dari kanan) beramah mesra bersama pramugari dan bekas kakitangan Malaysian Airline System Bhd. di Petaling Jaya, semalam.




PETALING JAYA 1 Okt. - Firefly akan kekal sebagai pengendali pesawat kipas (turboprop) dan tiada sebarang rancangan syarikat penerbangan komuniti tersebut untuk menggunakan pesawat jet di dalam operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Ahmad Jauhari Yahaya berkata, buat masa sekarang, penggunaan pesawat jet hanya untuk operasi MAS.
"Firefly ketika ini menerbangkan pesawat turboprop dan MAS menggunakan jet, jadi kedua-duanya kekal sebegitu, " katanya selepas majlis sambutan 40 tahun MAS di sini hari ini.
Sebelum ini terdapat cadangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong yang menyatakan kemungkinan anak syarikat MAS itu mengemukakan pelan pemulihan terbaharu untuk menggunakan pesawat jet.
Firefly pernah mengendalikan pesawat Boeing, B737-800 namun telah ditarik balik oleh MAS sebagai sebagai pelan penstrukturan semula perniagaan kumpulan.
Firefly yang berpangkalan di Subang dan Pulau Pinang ketika ini mengendalikan pesawat ATR72-500.
Menyentuh mengenai kemungkinan MAS meneroka pasaran penerbangan tambang murah, Ahmad Jauhari berkata, ia sentiasa terbuka terhadap semua peluang.
"Namun perancangan ketika ini adalah untuk mengekalkan Firefly sebagai pengendali turboprop dan MAS sebagai pengendali jet, " katanya.
Sempena sambutan 40 tahun MAS, syarikat penerbangan kebangsaan itu menyediakan pelbagai acara sepanjang setahun bagi meraikannya.
Antara yang menarik adalah pemberian 40 pasang tiket kepada pelanggan bertuah bermula minggu depan selama 40 hari.

Pendapatan syarikat penerbangan RM13 bilion tahun ini



KUALA LUMPUR 1 Okt. - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyemak semula unjuran pendapatan syarikat penerbangan kepada AS$4.1 bilion (RM13.12 bilion) pada tahun ini berbanding unjuran asal sebanyak AS$3 bilion (RM9.6 bilion).
Pada 2011, industri penerbangan mencatatkan keuntungan sebanyak AS$8.4 bilion (RM26.88 bilion).
Bagi tahun 2013, IATA mengunjurkan keuntungan global meningkat kepada AS$7.5 bilion (RM24 bilion).
Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Tony Tyler berkata, tinjauan hadapan yang lebih baik dibuat berdasarkan prestasi syarikat-syarikat penerbangan yang lebih baik semasa suasana mencabar.
''Krisis hutang Eropah, pertumbuhan perlahan di China dan kesan kelonggaran kuantitatif di Amerika Syarikat dan Jepun bakal mengambil masa untuk pulih, walaupun risiko tersebut telah berkurangan sejak beberapa bulan namun perkara itu menjejaskan keyakinan perniagaan.
''Prestasi lebih baik dapat dilihat pada suku kedua apabila menyaksikan keuntungan operasi hampir sama dengan tahun sebelumnya, walaupun suku pertama adalah mencabar.
''Ini dapat disaksikan apabila keputusan positif dapat dilihat,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
Tyler berkata, industri penerbangan mempunyai peranan penting semasa ekonomi global bergelut dengan krisis kerana industri yang sihat merupakan pemangkin untuk pertumbuhan.