mangga add

Wednesday, April 30, 2014

APFT siasat punca pesawatnya terhempas di Kota Bharu


KOTA BHARU 29 April - Asia Pacific Flight Training (APFT) Sdn. Bhd. sedang menyiasat punca kejadian sebuah pesawat ringan miliknya Piper PA-28-161 terhempas di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Pengetuanya, Kapten Mohd. Shahrin Abu Hassan berkata, setakat ini belum terdapat sebarang perkembangan.

"Namun kita percaya pesawat itu mempunyai masalah enjin," katanya kepada Bernama.

Pesawat dilapor terhempas kira-kira 12.30 tengah hari menyebabkan juruterbang pelatih M. Shankar, 20, cedera di kaki dan kepala dan masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Juruterbang dilapor mempunyai pengalaman mengendalikan pesawat secara solo.

GE bekal enjin pesawat AirAsia RM4.8b


Najib Tun Razak bersama Barack Obama menyaksikan majlis menandatangani perjanjian perdagangan antara AirAsia X yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Berhad, Tony Fernandez (duduk, kiri) dengan GE yang diwakili oleh John G Rice (duduk, kanan) di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 28 April - Syarikat gergasi Amerika Syarikat, General Electric Co. akan membekalkan enjin untuk 25 pesawat Airbus 330-300 yang baharu dibeli AirAsia X Berhad, dalam urus niaga bernilai lebih AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).

Urus niaga ini adalah yang terbesar daripada tiga perjanjian komersial disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada hari terakhir lawatan rasminya ke negara ini, di sini hari ini.

Dua lagi adalah pembelian 30 peratus ekuiti oleh Kumpulan Sime Darby dalam syarikat bioteknologi, Verdezyne yang berpejabat di San Diego, sebanyak AS$30 juta (RM96 juta), dan pembelian 51 peratus ekuiti oleh MetLife ke dalam AmLife iaitu sayap insurans Kumpuan AmBank, bernilai AS$250 juta (RM800 juta).

Pada majlis itu, GE diwakili Naib Pengerusi dan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pertumbuhan dan Operasi Globalnya, John G. Rice dan AirAsia oleh CEO Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Menerusi urus niaga tersebut, GE akan membekalkan enjin-enjin pesawat dan menyediakan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk 25 pesawat A330 milik AirAsia X, dengan opsyen untuk meliputi tambahan tiga lagi pesawat. Enjin tersebut akan diliputi dalam rumusan perjanjian servis pelbagai tahun OnPoint.

Rumusan OpPoint adalah perjanjian servis yang disusun mengikut kehendak pelanggan berdasarkan keperluan operasi dan kewangan mereka, yang berperanan membantu mengurangkan kos pemilikan aset dan memaksimumkannya.

Menurut Fernandes, GE dipilih berdasarkan kepakaran teknikal dan prestasi kecekapan bahan api serta kos berdaya saing yang akan memastikan AirAsia X mengekalkan kelebihan daya saing sebagai pengendali penerbangan tambang paling murah di dunia.

"Dengan tempahan ini, GE menjadi pembekal enjin utama kedua kepada AirAsia X. Saiz kami sudah mencapai skala memadai untuk menyokong dua jenis enjin, dengan enjin gantian yang mencukupi, jurutera dan juruteknik khusus dan komitmen teguh servis daripada kedua-dua pembekal.

"Rekod dan hubungan panjang GE dengan AirAsia memberikan kami keyakinan untuk memilih mereka,'' katanya.

Naib Presiden dan Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Global bagi GE Aviation, Kevin McAllister berkata, pihaknya berbangga dipilih AirAsia untuk memasang enjin pesawat A330 AirAsia yang dianggap sebagai tempahan besar dan penting kepada GE.

Menurut kenyataan Jabatan Perdagangan AS, urus niaga itu membantu menyokong 25,000 pekerjaan berkaitan enjin GE di Cincinnati, Ohio; Durham, North Carolina; Rutland, Vermont; dan kota-kota lain di negara itu selain 150 pembekal di 34 negeri di AS.

Menggunakan metodologi Jabatan Perdagangan AS, GE menganggarkan sebanyak 3,695 pekerjaan dapat disokong menerusi urus niaga dengan AirAsia tersebut

Penduduk cemas pesawat hampir langgar bumbung rumah


KOTA BHARU 28 April - Pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 Warrior II yang terhempas di kawasan tanah lapang berhampiran Taman Kurnia Jaya di sini, dikatakan terbang rendah dan hampir melanggar bumbung beberapa buah rumah penduduk di kawasan terbabit.

Seorang penduduk, Mohd. Zairi Ismail, 43, berkata, dia sedang membaiki mesin basuh di luar rumahnya apabila terdengar bunyi enjin pesawat tersebut yang terbang terlalu rendah sebelum terhempas kira-kira 50 meter dari rumahnya.

"Pada mulanya saya dengar bunyi bising seolah-olah sebuah helikopter terbang rendah. Apabila keluar dari rumah, saya melihat sebuah pesawat hampir melanggar bumbung rumah saya.

"Pesawat terbabit kemudian berlegar-legar di taman perumahan ini sebanyak dua kali sebelum terhempas dalam keadaan menjunam dan sedikit terseret pada kawasan tanah lapang di hadapan rumah saya," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketika tiba di lokasi kejadian, Mohd. Zairi berkata, juruterbang terbabit terus meminta minuman kerana berasa panas.

"Tetapi saya tidak memberi air kerana bimbang sesuatu lebih teruk akan terjadi," katanya.
Kakak Mohd. Zairi, Safina, 50, memberitahu, pada mulanya dia menyangka bunyi dentuman sebaik sahaja pesawat itu terhempas, merupakan kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah lori.

"Apabila saya keluar daripada rumah untuk memastikan bunyi dentuman tersebut, saya melihat dia (juruterbang) melambai tangan dan orang kampung mula mengerumuni mangsa.
"Melihatkan muka dia yang berlumuran darah, saya berlari balik ke rumah untuk mengambil kain lampin untuk mengelap muka juruterbang itu," katanya.

Juruterbang parah pesawat ringan terhempas


PASUKAN penyelamat membawa masuk M. Shankar ke dalam ambulans untuk dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR


KOTA BHARU 28 April - Sebuah pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 Warrior II milik sebuah pusat latihan penerbangan, Asia Pacific Flight Training (APFT) terhempas di kawasan perumahan Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Pesawat yang dipandu juruterbang pelatih, M. Shankar, 20, sebelum itu dilihat terbang rendah dan berpusing-pusing di ruang udara sebanyak dua kali, sebelum terhempas di tanah lapang berhampiran kawasan perumahan itu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Lokasi itu terletak berhampiran sebuah padang golf dan kira-kira 500 meter dari landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Shankar yang patah penyambung buku lali kaki kanan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan telah sedar serta stabil.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohd. Nurizwan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.47 tengah hari.
Kata beliau, sebuah jentera dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi kejadian dan tiba lima minit kemudian.

"Ketika sampai, mangsa yang tersepit sedang cuba diselamatkan oleh penduduk kampung sebelum pihak kami mengambil alih untuk menyelamat dan mengeluarkannya.

"Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Nurizwan memberitahu, anggotanya turut mengambil langkah keselamatan dengan mengeluarkan kesemua minyak dalam tangki pesawat tersebut bagi mengelakkan berlaku kebakaran ataupun letupan.
Sementara itu, Pengetua APFT, Kapten Mohd. Shahrin Abu Hassan ketika dihubungi hari ini 

mengesahkan pesawat milik pusat latihan tersebut mengalami masalah sebelum terhempas.
Kata beliau, Shankar yang mengendalikan pesawat terbabit telah memperoleh lesen dan mempunyai kelayakan untuk menerbangkan kapal itu secara sendirian.

"Punca nahas tersebut masih belum dapat dikenal pasti tetapi pada masa sama, saya dimaklumkan bahawa pihak LTSIP tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.

"Dia yang sedang menjalani latihan baru beberapa minit berlepas dari lapangan terbang itu dan membuat keputusan untuk melakukan pendaratan kecemasan berkemungkinan disebabkan tidak sempat berpatah balik," katanya.

Dasar Penerbangan Nasional digubal - TPM


MUHYIDDIN Yassin menyaksikan pertukaran dokumen antara Md. Nor Yusof (dua, kiri) dan Zaini Ujang (kanan) pada majlis Penyerahan Pesawat Boeing 737-400 milik Malaysia Airlines (MAS) kepada Kementerian Pendidikan di Politeknik Banting, Kuala Langat, semalam. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap (tiga, kiri) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar (kiri). - BERNAMA


KUALA LANGAT 28 April - Kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional bagi menggalakkan pembangunan serta kemajuan industri penerbangan di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penggubalan dasar tersebut difahamkan sedang dilakukan dengan turut menggariskan langkah-langkah tertentu seperti melibatkan pengukuhan sosioekonomi dan rantaian perkhidmatan industri penerbangan.

"Antaranya (langkah-langkah pe­ngukuhan), penambahbaikan sistem pengurusan trafik udara sedia ada dan beberapa lapangan terbang yang akan dinaik taraf," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Pesawat Boeing 737-400 milik Malaysia Airlines (MAS) kepada Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Penyerahan pesawat menerusi memorandum persefahaman (MoU) tersebut disempurnakan oleh Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Yusof kepada Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Prof. Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menjelaskan, industri penerbangan secara global mengalami pertumbuhan pesat di rantau Asia Pasifik iaitu mencecah 50 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan dijangka terus meningkat sehingga 200 peratus, 20 tahun lagi.

Keadaan itu katanya, perlu dilihat dan diambil kira dari segi persediaan prasarana seperti lapangan terbang serta sumber tenaga pakar yang mampu menyokong pertumbuhan industri berkenaan.
"Dengan peningkatan pesat industri penerbangan ini, Malaysia berpotensi menjadi hab penerbangan di rantau ini.

"Industri ini dapat memberi kesan berganda kepada ekonomi memandangkan permintaan terhadap penumpang dan kargo udara semakin meningkat.

"Bagi tempoh Januari hingga Julai 2013, jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh negara bertambah kepada 43.9 juta berbanding 38.6 juta penumpang bagi tempoh sama pada 2012," jelasnya.
Tambah Muhyiddin, selaras dengan perkembangan industri penerbangan, penyediaan modal insan dalam bidang berkenaan adalah penting bagi memastikan negara turut serta bersaing dalam bidang berkenaan menerusi pembangunan modal insan.

Beliau berkata, pada 2015, negara dijangka memerlukan tenaga mahir dalam bidang penyelenggaraan pesawat melebihi 10,000 orang.
"Program Diploma Penyenggaraan Pesawat yang telah dilaksanakan politeknik sejak 2006 merupakan langkah positif kerajaan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja negara dalam bidang ini.

Pesawat ringan terhempas, juruterbang parah


PESAWAT ringan jenis Piper Warrior 2 terhempas di sebuah kawasan lapang di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi.


KOTA BHARU 28 April - Sebuah pesawat ringan jenis Piper Warrior 2 terhempas di sebuah kawasan lapang di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi.
Juruterbang pesawat tersebut yang dipercayai pelatih sebuah sekolah penerbangan di sini cedera parah.