mangga add

Wednesday, October 30, 2013

Kotak hitam nahas pesawat Laos berjaya dikesan


BANGKOK 21 Okt. - Pegawai penyiasat melaporkan mereka menerima isyarat di dalam sungai yang dipercayai datangnya dari kotak hitam kapal terbang yang terhempas di Sungai Mekong minggu lalu, namun arus deras menghalang misi mencari kotak tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Laos, Yakua Lopangkao berkata, penyiasat menggunakan sonar dan beberapa peralatan lain untuk mengesan isyarat tersebut.

"Kami yakin kotak hitam berada di lokasi itu, namun pasukan penyiasat gagal untuk mendapatkannya ekoran arus deras serta berlumpur menyukarkan pergerakan,’’ kata Lopangkao.

Penyiasat nahas dari Perancis mula melakukan tugasan Kelmarin bersama-sama pasukan dari pengeluar pesawat, bagi membantu menjalankan siasatan berhubung punca nahas tersebut.

MAS digesa sambung kembali laluan ke Newark


NEW YORK 20 Okt. - Rakyat Malaysia yang menetap di pantai timur Amerika Syarikat (AS) menggesa Malaysia Airlines (MAS) menyambung semula penerbangan terus ke wilayah itu.

MAS menggantung penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty New Jersey beberapa tahun lepas, dan sejak itu rakyat Malaysia di wilayah itu merasakan mereka 'terputus hubungan' dengan tanah air.

Pada masa ini, pengguna yang mahu mengunjung Malaysia terpaksa menggunakan perkhidmatan udara trans-Atlantic dari New York atau New Jersey menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan lain seperti Singapore Airlines, Emirates, Etihad, Qatar Airways atau Air India.

Penerbangan ke Kuala Lumpur pula perlu melalui penyambungan lain yang mengambil masa menunggu yang lama, atau mengambil penerbangan lima jam ke Los Angeles dan menaiki pesawat MAS terus ke Kuala Lumpur, selepas menunggu beberapa jam.

Ketiadaan perhubungan terus itu juga menjejaskan usaha menarik pelancong AS ke Malaysia.
"Ramai rakyat Malaysia merasakan bumi Malaysia semakin jauh. Selain perkhidmatan udara yang sukar, ia mengambil masa yang lebih lama serta kos yang tinggi," kata Paramjeet Singh, perunding kewangan Malaysia yang berpejabat di Pennsylvania.

Pada lawatan promosi ke New York baru-baru ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah dimaklumkan mengenai masalah itu oleh operator pelancongan serta ejen pengembaraan.

Nazri memberitahu Bernama bahawa beliau akan berbincang dengan MAS mengenai prospek menyambung semula perkhidmatan Newark-Dubai-Kuala Lumpur, sambil mengakui penerbangan terus dari pantau timur AS mampu menarik lebih ramai pelancong, selain menjana perolehan.

Presiden Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia, Sam Chin juga berkata, beliau mahu MAS kembali beroperasi di laluan itu.
"Ketiadaan penerbangan terus juga memaksa pengguna ke Malaysia menggunakan syarikat penerbangan lain yang merugikan negara," katanya.

Menteri Luar sahkan wanita Malaysia maut nahas pesawat di Laos

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini mengesahkan seorang wanita Malaysia, Angelin Teh, terbunuh dalam nahas pesawat di Pakse, sebuah bandar di selatan Laos, pada Rabu.

Beliau berkata, Teh dan suaminya Joel Babcock, warganegara Amerika, dalam perjalanan dari ibu negara Laos, Vientiane, ke Pakse apabila pesawat berkenaan terhempas ke dalam Sungai Mekong dalam cuaca buruk.

"Pihak berkuasa Laos sedang meneruskan usaha mencari mayat mangsa nahas itu," katanya dalam kenyataan di sini.

Anifah berkata, keluarga Teh telah dimaklumkan tentang perkara itu dan sedang membuat persiapan untuk terbang ke Laos dengan bantuan Kementerian Luar dan kedutaan Malaysia di negara itu.
"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Angelin Teh dan keluarga lain yang terlibat dalam nahas itu. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat-saat yang memilukan ini," katanya.

Sementara itu, agensi berita AP melaporkan nahas berkenaan melibatkan 49 orang dari 11 negara.

Wednesday, October 16, 2013

KLIA2 beroperasi 2 Mei, 2014 seperti dirancang

SEPANG 16 Okt. - Klia2, lapangan terbang dibina khas terbesar dunia untuk syarikat penerbangan tambang rendah, telah 94 peratus siap dan dijadualkan dibuka pada tarikh akhirnya 2 Mei, 2014.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Abd. Hamid Mohd Ali berkata, bangunan terminal telah pun siap 99 peratus dan "kini di peringkat akhir kerja".

MAHB menjangkakan 80 peratus kadar penghunian pada hari pertama operasi, kata beliau kepada media selepas penyampaian penghargaan konsep jenama cemerlang di KLIA2 kepada rakan perniagaan komersil oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi di sini hari ini.

Abd. Hamid berkata, 33 peratus daripada penender yang berjaya untuk lot runcit sama sekali baharu kepada persekitaran komersil lapangan terbang tempatan.

Beliau berkata, MAHB juga mencatatkan 40 peratus penender Bumiputera berjaya, komposisi tertinggi dalam kompleks runcit pada masa ini, "oleh itu, kami telah memperoleh gabungan seimbang jenama tempatan dan antarabangsa."

Abdul Aziz berkata, memandangkan lapangan terbang itu telah bersedia untuk memulakan operasi pada Mei, beliau yakin menjelang Disember tahun ini, "kesemua peruncit boleh masuk dan buat pengubahsuaian dan hiasan semula ke atas ruang kedai mereka."

"Rakan perniagaan akan diberikan dua atau tiga bulan untuk menyiapkan pengubahsuaian. Pemeriksaan akhir akan dilakukan pada 15 Mac, 2014 bagi membolehkan lapangan terbang itu memulakan operasi pada 2 Mei seperti dirancangkan.

"Apabila beroperasi kelak, klia2 akan mengendalikan sehingga 45 juta pengguna dan ini mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab penerbangan pesat berkembang di rantau ini," kata beliau.
Mengenai kemalangan pesawat Twin Otter MASWings di Kudat, Sabah, Khamis lepas, Abdul Aziz berkata, kementerian belum lagi menerima laporan penuh mengenai insiden itu.

"Setakat ini, kami belum menerima apa-apa lagi. Kemalangan ini masih lagi disiasat oleh Jabatan Penerbangan Awam," tambah beliau.

Seorang pembantu juruterbang dan seorang penumpang terbunuh dalam insiden berkenaan. - BERNAMA



Airbus bakal pintas Boeing menjelang 2018

AirBus AKAN MENJAdi pengeluar kapal terbang utama dalam masa empat hingga lima tahun akan datang. - gambar hiasan


BERLIN 13 Okt. - Pembuat kapal terbang Eropah, Airbus bakal memintas pesaingnya dari Amerika Syarikat, Boeing dengan menjadi pengeluar kapal terbang utama dalam masa empat ke lima tahun akan datang, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Fabrice Bregier.

Bregier yang berkata demikian dalam temu bual dengan akhbar German, Welt am Sonntag memberitahu, Airbus akan meningkatkan pengeluaran melalui model baharu, A320Neo dan model jarak jauh A350.

"Pada 2017 dan 2018, kami sekali lagi akan menerajui dalam penghantaran pesawat," katanya.
Beliau memberitahu, Airbus akan menghantar lebih 600 buah pesawat tahun ini dan lebih banyak tahun depan dan dari segi tempahan pula sudah melebihi sasaran.

"2013 adalah tahun yang cemerlang kepada Airbus," ujarnya baru-baru ini.
Minggu lalu, Airbus mengumumkan perjanjian bernilai AS$9.5 bilion (RM30.1 bilion) dengan Japan Airlines, tempahan jet pertamanya daripada syarikat penerbangan tersebut.

Perkembangan itu mencabar dominasi Boeing di pasaran Jepun terutamanya ketika sedang bergelut dengan pesawat Dreamliner yang bermasalah.

Pesawat yang menjimatkan itu menghadapi penangguhan operasi global pada Januari lalu selepas bateri litium-ion terlebih panas pada dua buah pesawat berbeza, salah satu daripadanya terbakar semasa pesawat tersebut di kawasan parkir. -AFP

Ibu tercampak ketika peluk erat anak

Hishammuddin Tun Hussein mendukung Mohd. Raiyan Fatmi sambil memperkatakan sesuatu kepada Redzuan Binting yang mendukung Nur Filzah Raudhah, dua kanak-kanak yang terselamat dalam nahas pesawat Twin Otter MASwings baru-baru ini di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, semalam.. - BERNAMA

KOTA KINABALU 12 Okt. - Seorang penumpang pesawat Twin Otter milik MASwings yang terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat kelmarin, tercampak kira-kira dua meter ketika memeluk erat dua orang anaknya dalam tragedi itu.

Fauziah Pelimin, 32, memegang erat dua anaknya, Nur Filzah Raudhah Redzuan, 1, yang berada di atas pangkuan dan Mohd. Raiyan Fatmi, 4, yang duduk di sebelahnya ketika pesawat dalam keadaan terhuyung-hayang.

Akibat hentakan dan gegaran kuat, Fauziah tercampak sehingga melangkaui empat buah kerusi di hadapannya namun dua anaknya itu terselamat dan kekal di tempat duduk masing-masing.

Menurut suaminya, Redzuan Binting, isterinya yang retak tulang belakang cuba bangun untuk mencari dan menyelamatkan anak-anak mereka namun gagal berdiri kerana kecederaannya.

"Dia sempat menghubungi saya dengan telefon penduduk kampung dan memaklumkan mengenai kemalangan itu serta memberitahu kesemua anak kami selamat dan masih hidup cuma berdarah," kata Redzuan ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth II di sini hari ini.

Beliau turut dikunjungi oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Fauziah ketika ini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi hospital itu.

Menurut Redzuan yang bekerja sebagai Penyelaras Kokurikulum Daerah Lahad Datu, sejurus selepas isterinya menghubungi kira-kira pukul 4.15 petang, dia segera memandu ke hospital itu dari Lahad Datu.

Ditanya mengenai keadaan anak-anaknya, dia berkata, Nur Filzah Raudhah yang mengalami luka-luka kecil di dahi dan kepala masih trauma dan langsung enggan berpisah dengannya terutamanya semasa hendak tidur.
Namun abangnya, Mohd. Raiyan Fatmi katanya, agak tenang dan mampu bermain-main dengan sepupunya seperti tidak mengingati tragedi itu.

"Saya tanya dia, siapa yang selamatkan abang, juruterbang ke, dia jawab orang lain yang selamatkan sebab juruterbang (maksudnya pembantu juruterbang, Marc Joseph Bansh) sudah mati.
"Saya tanya lagi, hendak naik lagi ke kapal terbang, dia jawab mahu tetapi yang lebih besar, tidak mahu yang kecil," katanya.


Siasatan terperinci di hangar

KOTA KINABALU 12 Okt. - Siasatan terperinci punca sebenar nahas pesawat Twin Otter MASwings di Kudat dekat sini, kelmarin yang mengorbankan dua orang termasuk pembantu juruterbang hanya dapat dimulakan selepas pesawat itu dibawa ke hangar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAK) dalam masa terdekat.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, proses menunda bangkai pesawat itu memakan masa kira-kira seminggu dan punca nahas hanya akan diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, siasatan nahas itu akan merangkumi tiga aspek iaitu teknikal, operasi pengendalian dan keadaan cuaca semasa kejadian.

Siasatan itu tambah beliau, akan dikendalikan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Jabatan Penerbangan Awam dan Malaysia Airlines System Bhd., (MAS).
"Siasatan ini diharap berjalan lancar memandangkan juruterbangnya, Wan Mohd. Abdul Amir Wan Yahya yang mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) beransur pulih.

"Jadi, proses ini akan disiapkan secepat mungkin bagi mengelak berlakunya sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa-mangsa nahas di HQE II di sini hari ini.

Dalam insiden kelmarin, pesawat jenis Twin Otter milik MASwings yang dinaiki 16 orang tergelincir dan terbabas semasa mendarat di Lapangan Terbang Kudat, mengorbankan dua orang termasuk pembantu juruterbang.

Kejadian berlaku ketika pesawat yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat itu dilaporkan terbabas semasa mendarat akibat angin kencang sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Sinsan yang terletak berhampiran lapangan terbang berkenaan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya dimaklumkan oleh MASwings, syarikat penerbangan tersebut sedang dalam proses menukar pesawat Twin Otter kepada pesawat jenis Viking yang lebih canggih dan berteknologi tinggi.

"Saya ingatkan kepada mereka, walau canggih sekalipun tetapi perlu disesuaikan dengan dengan keadaan setempat termasuk cuaca dan bentuk muka bumi, diharap insiden ini akan membantu proses membuat pilihan terbaik," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai LTAK yang sehingga kini menjadi satu-satunya lapangan terbang di negara ini yang masih belum dipasang sistem peralatan mendarat (ILS), Hishammuddin berkata, perkara tersebut sememangnya dalam perhatian pihak kementerian.
"Kes di Kudat ini akan dijadikan pengajaran dan tidak dianggap sebagai kes terpencil. Kita tidak mahu apabila ada kes-kes yang tidak diingini berlaku, baru kita mahu bertindak," katanya.



Jantung saya seperti hendak luruh - Jainah

Pemilik rumah, Suriati Masair termenung sejenak mengenang rumahnya yang rosak teruk setelah pesawat ringan milik MASwings terbabas merempuh rumahnya di Kampung Sinsan ketika mendarat di lapangan Terbang Kudat, kelmarin.


KUDAT 11 Okt. - "Masa itu (ketika pesawat terbabas) saya bersama anak saudara sedang menonton televisyen.
"Tiba-tiba kami mendengar bunyi yang amat kuat dan bising menyebabkan jantung saya terasa hendak luruh," demikian detik cemas diceritakan oleh Jainah Jalil, 39.

Jainah merupakan seorang saksi kejadian pesawat jenis Twin Otter milik MASWings yang tergelincir dan terbabas di Lapangan Terbang Kudat sebelum merempuh sebuah rumah di Kampung Sinsan berhampiran dengan lapangan terbang berkenaan di sini semalam.

Menurutnya, dia yang berlari keluar ke halaman rumah untuk memeriksa apa berlaku terkejut melihat sebuah pesawat betul-betul berada di halaman rumah jirannya dengan bunyi bising yang berterusan sehingga hampir sejam.
Disebabkan panik, dia segera membawa anak saudaranya lari ke belakang rumah kerana bimbang pesawat itu meletup ekoran bau minyak yang kuat dan ada sedikit asap keluar dari muncung pesawat.
"Saya lihat semua mangsa dibawa keluar dan dibaringkan di kaki lima rumah jiran saya itu sementara menunggu kedatangan ambulans," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jainah yang berasal dari Tenom secara kebetulan menyaksikan kejadian cemas itu kerana mengunjungi kakaknya yang tinggal di Jalan Sin San 1 iaitu kira-kira 100 meter dari tempat insiden berlaku.
Menurutnya lagi, dia hanya berani melihat kejadian itu dari dapur rumah kerana benar-benar bimbang pesawat akan meletup memandangkan ia mengeluarkan bunyi ganjil yang amat membingitkan.


MASWings sedia beri pampasan



AHMAD Jauhari Yahya (dua dari kanan) meninjau lokasi kejadian pesawat ringan milik Maswings yang terbabas merempuh rumah di Kampung Sinsan ketika mendarat di lapangan Terbang Kudat, kelmarin.

KOTA KINABALU 11 Okt. - Syarikat penerbangan MASwings Sdn. Bhd. (MASWings) sedia menimbangkan cadangan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa nahas pesawat Twin Otter yang terbabas di Lapangan Terbang Kudat, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines merangkap Pengerusi MASWings, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pihaknya sedia menghulurkan apa juga bantuan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terlibat dalam insiden itu.

''Keutamaan kami ialah membantu kebajikan penumpang, krew dan mereka yang mengalami tempoh yang sukar ketika ini akibat nahas pesawat itu.

''Pasukan Go Team kami di Kudat akan memantau situasi di situ dan memberikan perkhidmatan yang mereka perlukan," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri agar MASwings memberikan pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terjejas akibat insiden itu.

Ditanya mengenai pesawat itu sebelum berlepas, beliau mengesahkan bahawa keadaan pesawat Twin Otter tersebut berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk melakukan penerbangan.

Katanya, terdapat lima pesawat jenis Twin Otter milik syarikat penerbangan itu beroperasi di Sabah.
Sementara itu di Kota Bharu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS) supaya menjalankan siasatan dan menyerahkan segera laporan mereka mengenai nahas tersebut.

Selain itu, beliau sendiri akan ke Sabah esok bagi melihat keadaan mangsa yang terselamat, selain berjumpa keluarga mangsa yang terkorban dan pihak terbabit dalam siasatan itu.
"Saya harap laporan punca kemalangan akan dapat disampaikan secepat mungkin dan setakat ini saya belum menerima laporan awal punca kemalangan," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas melancarkan Karnival Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Negara (4KN) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di Kota Bharu.
Pada majlis itu, Hishammuddin turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 25 penerima dan sumbangan peralatan pesakit kepada bekas perajurit, selain menyerahkan replika cek sumbangan Kempen Tabung Pahlawan 2013.


'Pesawat tersasar dipukul angin'

KUDAT 11 Okt. - "Keluar...!" jerit saya sekuat hati kepada semua penumpang setelah membuka tali pinggang seorang makcik di sebelah saya dan menarik kaki seorang kanak-kanak untuk menyelamatkannya."
Demikian situasi cemas diceritakan oleh Irwansyah Einin, 23, ketika pesawat jenis Twin Otter milik MASwings tergelincir dan terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat di sini semalam.

Irwansyah merupakan seorang daripada penumpang pesawat itu memberitahu, dia berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu kecemasan di belakang tempat duduk pembantu juruterbang.
Katanya, selepas berjaya keluar, dia mengambil keputusan masuk kembali ke dalam pesawat untuk menyelamatkan juruterbang tetapi gagal.

"Saya tidak dapat mengeluarkan juruterbang kerana ruang yang sangat sempit menyebabkan tangan saya tidak dapat menjangkau atau memegang apa-apa.
"Bau minyak enjin yang menerpa hidung dan asap kelihatan dari tempat duduk juruterbang membuat saya terpaksa keluar.

"Saya yang berasa amat sedih sempat bercakap dalam hati, 'saya minta maaf, saya minta maaf, saya tak dapat selamatkan tuan', lalu saya keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di Hospital Kudat di sini hari ini.

Menceritakan detik awal kejadian, Irwansyah berkata, penumpang dimaklumkan bahawa mereka akan mendarat namun roda pesawat tidak dapat menyentuh landasan lalu kapal terbang itu membuat cubaan mendarat kali kedua.

Katanya, ketika cubaan mendarat kedua, roda pesawat telah menyentuh landasan namun angin kuat menyebabkan pesawat tersasar ke sebelah kanan landasan.
Tambahnya, dia kemudian terasa roda pesawat telah melanggar sesuatu menyebabkan pesawat itu menegak sebelum senget ke kanan membuatkan sayap kanan melanggar pokok.

"Tidak terdengar sebarang jeritan kerana insiden berlaku dengan pantas. Cuma setelah saya menjerit agar semua keluar, barulah keadaan menjadi kelam-kabut," katanya.

Irwansyah yang merupakan kerani di sebuah syarikat swasta di Kota Kinabalu, dalam perjalanan balik ke Sandakan untuk menghadiri temuduga di Jabatan Kesihatan, Sandakan.
Dalam kejadian pukul 2.50 petang semalam, dua maut manakala dua lagi parah apabila pesawat dari Kota Kinabalu ke Kudat yang dinaiki 16 orang itu tergelincir dan terbabas akibat angin kencang sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Sinsan yang terletak berhampiran lapangan terbang berkenaan.

Mangsa yang maut ialah penumpang, Tan Ah Chai, 96, dan pembantu juruterbang, Marc Joseph Bansh, 23, manakala dua lagi mangsa yang cedera parah ialah Sue Isabella Abal, 26; dan Wan Ahmad Abdul Amir Wan Yahaya, 58, (juruterbang).

Arahan siasatan terperinci nahas pesawat MASwings

KOTA BHARU 11 Okt. - Bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan diarah bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam dan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menyiasat punca sebenar nahas pesawat Twin Otter MASwings di Sabah semalam, yang mengorbankan dua orang termasuk pembantu juruterbang.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, beliau juga telah mengarahkan ketiga-tiga pihak supaya menjalankan siasatan dan menyerahkan segera laporan mereka mengenai nahas tersebut.

Selain itu kata Hishammuddin, beliau sendiri akan ke Sabah esok bagi melihat keadaan mangsa yang terselamat, selain berjumpa keluarga mangsa yang terkorban dan pihak terbabit dalam siasatan itu.
"Saya harap laporan punca kemalangan akan disampaikan secepat mungkin kepada saya. Setakat ini saya belum menerima laporan awal punca kemalangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan Karnival Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Negara (4KN) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini. -



Malaysia Airlines sedih kematian kru, penumpang

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Malaysia Airlines (MAS) meluahkan rasa sedih atas kematian pembantu juruterbang MASwings, Marc Joel Bansh, 22 dan penumpang Tan Ah Chai, 96, susulan nahas pesawat Twin Otter milik MASwings di Kudat semalam.

MAS dalam kenyataan hari ini berkata, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan yang juga Pengerusi MASwings Ahmad Jauhari Yahya sudah menziarahi semua mangsa yang dirawat di hospital di Kudat bagi memastikan kebajikan mereka dijaga.

Pesawat malang itu membawa 16 orang termasuk kru dan daripada jumlah itu 15 ialah rakyat Malaysia manakala seorang lagi warga Filipina.

Nahas berlaku dalam kawasan Lapangan Terbang Kudat pada pukul 2.50 petang semalam ketika pesawat yang dikemudi oleh Kapten Wan Mohd Abd Amir Wan Yahya bersama-sama Marc Joel sedang melakukan pendaratan.

Menurut kenyataan itu pesawat tersebut berada dalam keadaan baik sebelum nahas berlaku.
Punca kejadian masih belum dapat dipastikan dan MAS bersama-sama MASwings akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan, kata kenyataan itu.
"Malaysia Airlines juga melakukan segala yang mampu untuk membantu pihak terjejas menghadapi tempoh sukar ini," kata kenyataan itu.



Saturday, October 12, 2013

Tony Fernandes admits AirAsia screw-ups in Japan, Europe, says London still a target


AirAsia founder Tony Fernandes (pic) admits that the low-cost carrier failed in its ventures in Japan and Europe.

“Japan was a disaster. Our partner didn’t understand what we wanted,” said Fernandes at the Global Entrepreneurship Summit 2013 in Kuala Lumpur today.
AirAsia parted ways with Japan’s All Nippon Airways (ANA) when it sold its 49% stake in AirAsia Japan to ANA in June this year.


Both airlines had clashed over management and operational differences followed by losses amounting to ¥3.5 billion (RM113 million).
Fernandes, 49, has publicly said that he wants AirAsia to re-enter the Japanese market and is on the lookout for financial partners.
“We’ve just got to look for the right one this time because we screwed up the last time,” he added.
He also spoke on the airline’s failed routes in Europe, citing multiple factors for the axing of the carrier’s European routes in March 2012.
“We pulled out of London because we had the wrong aircraft, the A340. The price of oil was US$80 (RM254) at the time. Then it went up to US$130 (RM413). With a four-engine aircraft, it was just not feasible,” Fernandes said, adding that the UK government's green tax is "discriminatory against ultra-long-haul airlines".
But Fernandes is keen to revive AirAsia’s previously axed routes, specifically to London.
“We've got to be in Europe. There’s a huge demand for London,” he said.
He said in June this year that the company was looking into commencing its flights to Europe once it receives its Airbus A350 aircraft, which are expected to be delivered beyond 2017 — a timeline that Fernandes says may be too late for the carrier to re-enter the European market.
“We may change the seating configuration and have business class, but we do have to fly to London,” he added.
He also rubbished rumours that low-cost carrier Malindo Air poses a threat to AirAsia, saying: “I have zero interest in Malindo… our competition is ourselves.”
Malindo is a new joint-venture between Lion Air, Indonesia’s low-cost carrier, and Malaysia’s National Aerospace and Defence Industries (NADI). The airline started operating in March this year. - October 12, 2013.

Friday, October 11, 2013

Dua maut, dua cedera parah


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa pesawat ringan milik MASwings dinaiki 16 orang yang terbabas merempuh rumah ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat, Sabah, semalam.

KUDAT 10 Okt. - Dua maut manakala dua lagi parah selepas sebuah kapal terbang jenis Twin Otter milik MASwings yang dinaiki 16 orang tergelincir dan terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat di sini hari ini.

Mangsa yang maut ialah penumpang, Tan Ah Chai, 96, dan pembantu juruterbang, Marc Joseph Bansh, 23, manakala dua lagi mangsa yang cedera parah ialah Sue Isabella Abal, 26; dan Wan Ahmad Abdul Amir Wan Yahaya, 58, (juruterbang).

Ah Chai meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kudat pada pukul 5.25 petang manakala Joseph Bansh yang diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth meninggal dunia pukul 9.05 malam ini.

Antara mangsa yang cedera ringan dalam kejadian pukul 2.50 petang itu ialah Fauziah Pelimin, 32; Mohd. Raiyan Fatmi, 4; Nur Filzah Raudhah, 1; Merang Maharani, 54; Noorhazwin Sharom, 29; Chang Gee Keong, 29; Elranita John, 25; Junaini Bladi, 52; Erwan Shah Einin, 23; Lee Chee Kian, 39; Tan Kang Cheing.

Kejadian berlaku ketika pesawat yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat itu dilaporkan terbabas ketika mendarat akibat angin kencang sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Sinsan yang terletak berhampiran lapangan terbang berkenaan.

Pelanggaran tersebut menyebabkan bahagian hadapan pesawat berkenaan remuk teruk dan difahamkan penumpang hanya dapat dikeluarkan selepas enjinnya berhenti sendiri apabila kehabisan minyak bagi mengelak kejadian tidak diingini ekoran kipas yang masih berpusing.

Ketika kejadian penghuni rumah yang dirempuh, Suriyati Masair, 38, berada di rumah bersama anak bongsunya namun kedua-dua mereka terselamat.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Dawi Ossen berkata, mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kudat.

"Lima lagi mangsa termasuk juruterbang masih mendapatkan rawatan dan dilaporkan mendapat kecederaan serius tetapi berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kesemua penumpang dan krew kabin yang lain juga turut dibawa ke Hospital Kudat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Mohd. Affendy K. Ramin berkata, pihaknya telah menghantar sepasukan bomba dari Kudat ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.15 petang.

Katanya, terdapat tumpahan minyak di kawasan kejadian, bagaimanapun pihak bomba berjaya mengawalnya daripada tercetus kebakaran.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang dikenali sebagai Mas berkata, pesawat berkenaan tergelincir daripada laluan akibat angin kencang sebelum merempuh rumah yang berada di sebelah landasan berkenaan.
"Salah satu daripada sayap kapal terbang itu mengenai sebuah kereta yang diletakkan di garaj rumah berkenaan," ujarnya.

Malaysia Airlines (MAS) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini memberitahu, jumlah yang cedera ialah empat orang dan ketika kejadian terdapat sebanyak 16 penumpang dan krew dalam pesawat itu.
"Fokus syarikat penerbangan adalah memastikan keselamatan dan kebajikan penumpang, krew dan pihak-pihak lain yang terjejas.

"MAS bersama-sama MASwings akan memantau keadaan di tempat kejadian dan memaklumkan perkembangan terkini," menurut kenyataan itu sambil memberitahu pihaknya sedang menyiasat punca nahas.
Ini merupakan nahas pertama membabitkan MASwings di Kudat dan keluarga penumpang pesawat itu diminta menghubungi 03-78841234 untuk pertanyaan dan maklumat lanjut.



Pembantu juruterbang mangsa kedua maut nahas di Kudat

KUDAT 10 Okt. - Pembantu juruterbang pesawat Twin Otter yang terbabas sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Kudat petang ini meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu malam ini.

Marc Joseph Bansh, 23, disahkan meninggal dunia pukul 9.05 malam selepas dibawa menaiki helikopter untuk menerima rawatan menjadikan angka korban dalam nahas itu meningkat kepada dua orang.




Mangsa nahas pesawat diterbangkan ke Kota Kinabalu

KOTA KINABALU 10 Okt. - Mangsa nahas pesawat terbabas milik Maswings yang cedera parah tiba di perkhidmatan udara, Sabah Air, Tanjung Aru pada pukul 7:50 malam.

Mangsa yang juga dikenal pasti sebagai pembantu juruterbang pesawat berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH) oleh ambulans untuk rawatan lanjut.



Seorang penumpang Twin Otter disahkan meninggal dunia

KUDAT 10 Okt. - Salah seorang daripada penumpang pesawat Twin Otter yang terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat di sini petang ini meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kudat.

Mangsa dikenal pasti sebagai Tan Ah Chai, 96, manakala tiga lagi dilaporkan parah termasuk juruterbang dan pembantu pesawat itu.


2 cedera parah, pesawat ringan Maswings terbabas



KUDAT 10 Okt. - Dua orang dilaporkan cedera parah selepas sebuah pesawat ringan jenis twin Otter milik Maswings tergelincir dan terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat di sini hari ini.

Difahamkan dalam kejadian pada kira-kira pukul 2.50 petang itu pesawat berkenaan yang membawa 16 penumpang terbabas dan merempuh rumah di Kampung Sinsan di sini



Tuesday, October 8, 2013

Landasan ketiga tiada masalah




Hishammuddin Tun Hussein, Abdul Aziz Kaprawi bersama dif-dif kenamaan bergambar kenangan dalam majlis percubaan pendaratan pesawat Malindo Air di landasan ketiga KLIA2, Sepang, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID


SEPANG 7 Okt. - Kejayaan pendaratan pesawat Boeing 737-900ER milik Malindo Air di landasan ketiga, KLIA2 membuktikan dakwaan pihak tertentu bahawa landasan tersebut mengalami masalah ekoran tanah mendap sebagai tidak benar.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia juga tidak mungkin memenangi kerusi ahli majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sekiranya berlaku mendapan di landasan itu.

Beliau berkata, tindakan sesetengah pihak yang memandang sinis terhadap setiap usaha kerajaan adalah tidak adil kepada mereka yang bertungkus-lumus menyiapkan sesuatu projek termasuk terminal KLIA2.

"Dakwaan ini terutamanya dilaporkan oleh media alternatif yang kadang-kala juga diikuti media arus perdana adalah tidak adil kepada mereka yang bekerja keras untuk siapkan KLIA2.

"Kita tidak sempurna, tetapi telah berjaya kembali ke landasan yang betul. Kejayaan pendaratan di landasan ketiga hari ini harus meletakkan tanda noktah ke atas segala dakwaan bahawa KLIA2 tidak memenuhi piawaian antarabangsa.

"Kadang-kala orang ramai harus memberi kredit seperti juga badan antarabangsa memberi pengiktirafan terhadap kejayaan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis percubaan pendaratan pesawat Malindo Air yang menjadi pesawat komersial pertama mendarat di landasan ketiga KLIA2 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Pengerusi KUB Malaysia Berhad (KUB), Datuk Seri Abd. Halim Abd. Samad dan Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Pendaratan itu dilakukan untuk menguji kelancaran landasan tersebut selain melambangkan kejayaan KUB menyiapkan landasan tersebut.
Pendaratan itu turut dilakukan untuk menguji ketepatan sistem penunjuk lintasan tuju jitu (PAPI) yang ditentu dan disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan terminal KLIA2 yang bakal menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) akan mula beroperasi Mei tahun depan.
Dalam pada itu, Abd. Halim berkata, landasan ketiga sepanjang 3,960 meter dan seluas 60 meter itu mampu menampung pendaratan semua jenis pesawat berkapasiti penuh.

"Keutamaan kita ialah memastikan landasan ini selamat untuk menampung semua jenis pesawat termasuk yang bersaiz besar seperti Airbus A380 dan Antonov AN-225
"Lebih bermakna, landasan ini disiapkan mengikut jadual untuk pembukaan KLIA2 pada Mei tahun depan," katanya.

Monday, October 7, 2013

KUB siapkan landasan ketiga KLIA2


SEPANG 7 Okt. - KUB Malaysia Bhd telah menyiapkan landasan ketiga di terminal baharu untuk syarikat penerbangan tambang rendah, KLIA2, kata Pengerusinya, Datuk Seri Abd Halim Abd Samad.

Beliau berkata, projek landasan itu berjaya disiapkan mengikut jadual, sebelum pembukaan KLIA2, yang dijangka pada Mei tahun hadapan.

"Penyiapan itu menandakan satu lagi kejayaan untuk kumpulan kerana ini ialah penceburan pertamanya ke dalam perniagaan pembinaan lapangan terbang," kata beliau di sini hari ini.

Abd Halim berkata demikian selepas menyaksikan pendaratan percubaan pesawat komersil pertama Boeing 737-900ER Malindo Air di landasan ketiga itu.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata, siapnya landasan itu merupakan satu kejayaan besar dalam sejarah penerbangan negara.

"Hanya pencahayaan darat lapangan terbang itu sahaja yang boleh selesai," kata beliau.
Mengenai dakwaan landasan itu tidak dibina mengikut spesifikasi yang mungkin menjuruskan kepada kemendapan, Hishammuddin berkata, ia tidak adil untuk semua pihak yang telah bekerja keras untuk menyiapkan projek itu.

"Sekiranya landasan kita mendap, saya tidak rasa badan antarabangsa akan mengiktiraf tahap profesional yang ada dalam pasukan kita.
"Kita terus berjaya mengekalkan kedudukan kita dalam Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa," kata beliau.

Mengenai perkembangan KLIA2, Hishammuddin berkata, pembinaannya berjalan lancar dan bersedia memenuhi tarikh akhir tahun depan.
Beliau berkata, pasukan petugas KLIA2, diketuai oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, melaporkan perkembangan kepada beliau setiap minggu.
Landasan sepanjang 3,960 meter dan lebar 60 meter itu boleh menampung sebarang pesawat pada masa ini beroperasi termasuk B-744 dan A340-600 atau pesawat sama pada kapasiti penuh
\

Arab Saudi bakal miliki lapangan terbang mesra alam



MADINAH 2 Okt. - Stesen metro dan bas awam akan dibina di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad (PMIA) di sini, lapangan terbang yang kini sedang dinaik taraf.
Ketua Pegawai Eksekutif PMIA, Mamdouh Tarabishi berkata, projek yang bernilai 4.5 bilion riyal (RM3.9 bilion) itu akan siap sepenuhnya menjelang 2015.

Katanya, stesen itu akan memberi kemudahan pengangkutan kepada jemaah haji dari lapangan terbang ke Masjid Nabawi.

"Kedua-dua sistem pengangkutan itu turut akan dihubungkan dengan Perkhidmatan Kereta Api Haramain yang menghubungkan antara Mekah dan Madinah," katanya kepada Arab News.

Mamdouh turut menyifatkan PMIA sebagai lapangan terbang mesra alam pertama di Asia Barat.
"Ia direka menyerupai pokok palma, selain bakal menerima pesawat moden.

"Lapangan terbang itu juga akan memiliki 16 jambatan udara untuk penumpang menaiki pesawat dan dijangka akan menerima 45 penerbangan ketika musim haji," ujarnya.




Airbus perkukuh kedudukan di Malaysia

Airbus perkukuh kedudukan di Malaysia

SEPANG 2 Okt. - Pengeluar utama pesawat Eropah, Airbus berhasrat mengukuh kedudukannya di Malaysia dan rantau ini menerusi penubuhan unit penyenggaraan dengan kerjasama Sepang Aircraft Engineering (SAE) dan pusat perkhidmatan pelanggan baharu di sini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabrice Bregier berkata, pusat penyenggaraan yang beroperasi di hangar baharu dekat SAE itu dikhususkan untuk menyenggara dan membaik pulih pesawat Airbus di lorong tunggal dengan keluasan lantai 13,000 meter persegi.

Menurutnya, kewujudan hangar itu mampu menampung sehingga tiga pesawat Famili A320 bagi melakukan pemeriksaan penyenggaraan utama.

"Ini merupakan tambahan kepada hangar sedia ada yang boleh menampung enam pesawat lorong tunggal dan dalam masa sama, bangunan ini juga dilengkapi bengkel berteknologi tinggi bagi membaiki pelbagai komponen pesawat Airbus termasuk sistem hidraulik dan pneumatik," katanya.
Beliau berucap dalam majlis pelancaran Peluasan Pusat MRO Sepang Aircraft Engineering (SAE) di sini hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Breiger, penubuhan pusat perkhidmatan pelanggan baharu bersebelahan SAE merupakan sebahagian usaha mewujudkan perkhidmatan rangkaian global pengeluar dalam kejuruteraan pesawat dan pembaikan selama 24 jam sehari.
Katanya, kemudahan tersebut yang kelima di seluruh dunia selepas Toulouse, Hamburg, Wichita dan Beijing akan dimiliki sepenuhnya Airbus.
Tambah beliau, pusat itu dijangka mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 100 jurutera dan mekanik mahir.
"Inisiatif ini mencerminkan potensi besar perkembangan industri aeroangkasa di Asia Tenggara dan dengan pasukan bakat-bakat yang mahir, mutu kerja berkualiti dan kadar kos yang berdaya saing, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang paling sesuai sebagai rakan kongsi utama Airbus," katanya.
Menurut beliau, kemudahan itu juga akan menyokong strategi syarikat tersebut meluaskan pasaran antarabangsa dengan mendirikan tapak perkhidmatan sokongan yang lebih dekat dengan pangkalan operator pesawat mereka.