mangga add

Thursday, August 22, 2013

2 pesawat bertembung di landasan

SYDNEY 10 Ogos - Dua buah jet komersial bertembung di atas landasan di Lapangan Terbang Melbourne, hari ini ketika hendak mencari parkir, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Nahas antara jet 737 milik Virgin Australia dan pesawat A320 milik Jetstar mengakibatkan satu daripada jet itu kehilangan sebahagian daripada ekor pesawat, manakala satu lagi mengalami kerosakan teruk pada bahagian sayap.

''Tiada anak kapal mahupun penumpang kedua-dua jet terbabit cedera dalam nahas itu dan insiden tersebut sedang disiasat.

''Operasi lapangan terbang berjalan seperti biasa, namun dua daripada pintu lapangan terbang tersebut ditutup buat sementara tertakluk kepada siasatan,'' kata Lapangan Terbang Melbourne dalam akaun Twitternya. - AFP


Caj penumpang di KLIA2 tidak naik - Timbalan Menteri

SEPANG 19 Ogos - Caj perkhidmatan penumpang (PSC) di KLIA2 adalah sama dengan kos di terminal penerbangan tambang rendah (LCCT), kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi.
Beliau berkata, ia tidak akan membebankan penumpang memandangkan kos itu akan ditanggung oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

"Tiada peningkatan. Anda bayangkan perkhidmatan di LCCT yang mereka hadapi pada masa ini, mereka akan mendapat lapangan terbang baharu pada fi lapangan terbang yang sama.

"Ia tidak membebankan penumpang. MAHB akan menanggung kos memandangkan MAHB merupakan syarikat yang mengurus terminal ini, dan bagi pembiayaan, MAHB memperolehnya menerusi bon Sukuk dan mereka memperolehnya secara persendirian, tanpa jaminan kerajaan," katanya.

Aziz berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat ketiga pasukan petugas khas KLIA2 di sini hari ini.
PSC semasa di LCCT ialah RM32 bagi penumpang antarabangsa dan RM6 untuk penumpang domestik.
Aziz yang mengetuai pasukan petugas KLIA2 itu berkata pembinaan lapangan terbang kini 92 peratus siap dan bangunan terminal 96 peratus siap, dengan 20 pakej utama sudah selesai.

Ia meliputi sistem penyejukan, trek ERL, laluan pesawat yang menghubungkan Landasan 2 ke KLIA2, kawalan trafik udara (ATC), menara, pemasangan peralatan ATC, jejantas ke terminal, apron parkir pesawat, serta semua kerja-kerja perparitan dan utiliti utama yang berkaitan.

Aziz berkata, KLIA2 akan siap pada 30 April tahun depan dan akan beroperasi pada 2 Mei.
"Kami mahu memastikan tidak lagi berlaku kelewatan dan saya memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kelewatan lagi serta tarikh penyiapan ialah pada 30 April," katanya dan menambah, kos KLIA2 ialah sebanyak RM4 bilion.

Beliau berkata, tidak ada kos melampau dalam pembinaan memandangkan skopnya telah diperluas bagi menampung keperluan pemegang kepentingan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan kementerian itu berkata, komponen kerja yang berlaku kelewatan akan disemak semula oleh pasukan projek MAHB KLIA2 untuk penilaian semula oleh kontraktor pihak ketiga, jika kontrak terbabit tidak dapat memenuhi tarikh penyiapan.
Ia berkata beberapa kerja yang ditugaskan kepada kontraktor baharu membabitkan jalan perkhidmatan, bangunan pasukan menyelamat dan kebakaran lapangan terbang serta sistem pengendalian bagasi.



MAS dipersoal lantik lapan warga asing

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Selepas berdepan kontroversi berhubung pelantikan PlaneConsult sebagai perunding, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) kini dipersoalkan kerana bertindak melantik lapan warga asing untuk memegang beberapa jawatan penting dalam syarikat penerbangan negara itu.

Perkara tersebut disuarakan oleh bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang sebelum ini lantang meminta Kementerian Kewangan menyiasat pelantikan PlaneConsult sebagai perunding kepada MAS yang dianggap mempunyai konflik kepentingan dengan sebuah syarikat penerbangan tambang murah.
Menurut beliau, isu pelantikan warga asing dalam beberapa jawatan penting dalam MAS tidak pernah menjadi 'kebiasaan' ketika Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman memegang jawatan selaku Pengarah Urusan MAS pada 1972.

Malah jelasnya, Abdul Aziz juga tidak 'berminat' melantik perunding asing untuk 'berfikir' bagi pihaknya atau bertindak sebagai penasihat kepada 'orang kuat' dalam MAS.

''Mereka ini menjalankan kerja dengan pengalaman yang sedikit dan Tan Sri (Abdul Aziz) melantik bakat-bakat tempatan daripada kakitangan MAS sedia ada untuk bersama membangunkan MAS, daripada pesawat kecil B737-200 dan Fokker sehingga menjadi syarikat penerbangan ternama.

''Tetapi kini, kira-kira 20,000 kakitangan MAS cukup malang apabila sekadar menyaksikan pelantikan lapan warga asing untuk mengetuai beberapa jabatan khususnya dalam Unit Komersial. Jelas kepimpinan MAS tidak percaya (bakat) orang dalam MAS sendiri,'' katanya.

Beliau berkata demikian seperti dipetik dalam blognya, http://weechookeong.com.
Choo Keong berkata, apa yang menjadi persoalan adalah mengapa kebanyakan jawatan penting itu diisi oleh mereka yang hanya mempunyai pengalaman dalam syarikat penerbangan tambang murah sedangkan MAS memiliki pengalaman dalam legasi penerbangan selama 40 tahun.

''Khabar angin mengatakan akan ada seorang lagi warga asing akan dibawa masuk ke dalam MAS tidak lama lagi, tetapi tidak pasti jabatan apa yang bakal diketuainya,'' jelasnya.

Beliau kemudian mempertikaikan tindakan MAS melantik Seabury Consulting sebagai penganalisis perancangan rangkaian, awal tahun ini.

''Hanya tuhan yang tahu berapakah bayaran yang terpaksa MAS keluarkan untuk Seabury Consulting menjalankan kerja-kerja terbabit. Entah mengapa, tiba-tiba MAS membuat keputusan untuk terbang semula ke Dubai dan Darwin,'' tambahnya.


Klia2 akan dibuka 2 Mei 2014

AB. Aziz Kaprawi (dua dari kanan) mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang, semalam.

SEPANG 19 Ogos - Proses pembinaan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang bakal menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dijangka siap sepenuhnya pada 30 April 2014 dan akan dibuka kepada umum pada 2 Mei tahun depan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, pembinaan klia2 telah siap 92 peratus dengan bangunan terminal utama telah siap 96 peratus.

Ini termasuk sistem pendingin hawa, landasan Express Rail Links Sdn. Bhd. (ERL) dan kawalan trafik udara.
Beliau berkata, pembinaan klia2 yang berkeluasan 257,000 meter persegi itu berjalan lancar dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama-sama kontraktor yang dilantik komited memastikan bangunan terminal itu siap mengikut jadual ditetapkan.

"Hampir keseluruhan kemudahan dan sistem di bangunan terminal utama telah siap sepenuhnya kecuali laluan bagasi dan juga sistem dalam talian yang masih dalam proses penambahbaikan.

"UEMC-Bina Puri JV, kontraktor bagi bangunan terminal itu, telah mengesahkan 30 April depan sebagai tarikh baharu penyiapan klia2 termasuk jangka masa untuk mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) menurut obligasi berkontrak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan klia2 di sini hari ini.

Terminal utama Klia2 dibina oleh syarikat konsortium UEMC-Bina Puri JV yang telah dianugerahkan pakej mereka bentuk, membina dan menyelenggara terminal, bangunan satelit, jambatan udara (sky bridge) dan jeti terminal ke pesawat bernilai RM997 juta.

Tempoh siap terminal berkenaan dipinda beberapa kali sejak 2011 dan kos pembinaannya telah meningkat dari RM2 bilion kepada RM4 bilion.
Menurut Ab. Aziz, ujian pendaratan pesawat di klia2 akan dilakukan pada hujung September ini bagi menguji ketahanan litar.

Selain itu, katanya, klia2 akan menjadi lapangan terbang hibrid pertama di negara ini yang menggabungkan perkhidmatan tambang murah dan premium kelas perniagaan di bawah satu terminal.
"Langkah menaik taraf perkhidmatan kelas perniagaan di lapangan terbang itu dilakukan atas permintaan AirAsia dan selepas ini tiada sebab mengapa syarikat penerbangan tambang murah itu tidak mahu berpindah ke klia2," katanya.

Dalam pada itu katanya, walaupun bakal berstatus lapangan terbang hibrid pertama di negara ini, levi ke atas penumpang tidak akan dinaikkan dan tetap sama seperti di LCCT.
Sebelum ini, MAHB terpaksa melayan semua permintaan AirAsia dalam pembinaan klia2 memandangkan syarikat penerbangan itu merupakan operator terbesar di terminal itu sehingga menyebabkan peningkatan kos.

Antara perubahan yang terpaksa dilakukan ialah memanjang dan melebarkan landasan ketiga bagi menampung pendaratan pesawat Airbus A380 yang bakal dibeli oleh AirAsia.
AirAsia juga menuntut perubahan pada bangunan terminal, sistem pengurusan bagasi dari semi automatik kepada automatik serta penambahan pintu pelepasan dan ketibaan daripada 50 kepada 68 buah.



MAS rekod untung operasi RM8 juta pada suku kedua

Ahmad Jauhari Yahya

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Malaysia Airlines (MAS) mencatat keuntungan operasi sebanyak RM8 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2013, berbanding kerugian operasi sebanyak RM102 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Bagi suku kedua, syarikat penerbangan nasional itu berjaya menurunkan kerugian bersih sebanyak 50 peratus kepada RM176 juta, berbanding RM349 juta tahun lepas.

MAS berkata, keputusan yang lebih baik itu diperoleh hasil pertumbuhan perolehan yang kukuh dan tumpuannya ke atas produktiviti dan kawalan kos.

Syarikat penerbangan itu mengangkut 4.2 juta penumpang pada suku itu, peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding 3.3 juta penumpang pada suku yang sama tahun lepas, manakala perolehan kumpulan mencecah sebanyak RM3.7 bilion.

MAS berkata, perbelanjaan kumpulan itu sebanyak RM3.8 bilion, dengan komponen utama membabitkan kos bahan api jet (37 peratus), diikuti kos pengendalian dan pendaratan, selain susut nilai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya berkata, syarikat penerbangan itu membuat kemajuan yang baik dalam mengurangkan kerugian menerusi pelbagai inisiatif bagi memacu pendapatan, kos mengurus dan meningkatkan produktiviti.

"Kami berada pada kedudukan yang baik dalam melaksanakan pelan perniagaan untuk memulihkan kumpulan kami dan mencatat keuntungan mampan menjelang akhir 2014.

"Menerusi lebih banyak pesawat baharu, kami dapat membawa secara purata lebih 10,000 penumpang setiap hari. Kami sedang memperluas rangkaian, meningkatkan kekerapan dan semakin memperoleh penguasaan pasaran," katanya.

Untuk masa hadapan, Ahmad Jauhari mengunjurkan tempoh berbaki 2013 sebagai menggalakkan dan ketibaan pesawat baharu sehingga akhir tahun akan meningkatkan lagi usia pesawat dan penawaran produk secara puratanya.

Sehingga akhir Jun, MAS mempunyai 146 pesawat dalam kumpulannya dan menjangkakan penerimaan lebih banyak pesawat baharu (6 B738, 2 A333 dan 3 ATR72-600) pada separuh kedua tahun ini yang akan menurunkan purata usia pesawat kumpulan kepada 5.4 tahun menjelang akhir tahun.

Saturday, August 10, 2013

MAS mulakan perkhidmatan ke Dubai

SEPANG 6 Ogos - Malaysia Airlines (MAS) memulakan penerbangan hariannya ke Dubai, dengan penerbangan pertama berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.30 malam Isnin.

Pengarah Komersil MAS, Dr. Hugh Noel Dunleavy berkata, Dubai merupakan hab pelancongan, perdagangan dan logistik, selain reputasinya sebagai gerbang antara Timur dan Barat.

Beliau berkata, kediaman bagi hanya lebih dua juta penduduk dan lebih 200 masyarakat pelbagai negara, Dubai merupakan antara bandar raya kosmopolitan di dunia.

"Menerusi pusat membeli-belah bertaraf dunia dan kemudahan santainya, Dubai merupakan destinasi popular untuk perniagaan dan santai," katanya kepada Bernama pada resepsi ringkas pada pelancaran perkhidmatan itu di KLIA malam tadi.

"Dalam pada kami meluaskan rangkaian, kami mahu menyiapkan diri dengan produk dan perkhidmatan yang lebih baik untuk pelanggan setiap kali mereka terbang dengan kami.
"Tumpuan kami ialah kepuasan pelanggan sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, MASholidays, sayap perjalanan dan kembara MAS, juga menawarkan dua pakej perjalanan ke Dubai sempena pelancaran perkhidmatan syarikat penerbangan negara itu ke ibu negara Emiriyah Arab Bersatu itu.

Pelanggan boleh memilih dua pakej itu iaitu sama ada pelepasan secara kumpulan atau individu.
Pakej lima hari dan pakej tiga malam itu masing-masing ditawarkan pada harga RM3,499 dan RM2,840, bagi pelepasan pada tarikh penerbangan sulung.

Menerusi pakej itu, mereka akan dibawa melawat beberapa mercu tanda yang menjadi ikon di Dubai, termasuk Burj Khalifa yang sangat terkenal.
Pesawat Boeing 777-200 dengan dua konfigurasi digunakan untuk laluan Kuala Lumpur - Dubai - Kuala Lumpur itu menawarkan kapasiti tempat duduk sebanyak 282 bagi setiap penerbangan atau bersamaan 3,948 tempat duduk seminggu.