mangga add

Wednesday, August 31, 2011

Sambut 1 Syawal dalam pesawat

Adakalanya tersentuh jua hati Ernee Hasnita Malik, apabila berjauhan dari keluarga ketika hari raya.

HATI siapa tidak terusik apabila orang lain sibuk mengenakan pakaian baru atau menikmati rendang masakan emak, diri sendiri pula terpaksa menyarungkan pakaian seragam untuk ke tempat kerja ekoran tuntutan tugas.

Bukan mudah untuk menyembunyikan perasaan sayu di pagi lebaran. Lebih-lebih lagi apabila menyambut Aidilfitri di perantauan.

Walaupun berasa sayu kerana tidak dapat bersama keluarga dan sanak saudara, keutamaan terhadap tugas menyebabkan kedatangan Syawal disambut bersama rakan-rakan sekerja.

Setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam kerjaya di awan biru, Ernee Hasnita Malik, 38, sudah tegar dengan tanggungjawabnya biarpun jadual kerja kadangkala mungkin tidak dapat diterima oleh ahli keluarga yang lain.

Bertugas sebagai Penolong Kanan, Ketua Pramugari Dalam Penerbangan, Penerbangan Malaysia ( MAS ) anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila terpaksa beraya di dalam pesawat.

“Sepanjang 20 tahun berkhidmat dengan MAS, hanya empat kali tidak dapat beraya bersama keluarga.

“Sudah pasti rasa sedih itu ada tetapi apabila memikirkan ia adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul, saya reda.

“Bagaimanapun hari raya tetap meriah dan boleh diraikan dengan hidangan hari raya bersama rakan-rakan sekerja,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitupun, tahun ini, ibu kepada seorang cahaya mata itu akan menyambut hari raya di Perancis dan hanya akan pulang ke Malaysia pada hari raya kedua.

Apabila ditanya adakah keluarganya di kedua-dua belah pihak terutama anak tunggalnya yang berusia 10 tahun memahami situasi tersebut, menurut Ernee, pada permulaannya agak sukar untuk mereka memahami dan menerima tetapi kini senario tersebut sudah dapat diterima seluruh ahli keluarga.

Memandangkan suaminya juga bekerja dalam bidang yang sama, ia tidak pernah menjadi masalah kepada Ernee malah tahun ini juga suaminya tidak mendapat cuti raya.

Rakan setugas Ernee, Mohd. Sharom Hasim, 49, turut senasib dengannya kerana tahun ini Mohd. Sharom juga perlu bertugas di pagi raya.

Akan menyambut hari raya di Malaysia pada raya kedua, Mohd. Sharom dijangka terbang ke Australia pada malam raya.

Beliau yang bertugas sebagai Penyelia Penerbangan MAS bagaimanapun akan memastikan segala persiapan raya telah disediakan sebelum dia terbang ke Australia.

“Tahun ini giliran beraya di Segamat, di sebelah isteri saya dan nampaknya mereka terpaksa menunggu sehingga saya balik.

“Siapa yang tidak sedih apabila sambut hari raya tanpa keluarga tersayang di sisi. Bagaimanapun kehadiran rakan-rakan setugas yang lain sedikit sebanyak mampu mengubat rindu pada kampung halaman,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai sambutan hari raya di perantauan, menurut Mohd. Sharom, dia pernah menyambut hari raya pertama dua hari berturut-turut memandangkan ketika itu dia ditugaskan mengikut penerbangan ke Dubai.

Lazimnya, jelas Mohd. Sharom, Dubai akan menyambut hari raya satu hari awal dari Malaysia dan ketika itu sudah pasti dia turut menyambutnya walaupun di Malaysia masih lagi berpuasa.

Dan keesokan harinya, apabila penerbangannya bertolak pulang ke Malaysia, dia sekali lagi menyambut hari raya pertama sebaik sahaja tiba di Malaysia.

Malah katanya, itu merupakan pengalaman paling manis yang pastinya tidak dapat dilupakan sepanjang menyambut hari raya di perantauan.

Bagi Pegawai Utama/Juruterbang MAS, Mohamad Afiq Mohamad Azharuddin, 24, walaupun baru berkhidmat dengan MAS selama lima tahun tetapi sepanjang tempoh tersebut dia tidak dapat menyambut hari raya bersama keluarga sebanyak dua kali.

Walaupun begitu, bagi anak kelahiran Subang, Selangor itu tuntutan tugas sebagai seorang juruterbang sudah difahami seluruh ahli keluarga.

Dia yang masih belum berkahwin bagaimanapun memberitahu siapa yang tidak sedih apabila hari raya disambut di kalangan rakan-rakan setugas sahaja.

“Pernah jugalah merasa beraya di Korea dua tiga tahun lepas.

“Ada sekali tu, saya diletakkan di dalam keadaan standby, saat-saat akhir iaitu malam raya saya dipanggil untuk bertugas.

“Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya tetapi digagahkan juga memandangkan ia satu amanah yang perlu dilaksanakan,” katanya yang akan menyambut hari raya tahun ini bersama keluarga tercinta.

Ujarnya, dalam pesawat memanglah tidak rasa langsung suasana raya disebabkan bertugas apatah lagi ‘terbang’ ke negara yang tidak menyambut hari raya dengan meriah.

Menurut Mohamad Afiq, untuk menghidupkan suasana hari raya ketika bertugas, dia dan rakan-rakan krew MAS yang lain akan mengadakan sambutan secara kecil-kecilan di lokasi persinggahan.

Ada juga krew yang akan membawa kuih raya, rendang dan lemang dari kampung.

Tetapi berlainan pula dengan Kapten Pesawat Boeing 737 siri 800, Azrul Hizam Mohammadiah, 38.

Ini kerana sepanjang tempoh berkhidmat dengan MAS, lebih daripada 10 kali dia menyambut hari raya di perantuan.

Bagaimanapun untuk tahun ini, dia akan menyambut kemeriahan hari raya bersama isteri tersayang.

“Sebelum ini saya hanya menyambut hari raya bersama ahli keluarga yang lain kerana belum berkahwin.

“Dan mungkin disebabkan itu, secara jujurnya saya tidak merasa sedih apabila tiap kali tibanya hari raya.

“Tetapi suasana tersebut akan berbeza tahun ini memandangkan saya baru berkahwin dan bakal bergelar ayah tidak lama lagi,” ulasnya lanjut.

Bagaimanapun, tambah Azrul, sekiranya dia menyambut hari raya di perantauan, biasanya kedutaan akan jemput krew MAS untuk bersama-sama meraikannya.

Jika tidak pun, mereka akan menyambutnya di kalangan rakan-rakan sekerja yang lain dengan juadah yang telah dibekalkan dari rumah.

Apa yang pasti, daripada cerita keempat-empat krew MAS ini ternyata suasana untuk berhari raya langsung tiada di dalam pesawat dan sudah pasti keadaan senarionya juga turut berbeza berbanding sambutan hari raya bersama keluarga.

Sunday, August 28, 2011

Belum masanya untuk maut

BANGKAI pesawat JAT 367 yang dinaiki Vesna Vulovic musnah sama sekali namun beliau terselamat daripada maut.

KEJADIAN seorang lelaki yang ditikam sebanyak lapan kali sebelum dicampakkan ke dalam hutan di Jalan Bukit Putus, Kuala Pilah tetapi ditemui masih hidup pada Ahad lepas boleh diumpamakan sebagai kisah mati hidup semula.

Lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai Arman Shah dikatakan sedar dari pengsan tidak lama selepas kejadian itu.

Malangnya dia terpaksa berjalan kaki selama satu hari setengah untuk keluar dari hutan tersebut.

Kisah yang dihadapi lelaki berkenaan merupakan antara himpunan kejadian 'bernasib baik' yang berlaku walaupun pada kebiasaannya dengan kejadian buruk yang berlaku adalah sukar untuk kita menerima hakikat mereka masih hidup.

Ketentuan

Memang benar bahawa hanya Tuhan yang maha berkuasa untuk menentukan takdir dan masa depan seseorang.

Jika sudah tiba ajal seseorang, hanya dengan gigitan nyamuk pun sudah cukup untuk kita pergi meninggalkan semua yang ada di dunia buat selama-lamanya.

Tetapi jika belum sampai waktunya, hatta jika pesawat terhempas sekalipun seseorang itu masih tetap bernyawa kerana qada dan qadar masih belum menetapkannya begitu.

Kisah umpama mati hidup semula ini sering saja menjadi perhatian kerana kejadian yang menimpa mereka ini adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku.

Malah terdapat beberapa kajian mengenainya yang dilakukan oleh penyelidik Barat terutama dalam mengenal pasti bagaimana mereka yang melalui kisah yang menggerunkan serta hampir mencabut nyawa mereka ini mampu untuk terus hidup seperti manusia lain.

Trauma

Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh American Psychological Association di Washington, kebanyakan wanita lebih mudah untuk selamat atau hanya mengalami kecederaan ringan apabila terlibat dalam kemalangan sebegini.

Bagaimanapun mereka ini lebih cenderung untuk mengalami trauma yang teruk akibat kesan dari kejadian buruk yang berlaku.

Menurut Profesor Dr. Richard G. Tedeschi, dari Jabatan Psikologi University of North Carolina antara kesan utama yang berlaku selepas kemalangan yang nyaris mencabut nyawa mereka adalah kesan kecederaan atau penyakit kekal, trauma akibat kehilangan nyawa mereka yang tersayang seperti anak atau suami serta apa yang dipanggil post-traumatic stress disorder(PTSD).

Hilang fokus

PTSD ini merupakan kesan stres yang melampau yang mana ia mampu mengakibatkan seseorang hilang fokus dalam hidup, bertindak di luar kawalan sehingga menggugat perhubungan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan selain bersikap defensif dan menyalahkan orang lain.

Malah adakalanya mereka ini sanggup bertindak membunuh diri kerana tidak sanggup menerima 'pergolakan dalaman' yang menjadi punca kenapa ada masanya mereka berkelakuan aneh.

Bagaimanapun setelah menjalani rawatan atau akhirnya pulih dengan sendiri, kesemua mereka akan berasa bersyukur dan menjalani kehidupan dengan azam yang lebih baik untuk menghargai kehidupan.

Psikologi

Menjadi sebab utama kenapa ramai wanita yang lebih banyak terlibat dalam PTSD bersandarkan laporan yang dikeluarkan oleh Dr. David F. Tolin, yang juga Pengarah di Anxiety Disorders Center, hospital psikiatri Hartford di Connecticut, AS.

Menurut beliau, jika mereka yang pernah melalui pengalaman ngeri dalam kemalangan di dedahkan dengan rakaman atau bunyi kemalangan yang mereka lalui, golongan wanita akan memberi respons psikologi yang keterlaluan selain degupan jantung akan bertambah kencang.

Ini kemungkinan besar berkait rapat dengan hormon di otak mereka yang menjadikan mereka lebih mudah untuk berasa trauma dengan kejadian buruk yang pernah dilalui.

Berbeza daripada lelaki, kebanyakan mereka sudah terbiasa malah sejak kecil lagi berpandangan bahawa berasa takut dan bimbang adalah sesuatu yang cuba dielakkan.

Waima apa pun fakta mengenai kisah mati hidup semula ini kita tidak boleh menyifatkan apa yang telah berlaku terhadap mereka ini sebagai sesuatu yang mudah.

Ia bukan umpama kemalangan biasa yang hanya mengakibatkan luka-luka kecil tetapi kisah mereka ini diibaratkan hanya selangkah lagi malaikat maut akan mencabut nyawa mereka. Namun Tuhan masih memberi peluang kedua pada mereka untuk menjalani hidup yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Apolo Nsibambi

PERDANA Menteri Uganda ini pernah melalui detik mencemaskan apabila helikopter yang dinaikinya bersama enam orang pegawai terhempas. Bagaimanapun kesemua mereka terselamat setelah helikopter tersebut yang didakwa mengalami masalah teknikal sempat terjatuh di atas rimbunan pokok sebelum pesawat itu terhempas. Kejadian itu berlaku di bandar Bugiri, selatan Uganda pada Mac 2010. Perdana Menteri sebelumnya, John Garang juga terbunuh dalam satu kemalangan helikopter pada Julai 2005.

George Lucas

PENGARAH filem terkenal ini antaranya Star Wars merupakan seorang lelaki yang dilihat sebagai gagal, lemah dan tidak mampu pergi jauh ketika zaman remajanya. Namun beberapa hari sebelum menamatkan zaman persekolahannya pada tahun 1962, Lucas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ngeri mengakibatkannya koma selama tiga hari.

Mengulas mengenai kejadian itu, Lucas menyatakan bahawa seseorang yang terlibat dengan pengalaman sebegitu pasti akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku atau kenapa berada di situ ketika kejadian. Lucas sendiri masih tertanya-tanya mengenainya sehingga kini dan ia sedikit sebanyak membantunya dalam berimaginasi mengenai banyak perkara.

Ozzy Osbourne

LEGENDA rock ini pernah mengalami kemalangan ngeri apabila terbabit dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi. Namun beliau diselamatkan oleh pembantunya yang terpaksa memberi pernafasan mulut ke mulut apabila jantungnya berhenti berdegup sebanyak dua kali sebelum di bawa ke hospital. Osbourne yang koma selama lapan hari menggambarkan pertama kali beliau membuka matanya sebagai sesuatu yang asing dan langsung tidak mengenali orang disekelilingnya.

Namun akibat kemalangan itu telah membuatkan dirinya semakin menghargai kehidupan dengan menyatakan adalah sesuatu yang mengagumkan bagaimana kejadian beberapa saat itu telah mengubah keseluruhan hidupnya.

Roy C. Sullivan

MANUSIA seorang ini mencatat sejarah tersendiri sebagai satu-satunya orang yang terselamat daripada panahan kilat bukan setakat sekali tetapi tujuh kali sepanjang hidupnya. Pertama kali beliau dipanah petir adalah pada tahun 1942 ketika berada di menara peninjau namun Sullivan hanya kehilangan salah satu kuku kakinya. Kejadian seterusnya berlaku pada tahun 1969, 1970, 1972, 1973, 1974 dan 1977.

Bagaimanapun dalam setiap kejadian itu beliau hanya cedera ringan dan langsung tidak menghadapi sebarang kecederaan kekal. Antara kecederaan yang berlaku padanya akibat panahan petir adalah terbakar bulu kening, dua kali rambutnya terbakar, sedikit kesan terbakar di bahu kiri dan terbakar di buku lali. Panahan petir terakhir yang berlaku ketika beliau sedang memancing adalah paling teruk pernah berlaku kepadanya. Ini kerana Sullivan telah dimasukkan ke hospital kerana terbakar di bahagian perut dan dadanya.

Saturday, August 27, 2011

Twin Otter veers off runway at Lawas Airport, 16 passengers and 2 crew safe

MIRI: A MASwings 19-seater Twin Otter aircraft crash-landed in Lawas Airport yesterday, with its nose taking much of the impact.

The plane skidded some 10m before coming to a standstill in a field by the runway.

A statement from MASwings last night said flight MH3156 from Miri had veered off the runway after it touched down at the airport around 3.30pm.

“However, there were no casualties and all 16 passengers and two operating crew of the flight disembarked safely after the aircraft came to a stop,” the statement said.

“MASwings is sending an inves- tigation and recovery team from Kota Kinabalu to Lawas by land to remove the aircraft from the site. For the time being, Lawas Airport is closed for all flight operations until the airfield is cleared.”

Damaged: The aircraft with its nose resting on the ground. The 19-seater Twin Otter veered off the runway after it touched down around 3.30pm Wednesday. Flights to the airport have been suspended.

The plane, which is halfway down the runway, would be guarded by security personnel from Malaysia Airports Bhd and the police until it is removed.

The airline also said it would extend its full co-operation to the Civil Aviation Department which was investigating the incident.

“This is an isolated incident and safety remains a high priority in the company,” it concluded.

Meanwhile, Ba’Kelalan assemblyman Baru Bian, when contacted, said he was informed that no one was injured in the incident.

“My contact also informed me that the aircraft was slammed by strong wind as it was landing,” Baru added.

Former Ba’Kelalan assemblyman Nelson Balang Rining said his cousin Joel Bawar was at the airport when the incident happened.

According to him, Joel told him that none of the passengers suffered any serious injuries.

When contacted soon after the incident, a Malaysia Airports Bhd official at the Lawas Airport terminal said: “The plane is still at the crash site.”

Prodded further, the official said: “The airport has been closed until further notice and all flights into Lawas have been suspended for now.”

Friday, August 26, 2011

MAS dijangka untung tahun depan

TONY Fernandes dan Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz (tengah) meyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri kepada 100 anak-anak yatim dari sekitar ibu negara pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat penerbangan itu di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dijangka mencatatkan keuntungan dalam tempoh enam bulan tahun kewangan 2011.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, dengan pengurusan yang segar dan baru beliau yakin ia mampu dilakukan pada tahun depan.

Menurutnya, MAS mempunyai masa depan yang cerah, malah berupaya menandingi Singapore Airlines satu hari nanti.

"MAS dan AirAsia akan memberi pilihan kepada orang ramai. Jika MAS adalah penerbangan kelas premium, kami adalah penerbangan tambang murah.

"Perkara ini baik kerana membolehkan kedua-dua pihak menggunakan sumber secara optimum," katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. pada majlis berbuka puasa anjuran AirAsia bersama anak-anak yatim di sini, semalam.

MAS mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM527 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2011.

Menyentuh tentang calon Pengarah Urusan MAS yang baru, Fernandes berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi syarikat penerbangan kebangsaan itu, Tan Sri Md Nor Yusof.

Sementara itu, Fernandes memberitahu, AirAsia yakin mencatatkan prestasi kewangan yang baik pada separuh kedua tahun kewangan semasa selepas berjaya mencatatkan keputusan yang memberangsangkan bagi enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, separuh kedua tahun ini lebih menarik lebih-lebih lagi syarikat itu telah menambah laluan ke Indonesia, pengenalan AirAsia Filipina dan Vietnam serta ke Jepun.

"Pada kebiasaannya, jika keputusan kewangan pada separuh pertama baik, berkemungkinan besar trend itu dapat diteruskan pada separuh kedua. Saya gembira apa yang berlaku di syarikat ini pada masa ini," jelas beliau.

Kata beliau, kami merupakan antara syarikat penerbangan yang mampu mencatatkan prestasi kewangan yang positif walaupun menghadapi situasi harga bahan bakar yang tidak menentu.

AirAsia telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM145 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2011 lalu, iaitu peningkatan sebanyak 0.6 peratus. Manakala keuntungan bagi suku pertama lalu berjumlah RM202 juta.

Pada masa sama, beliau tidak bersetuju dengan langkah menaikkan bayaran perkhidmatan penumpang antarabangsa (PSC) kerana ia menyekat orang ramai untuk menikmati perjalanan mereka.

"Tidak mengapa bayaran dinaikkan jika pengguna dibalas dengan kemudahan prasarana dan perkhidmatan yang berkualiti, malangnya kesemua itu tidak seperti diharapkan," kata beliau.

Tambah Fernandes, cadangan tersebut juga akan menjejaskan kedatangan pelancong terutama selepas usaha berterusan syarikatnya menawarkan tambahan laluan baharu dan kekerapan penerbangan.

"Kami sedang berbincang dengan kerajaan agar perkara ini boleh diselesaikan secara positif," ujarnya.

Mengenai bajet 2012, beliau mahu kerajaan mempermudahkan proses kemasukan pelancong khususnya daripada negara kuasa baru ekonomi seperti China dan India kerana pelancong dari negara tersebut semakin meningkat.

Thursday, August 25, 2011

Garuda nafi periksa payu dara calon pramugari

JAKARTA 25 Ogos — Garuda Indonesia menafikan dakwaan seorang wanita Korea Selatan yang memohon jawatan pramugari kononnya doktor lelaki memeriksa payu dara semua calon bagi mengesan jika terdapat sebarang implan.

Setiausaha korporat syarikat penerbangan itu, Pujobroto, berkata pemeriksaan kesihatan rutin yang merupakan sebahagian daripada proses pengambilan petugas baru tidak melibatkan pemeriksaan payu dara.

Wanita Korea Selatan itu dilaporkan berkata ramai calon yang memohon 18 jawatan pramugari Garuda Indonesia, dikehendaki menanggalkan pakaian kecuali seluar dalam, bagi membolehkan doktor, yang merupakan seorang lelaki, mengesan sama ada terdapat sebarang implan ataupun tatu.

Seorang pegawai Garuda dipetik oleh agensi berita Korea, Yonhap, sebagai berkata bahawa pemeriksaan menggunakan tangan dilakukan kerana implan boleh menimbulkan masalah kepada kesihatan jika tekanan udara rendah semasa penerbangan.

Pegawai itu juga dilaporkan berkata bahawa anak kapal dilarang mempunyai tatu, dan larangan ini juga terpakai kepada rakyat asing yang berkhidmat dengan Garuda. - Bernama

Penumpang dapat ganti rugi jika penerbangan lewat

JAKARTA 25 Ogos - Mulai November ini, para penumpang pesawat syarikat-syarikat penerbangan yang mengalami masalah penundaan masa penerbangan melebihi empat jam akan berhak mendapat ganti rugi wang tunai Rp300,000 (kira-kira RM107) setiap orang daripada syarikat terbabit.
Perkara ini terkandung dalam Peraturan Menteri Perhubungan, yang baru di tandatangani Menteri Perhubungan Freddy Numberi pada 8 Ogos, akhbar harian Kompas melaporkan Khamis.
Laporan itu memetik Ketua Pusat Komunikasi Awam kementerian, Bambang Ervan sebagai berkata, bahawa peraturan baru itu akan berkuat kuasa tiga bulan setelah ia ditandatangani.
"Mulai November ini, penumpang boleh membawa kes ke mahkamah jika syarikat penerbangan berkenaan tidak membayar ganti rugi. Kalau daripada pihak kami, dendanya berbentuk pentadbiran,” katanya.
Denda pentadbiran yang dimaksudkan ialah pembekuan permit perniagaan selama 14 hari jika syarikat penerbangan terbabit tidak mematuhi surat peringatan sebanyak tiga kali berturut-turut.
Dalam peraturan sebelum ini, syarikat penerbangan hanya dikehendaki memberi minum dan makanan ringan serta makan tengah hari atau makan malam kepada para penumpangnya jika masa penerbangan ditunda lebih tiga jam. - Bernama

Wednesday, August 24, 2011

MAS rugi RM527 juta suku kedua

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) hari ini merekodkan kerugian bersih sebanyak RM527 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2011.

Menurut kenyataan MAS, kerugian tersebut disebabkan oleh kos bahan bakar tinggi yang telah mengganti kerugian (offset) hasil dan perolehan bagi tempat duduk kilometer (RASK) yang lebih tinggi pada suku sama tahun lalu.

''Namun perolehan bagi syarikat bagi suku kedua meningkat kepada RM3.485 bilion atau peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding RM3.123 bilion sebelumnya.

''Manakala perolehan penumpang merekodkan pertumbuhan sebanyak sembilan peratus kepada RM2.086 bilion berbanding RM1.912 bilion,'' katanya.

Tambah kenyataan itu, langkah kawalan kos secara agresif dan konsisten telah memberikan kesan positif dengan pengurangan sebanyak dua peratus bagi perbelanjaan bukan berkaitan bahan bakar.

''Tetapi kos bahan bakar terus memberikan kesan besar kepada operasi syarikat dengan peningkatan sebanyak 41 peratus kepada RM1.550 bilion untuk tempoh tersebut.

''Ahli lembaga pengarah juga tidak menjangkakan sebarang keuntungan dapat diperolehi untuk separuh kedua nanti, walaupun kerugian tersebut tidak akan seburuk suku pertama tahun ini,'' jelasnya.

Bergerak ke hadapan, lembaga pengarah telah mengenal pasti fokus masa terdekat seperti memilih kepimpinan terbaik untuk meneraju MAS dan secara proaktif sedang mencari pengganti Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif serta kedudukan pengurusan kanan.

''Bekerja dengan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang dibentuk dua minggu lalu, inisiatif pemulihan akan dilaksanakan untuk mengembalikan serta membina semula rizab tunai.

''Inisiatif terdekat termasuk pengurusan kapasiti lebih baik, pelaksanaan harga dinamik untuk menambah baik hasil dan perolehan.

''Selain itu, penilaian semula produk dan kedudukan jenama serta penilaian perniagaan Firefly untuk fokus kepada operasi pesawat turbo-prop beroperasi luar Subang dan menyusun semula perniagaan jet mereka bagi menyediakan perkhidmatan premium serantau,'' katanya.

Bagi jangka panjang, EXCO akan mencari pelan strategik dalam membawa semula syarikat penerbangan kebangsaan itu dalam lingkungan keuntungan.

Katanya, untuk tahun ini, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengunjurkan industri penerbangan kekal mencabar dengan harga bahan bakar kekal tinggi dan kebimbangan krisis hutang di Eropah serta tinjauan di Amerika Syarikat (AS).

Tempahan awal MAS menunjukkan cabaran untuk sektor Eropah, AS dan Jepun dengan trend tempahan bagi rantau utama lain adalah normal.

Katanya, bagi berhadapan dengan suasana operasi yang mencabar, MAS akan menyederhanakan pertumbuhan kapasiti bagi jangka pendek.

Pihak pengurusan akan menilai semula secara serius rangkaiannya pada masa ini.

Monday, August 22, 2011

Tujuh orang awam Iraq terbunuh dalam serangan udara tentera Turki

ARBIL (Iraq) 22 Ogos - Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Iraq terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan oleh pesawat pejuang Turki di wilayah semi autonomi di utara Kurdish, Iraq, semalam, kata datuk bandar dan saksi.

Kejadian tersebut merupakan yang kali pertama mencatatkan angka korban membabitkan orang awam sejak serangan dilancarkan pada malam Rabu lalu.

Serangan tersebut mengenai sebuah kenderaan awam yang sedang dalam perjalanan, kata Hassan Abdulla, Datuk Bandar Walat Dizah yang terletak di timur laut bandar Sulaimaniya.

"Hari ini (semalam) terdapat serangan roket daripada jet Turki yang menyerang sebuah lori pikap yang membawa enam orang awam dan kesemuanya terkorban.

"Serangan roket itu menyebabkan lori tersebut rosak teruk dan kami tidak dapat mengenal pasti identiti mayat, umur, serta jantina mereka," katanya. - REUTERS

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Pesawat Red Arrows terhempas ketika beraksi

LONDON 21 Ogos - Seorang juruterbang pesawat Red Arrows maut apabila pesawat yang dipandunya terhempas ketika mengadakan pertunjukan aksi akrobatik udara di selatan pantai Inggeris, semalam.

Pesawat yang dipandu Leftenan Jon Egging terhempas di kawasan padang di perkampungan Throop, beberapa ratus meter dari lapangan terbang Bournemouth, selepas mengambil bahagian dalam pertunjukan akrobatik udara bersama Tentera Udara Diraja Britain (RAF).

Menurut perkhidmatan kecemasan, Egging, 33, tercampak keluar dari pesawat itu apabila ia terhempas kira-kira pukul 12.46 tengah hari waktu Malaysia.

Juruterbang tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.

Pesawat tersebut dipercayai hilang kawalan ketika Egging cuba melakukan pendaratan sebelum terhempas.

Dalam pada itu, pihak berkuasa menyatakan masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Ketika kejadian, isteri juruterbang tersebut, Emma Egging sedang menyaksikan pertujukan suaminya.

"Menyaksikan aksinya hari ini membuat saya berasa sangat bangga. Saya menyukai semua tentangnya dan dia akan dirindui," katanya.

Egging telah berkhidmat lebih sedekad bersama RAF dan pernah ditempatkan di Afghanistan bagi membantu Britain memerangi pemberontak Taliban. - AFP

Sunday, August 21, 2011

Pertunjukan akrobatik udara: Pesawat Red Arrow terhempas

LONDON 20 Ogos - Sebuah pesawat Red Arrow milik Tentera Udara Diraja Britain (RAF) dilaporkan terhempas semasa pertunjukan aksi akrobatik udara di Bournemouth yang terletak di selatan pantai Inggeris hari ini.

Menurut penerbit media BBC yang berada di tempat kejadian, hanya lapan daripada sembilan pesawat yang mengambil bahagian dalam pertunjukan itu selamat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bournemouth.

Seorang jurucakap dari Kementerian Pertahanan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Aksi pertunjukan akrobatik itu diadakan setiap musim panas di negara tersebut yang terdiri daripada juruterbang RAF. – AFP

Saturday, August 20, 2011

Jet perang Israel serang Genting Gaza

GAZA CITY 19 Ogos - Jet perang Israel menyerang Genting Gaza dan kawasan bersempadan dengan Mesir semalam, membunuh enam orang.

Serangan dilakukan beberapa jam selepas enam penduduk Israel, termasuk dua wanita selain seorang anggota tentera dan polis terbunuh, manakala sekurang-kurangnya 26 lagi cedera dalam serangan berhampiran resort Laut Merah, Eilat.

Menurut pegawai perubatan, Israel bertindak balas dengan menyasarkan pangkalan kumpulan pejuang di Gaza yang didakwanya bertanggungjawab atas serangan itu, menyebabkan enam orang terbunuh di bandar Rafah.

Empat daripada mangsa yang terbunuh adalah anggota kanan Jawatankuasa Penentang Popular (PRC), tetapi seorang daripadanya adalah kanak-kanak.

Identiti seorang lagi mangsa bagaimanapun masih tidak jelas.

PRC mengesahkan pemimpin dan beberapa anggota mereka terbunuh dalam serangan di Rafah itu, tetapi berjanji untuk 'bertindak balas'.

Di Mesir, seorang pegawai polis dan dua anggota tentera turut terbunuh apabila pesawat Israel melancarkan roket berhampiran sempadan Mesir Gaza, menurut pegawai keselamatan Mesir.

Dua lagi anggota polis dilaporkan turut cedera akibat serangan itu.

Serangan balas Israel itu dilancarkan selepas satu kumpulan bersenjata berhampiran Eilat menyerbu dua bas dan sebuah kenderaan, meletupkan sebuah jip tentera dan meletupkan sebuah lagi kenderaan dengan roket. - AFP

Bila telur MAS pun kena curi’


JADUALNYA kelihatan padat sekali. Jadi tidak hairanlah pada jam 9.30 pagi, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman sudah melayan tetamu di rumahnya.

Setelah melangkah masuk, bekas pengawai tadbir kerajaan itu menyatakan beliau sedang memperkatakan tentang usaha terbaharu memantapkan ekonomi orang Melayu.

Ternyata agenda itu memberikannya semangat untuk melakar kemungkinan baharu sambil raut wajahnya tergambar perasaan belum puas hati dengan perkembangan semasa.

Menurut bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS) itu dirinya masih lagi sibuk biarpun tidak lagi berkecimpung dalam dunia korporat.

Masanya juga tertumpu kepada kariernya sebagai seorang peguam di Tetuan Nik, Sagil dan Ismail.

‘‘Saya ada dua kes yang sedang dikendalikan termasuk melibatkan seorang sahabat,” kata beliau sambil menunjukkan di mana letaknya beg ‘besar’ yang digunakan untuk ke mahkamah.

Sungguhpun begitu, beliau cuba juga menghabiskan masa yang terluang untuk pergi bermain golf.

Abdul Aziz menyifatkan pengalamannya yang lalu semasa bertugas menjadi penolong pegawai daerah dan pegawai daerah membolehkannya mengenali ragam sebenar manusia termasuk ketika menerajui MAS.

Kata beliau, dirinya pernah membuat pemeriksaan mengejut pada pukul 3 pagi untuk melihat sendiri sejauh mana pekerjanya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Abdul Aziz berkata, apa juga yang dilakukan perlu ada sistem pemantauan yang betul dan cekap selain barisan pengurusan dengan penerajunya mempunyai integriti, dedikasi dan rasa kecintaan terhadap organisasi yang diwakilinya.

‘‘Ketika di MAS dahulu, telur (yang digunakan untuk operasi penyajian makanan) dalam pesawat pun kena curi,’’ katanya sambil ketawa dan menegaskan perlunya orang yang betul ditempatkan pada jawatan yang betul.

Tidak menghairankan selepas menerajui MAS selama lebih 20 tahun, beliau dikenali sebagai orang yang memajukan syarikat penerbangan nasional itu daripada asalnya tidak miliki apa-apa.

Menurut Abdul Aziz, beliau amat gembira dengan kejayaan yang ditinggalkan sewaktu menerajui syarikat itu termasuk ibupejabat meskipun tanpa memiliki banyak dana.

‘‘Pada waktu itu, mana-mana sahaja kami pergi, kami rasa cukup berbangga. Ramai syarikat penerbangan asing memanggil kami untuk beri ceramah dan kami memenangi banyak anugerah,’’ kata beliau.

Abdul Aziz berkata, beliau mengakui tangan pernah menggigil apabila terpaksa menggunakan cash flow yang ada pada setiap bulan untuk membiayai pembinaan bangunan MAS yang terletak di Jalan Sultan Ismail.

Katanya, sebagai sebuah syarikat penerbangan kebangsaan, ia perlu mempunyai bangunannya sendiri di ibukota, Kuala Lumpur.

Namun begitu, berkat kesungguhan dan kegigihan beliau dan juga pengurusan, MAS akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri selepas beroperasi di pejabat di Bangunan Koperasi Polis di Jalan Tun Sambanthan.

Abdul Aziz mengakui kecewa apabila mengetahui bangunan berkenaan akhirnya terpaksa dijual oleh MAS kerana masalah kewangan.

Biarpun beliau kini tidak lagi bersama-sama dengan tetapi perkembangan terus diikuti dan sering juga didatangi oleh para pegawai syarikat itu untuk bertukar-tukar pandangan.

AirAsia tambah pesawat lagi

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. (AirAsia), Tan Sri Tony Fernandes berkata beliau sedang mengadakan perbincangan dengan Airbus SAS untuk menambah tempahan pesawat Airbus, A320 dengan lorong laluan tunggal.

Syarikat penerbangan tambang murah itu sedang mengkaji untuk mengubah tempahan yang dilakukan selepas bersetuju membeli 200 pesawat A320-neo bernilai AS$18 bilion (RM52.2 bilion) pada Jun lalu, kata Fernandes di London.

''Ia masih awal tetapi kami mempunyai pilihan untuk menambah 100 pesawat.

''Sudah pasti kami memerlukan lagi. Saya secara konsisten berkata kami memerlukan 500 pesawat,'' katanya dalam laporan yang dipetik oleh agensi berita di sini.

AirAsia memerlukan lebih banyak pesawat ekoran perjanjian dengan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) menurut Fernandes yang merupakan Pengarah kedua-dua syarikat itu.

Kontrak sedia ada merupakan yang terbesar bagi Airbus daripada segi jumlah tempahan.

Fernandes ketika ditemui di kelab bola sepak Queens Park Rangers selepas bersetuju membeli 66 peratus kepentingan milik Bernie Ecclestone dan rakannya, Flavio Briatore hari ini berkata, urusniaga itu adalah lebih baik dari jangkaan beliau.

Sementara itu, firma penyelidikan tempatan, MIDF Research berkata, pendapatan AirAsia untuk separuh pertama tahun ini dijangka melonjak 4.6 peratus kepada RM442.3 juta berbanding setahun lalu.

Syarikat itu yang dijangka mengumumkan keputusan suku keduanya minggu depan, menyaksikan kilometer tempat duduk sedia adanya (ASK) untuk separuh pertama 2011 meningkat 7.9 peratus tahun-atas-tahun kepada 12.810 bilion.

Untuk pendapatan kilometer penumpang (RPK) pula, ia menambah 23.2 peratus tahun-atas-tahun kepada 10.358 bilion.

"Untuk suku kedua, kami menjangkakan pendapatan mencecah RM270.4 juta, lonjakan 35.9 peratus tahun-atas-tahun," kata MIDF Research dalam laporannya hari ini.

Jumlah penumpang yang dibawa dalam suku kedua menambah 14.9 peratus tahun-atas-tahun kepada 4.5 juta sementara faktor muatan tempat duduk naik empat mata peratusan kepada 81 peratus dengan kenaikan 9.1 peratus tahun-atas-tahun dalam kapasiti tempat duduk kepada 5.5 juta.

"Juga, kami menjangkakan yang AirAsia akan memperlihatkan prestasi baik dalam separuh kedua 2011, dan ini terbukti daripada prestasi menggalakkan yang berterusan seperti yang ditunjukkan oleh statistik operasi bulan Julainya, kata syarikat itu.

Sementara itu, MIDF telah menyarankan 'beli' ke atas saham syarikat itu dengan harga sasaran RM4.60.

Monday, August 15, 2011

15 cedera pesawat Rusia terbabas

MOSCOW 8 Ogos - Seramai 15 penumpang cedera apabila pesawat buatan Soviet terbabas dari landasan hari ini, memaksa ia mendarat cemas dan patah sebelah sayapnya.

Pesawat An-24 bersama 36 penumpang yang dalam perjalanan dari bandar Khabarovsk di timur negara ini, terpaksa mendarat di Blagoveschensk selepas terbabas dari landasan akibat jarak penglihatan yang terhad serta angin kencang.

"Sayap kiri kapal terbang itu patah ketika ia mendarat cemas. Tujuh daripada 15 yang cedera telah dibawa ke hospital bagi menerima rawatan," jelas kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan. - AFP

AirAsia Philippines terima pesawat pertama Airbus A320

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pesawat pertama terkini baharu AirAsia Philippines, Airbus A320 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Diosdado Macapagal di Clark hari ini.

Pesawat itu yang mendarat pada pukul 11.30 pagi adalah dari kilang Airbus di Toulouse, Perancis, merupakan yang pertama antara empat yang akan diserahkan kepada AirAsia Philippines pada tahun pertama operasinya, demikian menurut syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pesawat kedua dijangka tiba lewat tahun ini dan dua lagi akan diserahkan pada 2012.

Pada masa ini, AirAsia Philippines menunggu kelulusan rasmi untuk bermula secara komersial.

Syarikat penerbangan itu merancang untuk menggunakan pesawat pertama itu untuk ke Singapura, Macau dan Hong Kong, dan keduanya bagi laluan ke Bangkok (Thailand), Incheon (Korea Selatan), Kalibo (dekat Boracay, Filipina) dan Puerto Princesa (Palawan, Filipina). – Bernama

Thursday, August 11, 2011

Tiger Airways dibenar terbang

Salah sebuah pesawat Tiger Airways di Lapangan Terbang Tullamarine di Melbourne, Australia. - AFP

MELBOURNE 10 Ogos - Tiger Airways Australia milik Singapura telah diberi kebenaran untuk terbang semula, selepas kira-kira enam minggu dilarang terbang oleh pengawal atur keselamatan udara.

Pengarah Keselamatan Penerbangan Civil Aviation Safety Authority (CASA) Australia John McCormick mengumumkan penarikan balik penggantungan itu berkuat kuasa serta merta, di Brisbane hari ini.

Australian Associated Press memetik McCormick sebagai berkata bahawa satu set syarat baharu telah dikenakan terhadap syarikat penerbangan itu, yang meliputi latihan dan kemahiran juruterbang, jadual juruterbang dan pengurusan keletihan, kekerapan dan semakan semula manual operasi, mempertingkatkan proses perubahan pengurusan dan pindaan sistem pengurusan keselamatannya.

CASA menghentikan penerbangan syarikat penerbangan itu pada 1 Julai, dengan memberikan sebab kebimbangan mengenai latihan juruterbang, pengurusan keselamatan dan sistem keselamatan menyeluruhnya.

Langkah itu adalah berikutan dua insiden di mana para juruterbang Tiger terbang terlalu rendah di Lapangan Terbang Melbourne pada Jun. - Bernama

Wednesday, August 10, 2011

MAS-AirAsia, dulu seteru kini sekutu

JIKA rancangan kerjasama strategik MAS dan AirAsia yang dijadual memeterai perjanjian hari ini menjadi kenyataan, ia merupakan satu catatan sejarah yang bakal mengubah landskap industri penerbangan negara.

Sedang gergasi penerbangan antarabangsa serius mengambil langkah penggabungan, kerjasama MAS-AirAsia yang diketahui umum sejak sekian lama bercakaran, adalah selari dengan perubahan operasi syarikat-syarikat penerbangan lain.

Melalui kerjasama itu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menyerahkan 20 peratus saham MAS kepada pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun. Sebagai timbal balik, Khazanah akan menguasai peratusan jumlah saham yang hampir sama dalam AirAsia Berhad dan AirAsia X Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, Khazanah masih memiliki kira-kira 49 peratus saham MAS untuk terus mengekalkan penguasaan tunggal di dalam syarikat penerbangan itu.

Kesepakatan pertukaran saham ini akan merintis jalan bagi hubungan yang mesra dan harmoni antara kedua-dua keluarga besar MAS dan AirAsia yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Tidak ada lagilah tuduh menuduh, curiga mencurigai dan dengki mendengki. Tidak ada lagilah orang MAS bercerita buruk AirAsia dan orang AirAsia pula membesar-besarkan keburukan MAS.

Kini mereka ibarat satu keluarga yang diikat melalui kepentingan pemilikan saham. Jika MAS gagal, ia akan turut mengheret AirAsia, begitu juga sebaliknya. Umpama cubit paha kanan terasa paha kiri.

Jadi, kedua-duanya tidak boleh gagal dalam menjayakan kesepakatan itu tetapi perlu saling bekerjasama khususnya dari aspek hak dan pembahagian laluan yang sebelum ini menjadi isu besar antara MAS dan AirAsia.

Untuk misi yang lebih besar, kesepakatan ini akan memudahkan MAS dan AirAsia merangka pelan dan strategi menghadapi persaingan serantau dan antarabangsa termasuk dari syarikat penerbangan Asia Barat yang kini melambakkan pasaran ke Asia selepas peristiwa 911.

Begitu juga seharusnya tidak timbul lagi isu 'budak nakal' atau 'kaki buli'. Dengan ikatan pertukaran pemilikan saham ini, MAS akan diasak untuk berfikir seperti AirAsia. Begitu juga AirAsia akan lebih memahami rentak tari MAS yang umumnya perlu mendahulukan kepentingan negara.

Mengikut ceritanya, bukanlah mudah untuk menyatukan kelompok MAS dan AirAsia ini. Ada tembok pemisah yang perlu dipecahkan terlebih dahulu. Masing-masing mempunyai ego sehingga perundingan dikatakan memakan masa bertahun sebelum mencapai tahap menyepakati persefahaman.

Begitulah lumrah apabila terlalu lama bercakaran. Kalau ada luka, ia memakan masa untuk disembuhkan. Permohonan maaf sahaja belum tentu mencukupi.

Sebab itu, perjanjian ini diharap dapat menjadi ubat yang dapat menyembuhkan luka yang mungkin ada. Manfaat daripada perjanjian ini sekali gus akan terus memartabatkan jenama Malaysian Hospitality (MH) dan Kini sesiapa pun boleh terbang.

Begitupun persoalan lebih besar yang perlu tercermin daripada kesepakatan itu ialah apakah manfaatnya kepada rakyat dan negara ini? Mungkinkah tambang akan lebih kompetitif berikutan kesepakatan ini secara tidak langsung membentuk ikatan seperti monopoli?

Juga persoalan mungkinkah kedua-dua penerbangan akan lebih efisien dan mampu memenuhi mutu perkhidmatan bertaraf antarabangsa? Mungkinkah rungutan khususnya mengenai sistem AirAsia yang 'mendera' penumpang dengan alasan klise 'tambang murah' boleh diatasi?

Yang jelas, hasil daripada kesepakatan ini MAS dan AirAsia walaupun kekal sebagai entiti berbeza, akan saling melengkapi. Salah satunya, MAS boleh belajar daripada kecekapan AirAsia yang kini menjadi peneraju dalam industri penerbangan.

Sumber manusia AirAsia yang disifatkan lebih jitu dan komited tentu sekali boleh mengubah sikap dan mentaliti sebilangan kakitangan MAS yang selalu digembar-gemburkan kurang bersemangat itu.

Kehadiran kelompok bertenaga AirAsia ini barangkali mampu mengubah sikap dan cara kerja sebilangan kakitangan MAS itu yang didakwa turut menjadi faktor penghalang kepada kejayaan pelan-pelan transformasi MAS sebelum ini, selain faktor usia pesawat.

Begitu juga syarikat tambang murah itu boleh berkongsi kepakaran kejuruteraan canggih yang dimiliki oleh MAS. Dalam aspek ini, sumber MAS dapat dimanfaatkan dengan pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya di dalam negara bukan seperti amalan sekarang.

Mungkin juga kesepakatan ini dapat memulihkan MAS yang selalu dibelenggu dengan masalah kerugian. Bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu, MAS mencatatkan kerugian bersih RM242.3 juta berbanding keuntungan RM310.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Jika langkah drastik tidak dilakukan segera, menjelang penghujung tahun nanti tidak mustahil kerugian MAS boleh mencecah RM1 bilion - sesuatu yang perlu dielakkan.

Secara perbandingan pula, AirAsia mencatatkan keuntungan RM171.9 juta bagi suku pertama tahun ini dan merekodkan keuntungan RM1.5 bilion bagi keseluruhan tahun kewangannya tahun lalu. Dari segi nilai AirAsia juga jauh lebih baik iaitu RM11 bilion berbanding MAS yang bernilai RM5.3 bilion.

Dalam kedudukan ini, AirAsia dilihat dalam kedudukan 'menang'. Tetapi mengambil semangat kesepakatan itu, sebenarnya pihak yang menang adalah Malaysia yang kesan akhir akan memberi manfaat kepada rakyatnya.

Demi kelangsungan pengangkutan udara

Pesawat MAS dan AirAsia (belakang) bersebelahan ketika bersama-sama menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum AirAsia berpindah ke Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor. - gambar hiasan

KERJASAMA antara Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia) mungkin sesuatu yang agak di luar jangkaan masyarakat umum negara ini.

MAS dan AirAsia yang dilihat sebagai pesaing sebelum ini difikirkan akan mengambil alih antara satu sama lain, bergantung kepada siapa yang lebih kuat dan kukuh.

Sebaliknya, melalui satu cadangan kerjasama, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) selaku pemegang saham utama MAS menyerahkan 20.5 peratus sahamnya kepada pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun.

Khazanah akan mengekalkan pegangan kira-kira 49 peratus saham MAS di samping menguasai jumlah saham sekitar 20 peratus dalam AirAsia (AirAsia Berhad dan AirAsia X Sdn. Bhd.).

Jika perkongsian itu berjaya, lawan akan menjadi kawan dan kedua-dua syarikat kelak dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan dan memajukan industri penerbangan negara.

Laluan dan penumpang yang menjadi rebutan selama ini kini boleh dikongsi bersama dalam menyediakan perkhidmatan dan harga terbaik kepada rakyat di samping memastikan syarikat mencatat keuntungan memuaskan.

Isu hak dan pembahagian laluan juga diharap dapat diselesaikan dengan baik dengan memberi fokus perkongsian pintar dari sudut pengalaman dan kepakaran teknikal yang dimiliki MAS serta perancangan dan kecekapan operasi AirAsia.

Dengan itu, rekod kewangan MAS dapat dipulihkan secepat mungkin sementara aduan penumpang tentang masalah teknikal AirAsia dapat diatasi dengan kepakaran dan peralatan terbaik negara.

Namun, sasaran akhir kedua-dua syarikat itu tidak boleh lagi bertumpu kepada keuntungan semata-mata sebaliknya kepada keselesaan dan keperluan penumpang.

Ini bagi mengelakkan masalah di kedua-dua syarikat itu diwarisi dan ditanggung penumpang sehinggakan usaha kerjasama itu dipandang serong.

Syarikat penerbangan yang bergabung juga dapat mengurangkan kos, berkongsi sumber, membuat penambahbaikan dan paling penting sekali dapat menjamin kelangsungan khidmat pengangkutan udara kepada penumpang terutamanya yang mahu ke negara lain atau tempat yang jauh dalam masa yang singkat.

Tanpa perkhidmatan pengangkutan udara, dunia serba moden kini mungkin terhenti dan kembali menggunakan pengangkutan konvensional yang mengambil masa panjang, sama ada melalui darat atau laut.

Bagaimanapun, krisis ekonomi dan kewangan global serta peningkatan harga minyak berterusan hampir membenam industri penerbangan global beberapa kali sepanjang abad ke-20 sehinggakan sekitar separuh daripada syarikat-syarikat pengangkutan udara dunia gulung tikar.

Serangan 11 September 2001 ke atas menara berkembar Pusat Dagangan Dunia, New York, Amerika Syarikat (AS) memburukkan lagi keadaan industri yang hampir lumpuh itu ditambah pula ancaman penyakit berjangkit seperti SARS, H1N1 dan H5N1 (selesema burung).

Demi kelangsungan khidmat pengangkutan udara, sebahagian syarikat yang masih mampu beroperasi memilih untuk bekerjasama, bergabung atau diambil alih syarikat lebih besar.

Antara jenama yang memilih jalan itu adalah United Airlines yang pernah muflis sebelum bergabung melalui pertukaran saham bernilai S$3 bilion (RM9.08 bilion) dengan Continental Airlines pada 2010 bagi membentuk syarikat pengangkutan udara terbesar dunia.

Walaupun mengekalkan nama United, syarikat penerbangan itu mengekalkan logo Continental di bawah United Continental Holdings Inc. yang turut memiliki syarikat penerbangan Texas International, Frontier, People Express dan New York Air.

Dengan 48,000 kakitangan, 359 pesawat dan 292 pesawat sewaan kontrak serantau, United kini memegang takhta syarikat penerbangan denganperolehan paling tinggi di dunia.

United juga mempunyai habnya sendiri di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare, Chicago; Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles; Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, San Francisco, Los Angeles dan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Sejak penggabungan itu, United turut membuat beberapa perkongsian pintar dengan syarikat penerbangan lain, syarikat pelancongan, perhotelan di samping menambah destinasi dan laluan untuk pesawatnya.

Langkah sama turut melahirkan syarikat penerbangan kedua terbesar dunia, Delta Air Lines Inc. hasil pengambilalihan beberapa syarikat kecil dan penggabungan dengan dua syarikat penerbangan utama AS.

Delta memulakan operasi di bawah nama Huff Daland Dusters pada 1924 untuk menyembur racun serangga tanaman sebelum dibeli seorang usahawan dan dinamakan sempena Delta Mississippi pada 1928.

Selepas hampir 30 tahun beroperasi membawa penumpang, Delta membeli beberapa syarikat penerbangan kecil lain seperti Chicago and Southern Air Lines (1953) dan Northeast Airlines (1972).

Pada 1987, Delta bergabung dengan syarikat besar Western Airlines yang ditubuhkan pada 1925 sebelum membeli laluan Eropah dan pesawat syarikat Pan Am pada 1991.

Tarikh 28 Oktober 2008, Delta sekali lagi bergabung dengan sebuah syarikat penerbangan utama, Northwest Airlines tetapi mengekalkan nama jenama Delta.

Gabungan akhir itu menjadikan Delta syarikat penerbangan kedua terbesar dunia dari sudut perolehan tetapi nombor satu dari sudut bilangan penerbangan dan bilangan penumpang.

Syarikat itu kini menguruskan lebih 4,000 penerbangan setiap hari sementara habnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson, Atlanta merupakan lapangan terbang paling sibuk dunia dengan 88 juta penumpang setiap tahun.

Gabungan di bawah nama Delta juga merupakan antara gabungan syarikat penerbangan terbanyak di dunia memandangkan Western Airlines dan Northwest Airlines masing-masing sebelum itu telah bergabung atau membeli beberapa syarikat penerbangan lain.

Syarikat itu kini menggaji 80,000 orang pekerja dengan 12,400 orang juruterbang di Atlanta, Minneapolis, Detroit, Seattle, Memphis, Cincinnati, Los Angeles, Bandar New York dan Bandar Salt Lake.

Antara syarikat ternama lain yang meneruskan operasi melalui penggabungan termasuk US Airways; American Airlines dan syarikat Southwest Airlines yang menggabungkan syarikat ATA, AirTrain, Muse dan Morris Air.

Di luar AS, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa juga memilih langkah sama termasuk Berlin Air (Jerman); Air Canada (Kanada); Air Jamaica (Caribbean) dan syarikat Air France KLM yang menggabungkan Air France dan KLM Royal Dutch Airlines pada 2004.

Mengambil sudut positif penggabungan dua atau lebih syarikat penerbangan, langkah itu bukan sahaja dapat menjamin kelangsungan operasi dan perkhidmatan malahan dapat membuka ruang untuk penambahbaikan yang boleh disalur kembali kepada para penumpang.

Kemampuan syarikat mengimbangi pengurusan kos operasi dan menarik pelanggan adalah langkah utama dalam memastikan khidmat pengangkutan udara dapat dinikmati sehingga generasi berikutnya.

Tuesday, August 9, 2011

Polisi penerbangan dibentuk?

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Mungkinkah spekulasi mengenai perjanjian pertukaran saham antara Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Tune Air Sdn. Bhd. perlu bagi pembentukan Polisi Penerbangan Negara?

Tune Air dimiliki oleh dua pengasasnya iaitu Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun memegang 26.28 peratus kepentingan di dalam AirAsia Bhd. (AirAsia).

Menurut nota penyelidikan AmResearch Sdn. Bhd., sebarang perselisihan antara MAS dan AirAsia perlu diselesaikan sekiranya polisi penerbangan negara dilaksanakan.

''Kami percaya pertukaran saham tersebut adalah langkah ke arah menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan polisi tersebut.

''Antaranya rasionalisasi laluan akan menyaksikan AirAsia memonopoli kebanyakan laluan domestik dan jarak dekat, MAS komited bagi rangkaian trafik jarak jauh, penggunaan kemudahan penyelengaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) MAS serta kesatuan pekerja MAS,'' katanya.

Selain itu, langkah tersebut juga dilihat sebagai persediaan dalam menghadapi Langit Terbuka ASEAN yang akan bermula pada 2015, bakal menyaksikan peningkatan persaingan antara 10 bandar utama ASEAN.

''Ia dapat dilihat dengan kebanyakan syarikat penerbangan serantau pada masa ini secara agresif sedang membangunkan pengangkutan tambang murah mereka sendiri (LCC) yang dilihat sebagai cara efektif bagi mendapatkan trafik rantau ini.

''Pengukuhan dan kerjasama antara dua syarikat penerbangan tempatan adalah perlu untuk berhadapan dengan persaingan masa hadapan, terutama dengan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak antara Singapura sebagai pusat perniagaan dan Thailand sebagai pusat pelancongan,'' jelasnya.

Sementara itu, OSK Research dalam nota penyelidikannya berkata, langkah yang diambil Khazanah mempunyai kepentingan di dalam AirAsia itu dilihat memberikan kesan positif kepada sayap pelaburan kerajaan terutama bagi perbincangan antara kerajaan dalam hak pendaratan.

''MAS pula bakal menyaksikan rasionalisasi laluan, dengan potensi kerjasama antara MAS dan AirAsia, kami menyaksikan kedua-dua syarikat penerbangan akan terus fokus terhadap pasaran mereka sendiri iaitu sebagai syarikat penerbangan premium dan tambang murah.

''Tetapi dengan penembusan penumpang tambang murah di sektor penerbangan Malaysia merupakan antara tertinggi di Asia iaitu 53 peratus, kami menyaksikan MAS akan melakukan rombak rawat besar-besaran bagi laluannya.

''Ini bakal menyaksikan laluan domestik akan didominasi oleh AirAsia dan MAS akan memberi tumpuan kepada laluan antarabangsa sementara mengekalkan sedikit pendedahan kepada laluan domestik dan Firefly akan kekal mengendalikan pesawat turbo beroperasi dari Terminal Subang,'' katanya.

Dengan Khazanah mempunyai kepentingan di dalam kedua-dua syarikat penerbangan ia akan memberi manfaat dari segi tempahan pesawat dan tarif lapangan terbang, manakala caj pendaratan akan kekal rendah memandangkan Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) juga dimiliki oleh Khazanah.

OSK Research berkata, ia juga difahamkan potensi pertukaran saham pada harga premium, dengan Tune Air mendapat 20 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan kebangsaan.

''Tune Air akan terus menjadi pemegang saham utama AirAsia dan AirAsia X, ia akan kekal komited untuk meningkatkan nilai pemegang saham dalam pelaburan utama dengan meneroka peluang untuk mengembangkan francais AirAsia,'' katanya.

Cebu Pacific muktamad pesanan 30 A321

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Syarikat penerbangan Cebu Pacific Filipina telah memuktamadkan pesanan dengan Airbus bagi pembelian 30 pesawat A321 neo.

Menurut satu kenyataan, dengan perjanjian pembelian baharu ini, syarikat penerbangan itu telah meningkatkan pesanan bagi pesawat keluarga A320 kepada 71 dengan 16 telah diterima.

Syarikat penerbangan itu, pada masa ini sedang mengendalikan 25 pesawat A320, termasuk 16 yang dibeli dari Airbus dan sembilan disewa.

''Cebu Pacific merancang untuk menyusun pesawat A321 neo dengan 220 tempat duduk satu kelas dan akan menerbangkan pesawat itu ke rangkaian Asia.

''Ia termasuk 34 penerbangan domestik dan 16 destinasi antarabangsa termasuk Osaka, Seoul (Incheon), Beijing, Jakarta, Bangkok dan Singapura,'' katanya.

Syarikat penerbangan itu akan membuat keputusan mengenai pemilihan enjin pesawat pada tarikh lain.

Sunday, August 7, 2011

Helikopter tentera AS terhempas, 31 terbunuh

PULI ALAM, Afghanistan 6 Ogos - Sebanyak 31 orang anggota pasukan khas Amerika Syarikat (AS) dan tujuh tentera tempatan terbunuh apabila helikopter yang mereka naiki terhempas akibat terkena tembakan roket pejuang Taliban di sini, semalam.

Menurut jurucakap pejabat Gabenor Wardak, helikopter Chinook itu terhempas dalam serangan militan Taliban di timur wilayah Wardak, di barat daya Kabul.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mengesahkan kumpulan militan itu bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Sebanyak 25 mangsa yang terbunuh terdiri daripada anggota tentera marin AS, lapor rangkaian televisyen ABC News.

Ia merupakan nahas terburuk membabitkan tentera asing di Afghanistan sejak tentera AS dan barat menawan negara ini pada 2001.

Kali terakhir korban terbesar membabitkan tentera bersekutu di Afghanistan ialah pada 2005 apabila 16 tentera AS terbunuh dalam serangan roket Taliban ke atas helikopter Chinook di wilayah timur Kunar.

Komander tentera Afghan bagi wilayah itu, Jeneral Abdul Razeq mengesahkan helikopter itu ditembak jatuh akibat terkena tembakan roket musuh. - AFP

Penyeludup dadah mahu ke Malaysia mati dalam pesawat

AGOS 7 Ogos - Seorang penyeludup dadah Nigeria yang berhasrat ke Malaysia mati dalam pesawat sekali gus memaksa juruterbang membuat pendaratan kecemasan di India.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan, ketika kejadian, Chilaka Ogbonna Emmanuel, 25, berlepas dari Lagos untuk ke Malaysia melalui Doha.

“Kematian mengejut mangsa itu dipercayai akibat menelan dadah. Juruterbang terpaksa membuat pendaratan kecemasan di India dan mangsa disahkan meninggal di hospital,” katanya. - AFP

Kerja naik taraf KKIA dijangka siap awal 2012

KOTA KINABALU 7 Ogos – Tarikh siap kerja manaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ditunda lagi dan kali ini kepada suku pertama tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kontraktor terbabit telah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan, terutama bagi kerja melebarkan landasan sepanjang 2,988 meter dan bahagian laluan pesawat untuk keluar-masuk ke landasan, tetapi tidak berhasil kerana beberapa faktor.

"Kontrktor hadapi banyak kekangan, terutama dalam pembesaran landasan kerana sebahagian daripadanya masih digunakan untuk tujuan berlepas dan mendarat.

"Masa sangat terhad kerana kerja hanya boleh dilakukan selepas tengah malam apabila landasan ditutup,” katanya kepada pemberita selepas diberi taklimat oleh Malaysia Airports Berhad tentang keadaan terkini projek itu di sini, hari ini.

Cho Ha berharap kontraktor terbabit akan melipatgandakan usaha, termasuk mengambil lebih ramai pekerja, untuk memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan itu memandangkan KKIA menerima semakin banyak permintaan daripada syarikat penerbangan antarabangsa untuk terbang ke Kota Kinabalu.

Beliau berkata berikutan permintaan itu, pembangunan lapangan terbang berkenaan, yang telah 89.78 peratus siap pada 31 Julai, kini semakin mendesak kerana ia merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia, selepas KLIA. - Bernama

Friday, August 5, 2011

Mengapa AirAsia tiada tolak ansur?

ISTERI saya Puan Utami Fajar Sari telah membuat tempahan tiket pesawat AirAsia melalui Internet untuk penerbangan Langkawi/LCCT/Langkawi (H1VPKL) dan LCCT/Jakarta/LCCT(F84UPW).

Pada 16 Julai, saya bersama anak-anak telah menghantar isteri ke Lapangan Terbang Langkawi pada jam 12.20 tengah hari bagi pesawat ke LCCT dengan nombor penerbangan AK5325 yang akan berlepas pada jam 1.25 petang.

Selepas mendapatkan pas berlepas kami sekeluarga pergi ke kafeteria untuk makan tengah hari.

Saya terdengar pengumuman bahawa pesawat AirAsia dijangka berlepas ke LCCT pada pukul 1.50 petang dan saya beranggapan bahawa itu adalah pesawat yang akan dinaiki oleh isteri saya kerana kebiasaannya pesawat AirAsia ke LCCT sebelum jam 1.25 petang adalah pada pukul 11.45 pagi.

Semasa makan tengah hari bersama keluarga dalam pukul 1.15 petang, saya terdengar pengumuman memanggil isteri saya ke balai berlepas kerana pesawat telah bersedia untuk ke LCCT.

Isteri saya terus bergegas pergi ke pintu berlepas yang cuma mengambil masa kurang dari 10 minit dari kafeteria.

Isteri saya dimaklumkan bahawa pesawat telah berlepas dan beliau hendaklah merujuk kepada kaunter tiket untuk urusan selanjutnya.

Saya telah memberi penjelasan mengapa isteri saya terlepas pesawat dan meminta jasa baik penyelia di kaunter tiket untuk membenarkan isteri saya menaiki pesawat pada pukul 1.50 petang yang sebenarnya adalah merupakan pesawat yang telah 'delay' dari jam 11.45 pagi.

Petugas AirAsia memaklumkan bahawa saya terpaksa membayar harga tiket baru RM462 jika ingin menaiki pesawat tersebut.

Saya menjelaskan dan merayu agar isteri saya dibenarkan menaiki pesawat tersebut dengan menggunakan tiket yang lama dan sanggup membayar penalti ataupun caj perkhidmatan bagi kecuaian saya.

Penjelasan saya tidak diterima dan saya tiada pilihan lain kerana isteri saya akan menaiki pesawat ke Jakarta pada jam 5.30 petang pada hari tersebut.

Setelah membayar harga tiket baru tersebut, isteri saya terpaksa bergegas ke pintu berlepas kerana pesawat telah menunggu beliau.

Saya ingin meminta penjelasan AirAsia mengenai perkara ini kerana:

n Isteri saya telah berada di lapangan Terbang Langkawi 1 jam sebelum pesawat berlepas dan nama beliau telah tercatat di dalam senarai penumpang.

n Setelah nama beliau dipanggil, beliau terus bergegas ke pintu berlepas yang mengambil masa kurang 10 minit. Kenapa pihak AirAsia tidak boleh menunggu sekejap sedangkan pesawat yang sepatutnya berlepas pada jam 11:45 pagi lewat hingga jam 1:50 petang dan Air Asia hanya memohon maaf di atas kelewatan tersebut yang telah menjadi kelaziman mereka. Jika penumpang terlewat sedikit dengan alasan yang munasabah pun ditinggalkan.

n Petugas AirAsia seharusnya mesra pelanggan dan tidak terlalu berkeras dengan pelanggan

Wednesday, August 3, 2011

Tan Sri Md Nor Yusof Appointed Malaysia Airlines Chairman

Subang, 28 July 2011. The Board of Malaysia Airlines System Berhad today announced the appointment of Tan Sri Md Nor Yusof as its new Chairman, to be effective from 1 August 2011. Tan Sri Md Nor will replace Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Munir bin Abdul Majid, who will be retiring as Chairman on 31 July 2011.

Tan Sri Md Nor said: “I am happy to be back at Malaysia Airlines, this time as its chairman. There are tremendous challenges facing the company which must be addressed swiftly. I look forward to the full cooperation of the board and members of staff of Malaysia Airlines, many of whom I know already, in taking the company on the path of sustainable profitability. I would also like to thank Tan Sri Munir for all his considerable contributions to Malaysia Airlines over the last seven years.”

As Tan Sri Dr. Munir’s term as Chairman draws to a close, Malaysia Airlines would like to express its deep appreciation for his leadership and commitment towards building Malaysia Airlines as a leading regional carrier. Over the last seven years, the stewardship of Tan Sri Dr. Munir has sustained the carrier through difficult periods in the aviation industry. The team at Malaysia Airlines thank him again for his dedication and wish Tan Sri Dr. Munir all the best.

Tan Sri Munir said: “Tan Sri Md. Nor brings a previous experience in Malaysia Airlines, as well as a familiarity with the people who make the airline work, which will be a great asset in the company’s transformation. Although it may not be my place to say it, I will still say it: I am pleased with this appointment as I am sure would the members of staff of the company.”

“I would like to thank my colleagues on the Board, management and employees for all the support given during my tenure as Chairman and Director. I am confident that they will continue to support Malaysia Airlines and the new Chairman in steering the company to greater heights.”