mangga add

Wednesday, January 29, 2014

Kakitangan MAS perlu inovatif - Ahmad Jauhari


SEPANG 28 Jan. - Kakitangan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) disarankan melakukan pemikiran di luar kotak bagi memperoleh banyak idea-idea baharu dalam melakukan tugas-tugas seharian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, MAS amat menggalakkan petugas-petugas mereka untuk berfikir secara inovatif dan kreatif di tempat kerja.

"Jadi, ketika ahli persatuan motosikal kakitangan MAS yang dikenali sebagai MH Bikers mahu mengecat motosikal mereka dengan skim warna pesawat Airbus baharu A380 kami, saya terus bersetuju.

"Ini menunjukkan para petugas berfikir di luar kotak menjangkau pemikiran dan tugas mereka dalam memastikan mereka lebih mendekati produk-produk yang kita ada. Dalam kes ini, produk baharu kami Airbus A380," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online ketika bersama-sama lebih 80 ahli MH Bikers memperkenalkan enam buah motosikal dengan skim warna Airbus A380 di Hangar 6, Zon Bantuan Selatan, Kompleks MAS di sini.

Enam buah motosikal yang diwarnakan dengan skim warna Airbus A380 itu dikenali sebagai 'Motosikal Terbang'.

Tambah Ahmad Jauhari lagi, inisiatif yang dilakukan oleh kumpulan MH Bikers sedikit sebanyak turut membantu kumpulan untuk mempromosikan produk-produk MAS ke kumpulan sasar.
Selain itu kata beliau, MH Bikers yang baru ditubuhkan dalam setahun lepas akan terus menjalankan aktiviti promosi dengan mengadakan pelbagai program konvoi kembara ke destinasi pilihan

Pesawat dipanah petir, empat terkorban


Pesawat Piper Seneca terbakar selepas terhempas akibat dipanah petir di Tual, Maluku, semalam. - AFP


JAKARTA 19 Jan. - Sebanyak empat orang terkorban apabila sebuah pesawat ringan terhempas lalu terbakar di sebuah pantai di timur Indonesia, hari ini, selepas dipanah petir.

Menurut pegawai, ketika kejadian, pesawat dua enjin, Piper Seneca itu, sedang dalam perjalanan dari timur wilayah Papua ke bandar Tual di Kepulauan Maluku apabila ia terperangkap dalam ribut pada tengah hari tadi.

Seorang saksi, Akib Hanubun memberitahu AFP, pesawat itu dilanda angin kencang dan hujan lebat sebelum dipanah petir lalu terhempas berdekatan sebuah kampung.
"Sayap kiri pesawat itu patah akibat dipanah kilat.

"Pesawat itu kemudian terbang senget sebelum terhempas ke tanah dengan kuat dan terbakar," kata saksi berusia 47 tahun itu.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan mengesahkan kesemua empat orang di dalam pesawat itu terbunuh di tempat kejadian.

"Mereka terdiri daripada seorang juruterbang, dua jurutera dan seorang pekerja landasan," katanya.
Pesawat Piper Seneca dikeluarkan oleh syarikat Piper Aircraft yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Jet yang terhempas itu milik syarikat Intan Angkasa Air Service, menurut Ervan.

Menurut laman web syarikat itu, syarikat itu menyediakan perkhidmatan sokongan bagi industri minyak dan gas, perlombongan, penyelidikan, perhutanan dan industri lain di seluruh Indonesia. - AFP

'Paus Udara' pesawat masa depan


Pesawat 'Sky Whale' atau 'Paus Udara' mampu memuatkan seramai 755 penumpang pada satu-satu masa. - AGENSI




MADRID 16 Jan. - Seorang pereka bentuk dari Sepanyol berjaya menghasilkan konsep sebuah pesawat komersial futuristik yang menyerupai bentuk sebuah kapal angkasa lepas dan berpotensi untuk dijadikan kenyataan pada masa akan datang.

Pesawat digelar 'Sky Whale' atau 'Paus Udara' yang dilaporkan lebih besar daripada pesawat penumpang terbesar di dunia, Airbus A380 itu, mampu memuatkan seramai 755 orang penumpang yang ditempatkan pada tiga dek mengikut kelas masing-masing.

Setiap kelas yang ditawarkan itu pula iaitu, kelas ekonomi, kelas perniagaan dan kelas pertama masing-masing dilengkapi tingkap canggih bagi membolehkan penumpangnya menikmati pemandangan menarik daripada pesawat.

Bagaimanapun, konsep Sky Whale dipercayai masih belum menarik minat pembuat kapal terbang di dunia untuk membangunkannya.

Pesawat itu menurut pereka bentuknya, Oscar Vinals amat besar dengan mempunyai sayap berukuran 88 meter penjang berbanding 80 meter bagi pesawat Airbus A380 dan 64 meter bagi Boeing 747.

Katanya, pesawat itu akan diperbuat daripada bahan-bahan baharu yang dihasilkan daripada seramik dan gentian komposit, manakala badan pesawat mempunyai fiuslaj berkembar, sekali gus membolehkannya terbang lebih lama tanpa perlu mengisi minyak.

Selain itu katanya, enjin pesawat itu mampu condong sehingga 45 darjah, sekali gus membolehkan Sky Whale berlepas dari kedudukannya tanpa memerlukan sebuah landasan yang panjang seperti mana yang diperlukan pesawat Airbus A380.

Malah, menurut Vinals yang beribu pejabat di Barcelona, sekiranya pesawat itu terhempas, ia akan memisahkan bahagian penumpang dengan bahagian sayap atau enjin pesawat, sekali gus mampu mengurangkan jumlah kematian.

Tambahnya, kesemua teknologi itu adalah untuk mengurangkan seretan, penggunaan minyak dan berat, sekali gus menjadikannya sebuah pesawat paling mesra alam

Logo Tune Talk kini diperkenalkan di badan pesawat AirAsia


(Dua dari kiri), Jason Lo, Kamarudin Meranun dan Khairy Jamaluddin pada majlis memperkenalkan logo Tune Talk di Sepang, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Jan. - Penyedia rangkaian maya mudah alih (MVNO), Tune Talk Sdn. Bhd. (Tune Talk), hari ini memperkenalkan logonya pada pesawat Airbus A320 milik AirAsia, sebagai tanda ulang tahun kelima syarikat telekomunikasi itu.

Pesawat khas itu merupakan salah satu aktiviti bagi meraikan ulang tahun Tune Talk sepanjang tahun ini. Syarikat itu ketika ini beroperasi menggunakan rangkaian Celcom Axiata.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah merasmikan pengenalan pesawat itu dalam satu majlis di bangsal pesawat Sepang Aircraft Engineering (SAE) hari ini.
Turut hadir pada majlis ialah Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo.

Dalam majlis itu, Lo berkata, pengenalan pesawat itu adalah sebagai tanda pengukuhan syarikat setiap tahun. Pada masa ini, Tune Talk telah mempunyai 800,000 pengguna.

Kira-kira 600 liter atau 121 tong cat telah digunakan untuk mewarnakan logo Tune Talk pada pesawat itu. Tempoh yang digunakan bagi menyiapkan logo tersebut ialah 12 hari menggunakan 20 tenaga kerja.
Pesawat itu akan digunakan oleh AirAsia meliputi 87 destinasi.

Wednesday, January 15, 2014

Cessna terhempas elak helang

Pesawat Cessna 172 yang cuba mengelak burung helang, terhempas dalam hutan berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor, semalam. (Kanan) Grafik lokasi Cessna terhempas.


KUALA LUMPUR 11 Jan. - Tiga juruterbang yang sedang menjalani latihan penerbangan cedera termasuk dua parah selepas pesawat Cessna 172 yang dinaiki terhempas ketika cuba mengelak daripada merempuh seekor helang berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam semalam.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 21, yang merupakan pemandu pesawat ringan itu cedera di bahagian muka sementara dua penumpangnya, Kapten Syed Haidhar Syed Zulkifli, 24, dan Shaiful Zafiq Razali, 23, cedera parah dari pinggang ke bawah.

Pesawat Kelab Penerbangan Diraja Selangor itu juga dikatakan merempuh serumpun pohon buluh di tempat kejadian sebelum terhempas dan patah dua serta hampir terjunam ke dalam tebing anak sungai setinggi kira-kira 50 meter.

Ketiga-tiga mangsa yang cedera kemudiannya keluar daripada pesawat dan berjaya diselamatkan hampir 10 jam kemudian oleh pasukan keselamatan yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, pihaknya menjalankan operasi menyelamat kira-kira pukul 9.30 malam ekoran laporan kehilangan sebuah pesawat ringan selepas lebih setengah jam berlepas dari pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat turut menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu berhubung kejadian yang sama.
“Pada pukul 10.11 malam kita berjaya mengesan lokasi pesawat dan dua pegawai ditemani dua orang penduduk kampung dihantar untuk memeriksa kawasan itu. Kumpulan ini berjaya menemui kesemua mangsa pada pukul 3.45 pagi," katanya ketika ditemui pemberita di Empangan Batu selepas operasi menyelamat selesai.

Othman memberitahu, pesawat itu didakwa hilang kawalan apabila cuba mengelak daripada merempuh seekor burung helang.

“Itu yang diberitahu mangsa ketika ditanya sejurus mereka ditemui. Kata mereka, apabila cuba mengelak helang, pesawat itu kemudiannya melanggar serumpun pohon buluh lalu jatuh terhempas ke tanah.
“Mereka berjaya keluar daripada pesawat itu dan berjalan sejauh 100 meter sehinggalah berjaya diselamatkan. Berdasarkan apa yang dilihat, keadaan pesawat itu begitu kritikal, mujur kesemua mereka terselamat dan masih sedar ketika ditemui," jelasnya.
Dalam usaha menyelamat itu, seramai 35 anggota dan pegawai yang diketuai Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd. Sani Haru ditubuhkan untuk mencari mangsa.
Sementara itu, Nor Azilee Abdul Kadir, yang menjadi pegawai bomba terawal menemui mangsa nahas memberitahu, tiga juruterbang tersebut berada dalam keadaan separuh sedar ketika ditemui pada pukul 3.45 pagi.

“Mujur mereka masih sedar ketika kami menjerit mencari mangsa, jika tidak pasti lama lagi kami menemui mereka kerana suasana yang gelap gelita," katanya yang ketika itu bersama seorang lagi pegawai bomba, Rodzlan Othman dalam operasi terbabit.

Seorang penduduk kampung, Darmawan Kamarulzaman, 33, pula berkata, dia terdengar bunyi satu dentuman kuat kira-kira dua kilometer dari arah kawasan kebunnya di Kampung Sungai Tua.
“Saya terus mengarahkan seorang lagi rakan membuat panggilan kecemasan dan sepasukan bomba turut meminta saya menyertai operasi mencari lokasi pesawat itu terhempas.

“Beberapa jam dalam tempoh memeriksa kawasan itu, jeritan kami disahut mangsa dan selepas mencari arah suara tersebut, kami menemui kesemua mereka dalam keadaan berlumuran darah kerana mengalami luka-luka," katanya.

Juruterbang Cessna 172 mungkin masih tidak cekap


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Juruterbang Cessna 172 yang terhempas berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam petang semalam berkemungkinan masih tidak cekap mengendalikan pesawat dalam situasi yang agak mencabar.

Pengarah Operasi Penerbangan, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kapten Datuk Yahaya Abd. Rahman walau bagaimanapun menjelaskan, perkara itu hanya berdasarkan andaian kerana punca sebenar kejadian berkenaan masih dalam siasatan Kementerian Pengangkutan.

Menurut beliau, juruterbang daripada kelab penerbangan hanya memerlukan latihan 50 jam bagi melayakkan mereka mendapat Lesen Juruterbang Persendirian (PPL) berbanding tempoh latihan sebanyak 200 jam untuk Lesen Juruterbang Komersial.

Namun katanya, berdasarkan maklumat awal, juruterbang itu telah pun mematuhi peraturan-peraturan dalam PPL termasuk berusia 18 tahun ke atas dan jumlah penumpang tidak melebihi empat orang.
"Kemungkinan juruterbang itu belum cekap dan berpengalaman rendah, apabila menghadapi sesuatu keadaan getir sedikit, beliau tidak boleh kawal.

"Kalau dikatakan puncanya adalah untuk mengelak burung, pesawat tidak sepatutnya jatuh kecuali juruterbang itu melanggar burung menyebabkan bintang itu masuk ke dalam enjin lalu terhempas," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, tiga juruterbang daripada Kelab Penerbangan Diraja Selangor yang menjalani latihan penerbangan cedera termasuk dua parah selepas pesawat Cessna 172 yang dinaiki mereka terhempas selepas dikatakan mengelak burung helang berhampiran Empangan Batu.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 21, yang merupakan pemandu pesawat ringan itu cedera di bahagian muka sementara dua penumpangnya, Kapten Syed Haidhar Syed Zulkifli, 24, dan Shaiful Zafiq Razali, 23, cedera parah daripada pinggang ke bawah.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, siasatan berhubung punca sebenar nahas itu dijangka selesai paling awal dalam tempoh tiga bulan.

Justeru katanya, DCA tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan awal sama ada mahu mengkaji semula silibus penerbangan pengendalian pesawat ringan.

"Kita tidak mahu membuat kesimpulan daripada dengar-dengar cakap sahaja.
"Dalam sektor penerbangan, macam-macam boleh berlaku. Mungkin nasib tidak menyebelahi dia dengan keadaan cuaca yang tidak begitu baik ketika itu," katanya.

Wednesday, January 8, 2014

Brahim's sediakan makanan Jepun halal dalam pesawat





KUALA LUMPUR 7 Jan. - Brahim's Holdings Bhd. (BHB), mengadakan perjanjian kerjasama dengan syarikat penerbangan Jepun, ANA Holdings Inc. (ANA), bagi menyediakan hidangan makanan Jepun halal di dalam setiap penerbangannya.

Menurut kenyataan syarikat itu ke Bursa Malaysia, perjanjian yang bermula semalam turut membabitkan cadangan usaha sama membangunkan dapur halal penerbangan di Lapangan Terbang Narita dan Haneda.

Dalam kenyataan itu lagi, kedua-dua pihak tersebut bercadang menyediakan makanan halal kepada pelbagai syarikat penerbangan asing yang mendarat di dua lapangan terbang berkenaan.

"Objektif perjanjian ini adalah bagi mengunakan kelebihan masing-masing terutama sekali untuk meningkatkan penguasaan pasaran dalam industri hidangan makanan halal dalam pesawat," menurut kenyataan itu lagi.

KLIA2 dijangka beroperasi 2 Mei 2014


Hishammuddin Tun Hussein meninjau kerja-kerja akhir pembinaan KLIA2 di Sepang, semalam.


SEPANG 7 Jan. - Proses pembinaan terminal penerbangan tambang murah, KLIA2 sudah 98 peratus siap dan menunjukkan perkembangan pembangunan yang baik sebagai persediaan untuk mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) akhir bulan ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setelah memperoleh CCC akhir bulan ini, ujian Kesediaan Perpindahan Operasi Lapangan Terbang (ORAT) akan dilaksanakan selama tiga bulan.

Menurutnya, bahagian terminal utama telah 99 peratus siap dan kementerian itu optimis KLIA2 akan dibuka kepada orang ramai seperti dijadualkan iaitu pada 2 Mei depan.
"Proses pembinaan KLIA2 yang berkeluasan 257,000 meter per segi itu berjalan lancar dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama-sama kontraktor yang dilantik adalah komited memastikan bangunan terminal itu siap mengikut jadual.

"Hampir keseluruhan kemudahan dan sistem di bangunan terminal utama siap sepenuhnya termasuk sistem bagasi yang berfungsi selepas melalui beberapa kaedah ujian dalam sesi percubaan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan KLIA2 di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad dan Pengurus Besar Kanan (Operasi) MAHB, Datuk Azmi Murad.

Terminal utama KLIA2 dibina oleh syarikat konsortium UEMC-Bina Puri JV yang telah dianugerahkan pakej mereka bentuk, membina dan menyelenggara terminal, bangunan satelit, jambatan udara (sky bridge) dan jeti terminal ke pesawat bernilai RM997 juta.
Tempoh siap KLIA2 sudah beberapa kali dipinda sejak 2011 manakala kos pembinaannya tidak melebihi RM4 bilion.

Pada 8 Oktober tahun lalu, pesawat Malindo Air telah melakukan pendaratan percubaan di landasan ketiga terminal tersebut.

Menurut Hishammuddin, kementerian amat berharap pihak MAHB dan kontraktor yang dilantik mampu menyiapkan KLIA2 seperti yang dijadualkan bagi memastikan industri penerbangan negara terus kukuh di persada antarabangsa.
Selain itu katanya, beliau amat berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Karpawi dalam memantau perjalanan projek KLIA2.

"Saya berharap Jawatankuasa Khas ini terus proaktif membantu pihak MAHB serta kontraktor yang dilantik dalam menyelesaikan masalah atau kekangan yang timbul dalam memastikan pembinaan KLIA2 siap mengikut jadual," katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, kementerian telah menjemput syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri penerbangan di negara ini untuk membincangkan hala tuju industri penerbangan melalui Dasar Penerbangan Kebangsaan.

"Perbincangan tersebut akan dilaksanakan pada akhir bulan ini dan beberapa perkara berhubung industri penerbangan negara akan dibincangkan dalam pertemuan tersebut," katanya.

MAS, AirAsia bakal terjejas?


Kakitangan Malindo Air di depan pesawat. Pelancaran laluan ke KL-India oleh syarikat itu bakal mengurangkan penguasaan pasaran MAS dan AirAsia. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR 3 Jan. - Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia masing-masing dijangka kehilangan tujuh dan lapan peratus penguasaan pasaran bagi laluan Kuala Lumpur-India kepada syarikat penerbangan baharu, Malindo Air bermula akhir Mac depan.

Menurut laporan oleh Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA) hari ini, keadaan itu dijangka berlaku apabila Malindo Air memulakan operasi sebanyak 23 penerbangan seminggu bagi laluan tersebut.
Sejumlah 23 penerbangan seminggu itu menyamai kapasiti 4,140 tempat duduk bagi laluan sehala Kuala Lumpur-India atau 15 peratus daripada keseluruhan tempat duduk yang disediakan oleh pelbagai syarikat penerbangan.

Lebih buruk lagi kepada MAS, Malindo Air telah mendapat kebenaran yang diperuntukan kepada syarikat Malaysia, untuk laluan ke Delhi dan Mumbai, sekali gus memecahkan monopoli MAS yang menyediakan laluan ke dua destinasi tersebut sejak awal 2012.

Laporan itu menyebut, sehingga akhir 2013, MAS menguasai 53 peratus pasaran dan dijangka merosot kepada 46 peratus, manakala penguasaan AirAsia menurun daripada 43 peratus kepada 35 peratus.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu ketika ini menawarkan 66 penerbangan seminggu dan 56 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur-India meliputi enam destinasi di negara Asia Selatan tersebut.
Langkah terbaharu Malindo Air itu sedikit sebanyak menjejaskan perancangan perniagaan MAS dan AirAsia memandangkan sejak dua tahun lalu, kedua-dua syarikat itu meningkatkan kapasiti penerbangan ke India antara 45 peratus hingga 50 peratus.

Bagaimanapun, menurut laporan itu lagi, AirAsia dijangka tidak menerima kesan seburuk MAS memandangkan syarikat itu telah memperkenalkan AirAsia India yang menyediakan penerbangan domestik di seluruh India.

Hal itu dapat membantu kedudukan syarikat penerbangan tambang murah itu menerusi pakej yang lebih baik kepada pengguna yang menggunakan Kuala Lumpur-India dan seterusnya perkhidmatan domestik.

Penumpang MAS di LTAS naik

JOHOR BAHRU 30 Dis. - Malaysia Airlines (MAS), mencatatkan penambahan jumlah penumpang sebanyak 32 peratus bagi perkhidmatannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini.

Naib Presiden Kanan Wilayah MAS, Muzammil Mohammad berkata, penambahan jumlah penumpang tersebut turut menyumbang kepada peningkatan hasil pendapatan operasi MAS di LTAS sebanyak 12 peratus bagi tempoh yang sama berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, banyak faktor yang mendorong peningkatan memberansangkan itu, antaranya penyusunan semula pesawat lama kepada model baharu yang dilakukan syarikat penerbangan tersebut.
"Jika dilihat, MAS banyak membuat perubahan sepanjang tahun ini dan yang paling ketara adalah memperkenalkan pesawat baharu dan usaha ini mendapat sambutan positif kerana orang ramai sememangnya suka mencuba sesuatu yang baharu.

"Selain itu, MAS sentiasa membuat kajian dalam menyediakan tambang yang kompetitif kepada pelanggan, antaranya orang ramai boleh mendapatkan harga yang berpatutan dengan membuat tempahan tiket awal selain promosi yang ditawarkan," katanya selepas merasmikan pejabat jualan baharu, MH Sales di Aero Mall, LTAS, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LTAS, Safuan Basir dan Pengurus Besar Hotel Thistle, Edward Kollmer.

Pejabat jualan baharu itu beroperasi mulai pukul 5.30 pagi sehingga 9 malam bagi memudahkan pelanggan membuat urusan membeli dan membuat tempahan tiket selain boleh berhubung terus dengan lebih 28 wakil pelancongan di sekitar bandar raya ini.

Dalam pada itu, Muzammil turut mengumumkan penerbangan khas sempena sambutan Tahun Baru Cina dari Johor Bahru ke Sibu, Sarawak berikutan permintaan tinggi ke destinasi itu daripada pelanggan.
"Hingga kini tiket penerbangan khas pada 29 Januari itu sudah 50 peratus ditempah pelanggan. Pesawat tersebut akan berlepas dari Kuala Lumpur dan transit di LTAS sebelum meneruskan perjalanan ke Sibu," katanya.

Malindo Air sasar 3 juta penumpang akhir 2014 - CEO


SEPANG 30 Dis. - Syarikat penerbangan hibrid Malindo Air, menyasar meraih lebih tiga juta penumpang menjelang akhir 2014, dengan pembukaan KLIA2 pada 2 Mei 2014.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata: "kami telahpun mencecah kira-kira 900,000 penumpang bulan ini. Kami menyasar mencapai satu juta pertama penumpang awal tahun depan dan lebih tiga juta pada akhir tahun depan.

"Memandangkan KLIA2 yang bakal dibuka tidak lama lagi, Malindo Air merancang datang seawal Mei dan dengan itu, kami berharap memperoleh lebih tiga juta penumpang dengan menyediakan lebih banyak pesawat di KLIA2 dan di Lapangan Terbang Subang," katanya pada media selepas pelancaran 
penerbangan sulung Malindo Air dari Kuala Lumpur ke New Delhi oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, di sini, hari ini.

Selepas New Delhi, syarikat penerbangan itu akan melebarkan sayapnya ke bandar raya lain di India, kata Chandran.

"Trichy akan menjadi destinasi kami seterusnya, dengan penerbangan sulung dijadualkan pada 2 Januari; Mumbai pada 15 Februari; dan Ahmedabad pada 19 Mac; dengan bandar-bandar lain seperti Kochin dan Chennai juga berada dalam perancangan kami," katanya.

Syarikat penerbangan itu juga merancang berkembang ke pasaran tahap kedua seperti ke Amritsar, bandar suci orang Sikh, dan Pune pada separuh kedua 2014.
Ketika ini, Malindo mempunyai 11 pesawat, dengan dua pesawat baharu ATR72-600 tiba hari ini.
Syarikat merancang menambah jumlah pesawat kepada 25 pada tahun depan, katanya.

Selesaikan laluan Ipoh-Medan


IPOH 25 Dis. - Pihak bertanggungjawab diminta campur tangan bagi membolehkan penerbangan Flying Fox Airways laluan antara Ipoh-Medan berjaya direalisasikan dalam usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan tempatan terutama pelancongan perubatan di bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, adalah sesuatu yang amat merugikan apabila penambahbaikan yang dibuat terhadap Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah sebelum ini tidak dapat digunakan untuk tujuan komersial.

Justeru, tegas Roshidi, sesuatu perlu dilakukan pihak berwajib sama ada dari Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri bagi memastikan penerbangan tersebut berjaya dilakukan mengikut jadual.
"Sebagai Datuk Bandar saya merasa amat sedih apabila mengetahui kapal terbang jenis Boeing 737-400 tidak boleh mendarat akibat masalah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sedangkan apa yang kita faham kerja-kerja penyambungan landasan sebanyak 200 meter lagi telah dibuat untuk membolehkan pesawat besar mendarat.

"Usaha ini amat baik untuk masa depan sektor pelancongan negeri ini. Jadi saya amat berharap sesuatu dapat diambil pihak berwajib supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Hotel Golden Roof Ipoh di Pusat Perdagangan Ampang Baru di sini hari ini.

Baru-baru ini penerbangan pertama Flying Fox Airways yang dijadualkan pada 13 Disember lalu terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Flying Fox Airways memeterai perjanjian dengan syarikat penerbangan ketiga terbesar di Indonesia, Sriwijaya Air bagi penerbangan dari Ipoh ke Medan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Lee berkata, mereka menerima maklum balas melalui notis kepada juruterbang bahawa hanya kapal terbang jenis ATR-72 (72 tempat duduk) dibenarkan mendarat di lapangan terbang tersebut pada masa ini.

Roshidi berkata, sebagai alternatif, pengusaha-pengusaha penerbangan diminta menggunakan pesawat lebih ringan untuk membolehkan usaha menerokai laluan tersebut berjaya dilaksanakan.
"Setakat ini saya tidak tahu apa alasan yang diberikan namun saya pasti DCA mesti ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Namun, pengusaha penerbangan boleh menggunakan pesawat yang lebih ringan kerana potensi cukup banyak apabila laluan Ipoh-Medan ini dibuka terutama dalam sektor pelancongan kesihatan.
"Ini berikutan bayaran yang dikenakan hospital swasta di sini jauh lebih murah jika dibandingkan di Pulau Pinang dan Singapura," katanya.

Helikopter Nuri mendarat cemas




Helikopter Nuri TUDM yang membuat pendaratan cemas di Pulau Perak, Kedah, kelmarin.




KUALA LUMPUR 23 Dis. - Sebuah helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri (Nuri) yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth terpaksa membuat pendaratan cemas di Pulau Perak, Kedah semalam ketika menghantar bekalan untuk pasukan keselamatan.

Kejadian berlaku pukul 11.34 pagi ketika helikopter itu membawa sejumlah anak kapal dan penumpang untuk menghantar bekalan di kawasan tersebut.

Bagaimanapun disebabkan faktor yang tidak dikenal pasti, juruterbang helikopter terpaksa melakukan pendaratan cemas dan kesemua anak kapal serta penumpang selamat.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah menubuhkan lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
"Pesawat berkenaan dalam misi ulang bekal untuk pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan tersebut," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sejak 1969, sebanyak 16 nahas melibatkan Nuri berlaku di negara ini sehingga mengakibatkan 88 orang maut manakala tiga hilang.

Pada 14 November 1989, sebanyak 22 terbunuh dalam nahas pesawat Nuri di sempadan Perak-Kelantan, iaitu kemalangan Nuri terburuk dalam sejarah negara.
Kejadian terbaru berlaku pada 13 Julai 2007 apabila pesawat Nuri yang dalam perjalanan ke Pangkalan TUDM Kuantan terhempas berhampiran Genting Sempah, Pahang menyebabkan enam anggota TUDM terbunuh.