mangga add

Wednesday, February 27, 2013

MAS unjur keputusan lebih baik



KUALA LUMPUR 26 Feb. - Malaysia Airlines (MAS), yang sedang mengumpul dana, mengunjurkan keputusan kewangan suku pertamanya yang dijadualkan pada 31 Mac, 2013, lebih baik berbanding tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya.

"Kebiasaannya suku pertama lebih rendah disebabkan Disember merekodkan aktiviti perjalanan yang besar," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Bagi setahun penuh 2013, beliau berkata, ia masih "terlalu awal untuk menyatakannya" namun menambah, syarikat penerbangan negara itu melaksanakan semua inisiatif untuk merealisasikan keputusan yang dikehendaki.

Ahmad Jauhari berkata, suku keempat berakhir 31 Dis, 2012 mencatat keputusan yang kukuh.
"Kami merekodkan faktor muatan 77.3 peratus," kata Ahmad Jauhari dan menambah keputusan kewangan penuh akan diumumkan pada akhir bulan ini.

MAS mengangkut 3.718 juta penumpang sepanjang suku itu, dengan 1.403 juta merupakan pengguna domestik dan 2.315 juta pengguna antarabangsa.

Ia mencatat 81.4 peratus bagi Disember sahaja.

Ia turut dibantu oleh penggunaan pesawat menerusi kekerapan yang ditingkatkan ke beberapa destinasi serantau paling popular selain masa berlepas dan mendarat yang lebih cepat di lapangan terbang.
MAS mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM39.103 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2012, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM461.540 juta dalam suku yang sama setahun lepas.
Perolehan berkurangan kepada RM3.47 bilion berbanding RM3.56 bilion. - Bernama



AirAsia mahu kekal nama di India



NEW DELHI 24 Feb. - AirAsia berhasrat mengekalkan jenamanya ke atas syarikat penerbangan tambang murah yang bakal diperkenalkan di India, menerusi usahasama dengan syarikat tempatan di negara tersebut.
Berdasarkan kertas cadangan yang dihantar kepada Kerajaan India, AirAsia akan menggunakan dananya sendiri bagi menyuntik modal berjumlah AS$15 juta (RM47 juta) di dalam usahasama yang bakal dijalankan bersama Tata Sons dan Telestra Tradeplace Pvt. Ltd., untuk memperkenalkan syarikat penerbangan tersebut.
Tata Sons dan Telestra Tradeplace melabur sebanyak AS$15 juta (RM47 juta).

Menurut wakil kanan Kerajaan India, AirAsia berhajat menamakan syarikat penerbangan itu sebagai AirAsia (India) Pvt. Ltd. dan sedia mengeluarkan dana tambahan jika memerlukan.

Permohonan bagi menubuhkan syarikat penerbangan itu dilakukan pada Rabu lalu, selepas AirAsia menandatangani kerjasama awal dengan dua syarikat India terbabit.

Melalui perjanjian yang dibuat, AirAsia akan menguasai 49 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan tambang murah yang akan diperkenalkan itu, manakala Tata Sons (30 peratus) dan Telestra Tradeplace (21 peratus) .

Kertas cadangan yang dihantar itu juga melibatkan permohonan bagi membolehkan AirAsia menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo, pengendalian kargo, penyewaan pesawat dan perkhidmatan berkaitan.
Pengasas AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu dijangka memulakan operasi menjelang akhir tahun ini dengan menggunakan tiga atau empat pesawat jenis Airbus A320. - Dow Jones



Sunday, February 24, 2013

Syarikat penerbangan perlu rendahkan harga tiket



KUALA LUMPUR 20 Feb. - Syarikat penerbangan yang menyediakan laluan antara Kuala Lumpur-Singapura kini berhadapan cabaran bagi menstruktur kos dan harga tiket masing-masing, sebelum siapnya perkhidmatan kereta api laju (HSRL) pada tahun 2020 yang menawarkan laluan yang sama.

Menurut Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), walaupun tempoh penerbangan hanya memakan masa selama 45 minit, berbanding HSRL yang mengambil masa selama 90 minit dan jangkaan itu masih belum melibatkan masa dan kos untuk ke lapangan terbang, pendaftaran masuk dan pelepasan.
Bagaimanapun HLIB Research berpendapat, HSRL tidak akan menjejaskan industri penerbangan dalam masa terdekat memandangkan perkhidmatan itu masih di peringkat awal dan hanya mula beroperasi pada tahun 2020.

"Mereka (industri penerbangan) tetap berhadapan risiko seperti ketidakstabilan harga bahan api serta perkara lain yang mengurangkan penggunaan perkhidmatan penerbangan," menurut nota penyelidikan itu.
Selain itu, HSRL merupakan sebahagian daripada rancangan menghubungkan negara-negara ASEAN sehingga ke Kunming, China bagi meningkatkan integrasi ekonomi serantau.

HLIB Research menjangkakan akan berlakunya peperangan harga kelak, lebih-lebih lagi beberapa syarikat penerbangan tempatan mempunyai kekerapan penerbangan yang tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Ketika ini AirAsia menawarkan 84 penerbangan seminggu, Firefly (45 seminggu) dan MAS (47 seminggu).
"MAS dijangka berhadapan cabaran paling tinggi disebabkan struktur kos mereka yang lebih tinggi. Selain itu, HSRL mungkin menyediakan kelas tempat duduk premium yang sekali gus merupakan saingan kepada MAS," menurut nota penyelidikan itu.
Nota penyelidikan itu turut menjangkakan kos pembinaan HSRL bernilai antara RM7.5 bilion hingga RM10.5 bilion.


Wednesday, February 20, 2013

AirAsia promosi 2 juta tempat duduk



SEPANG 17 Feb. - AirAsia Bhd. (AirAsia) menawarkan dua juta tempat duduk promosi ke pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa melalui promosi terbaru yang bermula 18 Februari sehingga 24 Februari 2013.
Promosi ini juga merangkumi 200,000 tempat duduk percuma ke pelbagai destinasi seperti Johor Bahru, Kota Bharu, Bali, Singapura, Krabi, Hatyai dan Surat Thani.

AirAsia juga memberikan 1.8 juta tempat duduk promosi serendah RM39 sehala ke pelbagai destinasi.
AirAsia dalam kenyataannya berkata, promosi tempat duduk percuma hanya memerlukan penumpang membayar cukai lapangan terbang dan fi yang dikenakan.

"Para tetamu boleh menempah tempat duduk percuma bagi tempoh perjalanan segera dari 1 Mac sehingga 31 Julai 2013, termasuk musim cuti sekolah yang bakal menjelma.

"Selain dari tempat duduk percuma, promosi ini menawarkan tempat duduk serendah RM39 sehala ke Terengganu, Alor Setar, Kota Kinabalu, Bangkok, Jakarta, Hong Kong dan banyak lagi," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

AirAsia berkata, tempat duduk percuma dan promosi itu juga boleh ditempah melalui platform tempahan mudah alih AirAsia di mobile.airasia.com bagi pengguna iPhone dan Android.

Ketua Pegawai Kumpulan Komersial AirAsia, Siegtraund Teh berkata, promosi tempat duduk percuma AirAsia kembali sekali lagi dan kali ini kami menawarkan pelbagai destinasi menarik seperti Bali, Krabi, Singapura dan lain-lain.

"Ini merupakan peluang baik bagi mereka yang merancang untuk bercuti dalam tempoh terdekat ini," ujarnya.
AirAsia X, syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, juga menawarkan tambang promosi serendah MYR279 sehala ke pelbagai destinasi di Australia, Taipei, Beijing, Seoul dan Osaka.
Untuk perkembangan terkini mengenai inovasi terbaru AirAsia serta promosi, aktiviti dan peraduan, maklumat boleh diperoleh di twitter.com/AirAsia atau facebook.com/AirAsia.


MAS meterai perjanjian beli 20 pesawat ATR 72-600



KUALA LUMPUR 19 Feb. - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) hari ini menandatangani perjanjian dengan Avions de Transport Regional G.I.E (ATR) bagi pembelian 20 pesawat ATR 72-600 dan pilihan menempah 16 pesawat yang sama bernilai lebih AS$840 juta (RM2.6 bilion).

Perjanjian pembelian tersebut merupakan susulan daripada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada Disember lalu dengan penghantaran pesawat bermula pertengahan tahun ini.

Menurut satu kenyataan di sini hari ini, syarikat penerbangan kebangsaan itu akan menggunakan pesawat-pesawat tersebut bagi operasi Firefly dan MASwings.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat-pesawat tersebut bakal mengukuhkan lagi kedudukan anak-anak syarikatnya di pasaran komuniti dan laluan perniagaan utamanya.


Nahas pesawat Sukhoi, 12 maut



Pasukan keselamatan dan orang ramai membantu mencari mangsa yang terselamat di tempat pesawat Sukhoi terhempas di tengah kota Sanaa, semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang. - REUTERS


SANAA 19 Feb. - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 11 lagi cedera setelah sebuah jet pejuang tentera Yemen terhempas di kawasan perumahan di timur ibu negara ini, hari ini.
Kementerian Pertahanan Yemen dalam satu kenyataan berkata, jet pejuang Sukhoi SU-22 buatan Rusia itu sedang menjalani penerbangan latihan sebelum ia terhempas di kawasan kediaman berhampiran Change Square, timur Sanaa.
Menurut seorang jurucakap keselamatan, juruterbang pesawat itu terselamat selepas berjaya keluar sebelum jet tersebut terhempas.


Thursday, February 14, 2013

AirAsia tawar 10,000 lagi tempat duduk percuma



KUALA LUMPUR 14 Feb. - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia akan menawarkan 10,000 lagi tempat duduk percuma kepada rakyat Malaysia bagi penerbangan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak setelah mendapati Program Integrasi 1Malaysia Bersama AirAsia sebelum ini mendapat sambutan.
Tempahan untuk 10,000 tempat duduk percuma itu boleh dibuat menerusi laman web AirAsia www.airasia.com bermula 12 tengah malam ini (15 Februari) untuk tempoh 24 jam.

"Penerbangan adalah dari Semenanjung Malaysia (Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru) ke Sabah dan Sarawak (Kota Kinabalu, Kuching, Labuan, Sandakan, Miri, Tawau, Sibu dan Bintulu) dan sebaliknya.
"Tarikh bagi penerbangan itu adalah dari 1 April hingga 30 April 2013," kata AirAsia dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata, tawaran itu bagaimanapun tidak dibuka untuk penerbangan setempat dalam Semenanjung atau di salam Sabah dan Sarawak.
"Peruntukan bagasi, makanan dalam pesawat, pemilihan tempat duduk dan nilai tambahan yang lain juga tidak termasuk di dalam pakej tempat duduk percuma yang ditawarkan," katanya kenyataan itu.

MAS tambah berat bagasi daftar masuk



KUALA LUMPUR 9 Feb. - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), menambah kadar berat bagasi daftar masuk sebanyak 10 kilogram (kg), menjadikannya 30kg untuk kelas ekonomi, 40kg (kelas bisnes) dan 50kg (kelas pertama) bermula 14 Februari ini.
Tambahan berat itu merangkumi semua perjalanan bermula dari tarikh tersebut walaupun tiket telah dikeluarkan sebelum hari berkenaan.
Polisi baharu itu juga menawarkan penurunan caj lebihan bagasi untuk perjalanan dalam semua kelas kecuali perjalanan pergi balik ke Los Angeles.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, polisi baharu itu bagi penambahbaikan jenama perkhidmatan MAS dalam persaingan industri penerbangan komersial.
"Para penumpang sekarang semakin bijak memilih syarikat penerbangan maka bagi menarik lebih ramai menaiki MAS, kadar berat bagasi daftar masuk ditambah," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Caj tambahan berat bagasi bergantung kepada zon perjalanan dan caj dikenakan bagi setiap lebihan lima kilogram daripada berat bagasi yang ditetapkan.
Katanya, kadar tambahan bagi lebihan lima kilogram untuk perjalanan antara Malaysia dan negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Myanmar, Thailand, Vietnam dan Kemboja ialah RM30.

"Di kawasan luar Asia Tenggara pula dikenakan caj tambahan sebanyak RM60 bagi perjalanan antara Malaysia, India, China, Sri Lanka, Maldives, Hong Kong, China, Taiwan, Bangladesh, Nepal, Jepun, Korea, New Zealand dan Australia.
"Sementara itu, caj tambahan bagasi antara benua sebanyak RM90 dikenakan ke atas penerbangan antara Malaysia, Jeddah, London, Amsterdam, Paris, Frankfurt dan Istanbul," jelasnya.
Katanya, caj tambahan bagi perjalanan balik dari luar negara akan mengikut nilai mata wang negara berkenaan ketika daftar masuk.

Polisi baharu itu tertakluk kepada penerbangan MAS sahaja dan tidak merangkumi perkongsian kod dan melibatkan pesawat lain.
Bermula Mei tahun lepas, MAS telah menyelaraskan peraturan bagasi untuk semua penerbangan domestik dan antarabangsa yang mana penumpang kelas ekonomi dibenarkan membawa satu bagasi ke dalam kabin penumpang dengan berat maksimum tujuh kilogram manakala penumpang kelas bisnes (dua bagasi dengan berat maksimum 14kg).


Friday, February 8, 2013

AirAsia X bawa 2.58j penumpang 2012



KUALA LUMPUR 6 Feb. - AirAsia X membawa 670,000 penumpang pada suku keempat tahun lepas, meningkat 40.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2011 bagi laluan yang berterusan.

Menurut syarikat penerbangan berkenaan, syarikat tidak meneruskan perkhidmatan ke Tehran dan kini terbang ke 14 destinasi di China, Taiwan, Australia, Korea, Jepun, Nepal dan Jeddah.
"Syarikat mencatatkan prestasi kukuh pada separuh kedua pada 2012 selepas pengukuhan rangkaian pada awal tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai kapasiti, AirAsia X mencatatkan 4.0 bilion tempat duduk yang ada mengikut kilometer dengan faktor muatan sebanyak 83 peratus, kenaikan sebanyak 1.1 peratus daripada suku sama pada 2011.
"Pada 2012, AirAsia X membawa sejumlah 2.58 juta penumpang yang mencerminkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2011," kata Ketua Pegawai Eksekutif Azran Osman-Rani.
Beliau berkata, perolehan sampingan naik kepada 18 peratus pada 2012 berbanding tahun sebelumnya dengan sumbangan utama dari Jepun dan Australia.

Syarikat penerbangan membawa 7,555 tan fret pada suku keempat dan 27,269 tan untuk tahun berkenaan, pertumbuhan 18 peratus daripada setahun lalu.
Azran berkata, AirAsia X positif dengan tinjauan masa depan kewangannya pada 2013 dengan penerimaan tujuh pesawat baharu A330-300


Jet pejuang Rusia ceroboh ruang udara Jepun



TOKYO 8 Feb. - Dua jet pejuang Rusia menceroboh ruang udara Jepun semalam sekali gus memaksa Jepun mengerahkan pesawatnya bagi mengusir pesawat itu, insiden pertama dalam tempoh lima tahun kata Kementerian Pertahanan negara ini.

Pesawat jenis Su-27 Rusia itu dikesan berada di utara Pulau Hokkaido selama lebih seminit sejurus Perdana Menteri Jepun yang baharu membuat kenyataan beliau mahu mencari penyelesaian yang boleh dipersetujui kedua belah pihak.

Empat pesawat F-2 Jepun yang dikerah ke lokasi mengesahkan visual jet pejuang Rusia itu, menurut agensi berita Kyodo news.

``Hari ini kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan, pesawat milik Rusia telah menceroboh ruang udara kita,’’ kata kenyataan kementerian luar Jepun namun ia dinafikan Rusia. - AFP

Pelatih penerbangan cedera pesawat ringan terhempas



KEADAAN pesawat ringan milik Akademi Penerbangan Malaysia terhempas di lereng bukit berdekatan Apartmen Cheng Height dan Lebuh AMJ, Melaka hari ini. Bagaimanapun, juruterbangnya terselamat.


MELAKA 7 Feb. - Seorang lelaki cedera apabila pesawat ringan jenis Piper 28 terhempas di sebuah bukit berhampiran Kondominium Cheng Heights dekat sini kira-kira pukul 11.58 pagi ini.
Mangsa berusia dalam lingkungan 20-an merupakan pelatih Malaysia Flying Academy, Batu Berendam dekat sini kini mendapat rawatan di Hospital Melaka. - UTUSAN


Pesawat ringan terhempas



PEGAWAI teknikal memeriksa pesawat ringan milik Akademi Penerbangan Malaysia yang terhempas di lereng bukit berdekatan kondominium Cheng Heights di Melaka, semalam.


MELAKA 7 Feb. - Seorang pelatih juruterbang Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) yang berpangkalan di Batu Berendam nyaris maut apabila pesawat ringan jenis Piper PA-28 yang dikendalikan ketika melakukan latihan penerbangan terhempas di tebing berhampiran Kondominium Cheng Heights di Cheng di sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 11.58 pagi mengakibatkan P. Davenessrao, 20, mengalami kecederaan ringan di kepala dan tengkuk dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.


Insiden berkenaan menggemparkan penduduk di kondominium tersebut yang bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana pesawat itu terhempas kira-kira 30 meter dari kediaman mereka.
Kemalangan itu mengejutkan orang ramai yang sedang berurusan di sebuah bangunan berdekatan.
Kesesakan lalu lintas turut berlaku kerana kondominium itu terletak di hadapan simpang lampu isyarat Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin) di Malim.


Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shah Ghazi Khan Shahadad berkata, sebelum terhempas, pelatih juruterbang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan dan berpengalaman setahun dalam penerbangan itu sempat menghubungi menara kawalan MFA bagi memaklumkan kecemasan.
"Pasukan unit udara polis yang menaiki pesawat jenis Cessna dalam misi tugasan di negeri ini dan hampir mendarat telah diarahkan untuk membuat tinjauan dan mencari pesawat yang terhempas itu.
"Pasukan tersebut adalah yang pertama mengesan pesawat itu dan mengambil gambar sebelum diserahkan kepada menara kawalan," katanya ketika ditemui di lokasi pesawat itu terhempas.


Menurut Shah Ghazi, pesawat tersebut berhenti di tebing kondominium itu selepas melanggar beberapa batang pokok kira-kira 30 meter dari kondominium.
Katanya, polis belum menerima laporan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang dijangka menghantar pasukan penyiasat esok.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd. Tahir berkata, sebanyak empat jentera dari Balai Jalan Kubu dan Tangga Batu dengan kekuatan 26 orang anggota dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 12.01 tengah hari.


"Sebaik sahaja sampai di lokasi kejadian pukul 12.10 tengah hari, pasukan kami berusaha menstabilkan mangsa yang kami syak mengalami patah tulang sebelum dihantar ke hospital.
"Kami turut mengesan berlaku kebocoran tangki minyak pada pesawat itu dan bertindak menyembur buih sebagai langkah berjaga-jaga jika terdapat percikan api yang boleh menyebabkan kebakaran," katanya.

Kata Yazid, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit bagi melakukan pemeriksaan ke atas pesawat dengan dibantu oleh pihak DCA sebelum memasang dua tali keselamatan berkeupayaan menampung 13,000 kilogram bagi mengelak pesawat itu jatuh dari tebing.


Saksi nampak pesawat terhuyung-hayang, langgar pokok


MELAKA 7 Feb. - Beberapa orang saksi mendakwa mereka ternampak pesawat ringan jenis Piper PA 28 milik Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) dalam keadaan terhuyung-hayang dan senget sebelum terhempas di tebing Kondominium Cheng Heights di Lebuh AMJ hari ini.

Menurut mereka, pesawat itu kelihatan tidak stabil dari arah Alor Gajah dan merempuh beberapa batang pokok sebelum terhenti di bucu tebing simpang masuk ke kondominium itu.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah Lebuh AMJ berhampiran lampu isyarat persimpangan Pulau Gadong berikutan orang ramai memperlahankan kenderaan dan berhenti di bahu jalan.
Seorang anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Koperal Zameri Nawi, 50, yang bertugas di pondok polis berhadapan kondominium itu berkata, ketika kejadian, pesawat telah melanggar beberapa pokok menyebabkan dahan-dahan yang patah terpelanting ke tengah jalan.

"Saya lihat pesawat itu dalam keadaan terhuyung-hayang dan melantun-lantun sebelum melanggar pokok dan terhempas.
"Saya risau juga jika pesawat itu jatuh ke jalan raya memandangkan berhampiran dengan lampu isyarat," katanya.

Seorang lagi saksi, Suaida Ninglan, 40, berkata, ketika kejadian, dia yang bertugas sebagai tukang cuci di bangunan itu sedang berehat di taman berhampiran.
"Sayap pesawat kelihatan senget sebelah sebelum terhempas. Juruterbang itu kemudian keluar sendiri ke tepi tebing sebelum dibantu dua orang awam," katanya.
Katanya, mangsa kemudian dihantar ke hospital menaiki ambulans.