Pesawat TUDM tergelincir akibat tayar pecah
KUALA TERENGGANU 22 Sept. - Sebuah pesawat DA90 Falcon milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalani latihan tergelincir dari landasan ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian pukul 10.25 pagi itu, pesawat yang sering digunakan untuk membawa pemimpin kerajaan tergelincir ke padang rumput selepas roda kirinya dipercayai pecah sewaktu melakukan pendaratan.
Bagaimanapun, ketika kejadian, tiada pemimpin kerajaan berada dalam pesawat berkenaan kecuali seorang juruterbang dan pembantunya serta tiga lagi krew. Kesemua mereka tidak mengalami kecederaan.
TUDM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan, pesawat tersebut dalam sesi latihan penerbangan biasa dari Pangkalan Udara Subang, Selangor ke LTSM sebelum roda kiri pesawat itu pecah.
Menurut kenyataan itu, juruterbang pesawat tersebut bertindak pantas memberhentikan segera pesawat bagi mengelak berlaku kerosakan pada bahagian yang lain.
"Berikutan kejadian itu, landasan di LTSM telah ditutup sehingga pukul 1 petang.
"Pasukan teknikal yang tiba di lokasi kejadian telah menukar roda tersebut dan pesawat akan diterbangkan kembali ke Pangkalan Udara Subang," katanya.
Dalam pada itu, seorang saksi, Siti Salinah Mamat, 40, berkata, ketika kejadian dia terdengar satu bunyi kuat seakan-akan letupan dan sempat melihat ke arah landasan berkenaan.
Katanya, bunyi yang dihasilkan oleh pesawat tersebut terlalu kuat dan tidak pernah didengarnya sebelum ini.
"Gerai saya terletak berdekatan dengan lapangan terbang itu. Jadi, hari-hari saya dapat lihat pesawat mendarat namun kali ini saya amat terkejut apabila pendaratan pesawat itu disusuli bunyi begitu kuat.
"Apabila saya melihat ke landasan, saya nampak sebuah pesawat tergelincir dan memasuki kawasan rumput," katanya ketika ditemui di kawasan lapangan terbang itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian tersebut.
Comments