MAS rekod untung operasi RM8 juta pada suku kedua

Ahmad Jauhari Yahya

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Malaysia Airlines (MAS) mencatat keuntungan operasi sebanyak RM8 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2013, berbanding kerugian operasi sebanyak RM102 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Bagi suku kedua, syarikat penerbangan nasional itu berjaya menurunkan kerugian bersih sebanyak 50 peratus kepada RM176 juta, berbanding RM349 juta tahun lepas.

MAS berkata, keputusan yang lebih baik itu diperoleh hasil pertumbuhan perolehan yang kukuh dan tumpuannya ke atas produktiviti dan kawalan kos.

Syarikat penerbangan itu mengangkut 4.2 juta penumpang pada suku itu, peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding 3.3 juta penumpang pada suku yang sama tahun lepas, manakala perolehan kumpulan mencecah sebanyak RM3.7 bilion.

MAS berkata, perbelanjaan kumpulan itu sebanyak RM3.8 bilion, dengan komponen utama membabitkan kos bahan api jet (37 peratus), diikuti kos pengendalian dan pendaratan, selain susut nilai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya berkata, syarikat penerbangan itu membuat kemajuan yang baik dalam mengurangkan kerugian menerusi pelbagai inisiatif bagi memacu pendapatan, kos mengurus dan meningkatkan produktiviti.

"Kami berada pada kedudukan yang baik dalam melaksanakan pelan perniagaan untuk memulihkan kumpulan kami dan mencatat keuntungan mampan menjelang akhir 2014.

"Menerusi lebih banyak pesawat baharu, kami dapat membawa secara purata lebih 10,000 penumpang setiap hari. Kami sedang memperluas rangkaian, meningkatkan kekerapan dan semakin memperoleh penguasaan pasaran," katanya.

Untuk masa hadapan, Ahmad Jauhari mengunjurkan tempoh berbaki 2013 sebagai menggalakkan dan ketibaan pesawat baharu sehingga akhir tahun akan meningkatkan lagi usia pesawat dan penawaran produk secara puratanya.

Sehingga akhir Jun, MAS mempunyai 146 pesawat dalam kumpulannya dan menjangkakan penerimaan lebih banyak pesawat baharu (6 B738, 2 A333 dan 3 ATR72-600) pada separuh kedua tahun ini yang akan menurunkan purata usia pesawat kumpulan kepada 5.4 tahun menjelang akhir tahun.

Comments

Popular Posts