mangga add

Thursday, August 22, 2013

Klia2 akan dibuka 2 Mei 2014

AB. Aziz Kaprawi (dua dari kanan) mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang, semalam.

SEPANG 19 Ogos - Proses pembinaan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang bakal menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dijangka siap sepenuhnya pada 30 April 2014 dan akan dibuka kepada umum pada 2 Mei tahun depan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, pembinaan klia2 telah siap 92 peratus dengan bangunan terminal utama telah siap 96 peratus.

Ini termasuk sistem pendingin hawa, landasan Express Rail Links Sdn. Bhd. (ERL) dan kawalan trafik udara.
Beliau berkata, pembinaan klia2 yang berkeluasan 257,000 meter persegi itu berjalan lancar dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama-sama kontraktor yang dilantik komited memastikan bangunan terminal itu siap mengikut jadual ditetapkan.

"Hampir keseluruhan kemudahan dan sistem di bangunan terminal utama telah siap sepenuhnya kecuali laluan bagasi dan juga sistem dalam talian yang masih dalam proses penambahbaikan.

"UEMC-Bina Puri JV, kontraktor bagi bangunan terminal itu, telah mengesahkan 30 April depan sebagai tarikh baharu penyiapan klia2 termasuk jangka masa untuk mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) menurut obligasi berkontrak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan klia2 di sini hari ini.

Terminal utama Klia2 dibina oleh syarikat konsortium UEMC-Bina Puri JV yang telah dianugerahkan pakej mereka bentuk, membina dan menyelenggara terminal, bangunan satelit, jambatan udara (sky bridge) dan jeti terminal ke pesawat bernilai RM997 juta.

Tempoh siap terminal berkenaan dipinda beberapa kali sejak 2011 dan kos pembinaannya telah meningkat dari RM2 bilion kepada RM4 bilion.
Menurut Ab. Aziz, ujian pendaratan pesawat di klia2 akan dilakukan pada hujung September ini bagi menguji ketahanan litar.

Selain itu, katanya, klia2 akan menjadi lapangan terbang hibrid pertama di negara ini yang menggabungkan perkhidmatan tambang murah dan premium kelas perniagaan di bawah satu terminal.
"Langkah menaik taraf perkhidmatan kelas perniagaan di lapangan terbang itu dilakukan atas permintaan AirAsia dan selepas ini tiada sebab mengapa syarikat penerbangan tambang murah itu tidak mahu berpindah ke klia2," katanya.

Dalam pada itu katanya, walaupun bakal berstatus lapangan terbang hibrid pertama di negara ini, levi ke atas penumpang tidak akan dinaikkan dan tetap sama seperti di LCCT.
Sebelum ini, MAHB terpaksa melayan semua permintaan AirAsia dalam pembinaan klia2 memandangkan syarikat penerbangan itu merupakan operator terbesar di terminal itu sehingga menyebabkan peningkatan kos.

Antara perubahan yang terpaksa dilakukan ialah memanjang dan melebarkan landasan ketiga bagi menampung pendaratan pesawat Airbus A380 yang bakal dibeli oleh AirAsia.
AirAsia juga menuntut perubahan pada bangunan terminal, sistem pengurusan bagasi dari semi automatik kepada automatik serta penambahan pintu pelepasan dan ketibaan daripada 50 kepada 68 buah.



No comments: