Malindo Air jadikan Ipoh pemangkin laluan serantau


IPOH 4 Okt. - Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air, akan menjadikan destinasi Ipoh sebagai pemangkin kepada operasi penerbangan terbaharu bagi laluan domestik dan serantau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, laluan Ipoh kini merupakan pasaran penerbangan yang berpotensi untuk dikembangkan.

"Penerbangan pertama dari Subang ke Ipoh hari ini hampir penuh dan ia menandakan Ipoh merupakan pasaran yang baik," katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Beliau ditemui pada majlis sambutan penerbangan pertama Malindo Air dari Subang ke Ipoh oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini.
Chandran berkata, Malindo Air akan melancarkan penerbangan pertama bagi laluan Johor Baharu-Ipoh dan Ipoh-Medan (Indonesia) pada 17 Oktober ini selain akan mengkaji untuk mengadakan penerbangan Ipoh-Langkawi serta Ipoh-Krabi, Thailand pada masa depan.

Selain itu, sektor pelancongan perubatan juga akan menerima kesan positif daripada penawaran laluan Ipoh-Medan kerana ramai penduduk Sumatera, Indonesia mendapatkan perkhidmatan perubatan di negara ini, katanya.

Menurutnya, syarikat itu berharap dapat melancarkan penerbangan laluan Ipoh-Singapura dengan menggunakan pesawat Boeing.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan Menteri Besar supaya Malindo Air menawarkan penerbangan antara Ipoh dengan negara di Indo-China dan China memandangkan Ipoh menerima permintaan pelancongan yang amat menggalakkan.

Sementara itu Zambry berkata, ada beberapa syarikat lagi telah mengatakan hasrat mereka untuk menawarkan perkhidmatan udara ke Ipoh.

Zambry berkata kerajaan persekutuan secara prinsipnya telah bersetuju terhadap perancangan kerajaaan negeri untuk menaik taraf Lapangan Terbang Gerik melalui peruntukan RM15 juta. 

Comments