Skip to main content

Pesawat pengangkut TNI terhempas Lebih 116 orang dikhuatiri terbunuh


Sebahagian anggota mencari dan menyelamat berada di lokasi pesawat
JAKARTA 30 Jun - Lebih 116 orang dipercayai terbunuh selepas pesawat Hercules C-130 milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI) terhempas di kawasan perkampungan di Simalingkar, Jalan Jamin Ginting, Medan, Sumatera Utara, pada pukul 11.50 pagi ini waktu tempatan, kira-kira dua minit sejurus berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Soewondo, Medan.
Pesawat pengangkut yang membawa 12 orang anak kapal dan sejumlah penumpang dikendalikan oleh juruterbang Kapten Sandy Permana itu, berlepas dari pangkalan udara berkenaan pada kira-kira pukul 11.48 pagi menuju ke Tanjung Pinang, Riau dan Natuna untuk menghantar bantuan logistik tentera.
Setakat ini tidak diketahui dengan tepat jumlah penumpang di dalam pesawat berkenaan. Bagaimanapun Gabenor Sumatera Utara, Gatot Pujonugroho berkata, beliau mendapat laporan terdapat 110 orang penumpang sebelum pesawat berlepas.
Ada laporan menyebut, selain membawa 12 orang kru, pesawat itu juga membawa sejumlah 101 penumpang terdiri daripada kaum keluarga tentera untuk ke beberapa destinasi.
Beberapa media Indonesia me­laporkan, pesawat berusia 51 tahun buatan Amerika Syarikat itu dikatakan meminta kebenaran untuk berpatah balik ke pangkalan sebelum menjunam ke arah beberapa buah rumah dan bangunan kedai serta menimpa beberapa buah kenderaan sebelum terbakar.
Saksi-saksi memberitahu, mereka mendengar bunyi letupan kuat di udara sebelum melihat sebuah pesawat menjunam ke arah bangunan-bangunan kedai yang baru siap dan beberapa buah rumah di kawasan itu sebelum terbakar dan meletup.
Stesen televisyen TV One menyiarkan visual api besar yang membakar pesawat tersebut dan beberapa bangunan kedai yang dirempuhnya.
Kelihatan juga pasukan keselamatan bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian dan ambulans berulang-alik membawa mangsa ke Rumah Sakit Adam Malik, Medan.
Sementara itu, Ketua Pusat Pe­nerangan TNI, Mejar Jeneral Fuad Basya berkata, pesawat itu berada dalam keadaan baik dan lulus pemeriksaan sebelum dibenarkan terbang.
Pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Halim Perdanakesuma, Jakarta pada pukul 6 pagi menuju ke Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin, Dumai dan Soewondo sebelum terhempas.
Beliau berkata, punca kejadian masih disiasat.
Setakat berita ini ditulis, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 53 mayat dari tempat kejadian untuk dibawa ke hospital.
Gerakan mencari dan menyelamat masih dijalankan setakat pukul 9 malam ini.
Dipercayai masih ada mangsa di bawah runtuhan bangunan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pesawat-pengangkut-tni-terhempas-1.109189#sthash.HcA1DeCr.dpuf

Comments

Popular Posts