mangga add

Monday, December 30, 2013

AirAsia rancang ke AS


PESAWAT A330-300 AirAsia membolehkan ia terbang ke laluan jarak jauh.


PARIS 22 Dis. - AirAsia X, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh sekutu AirAsia Group, merancang untuk ke Eropah pada 2016.

Pengasas bersama dan Pengarah Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu juga meninjau kemungkinan untuk mengadakan penerbangan ke Amerika Syarikat apabila menerima pesawat yang baru ditempah, pesawat A330-3a00 pada 2015.

"Margin kecil bagi laluan ini tetapi kami melakukannya untuk jangka panjang," kata Fernandes kepada wartawan Malaysia di luar majlis pemeteraian perjanjian antara AirAsia X dan Airbus baru-baru ini bagi penempahan 25 lagi pesawat A330-300.

Tempahan bernilai AS$6 bilion (RM19.2 bilion) ini merupakan perjanjian tempahan terbesar oleh sebuah syarikat penerbangan bagi pesawat A330-300.

Fernandes berkata, AirAsia X menyasar untuk menjadi 'Emirates Asia Tenggara,' dengan mengadakan penerbangan ke destinasi baharu dan memasuki pasaran baharu seperti Mongolia, dengan 57 pesawat yang ditempah secara keseluruhannya menjelang 2019.

Syarikat penerbangan itu telah membawa lebih sembilan juta penumpang sejak memulakan operasi pada 2007, ke 18 destinasi di seluruh Asia, Australia dan Asia Barat.

AirAsia X akan memanfaatkan pertumbuhan positif dalam industri penerbangan disebabkan permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan udara serta pertumbuhan ekonomi yang positif, kata beliau dan menambah bahawa prospek industri penerbangan dilihat positif.

"Pembukaan KLIA2, terminal tambang rendah yang baharu, tahun depan akan memberi rangsangan yang besar kepada industri," katanya.

Beliau berkata, terdapat peluang yang hebat bagi Malaysia untuk menjadi seperti Dubai, yang terkenal sebagai hab penerbangan utama, dengan sokongan daripada kerajaan dan pihak berkuasa lapangan terbang. 

No comments: