Air France tambah 65 peratus kapasiti





Patrick Roux (tengah) bersama pengurusan Air France pada sidang akhbar yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 12 Dis. - Syarikat penerbangan Eropah, Air France akan meningkatkan kapasiti tempat duduknya sehingga 65 peratus dengan penambahan bilangan tempat duduk dalam pesawat serta tambahan satu lagi penerbangan mingguannya pada tahun depan.

Naib Presiden Kanan Asia Pasifik Air France-KLM, Patrick Roux berkata, mulai 12 Januari, syarikat akan meningkatkan sehingga 25 peratus kapasiti penumpang bagi penerbangan tiga kali seminggunya dari Paris ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat Boeing 777-200.

Katanya, penyusunan baharu tersebut melibatkan kelas bisnes sebanyak 35 tempat duduk, premium ekonomi (24) dan ekonomi (250) yang menjadikan jumlah keseluruhan 309 tempat duduk, berbanding 246 sebelumnya.

"Bermula 16 Jun 2014, Air France akan menambah kekerapan penerbangan terus Kuala Lumpur-Paris kepada empat kali seminggu berbanding tiga kali ketika ini.
"Penambahan kapasiti dan kekerapan ini menunjukkan permintaan yang kukuh bagi perkhidmatan Air France sejak dilancarkan April lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada taklimat media di sini hari ini.
Yang turut hadir, Duta Perancis di Malaysia, Martine Dorance, Pengurus Besar Serantau Asia Tenggara, Filipina, Malaysia, Brunei Air France-KLM, Jurriaan Stelder dan Pengurus Negara Malaysia Air France-KLM, Estee Ng.

Sementara itu, Patrick berkata, pengenalan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Paris telah mencipta peluang ekonomi yang besar yang dapat dilihat daripada permintaan perjalanan antara kedua-dua buah negara.

"Saya menyasarkan pengembangan ini akan mendapat sambutan baik kepada pelanggan yang bercuti dan urusan bisnes yang dapat mendapat kesempatan atas penambahan kekerapan penerbangan," katanya.
Ketika ini, pecahan penumpangnya adalah kira-kira 60 peratus penumpang untuk tujuan bisnes dan 40 peratus penumpang bercuti.

Comments

Popular Posts