Tony terima anugerah tertinggi dari Perancis


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd. (AirAsia), Tan Sri Tony Fernandes memenangi anugerah Commander of the Legion d'Honneur dari kerajaan Perancis di atas sumbangan beliau dalam perkembangan ekonomi negara tersebut melalui industri penerbangan.
Anugerah Commander of the Legion d'Honneur adalah anugerah penghormatan tertinggi oleh kerajaan Perancis yang boleh dianugerahkan kepada bukan rakyat Perancis.

Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis yang diadakan di Elysée Palace di Paris, Perancis kelmarin.
Fernandes menerusi kenyataan memberitahu, industri penerbangan adalah industri penting yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan, menghubungkan komuniti masyarakat dan meningkatkan taraf hidup.

"Saya berbangga dapat menyumbang secara positif sama ada secara langsung atau tidak, dalam kehidupan orang ramai.

"Ini adalah motivasi bagi diri saya untuk terus meneraju kumpulan ini ketahap lebih tinggi, dan sekali lagi, saya amat bersyukur atas penghormatan ini," katanya.
Fernandes juga telah dianugerahkan anugerah the Officier of the Legion d'Honneur oleh kerajaan Perancis pada 2010.

Kumpulan AirAsia beroperasi dengan pesawat Airbus di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Syarikat itu telah memberi sumbangan penting kepada ekonomi Perancis dan Eropah melalui syarikat milik Eropah yang berpusat di Toulouse-Airbus, syarikat EADS dengan tempahan 475 pesawat Airbus A320s bagi AirAsia, manakala 25 Airbus A330-300 dan 10 Airbus A350-900 bagi AirAsia X.
AirAsia telah menerbangkan lebih dari 200 juta tetamu dalam tempoh kurang daripada 12 tahun beroperasi dengan jaringan rangkaian terbesar yang merangkumi 87 destinasi di 22 buah negara.

Comments

Popular Posts