MAS: Kami akan 'terus terbang'


Sebuah pesawat Boing 747 MAS di atas landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang - Agensi


KUALA LUMPUR 29 Ogos - Malaysia Airlines (MAS) berikrar akan 'terus terbang', seiring dengan pembentangan 12 pelan pemulihan syarikat penerbangan negara itu oleh pemegang saham terbesarnya, Khazanah Nasional Berhad hari ini.

"Kami akan terus terbang. Dalam pada masa yang sama, MAS tiada mengalami gangguan perkhidmatan,'' kata syarikat itu dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut MAS lagi, pengumuman yang dibuat pada 8 Ogos lalu dan pelan hari ini tidak akan memberi impak kepada kadar tambang semasa yang ditawarkan kepada para pelanggan. Malah, tidak akan menjejaskan akaun-akaun korporat dan juga keahlian di dalam perikatan Oneworld.

Katanya, ahli-ahli Lembaga Pengarah MAS bersetuju dengan pelan penstrukturan oleh Khazanah bagi meningkatkan keuntungan dan persaingan syarikat penerbangan nasional itu.

Ahli-ahli lembaga pengarah turut menerima surat daripada Khazanah berkaitan perancangan pelaburan yang akan dijalankan di dalam syarikat penerbangan nasional itu yang akan dinyahsenarai dari pasaran utama Bursa Malaysia, penstrukturan semula dan terma-terma pembiayaan tertentu.
Menurut MAS, perubahan radikal itu sudah lama dirancang di dalam agenda ahli-ahli lembaga pengarahnya.

"Perancangan itu sudah ada di dalam agenda sebelum insiden kehilangan pesawat MH370. Pada mesyuarat agung tahunan MAS 25 Jun lalu, Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Yusof dan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahaya sudah jelas mengenai langkah perubahan yang ingin dilakukan," kata MAS.

Tambah MAS, kepentingan untuk membuat perubahan adalah berpunca daripada prestasi kewangan syarikat yang teruk dan turut disumbang menerusi kerugian yang diterima daripada insiden pesawat MH17 ditembak jatuh.

Penerbitan pelan pemulihan diikuti permintaan rasmi Khazanah kepada ahli-ahli lembaga pengarah syarikat bagi menjalankan pengurangan modal terpilih (SCR) yang dibuat pada 8 Ogos 2014.
SCR akan mendapat undian daripada pemegang-pemegang saham pada mesyuarat luar biasa yang akan diadakan pada masa yang sesuai.

Sejajar itu, pemimpin-pemimpin kanan MAS sudah bertemu dengan hampir 2,500 kakitangan di lokasi-lokasi yang berbeza merentasi peringkat Kumpulan bagi mendengar pandangan dan kebimbangan terhadap hasil pelan yang akan menjadikan MAS syarikat persendirian dan distruktur semula.
"Kami bersama-sama dengan perwakilan kesatuan pekerja sudah bertemu dengan Khazanah pagi ini. Kami akan meneruskan proses untuk berjumpa pelbagai pihak termasuk secara langsung dengan kakitangan dan perwakilan kesatuan pekerja," jelas MAS.

Comments

Popular Posts