MAS terus catat kerugian RM750 juta


KUALA LUMPUR 28 Ogos - Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) mencatatkan kerugian sebanyak RM750 juta atau 65 peratus lebih tinggi bagi tempoh enam bulan pertama berbanding tahun sebelumnya.

MAS berkata, kehilangan pesawat penerbangan MH370 pada Mac lalu terus memberi kesan kepada keputusan kewangan hingga menyebabkan suku kedua terus mencatatkan kerugian sebanyak RM307 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2014.

Katanya, bagi tempoh tiga bulan tersebut, hasil kumpulan susut lima peratus kepada RM3.59 bilion berbanding tahun lalu akibat Seat Factor berikutan tragedi tersebut.

Tambahnya, perolehan yang lebih rendah itu berikutan peningkatan sebanyak dua peratus pada kos, terutamanya disebabkan oleh kos bahan api bagi suku tersebut, menyebabkan kerugian bersih selepas cukai sebanyak RM307 juta setelah mengambil kira susut nilai (RM223 juta), kos kewangan (RM119 juta) dan keuntungan tukaran mata wang tidak direalisasikan (RM52 juta).

"Kami telah menjangkakan impak yang bakal diterima oleh kumpulan bagi suku kedua dan MAS telah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula keyakinan dan meningkatkan semula jualan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kos bahan api bagi suku kedua 2014 meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM1.53 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan peningkatan harga bahan mentah berkenaan dan mata wang ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Dalam usaha untuk mengurangkan kos bahan api dan meningkatkan produktiviti, MAS telah mempercepatkan penamatan pesawat Boeing 734 yang sepatutnya berakhir hujung 2014 kepada pertengahan bulan Jun," katanya.

Sehingga pertengahan Ogos, MAS memiliki sebanyak 127 pesawat dengan 88 pesawat dikendalikan olehnya, termasuk 54 pesawat B738, 15 pesawat A330 dan enam pesawat A380.

Sementara itu, Reuters melaporkan saham MAS akan digantung pada Jumaat susulan pengumuman penstrukturan semula syarikat tersebut.

Menurut sumber, Khazanah Nasional dijangka akan membuat pengumuman penting penstrukturan semula syarikat penerbangan itu pada sebelah petang.

"Melalui penstrukturan semula itu, kira-kira satu perempat daripada hampir 20,000 kakitangan syarikat penerbangan itu mungkin terjejas dan beberapa laluan antarabangsa turut dibatalkan sehingga urusan penstrukturan itu selesai," katanya.

Comments

Popular Posts