A380 Qantas mendarat cemas

Kakitangan teknikal memeriksa enjin pesawat Qantas Airways A380 yang rosak sehingga terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura, semalam. – REUTERS

SINGAPURA 4 Nov. – Sebuah pesawat Airbus A380, milik Qantas Airways melakukan pendaratan cemas di republik ini hari ini selepas mengalami kerosakan enjin semasa berada di ruang udara Indonesia, dalam insiden kecemasan pertama penerbangan melibatkan pesawat superjumbo itu.

Pesawat dua tingkat yang berlepas dari Singapura menuju ke Sydney dengan membawa 433 penumpang itu terpaksa membuang bahan bakar di ruang udara Indonesia, sebelum berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini dan badannya mengeluarkan asap.

Enam kereta bomba menyemburkan cecair pada pesawat A380 itu sebaik-baik sahaja ia mendarat pada pukul 11.45 pagi.

Pesawat itu kelihatan kehilangan penutup sebuah enjin di sayap kiri dan bahagian tersebut nampak hitam, menurut seorang wartawan AFP.

Serpihan pesawat, termasuk apa yang kelihatan seperti sebahagian ekor jet Qantas ditemui di pekan Batam, Indonesia selepas bunyi letupan di udara dilaporkan kedengaran di bumi.

“Saya tidak melihat pesawat terhempas tetapi mendengar satu bunyi letupan kuat di udara. Serpihan-serpihan logam berguguran dari udara di sebuah kawasan perindustrian di Batam,” kata seorang saksi, Noor Kanwa.

Seorang jurucakap Qantas Airways di Australia berkata, pesawat itu membawa 433 penumpang dan 26 krew dan semuanya selamat tanpa sebarang kecederaan.

Qantas yang tidak pernah mengalami nahas maut dalam sejarahnya selama 90 tahun berkata, tidak ada pesawatnya terhempas di Indonesia tetapi semua penerbangan Airbus A380 miliknya digantung buat sementara waktu berikutan insiden tersebut.

Penerbangan komersial pertama Airbus A380, milik Singapore Airlines adalah mengikut laluan Singapura-Sydney yang sama pada Oktober 2007.

Sejak itu, masalah bahan bakar dan komputer menyebabkan perkhidmatan beberapa Airbus A380 iaitu pesawat penumpang terbesar di dunia, digantung. – AFP

Comments

Popular Posts