MAS dijangka peroleh RM80 juta
Hab Kota Kinabalu operasi tahun depan berpotensi jana pendapatan
PENERBANGAN Malaysia (MAS) menjangka meraih pendapatan tambahan antara RM60 juta hingga RM80 juta setahun daripada operasi di hab antarabangsanya di Kota Kinabalu.
Hab antarabangsa wilayah timur untuk syarikat penerbangan kebangsaan itu yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan itu akan dilengkapi enam pesawat baru Boeing 737-800 dengan kekuatan seramai 150 juruterbang dan 250 anak kapal kabin.
Langkah itu akan menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab kepada perkhidmatan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Haneda dan Osaka, Perth, Seoul, Taipei dan Kaohsiung serta Hong Kong, menjelang Jun tahun depan.
Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid, berkata pelancaran Kota Kinabalu sebagai hab wilayah timur mencerminkan komitmen MAS menjadikan Sabah sebagai pintu masuk yang ideal untuk penerbangan ke Australia, China, Hong Kong, Taiwan, Jepun dan Korea.
Beliau berkata, MAS bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah untuk mengenal pasti beberapa destinasi utama seperti penerba-ngan ke Perth yang bakal dilancarkan Januari ini, menyeragamkan jadual perjalanan penumpang dan pada masa sama meningkatkan kesedaran umum terhadap daya tarikan yang terdapat di negeri itu.
“Kami sedang meraih pulangan daripada usaha ini apabila penerbangan sulung ke Haneda merekodkan muatan sebanyak 80 peratus manakala penerbangan ke Seoul mendapat sambutan baik walaupun menerima saingan daripada syarikat penerbangan lain sekali gus membuktikan MAS sebagai syarikat penerbangan pilihan.
“Dengan permulaan positif ini, kami yakin hab Kota Kinabalu berpotensi menjana pendapatan tambahan antara RM60 juta hingga RM80 juta setahun,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran hab antarabangsa MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.
Pelancarannya disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman serentak dengan bermulanya penerbangan sulung menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang diterima MAS dua minggu lalu.
Penerbangan sulung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Kinabalu itu membawa 160 penumpang. Ia berlepas jam 9 pagi dan tiba di Kota Kinabalu jam 11.45 pagi.
Penerbangan itu disertai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.
MAS menempah 55 pesawat Boeing 737-800 dengan tiga daripadanya dijadualkan tiba sebelum akhir tahun ini. Enam daripada pesawat pertama yang tiba itu akan digunakan bagi operasi di Kota Kinabalu.
Sementara itu, Tengku Azmil berkata sasaran tambahan pendapatan daripada hab Kota Kinabalu itu mampu dicapai berikutan pertumbuhan kukuh kedatangan pelancong ke Sabah.
“Kami yakin mampu meraih lebih banyak daripada itu,” katanya.
Comments