Pesawat terhempas 68 maut
HAVANA 5 Nov. - Semua 68 penumpang, 28 daripada mereka rakyat asing terbunuh apabila sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Aero Caribbean terhempas di kawasan pergunungan di tengah Cuba hari ini.
Televisyen Cuba melaporkan, pesawat 883 itu meninggalkan Santiago de Cuba di timur Cuba menuju Havana, sebelum terhempas pada kira-kira pukul 5.42 petang (6.42 pagi ini waktu Malaysia) berhampiran bandar Guasimal di wilayah Sancti Spiritus.
Pesawat enjin kembar turbo ATR-72-212 itu, dilapor terputus hubungan dengan menara kawalan selepas membuat satu panggilan kecemasan.
Lembaga Penerbangan Sivil Cuba, awal hari ini mengeluarkan satu kenyataan menyatakan semua penumpang maut dalam nahas itu.
Menurut media, pesawat itu membawa 68 penumpang termasuk tujuh anak kapal dan 28 rakyat asing termasuk sembilan dari Argentina, Mexico (7), Belanda (3), masing-masing dua dari Jerman serta Austria dan masing-masing satu dari Perancis, Itali, Sepanyol, Venezuela dan Jepun.
Sumber di Sancti Spiritus berkata, tujuh mayat telah dikeluarkan daripada bangkai pesawat, yang disifatkan saksi sebagai 'kepulan api di tengah-tengah gunung'.
Sementara itu, sebuah pesawat yang dinaiki 21 kakitangan syarikat minyak Itali, terhempas beberapa minit sejurus berlepas di Karachi, mengakibatkan semua penumpangnya maut.
Punca nahas masih belum dapat dipastikan, namun syarikat yang menyewakan pesawat tersebut, JS Air menyatakan bahawa pesawat mengalami masalah enjin sebelum terhempas berhampiran kawasan perumahan serta kem tentera di Gulistan-e-Jauhar.
Seorang pegawai syarikat di Karachi memberitahu AFP, pesawat yang menuju ke lapangan minyak Bhit Shah di wilayah Sindh itu, disewa syarikat multinasional minyak Itali, ENI.
Pegawai bertanggungjawab, Leftenan Kolonel Noor Alam berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.10 pagi waktu tempatan (10.10 pagi ini waktu Malaysia).
"Saksi berkata, mereka melihat pesawat itu menjunam semasa berpatah balik ke lapangan terbang Karachi sebelum ia terbakar.
"Setakat ini, 12 mayat telah dikeluarkan. Ada antara mayat rentung sama sekali," katanya kepada pemberita di kawasan kejadian. - Reuters/AFP
Comments