Sharklet untuk pesawat AirAsia



KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pengeluar kapal terbang dari Eropah, Airbus sedia menawarkan pakej penambahan teknologi Sharklet kepada pemilik-pemilik sedia ada pesawat A320, termasuk AirAsia jika mendapati penggunaan teknologi itu menguntungkan pemiliknya.

Pengarah Pemasaran Perhubungan Pelanggan Airbus, David Velupillai berkata, pemasangan sayap jenis Sharklet itu tidak memerlukan perubahan kabin dan aerodinamik yang ketara.
Katanya, teknologi Sharklet berupaya menyumbang penjimatan minyak sekitar empat peratus kepada kapal terbang yang menggunakannya, selain menambah kapasiti muatan sehingga 450 kilogram.

"Penggunaan A320 Sharklet khususnya syarikat seperti AirAsia adalah signifikan dengan konsep mereka yang mengutamakan aspek penjimatan kos operasi," kata Velupillai.
"Sebagai pelanggan A320 terbesar, kami terbuka memberi perkhidmatan (Sharklet) kepada AirAsia menerusi pakej tertentu," katanya kepada Utusan Malaysia semasa sesi lawatan media ke pusat pemasangan utama Airbus di Toulouse, Perancis minggu lalu.

AirAsia merupakan penerima pertama A320 Sharklet yang akan digunakan oleh AirAsia Malaysia. Harga jenis sayap Sharklet A320 dianggarkan sekitar AS$90 juta (RM274.5 juta) iaitu AS$5 juta (RM15.25 juta) lebih mahal berbanding dengan jenis sayap biasa.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar sebelum ini menegaskan, pihaknya tidak akan menaikkan taraf pesawat mereka yang sedia ada, berbanding membeli A320 yang telah siap dipasang dengan sayap jenis baharu.

Sementara itu, Velupillai berkata, perkembangan positif AirAsia dalam sedekad yang menggambarkan peralihan penguasaan perindustrian penerbangan oleh syarikat-syarikat dari Asia.

"AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS) memainkan peranan penting dalam meningkatkan imej industri penerbangan di Asia, selain menjadi pelanggan penting kepada Airbus.
"Tahun ini kedua-dua syarikat ini menerima pesawat baharu daripada kami iaitu A320 Sharklet oleh AirAsia dan A380 oleh MAS," katanya.

Jelasnya lagi, rantau Asia khususnya di kawasan lautan Pasifik dijangka menguasai 33 peratus pendapatan penumpang per kilometer (RPK) penerbangan antarabangsa menjelang 2030 dengan penambahan lebih 9,800 buah pesawat baharu.
AirAsia baru-baru ini juga telah mengumumkan pembelian 100 buah pesawat A320 sekali gus menjadikan mereka pembeli tunggal terbesar pesawat jenis itu sebanyak 475 buah.
Airbus menjangka 20,000 tempahan baharu A320 bakal diterimanya dalam tempoh 20 akan datang.


A

Comments