MAS beli 36 pesawat ATR 72-600 bernilai RM3 bilion


SUBANG JAYA 18 Dis. - Malaysia Airlines (MAS) hari ini memperoleh 36 pesawat baharu ATR 72-600 dengan nilai RM3 bilion daripada ATR, iaitu syarikat pengeluar turboprop yang berpangkalan di Toulouse, Perancis.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata ATR telahpun komited untuk menghantar tiga pesawat turboprop tahun depan, lima lagi tahun berikutnya dan enam pada tahun 2015.

"Daripada sejumlah 36 pesawat, Firefly akan mendapat 20, sementara MasWings pula 16," kata beliau dalam persidangan akhbar untuk memaklumkan mengenai peluasan rangkaian Firefly hari ini.

Ahmad Jauhari berkata kelebihan operasi turboprop ialah keupayaannya untuk mendarat dan berlepas dengan amat pantas, kurang daripada 30 minit, sekali gus menyaksikan peningkatan kekerapan penerbangan.

"Pada masa ini, orang ramai mengembara mengikut keselesaan masing-masing, jadi, kekerapan ataupun frekuensi amat penting," kata beliau sambil menambah yang pemilikan pesawat baharu itu akan dibiayai dengan dana dalaman, dalam lingkungan kumpulan MAS.



Comments

Popular Posts