MASGMR bakal muncul MRO penting di Asia



Mohd. Nor Yusof (tengah) memberi penerangan kepada Mustapa Mohamed dan delegasi Malaysia mengenai kompleks MASGMR di Hyderabad, India. - BERNAMA

HYDERABAD 16 Dis. - MAS GMR Aerospace Engineering Company Ltd. (MASGMR) yang berpangkalan di sini mempunyai potensi untuk berkembang sebagai pusat penyelenggaraan dan membaik pulih dan pembaikan (MRO) penting di Asia.

MASGMR adalah syarikat perkongsian MRO milik Malaysia Airline System Bhd. (MAS) dan syarikat konglomerat India, GMR.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairuddin Hamzah berkata, selain itu, MASGMR bakal menjadi pelengkap kepada operasi MAS Aerospace Engineering milik MAS di Subang.

Menurut beliau, meskipun baru setahun beroperasi, MASGMR kini sudah mengendalikan 24 buah pesawat dan jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh terdekat ini.

"Keyakinan ini berdasarkan kedudukan MASGMR yang berada di tengah-tengah Asia dan berhampiran dengan Asia Barat serta pengembangan industri penerbangan India yang cukup memberangsangkan," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sempena misi perdagangan di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi MAS, Tan Sri Mohd. Nor Yusof, Konsulat Besar Chennai, Chitra Dewi, Ketua Pegawai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Datuk Noharuddin Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia, Dr. Wong Lai Sum.
Malah, MASGMR juga berpeluang untuk mengambil kontrak-kontrak MRO yang tidak dapat dilaksanakan di Subang kerana permintaan yang cukup tinggi, tambah beliau.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, MASGMR sedang dalam perbincangan dengan Spice Jet untuk mendapatkan kontrak MRO bagi 24 buah pesawat Q400 Bombadier yang baharu dibeli oleh syarikat penerbangan tersebut.
"Rundingan ini masih di peringkat awal tetapi Q400 turut dimasukkan dalam perbincangan itu," ujar beliau.
Menurut beliau, kontrak dengan Spice Jet itu adalah satu permulaan dan bukan menjurus kepada perolehan syarikat sebaliknya membina reputasi dalam industri tersebut. - UTUSAN



Comments