AirAsia tawar tiga juta tempat duduk percuma


KUALA LUMPUR 25 Nov. - AirAsia Bhd. (AirAsia) telah kembali melancarkan kempen tempat duduk percuma dengan tiga juta tempat duduk disediakan menerusi laluan dan rangkaian ekstensif AirAsia dan juga AirAsia X.

AirAsia dalam kenyataan di sini menyatakan, tiga juta tempat duduk boleh ditempah menerusi laman sesawang www.airasia.com bermula hari ini sehingga 1 Disember 2013.
Jelas kenyataan itu, para pelanggan boleh melakukan penerbangan bermula 5 Mei 2014 sehingga 31 Januari 2015 menerusi kempen tersebut.

"Kadar tambang tempat duduk bermula dengan kosong, disertakan dengan yuran-yuran dan cukai bermula dari RM26 sehala,'' jelas AirAsia di sini hari ini.
Banyak destinasi domestik ditawarkan dengan tempat duduk percuma seperti Langkawi di Kedah, Johor Bahru di Johor, Kuching di Sarawak, Kota Kinabalu, Sandakan, Bintulu, Tawau di Sabah, Labuan dan banyak lagi.
Bagi penerbangan antarabangsa, kempen ini meliputi destinasi Singapura, Jakarta dan Bandung di Indonesia, Bangkok, Hatyai, Surat Thani di Thailand, Manila dan Cebu di Filipina, Phnom Penh di Kemboja dan banyak lagi.

Sejajar dengan kempen tempat duduk percuma AirAsia, AirAsia X pula menawarkan kadar tambang rendah untuk setiap laluan termasuk yang terbaharu dilancarkan iaitu Nagoya di Jepun dan Adelaide di Australia, Colombo di Sri Lanka, dan Busan di Korea Selatan.

Para penumpang pesawat AirAsia X boleh membuat tempahan dalam talian dan menikmati harga serendah RM169 bagi kelas penerbangan ekonomi dan RM699 bagi premium dari Kuala Lumpur.
Menerusi rangkaian penerbangan AirAsia, AirAsia X akan memberi lebih banyak pilihan kepada penerbangan jarak jauh bagi destinasi yang disyorkan para pelanggan.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh berkata, para pelanggan boleh mengambil peluang yang ditawarkan oleh kumpulan dengan liputan destinasi meluas di rantau ini.
Katanya, pengenalan 20 bandar baharu yang dipadankan dengan perkhidmatan Fly Thru, hal ini merupakan peluang tepat untuk para pelanggan untuk berhubungan dari serata dunia.

"AirAsia telah memperkenalkan 20 destinasi baharu Fly Thru bagi destinasi domestik seperti Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan Langkawi ke destinasi-destinasi antarabangsa melepasi rantau ini bermula hari ini,'' ujarnya.

Comments

Popular Posts